Suhaimi Cabar Noh Berdebat Isu Pasir Di Tanjung Karang

SHAH ALAM, 21 FEB : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie secara terbuka mencabar Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar untuk berdebat demi kepentingan rakyat Selangor berhubung pelbagai isu termasuk pengurusan pasir.


Shuhaimi yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor menjelaskan debat dicadangkan itu adalah jalan terbaik bagi rakyat membuat penilaian di "mahkamah rakyat" akan kebenaran dan penyelewengan yang berlaku sebagaimana diinginkan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu.

Menurutnya, isu pasir itu sengaja ditimbulkan bagi mengalih tumpuan rakyat berhubung isu pecah amanah wang rakyat yang didakwa melibatkan seorang menteri.

"Maka saya cabar Noh untuk berdebat secara terbuka dalam isu ini jika dia benar ikhlas dan jujur. Noh tentukan masa dan tempat hatta di Tanjung Karang sekalipun saya akan turun untuk berdebat dengan beliau. Biar rakyat Selangor menjadi hakim," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shuhaimi berkata, dirinya yang dikaitkan dengan isu pasir itu telah disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak hampir dua tahun lepas dan sebaiknya semua pihak menunggu hasil perbincangan semula jawatankuasa khas SPRM sebelum membuat sebarang rumusan apatah lagi spekulasi liar.

Beliau berkata, Noh seharusnya sedar selama hampir empat tahun pengurusan pasir di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, angka dan statistik telah menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

"Pencapaian Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor adalah jauh lebih baik berbanding pentadbiran cacamarba UMNO Selangor dahulu. Malah banyak berlaku penyelewengan dan penyalahguna kuasa di sepanjang pentadbiran Umno dulu termasuk isu skandal PKFZ, tanah ADUN Umno dan lainnya.

"Maka saya cabar Noh untuk berdebat dan jangan cuba mengalihkan tumpuan rakyat," katanya.

Dr Dzulkifly: Malaysia Gadai Maruah Demi Amerika-Israel

SHAH ALAM, 21 FEB: Tindakan Kerajaan Umno-BN menghentikan eksport minyak sawit ke Iran akibat tekanan dari Amerika dan tiga dari empat negara Kesatuan Eropah (EU) meletakkan negara ini dianggap sebagai negara tunggangan kuasa besar.


Selain itu tindakan tersebut turut memberi gambaran bahawa negara ini tunduk kepada kemahuan Israel yang mahu memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

Demikian komen Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS Dr. Dzulkefly Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

"Kita patut contohi Turki yang tidak endahkan tekanan dari negara kuasa besar walaupun mereka amat mahu menjadi ahli dalam EU.

"Turki juga tidak ragu-ragu untuk memutuskan hubungan pertahanan dan dagangan dengan Israel dan menghalau keluar duta dan diplomat Israel dari terus berada di Turki beberapa bulan lalu," kata beliau.

Beliau juga melihat kerajaan BN sanggup menggadai marauh sebagai sebuah negara Islam serta gagal mengamalkan semangat persaudaraan sesama Islam apabila turut mengambil pendirian memberi tekanan terhadap Iran.

"Sebaliknya Malaysia sebagai sebuah negara Islam gagal menunjukan semangat persaudaraan sesama islam apabila tunduk kepada kemahuan barat.

"Tidak membantu saudara Islam di Iran yang sedang ditekan oleh kuasa-kuasa besar," beritahu beliau kepada TVS ketika dihubungi hari ini.

"Mengapa selain Turki, India dan China sebagai negara berdaulat juga mempertahankan pendirian mereka apabila meneruskan hubungan dagangan mereka dengan Iran, tetapi Malaysia pula menghentikan pengeksportan ke Iran.

Beliau turut membidas Kerajaan BN yang dianggap berlidah bercabang berhubung isu berkaitan Israel.

"Mereka tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sokong Israel, tetapi pada masa yang sama kerajaan Umno-BN sendiri jalin hubungan dagangan secara terus dengan Israel.

"Akhirnya keuntungan dari hasil cukai yang dibayar oleh syarikat Malaysia kepada kerajaan Israel mereka beli senjata untuk bunuh umat Islam di negara lain," ujar beliau lagi.

Dr Badrulamin: RM2.71b Wang Rakyat Untuk UMNO Jatuhkan PR Selangor

SHAH ALAM, 21 FEB : Pemberian dana dari wang rakyat sebanyak RM2.71 billion oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor Disember lepas dilihat sebagai satu usaha bersungguh mereka untuk menawan Negeri Selangor, ulas Pengarah Penerangan Pejabat Menteri Besar, Dr. Badrulamin Bahron.


Tindakan terdesak itu dilihat sebagai satu usaha tidak bermoral pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk 'membeli' undi rakyat Selangor pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

"Tindakan membeli rakyat dan memperkayakan pemimpin-pemimpin Umno ini saya anggap satu tindakan yang kolot, sombong dan angkuh sekali. Mereka anggap rakyat mudah dibeli dengan wang ringgit serta sogokan.

"Namun Najib lupa bahawa rakyat Selangor kini sudah bangkit bukan kerana kemiskinan atau mahukan duit tetapi rakyat bangkit kerana mereka sedar Umno itu zalim dengan segala penipuan dan pengkhianatan selama lebih 50 tahun memerintah," ujar Badrulamin.

Bagaimanapun, Badrulamin menyatakan rakyat Selangor khususnya sudah mula membuka mata dan sedar kerajaan mana yang harus mereka beri kepercayaan mentadbir negeri ini.

"Rakyat boleh lihat tiga kejayaan besar Kerajaan Pakatan antaranya hutang negeri yang sudahpun dilunaskan sepenuhnya dan tabungan negeri yang kini hampir mencecah RM 2 billion.

"Malah, lebih RM1,000 juta sudah diagihkan kepada rakyat melalui Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pemberian air percuma, khairat kematian, hadiah anak masuk IPT, Skim Kesihatan Wanita dan sebagainya yang diberikan secara berterusan dan bukan sekali bagi sahaja," beritahu Badrulamin yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Selain itu, Badrulamin turut mempersoalkan sumber wang yang disalurkan kepada Umno Selangor itu.

"Dengan hutang isi rumah negara yang mencecah RM577 billion, saya kira ini merupakan wang hutang lagi yang mana perlu dibayar oleh rakyat seluruh negara, bukan sekadar rakyat Selangor.

"Bukan Umno yang akan melunaskan segala hutang ini sebaliknya rakyat dari muda sampai yang tua. Cukai, harga barang, tarif elektrik, minyak, tol semua ini akan naik untuk menampung beban hutang tersebut," jelas Badrulamin sambil menambah rakyat perlu berhati-hati dengan permainan wang Umno.