Azizan vs Mahasiswa

Azizan vs Mahasiswa

Dr.Mujahid Yusof Rawa | Feb 03, 2012 11:49:52 am

Negeri-negeri Pakatan Rakyat sememangnya tidak sunyi daripada pelbagai ujian. Ada ujian yang tidak dapat dikawal dan ada ujian yang dapat dikawal tetapi ada yang lebih buruk daripada itu, ialah ujian yang kita sendiri cipta dan ini yang paling sukar. Dalam suasana kerapuhan parti-parti dalam Pakatan Rakyat hari ini, kita tidak mampu untuk berhadapan dengan ujian yang kita cipta sendiri untuk menanggungnya. Terkini ialah ujian bagi sebuah kerajaan PR di Kedah dan ia bukan calang-calang ujian, ia merupakan ujian yang memulakan tahun naga dengan penuh kelicikan dan kebijaksanaan.

Kolej Universiti Insaniah adalah satu-satu IPT di Kedah yang menjadi kebanggaan Menteri Besar Azizan Razak (gambar kiri). Saya tidak terkejut dengan kebanggaan yang menjadi modal politik Azizan kerana sebagai seorang ahli akademik, Azizan sangat memahami betapa kualiti pendidikan akan memberikan satu implikasi politik yang besar kepada kepimpinannya. Tapi buat masa ini harapan besar Azizan terganggu dengan isu tindakan disiplin ke atas lima pelajarnya yang menjadi mangsa tatatertib. Soalannya, apakah Azizan terlalu personal dengan cita-citanya dengan KUIN sehingga isu AUKU dianggap terlalu kecil atau Azizan terlalu marah kerana beberapa pelajar telah menyentak impiannya dan mencabarnya?

Isu ini tidaklah sebesar mana tetapi saya lebih berminat melihat bagaimana Azizan mengendalikannya. Pertama, Azizan telah menunjukkan sikapnya yang sukar dirundingi dengan kenyataannya yang tidak mesra Pakatan. Logik responsnya agak melucukan, katanya, "Buku Jingga bukan Al Quran!" merujuk kepada soalan tindakan KUIN tidak selaras dengan buku jingga yang mahu menggantikan AUKU. Bagi saya, ini kenyataan yang meragukan dari sudut ianya benar tetapi tujuan penghujahannya adalah salah. Dengan mengatakan demikian ia telah secara sendirinya memandang rendah kesepakatan PR sebagai tawaran kepada rakyat.

Kedua, Azizan mengatakan bahawa Kedah tak semestinya ikut Buku Jingga, merujuk kepada tindakan yang bertentangan dengan tawaran Pakatan. Agak pelik seorang yang berstatus MB dari negeri Pakatan mengatakan dia tak perlu ikut Buku Jingga? Ini sememangnya menggambarkan profile Azizan yang cuba membawa pemikirannya sendiri dalam menguruskan kerajaan Pakatan di Kedah. Entahlah sejauhmana kebenaran pandangan orang ramai terhadap Azizan yang dianggap ada mimpi lain dari mimpi Pakatan?

Ketiga, walaupun jawapan Azizan tentang tindakan ke atas lima pelajar KUIN secara objektifnya dijawab lewat namun Azizan telah memberi peluru kepada musuh Pakatan untuk menyerang betapa inkonsistennya Pakatan dari sudut tawaran dan praktiknya. Diburukkan lagi isu ini dibawa ke mahkamah seolah-olah Azizan gagal mencari jalan penyelesaian yang lebih berhikmah walaupun menurut Azizan, pelajar yang mengheret isu ini ke mahkamah. Bayangkan seorang MB diheret oleh pelajar di bawah kerajaan negerinya semata-mata tidak ada jalan rundingan. Siapa yang akan dilihat tidak matang dalam menyelesaikan masalah ini? Anda sendiri yang menentukannya.

Keempat, isu pemecatan pelajar KUIN dikaitkan dengan penggunaan AUKU yang penuh kontraversi. Ini adalah kerana semua MP PR berdebat dalam Dewan menentang AUKU, asasnya ialah ia menyekat pelajar IPT dari terdedah kepada makna politik yang luas sehingga usaha advokasi terbantut. Begitu juga tentang undang-undang yang dikawal ketat oleh kuasa HEP yang besar sehingga aktiviti pelajar dibatasi. Dengan kata lain AUKU menutup perundingan yang lebih matang dan pelajar dilihat menjadi mangsa kepada kehendak pentadbiran.

Azizan cuba mententeramkan keadaan bahawa tindakan ke atas pelajar KUIN adalah tindakan tatatertib kerana melanggar keputusan KUIN. Tidak kira apa peruntukan yang digunakan samada untuk IPT atau IPTS, persepsi awam terhadap inkonsistennya PR melaungkan hak pelajar menjadi semakin jelas dan ini bukanlah berita baik untuk PR yang memerlukan keyakinan rakyat untuk PRU akan datang.

Bola berada di tangan Azizan sebenarnya untuk membentuk persepsi yang baik, bukankah Azizan seorang ahli politik yang bijak membaca keadaan? Ataukah Azizan mempunyai egonya sendiri sehingga gagal melihat kepentingan PR yang lebih besar?

Jarum jam sedang bergerak sambil kita semua membuat kiraan pada tarikh PRU ke 13. Masing-masing dari BN dan PR mengeluarkan peluru menyerang antara satu sama lain. Kadang-kadang lawannya membiarkan musuhnya sehingga habis peluru, barulah ia akan menyerang. Atau membiarkan musuhnya menyerang untuk mengalih pandangan? Apakah Azizan menggunakan taktik untuk membiarkan musuhnya menyerangnya sehingga habis peluru ataukah Azizan mahu musuhnya lalai? Bagaimana penyokong PR menerima situasi di Kedah hari ini dan yang lebih penting ialah adakah pengundi atas pagar akan terkesan?

Saya yakin Azizan tidak semudah yang dijangka oleh sesetengah orang kerana dia terkenal dengan ketajaman politiknya, pasti Azizan sedang membuat percaturan tertentu dan pastinya pertembungan Azizan vs Mahasiswa yang tidak berpuas hati tidak dapat dielakkan lagi. Mungkin mahasiwa ini mahu mengatakan kepada Azizan "jumpa anda di mahkamah!"

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

PULAK DAH.....GULA PULAK BAWA PENYAKIT......

TPM: Subsidi gula mungkin dihentikan atas faktor masalah kesihatan


Kalau macam inilah pandangan kerajaan...rasanya baik tak payah adakan gula dalam negara.Sebab gula punca banyak penyakit.





Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. — Gambar fail
SHAH ALAM, 4 Feb — Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa peningkatan kos bagi penjagaan kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula mungkin akan mendesak kerajaan memansuhkan subsidi terhadap barangan keperluan komoditi tersebut untuk jangka masa panjang.

Kerajaan baru-baru ini menerima kecaman hebat akibat meningkatkan kadar subsidi kepada RM567 juta tahun ini daripada RM262 juta sebelumnya selepas menandatangani perjanjian jangka panjang pembekalan gula pada harga mati USD26 (RM78.20) setiap seratus paun bulan lalu walaupun harga pasaran global gula hanya pada USD23 (RM69).

"Mungkin akan ada keperluan untuk itu," jelas Timbalan Perdana Menteri, merujuk kepada dakwaan Persatuan Pengguna Penang (CAP) bahawa kos penjagaan kesihatan berkaitan gula seperti diabetes berkaitan dengan pemberian subsidi tersebut.

"Bagi jangka masa panjang, kita akan lihat sama ada terdapatnya keperluan untuk mengurangkan kadar subsidi gula dan menyalurkannya ke sektor lain."

CAP telah mengutarakan bahawa rakyat Malaysia akan mengambil 26 sudu teh gula setiap hari termasuk pemanis tambahan - menjadi punca kepada penyakit kanser, diabetes, obesiti, masalah jantung, osteoperosis, dan masalah ginjal, serta asma termasuklah alergik.

CAP turut berkata, kebarangkalian diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 2 peratus pada 196+ kepada 14.9 peratus pada 2006, atau seramai 4.2 juta pesakit.

"Dengan menjual gula pada harga pasaran, kerajaan sebenarnya mendapat kadar penjimatan lebih dari RM567 juta kerana kerajaan sebenarnya akan menjimatkan jutaan ringgit terhadap kos penjagaan kesihatan kerana tidak perlu membayar untuk penyakit berkaitan gula," jelas Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan awal minggu ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan Datuk Seri lsmail Sabri Yaakob minggu lalu berkata subsidi gula melonjak daripada 20 sen kepada 54 sen sekilogram bagi mengekalkan pada harga RM2.30 ekoran "kenaikan mendadak pasaran gula global."

Namun begitu, Ketua Publisiti DAP, Tony Pua menjelaskan selepas mencecah harga USD29.47 (RM89.66) seratus paun pada Julai 2011, harga gula telah jatuh setiap bulan kepada USD23.42 pada Disember, penurunan 20.5 sen.

Ismail semalam menjelaskan Malaysia akan mendapat manfaatnya sekira harga gula meningkat.

Muhyiddin turut berkata sebagai menteri perdagangan, "perkara yang mencabar adalah untuk menentukan harga."

"Kamu boleh berbincang mengenainya, tapi sejam kemudian harganya akan berubah, permintaan akan meningkat dan harga akan melambung tinggi," jelas Ahli Parlimen Pagoh ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menambah, perkembangan terbaru menunjukkan kos subsidi Putrajaya akan meningkat kepada RM33 billion tahun ini dengan RM17 billion sahaja diberikan kepada petrol.

Ketirisan Kerajaan Pusat Punca Jalan Di Selangor Berlubang

KUALA SELANGOR,4 FEB : Ketirisan dalam perbelajaan kerajaan pusat antara punca kerja penyelenggaraan jalan raya tidak sempurna sehingga masih berlaku kerosakkan jalan di tempat-tempat yang pernah dibaiki.

ADUN Bukit Melawati Mutthiah Maniapillay berkata peruntukan yang disalurkan kerajaan pusat tidak sampai terus ke sasaran lantaran menyebabkan pembaziran dan wujud unsur rasuah.

"Banyak tempat yang kerajaan pusat keluarkan tetapi tidak turun ke bawah seperti nilai projek berharga contohnya RM50 juta tetapi apabila sampai ke bawah hanya dapat RM10 juta," kata Muthiah ketika diwawancara TVSelangor.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada 120 warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal di Daerah Kuala Selangor.

Tambah Muthiah lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan sentiasa berusaha untuk membaiki jalan raya di Selangor walaupun peruntukan bagi kerja-kerja tersebut datang daripada Kerajaan Pusat.

"Menteri Besar sudah berkata beliau akan mendapatkan peruntukan daripada MARRIS untuk penyelenggaraan jalan di Selangor," katanya.

Penggunaan peruntukan MARRIS oleh Kerajaan Selangor adalah berdasarkan peruntukan yang digariskan oleh Arahan Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan-jalan Negeri.

Pada majlis itu, sumbangan disampaikan oleh Isteri Menteri Besar Datin Seri Salbiah Tunut bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzullkefly Ahmad dan Muthiah.

Program yang dianjurkan bersama PEKAWANIS dan Pejabat DUN Melawati, DUN Jeram itu berlangsung di Dewan Sri Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di sini.

Majlis itu satu usaha membantu masyarakat berpendapatan rendah di Daerah Kuala Selangor agar mereka dapat meraikan Tahun Baru Cina pada dengan perasaan ceria dan gembira.

Program itu juga adalah untuk menghargai golongan warga emas yang telah banyak menyumbang bakti kepada pembangunan negara di samping usaha merapatkan semangat persaudaraan dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Semalam, lebih 400 penduduk Kampung Baru Ijok hadir untuk memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Dalam majlis itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan sumbangan berupa Angpow kepada lebih 100 warga emas sebagai menghargai jasa pengorbanan mereka.

Turut hadir dalam majlis sumbangan itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Kampung Baru Ijok, Lee Lai Seng dan wakil-wakil parti Pakatan Rakyat DUN Ijok dan kawasan Parlimen Kuala Selangor.

Sivarasa : Selamatkan Negara Dari Barah Korupsi Umno-BN

SUBANG, 4 FEB : Ketirisan dan amalan korupsi yang diamalkan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu merupakan faktor utama mengapa rakyat Malaysia perlu melakukan perubahan dari sudut pemerintahan negara.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, keadaan ekonomi negara yang semakin merudum dan kecurian wang rakyat yang berlaku secara terang-terangan juga antara penyebab perlunya pentadbiran kerajaan sekarang ditukar.

Menurut Sivarasa, rakyat akan semakin menderita dan bakal menanggung kerugian kerana semakin terbeban dengan pentadbiran Umno-BN yang hanya mementingkan kroni semata-mata.

"Keadaan negara kita sekarang sudah sampai ke tahap di mana rakyat tiada pilihan, selain membuat perubahan di negara ini. Bagi saya, tiada masa untuk rakyat tanya mengapa kerajaan sekarang perlu diubah.

Untuk mengelakkan negara daripada terus rosak dan musnah kerana ketirisan Umno-BN, maka kita mesti ubah kerajaan sekarang dengan menggantikan kerajaan baharu iaitu Pakatan Rakyat (PR) di Putrajaya," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Subang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Tambah Sivarasa, tahun 2012 merupakan tahun penting bagi seluruh rakyat di negara ini kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka akan berlangsung sedikit masa lagi.

Ini kerana jelasnya, PRU-13 bukanlah sekadar pilihan raya biasa seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya ia akan menentukan masa hadapan negara dan nasib rakyat sendiri.

"Kali ini rakyat tiada pilihan lagi selain memilih pemimpin baru. Sekiranya rakyat terus-terusan memilih Umno-BN, negara kita akan tentu musnah di masa hadapan. Mesej ini perlu disampaikan kepada semua.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang hebat dan bertambah maju, tetapi bukan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang," tegasnya.

Kes Kepala Babi : Pas Anjur Solat Hajat Aman

SHAH ALAM 3 FEB : Susulan insiden penemuan kepala babi di beberapa buah masjid semakin menjadi-jadi, PAS Selangor akan menganjurkan solat hajat memohon agar insiden ini tidak merebak dan menimbulkan huru hara.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata solat hajat akan dilakukan di peringkat negeri, dan di setiap daerah dan cawangan.

Solat hajat ini dibuat dengan tujuan merapatkan muafakat penganut agama Islam supaya tenang dan matang menghadapi pihak yang cuba mencetuskan ketegangan antara agama di Selangor.

"Kita tahu ada orang yang cuba melakukan provokasi perkauman di Selangor dan ahli-ahli kita tidak mudah termakan provokasi ini.

"Kita mahu ahli-ahli PAS menyelidik dan menjejaki dalang di sebalik insiden ini,"katanya.

Selangor dan Lembah Klang paling kerap dihadap dengan provokasi kaum dan agama semenjak kerajaan negeri bertukar tangan dalam PRU-2008.

Sebelum ini, pada tahun 2010 Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya diletakkan kepala babi.

Isu kepada babi timbul dan diperkatakan semula dengan kejadian terbaru berlaku di Masjid Nurul Iman, Rawang pada 31 Januari lalu dan Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur semalam.

"Kita arahkan ahli-ahli PAS membantu menjaga kesucian masjid dan surau. PAS selangor sedia bekerjasama dengan semua agensi termasuk polis serta akan menahan sesiapa saja yang cuba mengulangi insiden kepala babi ini,"katanya dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan RM10,000 kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung serangan terbaru ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 1800-888-2824.

Najib Digesa Buktikan Rosmah Bukan 'First Lady Of Shopping'





SHAH ALAM 3 FEB : Aktivis politik, Jingga 13 hari ini mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan undang-undang menyaman kesemua mereka yang terlibat mendedahkan sikap boros isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata cabarannya adalah untuk Perdana Menteri membuktikan segala tuduhan terhadap isterinya yang digelar 'First Lady Of Shopping' adalah tidak benar.

"Kalau benar ianya satu fitnah, sila tampil untuk saman kesemua mereka yang terlibat, bukannya hanya bermain persepsi untuk mempengaruhi siasatan dan kefahaman rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) di sini hari ini. Jingga 13 tampil ke SPRM hari ini untuk mengemukakan bukti tambahan bagi laporan rasmi mereka yang telah dihantar pada 26 Januari lalu.

Beberapa media antarabangsa dan tempatan sebelum ini pernah melaporkan gelagat Rosmah yang suka membeli belah di luar negara.

Terbaru, Najib dan Rosmah telah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Rosmah telah "berbelanja sakan" di dalam satu lawatan membeli belah ke Sydney, Australia Januari lepas.

Akhbar Autralia Sydney Morning Herald (SMH), Kolumis Andrew Hornery dalam kolum 'Private Sydney' serta artikel wartawan fesyen, Patty Huntington mendakwa Rosmah telah membelanjakan RM325,000 (A$ 100,000) di butik milik pereka fesyen, Carl Kapp.

"Kita yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia sedang menanti reaksi dan tindakan Najib Razak dan Rosmah Mansor berhubung isu scandal ini.

"Tidak pernah berlaku pada mana-mana isteri Perdana Menteri Malaysia sebelum ini tidak kira Siti Hasmah (isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed Tun Siti Hasmah Mohd Ali) mahupun Arwahyarhamah Endon (Datin Seri Endon Mahmood), sebaliknya berlaku apabila Rosmah bersikap boros dan tidak sensitif kepada kesusahan rakyat yang menderita dengan kenaikan harga barang dan sebagainya,"katanya.

Dalam pada itu, Jingga 13 juga mendesak Najib agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi siasatan bagi tujuan menyelamatkan beliau dan isterinya dengan scandal tersebut.

Bercakap kepada pemberita, Fariz juga mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara telus dan tidak bersikap 'double standart' terhadap kes-kes seperti ini.

"Kita tidak mahu melihat kes-kes kecil ditangkap sedangkan jerung-jerung besar bebas tanpa sebarang tindakan secara tegas.

"Kita lihat sepertimana yang berlaku pada kes Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo) dan rakyat biasa, kes mencuri susu bayi melibatkan RM20 ditangkap mencuri dan dihukum 3 tahun penjara. Kes Khir Toyo melibatkan jutaan ringgit hanya satu tahun penjara," katanya.




Provokasi kepala babi: Rakyat masih sehati

Provokasi kepala babi: Rakyat masih sehati

Ng Eng Kiat | Feb 02, 2012 01:19:21 pm

Sementara parti pemerintah sibuk bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, pelbagai insiden jijik berlaku untuk menguji slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib Razak. Insiden terbaru, kepala babi ditinggalkan di Masjid Hidayat Sentul, dua hari selepas insiden yang sama di perkarangan Masjid Nurul Iman, Rawang (gambar bawah).

Sekali lagi, orang ramai pasti terkilan dengan kejadian provokasi tidak waras sebegini. Tetapi, apakah kita masih lagi perlu terkejut? Tidakkah rakyat berasa jemu dengan cubaan berulangkali untuk memecahkan perpaduan kita?

Sekiranya kejadian "kepala babi" ini terjadi 40 tahun lalu, kemungkinan besar huru-hara telahpun berlaku. Malah, seandainya insiden ini terjadi sebelum 3 Mac 2008 pun, ketika isu-isu agama menjadi punca ketegangan - misalnya isu dialog antara agama (Interfaith Dialogue), perebutan jenazah, dan pertukaran agama yang agak meruncing waktu itu - belum tentu masyarakat Malaysia dapat menanganinya dengan kesabaran yang telah ditunjukkan dalam masa dua hari yang lepas.

Bagaimanapun, masyarakat Malaysia pasca-2008 sudah menunjukkan kematangan yang baru, di mana walaupun tempat beribadat disimbah cat merah, dibakar api, ataupun dihina dengan pelbagai cara jijik seperti menggunakan kepala binatang, rakyat Malaysia secara umumnya tidak menunjukkan reaksi yang melulu, melampau, atau terlalu beremosi.

Sungguhpun begitu, pastinya kita bersedih kerana di sebalik kemajuan masyarakat dan hubungan etnik pada asasnya sejak 13 Mei 1969, masih ada unsur-unsur subversif yang ingin mencetuskan ketegangan etnik. Kejadian terbaru ini bukan kali pertama vandalisme dilakukan ke atas tempat beribadat sama ada masjid, surau, gereja, atau kuil. Malangnya, aksi-aksi sebegini tidak akan berhenti selagi politik negara terus didominasi elemen kaum dan agama. Tidak dinafikan, perkara kaum dan agama sukar dipisahkan daripada wacana kebangsaan. Namun, pada masa politik perkauman yang sedang merosot diancam politik baru yang berasaskan keadilan sosial, saya percaya pergelutan ini akan menghasilkan peluang supaya perubahan boleh berlaku.

Walaupun aman dan damai pada hari biasa, keadaan hubungan etnik di Malaysia sukar diukur kerana sekiranya seseorang membaca akhbar Utusan Malaysia setiap pagi, seolah-olah ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memporak-perandakan hubungan antara kaum. Sekiranya mendengar ugutan-ugutan PERKASA dan pertubuhan-pertubuhan satu kaum (1Kaum?) yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pasca-8 Mac 2008, seolah-olah wujud ancaman besar terhadap hak-hak Bumiputera. Sekiranya melihat kembali tunjuk perasaan mengheret kepala lembu memprotes tapak sebuah kuil hindu pada tahun 2009 dan insiden-insiden vandalisme tempat beribadat sejak 2010 (termasuk 12 kejadian dalam bulan Januari 2010 sahaja), keadaan hubungan etnik di Malaysia nampaknya tidak boleh dibanggakan langsung.

Namun, adakah perkara-perkara yang disebut di atas membayangkan realiti hubungan etnik di Malaysia? Ataupun adakah ia sebenarnya hanya berunsur acara pseudo untuk mengalih fokus orang ramai dan mempengaruhi pendapat umum? Dalam konteks ini, apakah kempen 1Malaysia Najib bermakna ataupun juga sekadar retorik sahaja?

Amat sukar untuk rakyat biasa menerima 1Malaysia apabila penyokong terbesar propaganda Najib ialah Ibrahim Ali dan kumpulannya PERKASA yang terus gagal untuk menghormati masyarakat minoriti. Untuk membuktikan beliau benar-benar mahukan pembaikan hubungan etnik, Najib harus segera menyeru supaya segala unsur provokasi diberhentikan. Lebih penting lagi, beliau perlu mengajukan seruan ini bukan sahaja secara umum, tetapi spesifik kepada kumpulan-kumpulan yang telah memainkan peranan dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dalam masa beberapa tahun lalu. Tidak ada gunanya bercakap pasal ETP dan GTP apabila gagal memimpin dalam perkara seasas keharmonian hubungan antara kaum.

Tentunya, ada juga mereka yang akan menuduh kemelut hubungan etnik kita sejak tahun 2008 adalah kesan langsung pemerkasaan barisan pembangkang. Walaupun tidak logik, hujah ini akan diulangi lagi pada pilihan raya akan datang. Strategi UMNO di Selangor dan Pulau Pinang jelas menunjukkan tren bahawa mereka sedang merayu undi masyarakat Melayu dengan mencetuskan rasa takut di kalangan mereka. Di Pulau Pinang khususnya, berpuluh-puluh protes sudah diadakan untuk menggambarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai seorang yang meminggirkan masyarakat Melayu. Di Selangor, isu agama pula digunakan.

Pakatan Rakyat bawa kucar-kacir, DAP mahu hilangkan hak Melayu, PKR mahu menghalalkan seks sejenis, dan PAS tidak lagi mempertahankan Islam. Begitulah seruan yang akan digunakan Barisan Nasional. Kadang-kadang, saya terfikir, susah juga untuk bergelut dengan lawan yang enggan bergusti secara adil. Minta debat pasal skandal lembu, dia sembunyi dan bersorak pasal skandal seks. Minta pulihkan pilihanraya kerajaan tempatan, dia bicara pasal buah dada. Minta berhentikan projek Lynas di Gebeng, dia buat tak tahu. Minta deklarasi aset menteri, dia pula pergi "shopping" di Australia. Minta pilihanraya adil, dia dakwa Ambiga anti-Islam. Sudahlah itu, lepas rakyat kecewa dan minta "Asalkan Bukan UMNO", dia datang menghayun batang kayu.

Begitulah cara UMNO menanggani kontroversi. Tiap kali ada orang persoalkan sesuatu, timbulkan sahaja keadaan kurang tenteram. Ugut sahaja kalau terus persoal akan terjadilah huru-hara dan pertumpahan darah. Namun, dengan adanya media sosial yang secara relatif bebas dari kawalan langsung pemerintah BN, taktik-taktik kotor UMNO mendapat perhatian ramai melalui perbincangan yang lebih terbuka dan bebas.

Di medan Internet, idea baru yang hebat akan cepat mendapat sambutan hangat. Sebaliknya, idea yang basi tidak mampu bersaing dari segi impaknya. UMNO ketahui hakikat ini. Mereka sedar tidak ada wacana logik yang boleh terus menghalalkan niatnya untuk terus berkuasa. Oleh itu, "cybertrooper" dan "blogger" pro-UMNO tidak berdebat dasar dan pendekatan politik. Fokus mereka? Apa lagi kalau bukan skandal seks dan sentimen perkauman?

Rakyat perlu sedar, perpaduan dan kesefahaman kita lebih kuat dari apa-apa skandal dan provokasi yang dimainkan. Mereka yang meletakkan kepala babi di pintu masjid tidak semestinya membenci agama atau orang Islam. Tapi, yang pasti, mereka mahu supaya golongan Islam hilang rasa percaya terhadap perpaduannya dengan orang bukan-Islam. Namun, saya yakin rakyat biasa di Rawang, Sentul dan di seluruh pelosok tanahair akan mengatasi kontroversi ini dengan penuh sabar dan tabah.

Syabas kepada wakil rakyat Rawang dan ahli EXCO negeri Selangor, kedua-duanya bukan-Islam, yang segera melawat Masjid Nurul Iman pada pagi kejadian. Begitu juga wakil rakyat Batu Tian Chua yang hadir untuk mengecam tindakan provokasi tersebut.

Yang penting, mulakan usaha supaya rakyat setempat membina hubungan yang lebih erat untuk hilangkan apa-apa rasa syak wasangka. Sekiranya gerakan rakyat mampu membina muafakat dari bawah, sekiranya fokus tidak lagi mudah dialih tiap kali provokasi dibuat, dan sekiranya kita bersatu, akan satu hari nanti kita bangga sebab kita benar-benar rakyat Malaysia.

*Ng Eng Kiat ialah aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.