Umno- Bn DIAMBANG KIAMAT

KOMENTAR

Tahun 2012 telah diberikan pelbagai gambaran tragis termasuk terjadinya bencana besar, kekacauan, keruntuhan kerajaan dan peperangan diseluruh dunia yang merintis kepada berlakunya Kiamat.

Tahun 2012 juga akan melibatkan banyak peristiwa besar termasuk kejatuhan ekonomi dunia melibatkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika, Eropah, China dan Jepun.

Sebagai umat Islam, urusan hari kiamat hanya ada dalam perbendaharaan Allah dan bukan dalam tanggapan hamba Allah. Manusia hanya di beri hak untuk merancang, mengkaji dan menghujah.

Manakala menurut ahli tasawuf pula pengertian kiamat tersebut boleh di rungkai dalam pelbagai keadaan seperti bencana, kecewa, penyakit, kemalangan dan sebaginya.

Berdasarkan kepada hak merancang, mengkaji dan berhujah yang diberikan Allah kepada manusia tersebut kemungkinan gambaran tersebut ada kebenarannya.

Keruntuhan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak selepas 30 tahun menguasai mesir, terbunuhnya pemimpin Libya, Muhammar Gaddafi setelah lebih 36 tahun memerintah dan runtuhnya LDP setelah menguasai kerajaan Jepun selama 40 tahun adalah antara deretan keruntuhan kerajaan yang dicatatkan oleh sejarah dunia.

Di Malaysia, Umno telah menguasai kerajaan selama 54 tahun. Pelbagai kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, sogokan, politik wang, pembaziran wang rakyat, fitnah, lucah, ketirisan, kronisme, nepotisme dan pemborosan, semuanya telah sinonim dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Ikon-ikon tersebut tidak akan diberikan lebel sedemikian sekiranya tidak ada kebenarannya.Bak pepatah, masakan pokok bergoyang kalau tiada angin. Malah kecelikan rakyat berhubung sumber maklumat memperteguhkan lagi bahawa Umno semakin tersisih ekoran penolakan rakyat.

Kesimpulannya pemimpin Umno sendiri menyedari bahawa pilihanraya Umum (PRU) akan datang Umno/BN sedang berhadapan dengan detik paling getir dalam sejarah.

Pilihanraya Paling Getir

Pengerusi pilihnraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa pilihanraya kali ini adalah amat getir bagi Umno/BN.

Begitu juga dengan kenyataan beberapa menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin BN lain yang melihat kesukaran BN untuk menang.

Maklumat dari kenyataan tersebut mungkin datangnya dari risikan polis dibawah cawangan politik yang sememangnya wujud di Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat berhubung sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Pengunduran Dr Mahathir ekoran penyerahan kuasa kepada Abdullah Badawi juga dipercayai dari maklumat risikan pihak polis.

Bagi Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak pula dilema untuk menetapkan tarikh PRU-13 merupakan suatu keputusan yang amat berat.

Isu-isu berhubung pelbagai penyelewengan wang rakyat seperti isu NFC, PKFZ, isu ekonomi yang mencengkam rakyat selain masalah dalaman Umno/BN yang kucar kacir tidak memihak kepada BN untuk meraih sokongan rakyat.

Begitu juga berhubung isu calon-calon yang masih belum mencapai penyelesaian.

Calon Tikam Belakang

Kebimbangan Najib berhubung calon yang akan menikam dari belakang sekiranya tidak terpilih masih menjadi keutamaan yang belum di selesaikan.

Isu calon menikam dari belakang dan memberi sokongan kepada pembangkang sememangnya banyak berlaku ketika PRU 2008 lalu.

Ini disebabkan bagi Umno, sesiapa yang dipilih menjadi ketua bahagian atau calon bererti akan memperolehi kekayaan dan kuasa. Budaya ini telah lama berkembang dalam Umno/BN sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan lagi.

Manakala calon yang tidak terpilih akan dianggap sebagai calon yang gagal dan tersisih. Selain hilang kuasa dan mendapat malu calon serta pengikutnya juga akan terpinggir dari mendapat sebarang projek dan kontrak.

Isu pergaduhan ketika pemilihan di perhimpunan Agong Umno bukan perkara baru. Sengketa antara puak-puak dari pimpinan tertinggi hingga kepada Umno Bahagian telah menjadi budaya yang tidak lagi boleh disembunyikan lagi. Ini termasuk team Muhyiddin dan team Najib sendiri.

Najib Yang Lemah

Ahli Falsafah Yunani, Plato berkata kelemahan seseorang terletak pada keputusan dan tindakan yang diambil bukan berdasarkan apa yang dicakapkan.

Najib pula adalah pemimpin yang terlalu banyak melaung untuk menjayakan tranformasinya dan bersikap 'flip-flop' bila melibatkan tuntutan rakyat sebagimana BERSIH 2.0.

Isu yang membabitkan seorang menteri kabinet beliau berhubung skandal NFC memperjelaskan betapa Najib begitu lemah dan membuat keputusan dan tindakan.


Di pihak parti pembangkang, tindakan Najib mempertahankan Shahrizat Jalil merupakan kondisi yang amat menyenangkan. Ini disebabkan isu ini terus menjadi bahan kempen berpanjangan yang menyegarkan.

Najib mungkin merasakan tindakan beliau membiarkan isu yang membabitkan keluarga Shahrizat itu sebagai tekanan untuk Ketua Wanita Umno tersebut melepas jawatan secara sukarela.

Sebelum ini ramai dikalangan pemimpin Umno termasuk Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Dr M) menggesa Najib bertindak menghukum Shahrizat namun Najib masih membisu.

Manakala kem-kem di dalam Umno juga telah wujud gerakan yang meletakkan kelemahan Najib sebagai asas untuk melobi ahli-ahli Umno menentang beliau.

Tindakan Najib yang juga Presiden Umno yang enggan mengadakan pemilihan ketika perwakilan Umno bersidang dalam beberapa perhimpunan Agung parti itu perjelaskan lagi kebimbangan Najib berhubung perpecahan dalaman parti yang dipimpin beliau.

Najib di kuasai Dr M

Ramai dikalangan pemimpin Umno/BN sendiri menyedari bahawa Dr M masih bertaring di era Najib. Dan Najib pula bukan seorang berani. Beliau tiba dipuncak sekarang bukan disebabkan oleh ketokohan beliau tetapi lebih kepada sikap 'play safe' beliau selama ini.

Najib juga menyedari kejatuhan Tun Abdullah disebabkan oleh gerakan yang dilakukan oleh Dr M dan Muhyiddin yang mengkritik Abdullah secara terbuka ekoran kekalahan teruk BN dalam PRU 12 lalu.

Najib kemudiannya memberikan kerusi Timbalan Menteri kepada anak Dr M (Mukhriz). Dan kemudiannya Dr M mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memberi jawatan tersebut kepada anaknya.

Sejak itu setiap tindakan Najib sentiasa dibayangi oleh Dr M. Najib pula akan meminta pihak media mendapatkan kenyataan dari Dr M berhubung sesuatu yang akan dibuat supaya tidak mendapat tentangan.

Dr M Perlu Kuasai Najib

Dalam Umno tidak ada orang yang paling dimarahi Dr M selain dari Abdullah Badawi. Hingga ke saat ini permusuhan dan saling serang menyerang masih antara mereka masih berlarutan

Kemarahan Dr M bukan sekadar kekalahan teruk BN dalam PRU 2008 sahaja tetapi tindakan membebaskan Anwar dari Sungai Buluh menjadikan beliau tidak dapat memaafkan Abdullah.

Membebaskan Anwar membuktikan Anwar tidak bersalah selain persepsi rakyat bahawa Anwar sengaja di aniaya oleh beliau. Abdullah dianggapnya cuba menjadi hero dengan memalukan beliau.

Selain itu pembebasan Anwar juga menyebabkan pembangkang menjadi kuat kerana ketokohan Anwar sememangnya di geruni beliau sendiri.

Dengan pembebasan Anwar tersebut telah memaksa beliau kembali aktif memantau Umno dari luar selain memberi cadangan dan jalan kepada kepimpinan Umno/BN sekarang.

Dr M tahu, Anwar mempunyai banyak rahsia tentang kelemahan Umno dan rahsia diri dan keluarga beliau. Anwar juga tahu bagaimana Dr M menggunakan dana awam seperti KWSP dan Tabung Haji untuk membantu syarikat-syarikat anak beliau ketika krisis ekonomi 1998.

Di Majlis Rapat Rakyat Perdana Di Alor Setar pada 14 Januari lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata setelah PR menguasai Putrajaya semua pemimpin negara akan disiasat.

"Dr Mahathir tak boleh lari, Rosmah pun sama," kata beliau di hadapan lebih 50,000 hadirin di malam penutup konvensyen PR itu.

Menurut Karpal lagi, walaupun kes tersebut telah lama berlaku namun tidak ada sebab untuk membolehkan kes itu dibuka semula untuk dibicarakan sekiranya perlu.

Anwar dan Pakatan Rakyat

Tekanan Najib paling hebat datangnya dari pembangkang yang di terajui Anwar Ibrahim. Selepas berjaya menguasai lima negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu gerakan PR dilihat lebih menyerlah berbanding BN.

Walaupun propoganda media perdana hanya sekadar dapat memujuk diri sendiri namun hakikatnya Umno/BN sedang berada dalam situasi paling sukar.

Ketika Konvensyen PR ke-3 di Alor Star baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menyatakan beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu bakal jatuh ke tangan PR.

Selain itu di beberapa negeri seperti Melaka dan Johor di semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan mengalami lonjakan kerusi bagi membolehkan PR menguasai Putrajaya.

Ketika PRU-10 pada 1999, ekoran isu pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, orang-orang melayu bangun dan menolak kepimpinan Umno/BN. Kesannya pembangkang menguasai 42 (PAS-27, DAP-10, ADIL(PKR)-5) kerusi parlimen.

Bimbang dengan kebangkitan Rakyat tersebut, akhirnya Dr M terpaksa berundur setelah menerima maklumat dari jentera pilihanraya pusat dan pihak risikan polis. Susulan maklumat tersebut akhirnya beliau menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah.

RM1.077 Trilion Keluar Negara

Ketika berucap di Konvensyen PR ke-3 baru-baru ini, Pengerusi BERSIH 2.0 yang juga bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan menyarankan supaya PR berusaha membawa balik pulang USD291 billion (RM1.07 trilion) wang negara yang telah dibawa keluar dalam beberapa bulan kebelakngan ini.

Menurut Ambiga, usaha tersebut harus dilakukan sebagai tindakan terawal apabila PR berjaya menguasai Putrajaya kelak.

Katanya wang tersebut merupakan aset negara paling berharga yang telah diseludup keluar melalui pelbagai cara.

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas membuktikan bahawa terdapat segelintir rakyat yang berkepentingan telah dapat menghidu akan berlaku berubahan tompok pemerintahan negara selepas PRU akan datang.

Setakat ini tiada laporan yang menyatakan siapakah individu yang terlibat dalam pengkhianat terhadap aset negara tersebut.

Terpulanglah juga kepada pembaca untuk menafsirkan kedudukan kemudian.

Setakat ini Najib tidak memberi sebarang reaksi berhubung isu tersebut walaupun pelbagai pihak termasuk PR cuba mengenengahkan isu tersebut untuk di tangani.

Apa pun keadaannya, masanya akan tiba juga untuk menyaksikan kuasa rakyat akan meletakkan hakikat kebenaran. Kekalahan akan menjadikan Umno berada di ambang kiamat.

Waktu telah terlewat untuk Umno/BN memperbaiki apa yang telah dirosakkan. Yang ada hanya jalur waktu untuk menunggu detik kiamat tersebut untuk dihakimi rakyat.

Tuan Ibrahim: Hasan Ali Bukan Lagi Ahli PAS

SHAH ALAM, 17 JAN : Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali yang di pecat 8 Januari bebas untuk membuat sebarang kenyataan dan tindakan peribadi memandangkan beliau bukan lagi menjadi ahli PAS.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Hasan tidak mempunyai halangan melancarkan siri ceramahnya ke seluruh negara bagi mendedahkan kononnya terdapat kumpulan 'parasit' dalam PAS.

Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai satu tindakan pribadi kerana ia adalah diluar kawalan dan tanggungjawab parti.

"Kita berlapang dada untuk Hasan meneruskan ceramahnya, kerana beliau bukan lagi ahli PAS dan tidak ada kena-mengena dengan kepimpinan PAS.

"Terpulang kepada orang ramai untuk percaya atau tidak dengan dakwaannya itu, kita tidak boleh halang kerana jelas beliau bukan lagi Ahli PAS," katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim tidak menafikan hak Hasan Ali untuk membuat sebarang keputusan, dan pada masa sama perlembagaan PAS memperuntukkan ahli yang dipecat boleh merayu kepada Majlis Syura dalam tempoh 30 hari, namun terserah kepadanya untuk membuat keputusan.

Hingga ke saat ini Hasan di dakwa tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung pemecatan beliau. Tarikh rayuan tersebut berakhir 7 Februari depan.

Hasan pada sidang medianya semalam berkata, beliau akan mendedahkan kumpulan 'parasit' dalam PAS pada program ceramahnya ke seluruh negara, bermula dua minggu depan.

Hasan mendakwa, kumpulan itu memainkan peranan memesongkan PAS dari perjuangan Islam.

Hasan juga membayangkan, kumpulan berkenaan menduduki jawatan penting dalam parti dan antara lainnya mereka berjaya mengubah hala tuju PAS termasuk dalam isu pemecatan beliau daripada parti itu.

Ketika dihubungi TVSelangor, Tuan Ibrahim berkata, tidak pernah wujud kumpulan 'parasit' dalam kepimpinan PAS seperti yang didakwa bekas Exco Hal Ehwal Islam negeri Selangor itu.

Kenyataan Hasan tersebut juga dianggap tidak munasabah kerana sebarang keputusan parti perlu menerusi perbincangan dalam mesyuarat tertinggi.

"Kita ada majlis syura yang akan menentukan dasar parti dan perkara yang besar pula akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

"Jadi dakwaan yang mengatakan wujud kumpulan perosak itu antara punca beliau dipecat langsung tidak boleh diterima, kerana keputusan besar dalam parti adalah keputusan bersama bukannya keputusan antara kumpulan,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim berkata keghairahan media arus perdana mengambil kesempatan dengan mendampingi bekas ahli pembangkang sudah diramal.

Namun, bagi PAS, ia tidak menjejaskan perjalanan mereka untuk terus memberi fokus kepada pilihanraya yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Fenomena biasa, kalau beliau (Hasan) kritik PAS, media arus perdana akan membuat liputan, tidak ubah seperti apa yang berlaku kepada Zulkifli Nordin dan beberapa pemimpin lain ,"jelasnya.

Lynas akan bina tapak pembuangan sisa nadir bumi di Pahang


Chan Wei See

Sesungghnya Lynas merancang untuk mengitar semula dan mengkomersialkan sisa radioaktif nadir bumi, namun seandainya sisa radioaktif ini gagal dikitar semula sepenuhnya, maka Lynas akan mendapatkan sebidang tanah di negeri Pahang untuk membina tapak pembuangan sisa radioaktif, diletakkan di bawah pengawalan institusi (institutional control) selama 300 tahun.

Dalam laporan Lynas kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk mendapatkan lesen operasi sementara, seandainya syarikatnya gagal mengkomersialkan sisa buangan radioaktif yang diproses dan dikitar semula - setelah semua cara digunakan, maka Lynas akan mendapatkan sebidang tanah yang sesuai di negeri Pahang untuk membina kemudahan pengendalian sisa radioaktif kekal (permanent disposal facility).

Menurut laporan, "Ini untuk memastikan pengendalian yang selamat dan pembuang sisa radioaktif dalam masa 300 tahun di bawah pengawalan institusi." Laporan juga menyebut, dalam tempoh 300 tahun itu, tapak pembuangan sisa radioaktif ini akan membina satu papan notis di situ, memberi maklumat terperinci mengenai operasi tapak itu, dan menghalang orang awam dari memasuki kawasan itu tanpa kebenaran.

Lynas belum mengenalpasti lokasi tapak pembuangan sisa radioaktif, namun menyebut bahawa lokasi itu akan mematuhi cadangan yang dikemukakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), mempertimbangkan faktor ciri-ciri hidrologikal, kedalaman air bawah tanah, ciri-ciri tanah, kegunaan air bawah tanah, aktiviti di atas permukaan bumi, risiko tsunami, populasi manusia, sumber mineral dan sebagainya.

Bagaimanapun, Lynas tidak menyatakan dengan jelas sama ada tanah ini diperuntukkan kerajaan negeri Pahang atau dibeli sendiri. Namun, laporan Lynas menyebut, untuk memastikan sumber kewangan yang mencukupi, syarikatnya akan membekalkan dana yang cukup untuk merobohkan kilang (bila tamat operasi), kerja pembersihan dan pembinaan tapak pembuangan sisa radioaktif.

Tapak pembuangan sisa radioaktif di Papan, setelah tamatnya operasi kilang Asian Rare Earth di Bukit Merah.

Menurut Lynas, penghitungan sekarang menganggarkan kos setinggi USD 25 juta, untuk pembinaan tapak pembuangan sisa radioaktif, pemeliharaan dan kos untuk merobohkan kilang selepas tamat operasinya.

Menurut laporan, ketika kilang pemprosesan nadir bumi beroperasi, sisa radioaktif akan disimpan buat sementara di perkarangan kilang (Residue Storage Facility, RSF). Kemudahan ini direka untuk menampung sisa buangan selama lima tahun. Apabila terlebih muatannya, maka sisa Water Leach Purification Solid (WLP) akan dibawa ke tapak pembuangan sisa kekal.

Apabila kilang pemprosesan nadir bumi berhenti operasi selepas 20 tahun, semua sisa pembuangan radioaktif akan diangkat ke tapak pembuangan sisa radioaktif yang kekal.

Laporan Lynas menegaskan, strategi pengendalian sisa pembuangan adalah, menjadikan Flue gas desulfurization Residue (FGD), Neutralization Underflow Solid (NUF), dan Water Leach Purification Solid (WLP) kepada Synthetic Gypsum, Magnesium Rich Gypsum dan Iron Phospho Gypsum.

Lynas mendakwa, kajian terkini menunjukkan FGD, NUF dan sebahagian besar WLP boleh dikomersialkan, hanya sebahagian kecil WLP perlu dibuang dengan menanamnya di tapak pembuangan sisa radioaktif kekal. Lynas berkata, seandainya situasi terburuk berlaku, iaitu WLP gagal dikitar semula untuk kegunaan lain, maka tapak pembuangan sisa kekal akan direka bina untuk sisa WLP yang dihasilkan semasa kilang pemprosesan nadir bumi ini beroperasi.

Carta dalam laporan Lynas menunjukkan, Lynas merancang untuk menjual FGD pada musim keempat tahun 2012, dan menjual FGD sepenuhnya pada tahun 2013. Kemudian, Lynas mungkin menghasilkan baja yang dibuat dengan FGD pada tahun 2014 hingga 2015, untuk pulangan yang lebih tinggi.

Untuk sisa NUF pula, Lynas merancang membina kilang untuk menghasilkan MgCaSO4 pada musim pertama tahun 2013, dan dijual ke Australia, Malaysia dan Indonesia, malah mula menghasilkan Carbon Mg Gypsum product dari tahun 2014 hingga 2015.

Untuk sisa WLP yang mengandungi radioaktif tinggi, Lynas merancang untuk menjalankan ujian penghasilan road base dan paver pada tahun 2012, malah akan menjalankan eksperimen untuk diaplikasikan pada tahun 2013, untuk membina jalan raya, paver dan sebagainya, seterusnya akan menjalankan eksperimen berulangan pada tahun 2014 dan 2015 - dan menghasilkan produk selepas itu.

Dokumen permohonan lesen peringkat pengendalian sementara daripada syarikat Lynas (M) Sdn. Bhd. (Lynas) kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), iaitu Radioactive Waste Management Plan dan Safety Case For Radioactive Waste Disposal telah dipamerkan untuk mengutip pandangan umum di empat lokasi, dari 3 hingga 17 Januari 2012.

Empat lokasi ini adalah Ibu Pejabat AELB, Dengkil Selangor; pejabat sementara LPTA di tapak Lynas Gebeng, Kuantan, Pahang; Pejabat AELB Cawangan Timur, Kemaman, Terengganu dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disunting dan diterjemah dari teks asal, yang disiarkan pada 5 Januari 2012.

Homoseksual: Jangan terpengaruh dakyah dan fitnah jahat media UMNO

Homoseksual: Jangan terpengaruh dakyah dan fitnah jahat media UMNO

Ahmad Kasim

Seusai pembebasan Anwar Ibrahim dari pertuduhan fitnah pada 9 Januari 2012 yang lalu, media yang dikongkong UMNO terus memintal fitnah baru demi menjejaskan wibawa beliau sebagai seorang muslim, rakyat Malaysia dan pemimpin Pakatan Rakyat. Beberapa hari kebelakangan ini, Anwar Ibrahim dilontar pula dengan tohmahan bahawa beliau mahu menghalalkan homoseksualiti (hubungan sejenis) di negara ini.

Fitnah yang dipintal media UMNO seperti Utusan Malaysia itu kononnya dipetik dari jawapan Anwar Ibrahim (gambar kanan) ketika ditanya dalam satu wawancara BBC (British Broadcasting Corporation). Sekiranya diteliti jawapan Anwar Ibrahim itu, ternyata beliau tidak menyebut berhasrat mahu menghalalkan homoseksualiti di negara ini. Saya nukilkan petikan jawapan Anwar Ibrahim tersebut bersama pautan rakaman wawancara BBC itu:

http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-16531714

"We will have to review archaic laws ...and we, muslims and non muslims generally believe and committed to support the sanctity of marriage between man and woman in Malaysia.

..but we should not be seen as punitive and consider the archaic laws as relevant. We need to review them. We do not promote homosexuality in public sphere and domain. We will not make apologies towards that. I think to use this sort of legislation to be punitive, punish innocent people cannot be condoned and be tolerated
."

Berdasarkan jawapan dan petikan itu, pertamanya, ditegaskan sebagai orang Islam, kita menjunjung kesucian hubungan perkahwinan antara lelaki dan perempuan. Anwar Ibrahim tegas menyatakan bahawa beliau, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak menganjurkan, membenarkan ataupun menghalalkan homoseksualiti (hubungan sejenis). Walau bagaimanapun beliau berpendirian undang-undang lapuk yang tidak berlandaskan syarak serta menzalimi rakyat Malaysia wajar disemak. Undang-undang lapuk dan zalim malah boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kekuasaan untuk menghalalkan fitnah jelik ke atas sesiapapun.

Saya ingin menyeru supaya semua pihak merujuk kenyataan atau jawapan tersebut dan tidak dipengaruhi dakyah jahat media UMNO. Justeru saya juga menyeru agar jangan sesiapapun bersekongkol subahat memintal fitnah ini kononnya atas nama perjuangan Islam. Perjuangan Islam tidak sama sekali membenarkan fitnah sedemikian.

*Kenyataan media oleh HJ Ahmad bin Kasim (gambar kiri) selaku ahli parlimen Kuala Kedah, dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat.

Pameran Kartun Zunar di London pada Februari 2012

Pameran Kartun Zunar di London pada Februari 2012

Zunar

Adalah diumumkan saya akan mengadakan pameran kartun-kartun politik di London pada bulan Februari depan bertemakan "To Fight Through Cartoon" (Berjuang Melalui Kartun) dan akan berlangsung selama sebulan di situ.

Sebanyak 80 karya kartun yang menyentuh isu politik, rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi di Malaysia akan dipamerkan. Antara isu yang difokus ialah Konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, isu rasuah dalam skandal Scorpene, Isu pembunuhan Altantuya, Isu NFL, Isu isteri Perdana Menteri, BERSIH, Sarawak dan sebagainya. Ia dianjurkan oleh sebuah NGO antarabangsa, Artikel 19 yang memperjuangkan kebebasan bersuara serta informasi dan dibantu oleh rakyat Malaysia di United Kingdom yang bergabung di bawah Rakan Pakatan Rakyat.

Majlis pelancaran akan diadakan di venue pameran tersebut iaitu di Free Word Centre, 60 Farringdon Road pada 15 Februari dan akan dirasmikan oleh pengasas Sarawak Report dan Radio Free Sarawak Clare Rewcastle Brown. Selain saya sendiri, turut berucap di majlis tersebut nanti ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM), Malik Imtiaz Sarwar.

Menurut surat jemputan oleh pihak penganjur, tiket untuk majlis tersebut adalah terhad dan ia berdasarkan siapa dulu dia dapat dan boleh ditempah dari sekarang hingga 3 Februari. Kepada orang ramai, terutama yang tinggal di United Kingdom boleh menempah tiket melalui link ini http://article19zunar.eventbrite.com/ atau email kepada sonya@article19.org.

Tema "Berjuang Melalui Kartun" dipilih kerana kartun-kartun politik saya mendapat kekangan dan tekanan dari pemerintah Malaysia. Pada Julai 2010, kerajaan mengharamkan tujuh buku-buku kartun saya dengan alasan kandungannya menjejas ketenteraman awam. Selain tu, pejabat saya di Brickfeilds, Kuala Lumpur sering diserbu pihak berkuasa dan buku-buku saya selalu dirampas.

Kilang pencetak diugut agar tidak mencetak buku saya atau kehilangan lesen dan kedai-kedai di seluruh negara juga diberi amaran agar tidak menjual buku-buku saya. Pada September 2010, saya ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap di bawah Akta Hasutan namun dibebaskan atas arahan mahkamah.

Saya sekarang sedang menyaman kerajaan atas tangkapan tersebut yang pada pandangan saya salah dari segi undang-undang dan kes akan mula didengar pada 18 Januari depan di mahkamah Kuala Lumpur. To Fight Through Cartoon (Berjuang Melalui Kartun) adalah pameran solo saya pertama saya sepanjang 30 tahun berkarya. Sebelum ini pada akhir tahun lepas, saya juga mengadakan dua pameran bersama artis-artis yang lain di Bilbao, Sepanyol.

Rujukan:
*Pada Julai tahun lepas, Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa (CRNI) memberi anugerah "Courage in Editorial Cartooning" (Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial) kepada Zunar.
*Pada Oktober tahun lepas, Zunar dipilih menyertai program tiga bulan "Seni dan Penapisan" anjuran Yayasan BilbaoArte Sepanyol.

*Zunar (gambar kiri) atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ialah kartunis politik Malaysia.