Liputan 901 di akhbar Cina: Bukti sistem kehakiman bebas?
Lim Hong Siang
Kesemua akhbar Cina menonjolkan "Anwar tidak bersalah" sebagai tajuk utama di muka depan pada hari ini, dengan Sin Chew Daily memperuntukkan setengah dari muka depannya untuk berita "PM: Sistem Kehakiman Bebas". Sementara China Press memperuntukkan setengah dari muka depannya untuk kejadian letupan di luar mahkamah.
Liputan luas dengan gambar berwarna diberikan dalam akhbar bahasa Cina untuk keputusan kes liwat II yang membabitkan Anwar Ibrahim dan kejadian di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam. Kronologi kes liwat II, reaksi pemimpin dan sebagainya turut menyarat dada akhbar bahasa Cina.
Tidak harus bermula sebermulanya
Wacana dalam akhbar Cina lebih cenderung untuk mengganggap bahawa kes liwat II ini tidak harus bermula. Justeru itu, keputusan ini dianggap sesuatu yang positif. Misalnya, dalam tulisan kolumnya, Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Tay Tian Yan menganggap seandainya tempoh 3.5 tahun ini digunakan untuk muhasabah dalam parti dan reformasi kerajaan, maka parti pemerintah mungkin meraih lebih sokongan dan sanjungan. Namun, menggunakan seluruh tenaga dan usaha untuk kes liwat, telah membuatkan keadaan menjadi teruk.
Meskipun begitu, tiada kritikan ditujukan secara langsung kepada Najib Razak, pemimpin UMNO yang mengadakan pertemuan dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan, sebelum Saiful membuat laporan polis bahawa dirinya diliwat. Malah, keputusan bahawa Anwar Ibrahim tidak bersalah ini cuba ditonjolkan dari dimensi "kebebasan sistem kehakiman".
Sin Chew Daily (gambar kiri) misalnya, tonjolkan kenyataan Najib menyanggah "tuduhan bahawa sistem kehakiman tidak bebas". Satu analisa di China Press pula mentafsir bahawa pertarungan politik selepas ini bakal menyaksikan pertembungan terus antara Najib dengan Anwar. Satu lagi analisa di China Press menganggap keputusan ini membuktikan bahawa mahkamah tidak dikawal Barisan Nasional, lantas rakyat harus yakin dengan sistem kehakiman negara.
Ironinya, meskipun keputusan ini cuba ditampilkan dengan persepsi "mahkamah bebas daripada manipulasi Barisan Nasional", namun ia gagal menyelindung pandangan pengamal media ini di sebaliknya. Misalnya, Guang Ming Daily membubuh tajuk besarnya "Di luar dugaan" - jelas menunjukkan bahawa pengamal media sendiri menjangka Anwar akan dipenjarakan. Mereka mungkin berbeza pendapat dalam isu Anwar bersalah atau tidak, tetapi agak sebulat suara untuk menyetujui bahawa kes liwat II adalah kes politik.
Meramalkan tarikh PRU 13
Rata-rata menganggap keputusan ini memberi kesan positif terhadap Pakatan Rakyat, pada masa yang sama menampilkan BN sebagai kerajaan yang mahu berubah, kerana tidak campur tangan dalam sistem kehakiman. Tay Tian Yan misalnya, menganggap reputasi Anwar memuncak semula lantaran keputusan semalam, malah PKR yang dipimpinnya turut disuntik semangat.
Tay Tian Yan menambah, Pakatan Rakyat telah menjadi benteng Anwar kali ini, dan hubungan PR semestinya lebih kukuh selepas mengharungi krisis ini. Malah adalah sesuatu yang ironi apabila segala-gala yang dilakukan parti pemerintah ini membantu PR sebaliknya. Tay Tian Yan menyimpulkan bahawa kedua-dua pihak harus jelas dengan senario politik yang terkini, dan jangan membazirkan sumber dalam perjuangan yang tak tentu pasal.
Seorang lagi Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Lim Sue Goan dalam artikel kolumnya hari ini mengulas, dua ramalan tentang tarikh PRU 13 lantaran keputusan ini. Satu, PRU 13 akan diadakan secepat mungkin kerana PR tiada isu untuk mengerah sentimen dan simpati rakyat; keduanya, keputusan ini mencelarukan langkah percaturan BN, dan tarikh PRU 13 mungkin dilewatkan.
*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media bahasa Cina. Media yang dirujuk bertarikh 10 Januari 2012, berkisar pada keputusan mahkamah berhubung Kes Liwat II.