Berpuluh-ribu Banjiri Sambutan Tahun Baru Bercirikan Islam Selangor

SHAH ALAM, 1 JAN: Program Jom Santai Bersama GeMS kelolaan Kerajaan Negeri sempena sambutan tahun baru 2012 di Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 100,000 orang terutama golongan muda.

Program GeMS - Generasi Idaman Selangor, itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai. Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ianya memberi nafas baru kepada penganjuran majlis.

Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru dan artis popular berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.

Antara celebriti agama yang hadir adalah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Akhil Hay, Imam Muda Asyraf dan Syed Hisham dan artis popular, Sham dan Dakmie Kamikaze, Shahir dan Zizan Raja Lawak.

Malah detik sambutan tahun baru ketika jam tepat 12 tengah malam amat bermakna dalam suasana baru apabila semua hadirin termasuk tetamu kehormat, Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali, Dr Yaakop Sapari dan Rodziah Ismail serta Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad bersama-sama mengalunkan nyanyian memuji kebesaran Allah dengan lagu 'Asma Ul Husna'. Ini disusuli doa penutup oleh Ustaz Azhar.

Program malam tadi bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan Forum Maghrib dihoskan Ustaz Syed Hisham dan Asraf sebagai moderator dikuti solat Isyak berjemaah.

Ceramah Perdana menampilkan Ustaz Azhar dan Zizan mendapat sambutan hebat orang ramai kerana penyampaian ceramah agama secara santai dan lawak menerusi sesi soal jawab agama.

Persembahan artis seperti Sham dan Dakmie Kamikaze, Shahir dan Ustaz Akhil Hay dengan dengan lagu moden, nasyid dan bertema keagamaan sebelum jam 12 tengah malam turut menghiburkan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas majlis berkata Kerajaan Negeri mempraktikkan pendekatan itu kerana menyedari dan memahami akan minat dan citarasa golongan muda yang menyukai hiburan dan selebriti muda.

Dengan memasukkan elemen hiburan, katanya, pihaknya turut menyelitkan unsur keagamaan sebagai pendidikan supaya ianya berjalan serentak serta dapat diterima semua pengunjung yang hadir.

Katanya, berdasarkan sambutan diterima, pihaknya berpuas hati terutama kehadiran golongan muda sebagai golongan majoriti dalam program berkenaan.

"Ini adalah antara sebahagian daripada program anti- zina jadi kalau Kerajan Negeri tidak menguruskan keperluan, minat, citarasa, ciri-ciri orang muda itu kepada program yang bersifat positif maka mereka akan tertarik kepada program yang negatif dan seterusnya terjebak di dalam gejala sosial.

 Jadi bila kita buatkan satu program seperti ini ianya agak santai, agak relaks dan mereka datang bersama keluarga dengan majoritinya orang muda maka mereka mendapat pendidikan yang membangunkan mereka dan mereka faham apa ertinya sambutan tahun baru," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memang menjangkakan saingan daripada pihak lain yang turut menganjurkan program sambutan tahun baru dan pihaknya berbesar hati dengan sambutan hebat diterima terhadap majlis itu dan ianya terbukti berjaya.

"Saya rasa ini di antara tanda positif sokongan kepada Kerajaan Selangor, keyakinan kepada program yang dianjurkan oleh Kerajaan Selangor yang dilihat bersifat pembangunan, membangunkan manusia," katanya lagi.




Flash Mob V for Vendetta Turun 'Menakluk' Dataran Merdeka






KUALA LUMPUR 1 JAN : Sambutan Tahun Baru di Dataran Merdeka di sini semalam digegarkan dengan "flash mob" atau demonstrasi kilat yang menuntut hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara yang semakin dikekang oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Flash Mob yang bertemakan elemen-elemen dari filem terkenal "V for Vendetta" itu dihadiri puluhan anak muda berbilang kaum dan latar belakang daripada Gerakan "Occupy Dataran".

Mereka berjaya mencuri perhatian hadirin yang membanjiri Dataran Merdeka bagi sambutan Tahun Baru.

Peserta flash mob itu menarik perhatian ramai dengan memakai topeng putih "Guy Fawkes" yang dipopularkan filem "V for Vendetta" sambil bersorak dan menghasilkan bunyi gendang yang kuat.

Mereka juga membawa kain rentang dengan perkataan "Occupy Dataran untuk Merdeka" yang diilhamkan oleh gerakan "Occupy" yang berlaku seluruh dunia.

Gerakan "Occupy" mengajak masyarakat awam supaya mengambil-balik ruang-ruang dan institusi awam yang telah ditakluk dan digunakan oleh golongan elit bagi memperkayakan diri mereka sambil menidas golongan bawahan.

Flashmob "V For Vendetta" berjaya mengalihkan perhatian orang ramai yang sedang menyaksikan konsert percuma di dataran dengan melepaskan beberapa butir "signal flare" sebelum acara bunga api bermula.

Akan tetapi, pihak polis menahan tiga daripada peserta flash mob itu dan merampas kain rentang mereka. Ketiga-tiga pemuda itu dibawa ke balai polis bergerak.

Mereka kemudiannya dibebaskan setelah rakan-rakan dari "Occupy Dataran" berjaya berunding dengan polis.

Pada masa yang sama, sebuah kumpulan lain yang dianggotai mahasiswa juga mengadakan flash mob mereka tersendiri. Berbeza dengan kumpulan "Occupy Dataran", kumpulan ini melaungkan perasaan syukur dan rasa kasih sayang kepada Malaysia, Islam dan Rasul.

 Seorang peserta flashmob "V for Vendetta" berkata tindakan mereka adalah untuk menumpukan perhatian rakyat terhadap Akta Undang-undang Perhimpunan Aman yang baru diluluskan Parlimen.

Walaupun Akta tersebut dikritik oleh gerakan sivil dan Majlis Peguam sebagai lebih represif daripada undang-undang yang sebelumnya, masyarakat umum masih tidak sedar akan implikasi akta tersebut ke atas mereka.

"Kita sebagai rakyat di dalam mana-mana negara, kerajaan tidak akan memberi kebebasan dengan percuma. Rakyat kena tuntut kebebasan itu dan kita dah lama leka. Kita biar kerajaan ini buat undang-undang yang menyekat hak kita satu persatu.

"Dah sampai masa kita tuntut balik hak kita sebagai rakyat. Kebebasan kita untuk bersuara, kebebasan kita untuk berhimpun, kebebasan kita untuk berpersatuan.Kita perlu luaskan ruang demokrasi kita dan ia bergantung kepada kita rakyat kena buat itu. Kita perlu turun, dan luangkan dan tunjukan apa yang kita nak. Dan hari ini kita buat benda tu."

Ustaz Azhar Masuk Raja Lawak?





SHAH ALAM, 1 JAN - Adakah pendakwah dan penceramah agama, Ustaz Azhar Idrus akan berganding dengan pelawak, pelakun dan pengacara terkenal, Zizan dalam Raja Lawak musim keenam pada tahun ini?

Ini satu soalan yang diajukan kepada Azhar semasa beliau mengendalikan sesi soal jawab agama dalam program Jom Santai Bersama GeMS sempena sambutan tahun baru 2012 di Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi.

Saksikan jawapan Azhar di dalam klip di bawah.

Hadiah tahun baru 2012: Keganasan polis terhadap mahasiswa

Hadiah tahun baru 2012: Keganasan polis terhadap mahasiswa(AMIN ISKANDAR)






Tahun baru 2012 dibuka dengan keganasan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) terhadap mahasiswa yang berhimpun di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Ramai yang ditahan dan cedera dibelasah anggota PDRM.


Baca berita tentang keganasan PDM terhadap mahasiswa disini.


Dahulu di Mesir, regim Hosni Mubarak juga menggunakan aparat negara seperti polis dan tentera untuk mengganasi rakyat yang menentangnya. Apa terjadi kepada Mubarak? Terhumban dalam tong sampah sejarah.


Jeneral Chun Doo Hwan juga menggunakan tentera untuk membunuh mahasiswa dalam kebangkitan mahasiswa di Gwangju, Korea Selatan pada 18 May 1980. Apa terjadi kepada Jeneral Chun Doo Hwang? Tersungkur dalam tong sampah sejarah.


Jeneral Haji Soeharto menggunakan kekuatan militer (tentera) untuk mengodam mahasiswa dan gerakan rakyat yang menentangnya. Apa terjadi kepada Jeneral Haji Soeharto? Dibenamkan ke dalam tong sampah sejarah.


Datuk Seri Haji Najib Razak menggunakan PDRM untuk mengganasi mahasiswa yang berhimpun di UPSI. Apa bakal terjadi kepada Datuk Seri Hajin Najib Razak? Tepuk dada anda, tanyalah selera.