Perhimpunan Agung UMNO 2011 dan Harapan

Perhimpunan Agung UMNO 2011 dan Harapan

Mohd Asri Zainul Abidin

Saya pulang ke Malaysia untuk seketika. Jadi panel forum dan tetamu jemputan sempena Persidangan Agung UMNO 2011. Saya rasa wajar saya hadir, sebab Muktamar PAS yang lepas saya telah hadir sebagai tetamu. Menghadiri, mendengar secara langsung, merasai suasana, bertemu sahabat handai yang menjadi pimpinan parti-parti tersebut mempunyai "sentimental values" yang tersendiri.

Saya berterima kasih kepada kedua-dua parti tersebut yang masih sudi menerima saya sebagai sahabat. Bahkan pada 27 November baru-baru ini saya juga dijemput oleh PKR untuk memberikan ucaptama Maal Hijrah sempena Mesyuarat Agung mereka. Namun saya tidak dapat hadir atas faktor masa. DAP juga pada tahun 2008 pernah menjemput saya semasa mensyuarat agung mereka untuk memberikan syarahan khas. Masa itu saya juga tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

Secara umumnya, saya rasa parti-parti politik di Malaysia masih lagi mempunyai ruangan untuk pandangan pihak luar parti yang kadang-kala berbeza di sana-sini. Juga, mungkin saya boleh anggap itu sebagai satu pengiktirafan kepada pihak ketiga yang tidak terikat dengan parti tertentu. Bukan pengiktirafan peribadi, tetapi untuk semua pihak yang "sealiran" di sudut ketidakterikatan dengan parti tertentu.

Third Force

Hal ini memang wajar, atas banyak sebab. Antaranya; pihak ketika atau "third force" dalam negara ini bertambah meningkat. Golongan yang tidak terikat dengan lambang parti mungkin melebihi 65 peratus dalam negara ini. Mereka ini biasanya terdiri dari golongan yang "mesra" dengan dunia teknologi maklumat yang pelbagai dewasa ini.

Biasanya mereka terdiri dalam kalangan golongan muda yang sukar untuk digula-gulakan, atau diperbodohkan di segi maklumat. Sekeras mana regim-regim Arab pun telah tergugat dan tumbang akibat ledakan dunia komunikasi dan maklumat moden ini. Keadaan ini nampaknya diakui oleh ucapan Presiden UMNO Najib Razak dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin dalam ucapan mereka di perhimpunan agung ini.

Saya melihat suasana Perhimpunan UMNO kali ini ada "ketegangan perasaan" memandangkan pilihanraya ke-13 sudah hampir. Isyarat dalam banyak ucapan memberi tanda jika UMNO gagal kembali menawan hati rakyat, tidak mustahil untuk berlakunya pertukaran kerajaan pusat.

Kebimbangan itu dilahirkan samada untuk menjadikan ahli-ahli UMNO lebih bersungguh, ataupun sememang ada isyarat "merah" yang telah dilaporkan oleh jentera-jentera parti tersebut. Cumanya, saya dapati penulis ucapan Presiden kurang kemas dalam menyampaikan mesej sebelum pilihanraya itu. Tidak dari segi bahasa, tidak juga kekemasan di sudut isinya. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih mantap daripada itu.

Harapan

Dalam artikel saya yang lepas saya telah sentuh satu faktor terpenting yang mempengaruhi seseorang yang berakal dalam mengundi. Faktor itu perlu disedari oleh semua parti. Faktor itu ialah "harapan". Seseorang yang berakal akan mengundi atau memilih parti yang paling dapat memberikan "harapan" sebagai kerajaan yang akan memerintah.

Ini kerana politik adalah soal pengurusan kehidupan. Kita semua ini hidup atas "harapan" yang ada dalam jiwa kita. Harapan terhadap masa depan diri sendiri, atau keluarga atau sesiapa yang kita cinta dan sayang menyebabkan kita terus berjuang untuk hidup. Bahkan, sehingga perjuangan kita merebut keredhaan Allah juga adalah atas harapan wujudnya rahmat Allah yang luas, keampunan dan syurga yang dijanjikan. Maka agama menyuburkan harapan dalam jiwa insan. Para penyampai ajaran agama disuruh menanamkan harapan dalam jiwa setiap manusia. Ini jelas menerusi firman Allah: (maksudnya)

Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Zumar: 53).

Justeru, sesiapa yang menyebabkan manusia putus harapan terhadap Tuhan maka dia akan dihukum. Dalam konteks itu Nabi s.a.w bersabda:

“Jika seseorang berkata: binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa” (Riwayat Muslim).


Maksud jika dia menyatakan bahawa sudah tiada rahmat atau keampunan untuk orang lain, maka dialah yang paling jauh dari rahmat dan keampunan. Ini kerana, apabila manusia putus asa dari rahmat Allah maka dia akan terus menjadi pemaksiat atau penderhaka kepada Allah. Apa lagi yang hendak dilakukan apabila sudah tiada ruang keampunan dan kerahmatan melainkan meneruskan hidup "menikmati" dosa. Maka, sesiapa yang menyebabkan orang putus asa, dia amat "celaka". Segala kerosakan akan berlaku akibat putus asa tersebut.

Dalam kehidupan duniawi, sesiapa putus harapan maka dia akan putus asa. Sesiapa yang putus asa sanggup melakukan apa sahaja bagi menamatkan kehidupan, atau menghidupkan harapan yang baru. Jangan hairan jika orang yang putus asa itu membunuh diri, atau meletupkan diri bersama orang lain, ataupun melakukan kerosakan yang dahsyat. Tiada apa yang hendak dibimbangkan lagi. Tiada apa yang hendak ditakutkan lagi. Itulah yang akan terjadi akibat putus harapan.

Harapan Politik

Dalam politik itulah kuncinya. Mana-mana pemerintah yang menyebabkan rakyat putus asa maka segalanya mungkin berlaku. Rakyat Arab yang melakukan "Arab Spring" yang sanggup mati ataupun hancur negaranya hanyalah berpunca dari putus harapan. Walaupun kerajaan yang memerintah mereka memberitahu tentang bahaya tindakan mereka, namun apa yang hendak mereka endahkan.

Mereka sudah putus harapan. Sekurang-kurang dengan tindakan mereka yang mungkin dilihat lebih merbahaya bagi orang lain, tapi bagi mereka mungkin menghidupkan harapan baru. Bahaya atau lebih bahaya atau kurang bahaya hanyalah sama bagi sesiapa yang sudah tiada harapan.

Maka dalam pemilihan politik ataupun pilihanraya kuncinya "harapan". Jika sesuatu kerajaan menguburkan harapan rakyat, maka kerajaan itu juga akan terkubur. Jika dia dapat menghidupkan harapan, maka kerajaan itu akan terus segar dan disokong.

Maka itu sebabnya Abdullah Ahmad Badawi semasa awal pemerintahannya memenangi pilihanraya dengan begitu besar dalam sejarah UMNO, sebab harapan kepadanya semasa itu begitu besar. Namun, selepas beberapa tahun memerintah, harapan itu makin hancur, maka pada pilihanraya berikutnya tsunami politik pun berlaku.

Apabila Najib Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, maka beliau berusaha menghidupkan semula harapan yang makin pudar terhadap UMNO. Cumanya, dalam menghidupkan harapan di sudut tertentu, kadang-kala dibunuh pula harapan yang lain atau oleh pihak yang lain. Dalam UMNO sendiri ada penghidup dan pembunuh harapan.

Kemudian, perkataan "harapan" itu sendiri begitu luas dan sangat relative. Harapan rakyat setiap negara, generasi dan kumpulan itu berbeza. Kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang dapat menghidupkan setiap harapan ini. Parti politik yang gagal mengenali harapan rakyat, ia adalah politik yang tidak relevan untuk berkuasa atau dipilih. Kerencaman harapan itu memerlukan ketangkasan politik untuk mengenali dan berinteraksi dengannya.

Persaingan Harapan

Perbezaan harapan itu sangat penting untuk dikenali. Dalam negara seperti Malaysia yang sudah maju banyak langkah ke hadapan, harapannya bukan lagi seperti negara-negara miskin yang mengharapkan makanan dan tempat perlindungan untuk meneruskan hidup. Bantuan wang dalam sampul, beras dalam kampit, gula dan teh yang dihulurkan oleh wakil rakyat bukan lagi menjadi harapan dalam banyak keadaan di negara seperti kita.

Ramai yang sudah cukup dan melebihi cukup di sudut itu. Harapan mereka mungkin beralih kepada hak-hak kerakyatan yang lain seperti kebebasan berpolitik, bersuara, kerajaan yang cekap dan telus, kesamarataan hak dan pelbagai lagi. Inilah kesan globalisasi.

Mereka akan bandingkan diri mereka dengan tempat lain yang lebih baik. Mereka hendakkan yang terbaik untuk mereka. Dalam era ini, jangan salah percaturan bahawa apabila rakyat cukup makan, maka mereka pun akan diam. Jika tidak, masakan negara mewah seperti Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain juga menghadapi ancaman kebangkitan rakyat. Semuanya, kerana harapan yang lebih besar berkembang selari dengan perkembangan sesebuah negara.

Dalam negara kita, persaingannya ialah persaingan siapakah yang paling dapat memberikan harapan kepada rakyat. Mungkin rakyat belum putus harapan, tetapi mereka meneliti siapakah yang paling dapat memenuhi harapan. Dengan rekod hampir tujuh dekad memerintah, dengan pelbagai jasa dan juga isu-isu yang mencontengi jasa, apakah UMNO masih menjadi harapan rakyat? Dengan perubahan "harapan" bagi jenerasi baru, apakah UMNO masih relevan untuk generasi kini menaruh "harapan"?

Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh UMNO pada hari ini. Rakyat yang mengundi parti lain, bukan semestinya bencikan UMNO, tapi mungkin merasakan harapan mereka berada di pihak yang lain. Rakyat yang membenci UMNO pula bukan semestinya menyokong parti lain, tetapi mungkin kerana merasakan UMNO telah menghancurkan harapan mereka. Rakyat yang menghargai jasa UMNO yang lalu bukan semestinya akan mengundi UMNO pada masa ini kerana mungkin "harapan" itu sudah berubah dalam persekitaran yang baru.

Inilah yang sepatutnya perwakilan UMNO kena fikirkan. Sejauh manakah sesebuah parti dapat menangani harapan rakyat, sejauh itulah ia akan menguasai undi. Jika UMNO terus berjaya, UMNO akan terus menang. Jika tidak, maka sebaliknya!

*Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ialah bekas mufti Perlis. Tulisan ini dipetik dari blog beliau.

Guan Eng: Pakatan beri harapan baru, Umno terus guna isu kaum

PERSIDANGAN UMNO MENGURUH DAN MEMAKI HAMUN PARTI LAIN, SEDANGKAN DALAMMASA YANG SAMA, TIDAK MENUNJUK PUN SEBARANG PERUBAHAN BAGI MEMBANTU BANGSA MELAYU, MALAH BANGSA LAIN.


SEDANGKAN PERSIDANGAN PARTI PAKATAN ANTARA LAINNYA MAHU MENEGAKKAN DEMOKRASI,MEMBANTU RAKYAT,PERSEKOLAHAN RAKYAT,MENINGKATKREDIBILI KAKITANGAN KERAJAAN,MEMBANTU MENGURANGKAN KOS HIDUP, DAN LAIN-LAINNYA...SEDANGKAN DALAM MASA PERHIMPUNAN UMNO....UMNO TERPALITDENGAN RASUAH YANGCUBA DI SEINDUNGKAN.


RAKYAT DAH CERDIK.......YANG TAK CERDIK TU HANYA UMNO....


KUALA LUMPUR, 4 Dis — Umno terus menggunakan “senjata perkauman” untuk mencari undi pilihan raya umum ke-13 selepas gagal meraih kelemahan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sebaliknya Lim (gambar) dengan merujuk kepada kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan-kerajaan negeri mereka kini sudah mampu menawarkan harapan baru kepada rakyat Malaysia.

“Kegagalan mencari kelemahan kepimpinan Pakatan Rakyat yang berteraskan integriti ini yang menyebabkan Umno menggunakan senjata perkauman dan fitnah termasuk ke atas anak pelajar pemimpin Pakatan Rakyat.

“Umno sebenarnya pengecut kerana rela memfitnah anak 15 tahun saya mencabul kehormatan seorang gadis dan saya telah bayar RM200,000 untuk menutup kes ini,” kata beliau lagi dengan siri ucapan dan kenyataan pada perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno 2011 yang berakhir semalam.

Menurut Lim, dalam Perhimpunan Agung Umno pula parti itu memainkan perkauman dengan menyasarkan DAP dan cuba menakutkan rakyat bahawa kononnya ia mahu merampas jawatan perdana menteri sedangkan ramai tahu bahawa hanya bertanding bilangan kerusi Parlimen yang paling kecil di kalangan komponen Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen manakala PAS 66 dan PKR pula di 97 kawasan.

“Macam mana sebuah parti yang hanya bertanding 47 kerusi boleh memimpin Pakatan Rakyat? Jelas ini adalah permainan perkauman bahaya untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan ke atas DAP dan bukan Melayu,” kata beliau pada Kongres DAP Wanita Pulau Pinang Pertama Di Red Rock Hotel, George Town hari ini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata walaupun pada awalnya DAP dan Pakatan Rakyat dilihat sebagai tidak berpengalaman untuk mentadbir kerajaan, namun kejayaan mentadbir Pulau Pinang serta di negeri Kedah, Selangor dan Kelantan telah menunjukkan bahawa “kita tidak berpengalaman tentang rasuah dan kronisme yang dibudayakan dalam parti pemerintah (BN) di peringkat kerajaan pusat.”

“Dalam aspek ini, wanita memainkan peranan penting untuk menggerakkan perubahan untuk Bersihkan Malaysia. Bagai seorang ibu kepada anaknya, wanita mampu memberikan harapan kepada generasi muda negara bahawa masa depan akan lebih baik kerana kita semua sanggup berusaha untuk menjamin kesejahteraan mereka,” katanya lagi.

“Lihatlah, sungguhpun kaum wanita lebih bermoral dan beretika serta jauhi diri daripada rasuah dan penyelewengan bila masuk Umno dan BN jadi lain pula. Sampai seorang Ahli Parlimen Umno (Datuk) Bung Moktar (Radin) yang suka menghina kaum wanita tidak boleh memandu dan yang lagi kesat dan lucah sehingga tidak senonoh untuk disebut di sini boleh menjadi hero kerana berani minta Menteri Pembangunan Wanita (Datuk Seri Shahrizat Jalil) itu letak jawatan,” katanya lagi.

Lim menambah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang martabatkan Wanita di Pulau Pinang, pemimpin wanita diberi peluang untuk berdiri sama tegak dengan pemimpin lelaki dalam menerajui tampuk pentadbiran negeri.

“Kita amat bangga kerana daripada daripada 148 Yang Dipertua dan Datuk Bandar di Malaysia, hanya terdapat empat orang wanita dan daripada empat ini, dua adalah di Pulau Pinang iaitu Yang Dipertua MPPP dan MPSP.

“Kita juga mempunyai Pegawai Daerah wanita yang pertama di Semenanjung Malaysia, dan wanita-wanita berkaliber sedang menjawat jawatan paling tinggi dalam badan-badan kerajaan negeri termasuk George Town World Heritage Incorporation, Penang Global Tourism dan InvestPenang,” katanya.

Lim juga berkata, rakyat mesti membersihkan Malaysia demi menghalang BN menang balik Pulau Pinang dan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-13, di mana akan dipimpin oleh puak rasis yang anggap bukan Melayu warganegara kelas ketiga dan Melayu mudah ditipu supaya rasuah yang bermaharajalela.

“Pada hari ini, negara dan negeri kita berada di ambang perubahan. Di satu pihak kita sedang menghadapi krisis moral di peringkat kerajaan persekutuan yang bukan sahaja diselubungi gejala rasuah berleluasa, malah dicemari dengan agenda serta retorik ketuanan dan perkauman.

“Pada hari ini, negara terus meruncing kerana pentadbiran yang tidak telus oleh Umno-BN. Kepimpinan yang lemah oleh Perdana Menteri Najib Razak menyebabkan agenda transformasi yang dilaung-laungkan oleh kerajaan persekutuan gagal sama sekali,” katanya lagi.

Malah kata beliau, laporan Indeks Persepsi Rasuah terbaru menunjukkan Malaysia merundum lagi, kali ini di tangga ke-60 daripada tangga ke-56 tahun lepas.

“Ini merupakan prestasi paling teruk dalam tempoh 10 tahun,” katanya lagi.

Katanya, DAP dan Pakatan Rakyat menawarkan satu harapan baru kepada rakyat Malaysia bahawanya negara tidak perlu menuju ke arah kemerosotan seperti masa kini.

“Kita di Pulau Pinang telah membuktikan bahawa, kerajaan yang cekap, amanah dan telus mampu membela kebajikan rakyat dan bukan setakat itu, malah mampu memacu ekonomi ke paras yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Puisi Jadi Senjata Bantah Undang-undang Perhimpunan Awam



KUALA LUMPUR, 3 DIS: Laungan 'Suara Rakyat' oleh anak muda bergema di Taman Suria KLCC menunjukkan isyarat jelas rakyat membantah undang-undang perhimpunan awam yang baru diluluskan Dewan Rakyat.

Hampir 250 orang hadir untuk bersama-sama mendengar deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said (Pak Samad) sebagai bantahan terhadap Undang-undang Perhimpunan Aman yang telah diluluskan minggu ini.

Pak Samad turut mendeklamasi tiga sajak yang bertajuk Merindu Ruang yang diciptakan khas untuk perhimpunan hari ini, "Unggun Bersih" dan "Jahit Bendera".

Walaupun berlaku sedikit kekocahan yang melibatkan pihak keselamatan KLCC namun tidak menghalang beberapa anak muda yang hadir untuk turut sama mendeklamasikan beberapa puisi yang ditulis Pak Samad dalam buku 'Puisi Jadi Senjata'.

Pak Samad yang ditemui selepas itu berkata, kehadiran beliau hanya untuk meredakan kekangan yang ada memandangkan kerajaan telah meluluskan Undang-undang tersebut.

Jelas beliau, sekiranya masyarakat terus dibiarkan dan ditakutkan dengan jajahan yang menyekat demokrasi, dikhuatiri mereka akan menjadi takut dan tidak berani untuk memberikan idea.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) menyebut perlu ada Game Change. Tapi pada saya Game Change itu kecil yg penting adalah Regime Change.

"Game Change adalah strategi sahaja. Regime change adalah lebih besar," katanya.

 Undang-undang yang diluluskan pada 27 November itu telah dikecam oleh Pakatan Rakyat dan aktivis masyarakat sivil kerana didakwa akan mengekang hak untuk berhimpun.

Ia dikatakan lebih teruk daripada Seksyen 27 Akta Polis sedia ada kerana ia mengenakan lebih banyak sekatan dan memberi kuasa budi bicara kepada pihak polis.

Selain itu, undang-undang itu juga memperuntukan denda RM20,000 terhadap peserta perhimpunan berbanding RM2,000 dalam Akta Polis.

Pas telah memfailkan semakan kehakiman bagi mengenalpasti adakah akta tersebut bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Dalam saman mereka, Pas menuntut perintah deklarasi bahawa Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri bertindak melebihi kuasa atau menyalahguna kuasa dengan membentangkan rang undang-undang itu.




Umno: Yang boleh memerintah hanyalah AKU, yang boleh menjamin kehidupan kamu adalah AKU… semuanya AKU! — Aspan Alias

Umno: Yang boleh memerintah hanyalah AKU, yang boleh menjamin kehidupan kamu adalah AKU… semuanya AKU! — Aspan Alias

December 03, 2011

3 DIS — Dalam kita menanti pilihanraya umum ke13 ini masing-masing terlalu sibuk untuk mengambil tempat sebagai calon terutamanya dalam Umno. Masing-masing yang berminat untuk di pilih menjadi calon bercakap yang mereka adalah “winnable candidate” dan pasti menang jika pucuk pimpinan sedar tentang kehadziran mereka dalam politik tempatan.

Dalam pada itu pimpinan tertinggi menggunakan segala tenaga dan fikiran untuk membelasah pihak yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka. Siapa sahaja yang tidak sebulu dengan Umno atau pun BN, bermacam-macam nama di gunakan mereka untuk melabelkan seseorang yang tidak bersama mereka.

Yang paling kuat sekali ialah TS Muhyiddin Yassin yang memanggil orang itu pembelot dan pengkhianat, seolah-olah mereka itu bukannya pengkhianat kepada bangsa dan negara mereka.

Elok kita kupas sedikit tentang isu pembelot ini. Siapakah pembelot itu dalam konteks politik dan kenegaraan? Apakah yang di lakukan oleh seseorang itu untuk boleh di labelkan sebagai pembelot? Definasi pembelot ini sangat luas jika dipandang dari sudut makronya.

Tetapi biar kita berbahas dalam konteks politik pilihanraya yang hampir tiba ini. Pembelot dan pengkhianat negara boleh ditafsirkan sebagai sesiapa yang melakukan kejahatan kepada negara. Apa pula perkara-perkara yang dianggap jahat yang dilakukan kepada negara? Perkara-perkaranya banyak.

Rasuah merupakan pembelotan terbesar kepada negara. Perasuah itu adalah pengkhianat, apatah lagi kalau dilakukan oleh mereka yang telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga harta benda rakyat melalui pilihanraya. Perbuatan rasuah itu adalah satu dosa besar kepada negara. Dalam kejadian rasuah ianya melibatkan wang rakyat dan sesiapa yang menerima wang rasuah itu, ia adalah satu kegiatan mencuri. Mencuri wang rakyat adalah pengkhianat negara.

Sesebuah negara yang baik, negara itu mesti berjuang untuk bersatu padu dan mempunyai tahap “national unity” yang tinggi. Jika pemimpin-pemimpin terutamanya yang sedang memerintah bercakap dan bertindak dengan tujuan untuk memecah belahkan rakyat bagi mengambil kesempatan untuk mendapat undi dan sokongan dalam kekeliruan itu, pemimpin-pemimpin seperti ini adalah pengkhianat negara.

Berkata-kata untuk memecah belahkan perhubungan baik di antara rakyat berbilang kaum itu merupakan pengkhianatan yang tidak terperi tahapnya kerana jika berlaku perpecahan itu yang bertanggungjawab adalah individu pemimpin atau parti yang melakukannya.

Mereka yang melaga-lagakan rakyat yang berlainan agama dan kepercayaan itu juga merupakan pengkhianatan kepada rakyat dan negara. Kegiatan ini sedang giat dilakukan oleh pihak tertentu untuk menaikkan suhu perpecahan di antara rakyat yang berlainan agama bagi kepentingan politik untuk mempertahankan kuasa. DAP yang hampir kesemua ahlinya beragama Buddha, di tuduh mengkristiankan orang Melayu Islam. Semuanya ini adalah pengkhianatan kepada negara kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan di antara rakyat yang berbilang agama dan kepercayaan.

Apa sahaja yang boleh mencetuskan keburukan kepada negara itu adalah pengkhianat negara. Tetapi yang lebih besar dosanya ialah apabila seseorang atau pemimpin mengaku dan berkata-kata dengan sombong yang segala-galanya yang ada dalam negara ini termasuk pembangunan dan rezki yang diterima rakyat itu adalah oleh kerana Umno.

Tidak ada Umno, negara langsung tidak ada apa-apa dan rakyat seolah-olah akan mati kebuluran. Kalau tidak ada Umno, Melayu akan telanjang tanpa pakaian. Kalau tidak ada Umno, tidak ada lebuhraya tetapi tidak di keluarkan pula betapa setengah yang berkuasa telah memeras rakyat melalui perjanjian concessionaire yang di rahsiakan dari rakyat dan di letakkan dalam akta rahsia resmi.

Katanya jika tidak ada Umno, rakyat kita tidak akan dapat pelajaran dan berbagai-bagai lagi dan semuanya ini adalah pengakuan yang mengambi alih kerja Tuhan Maha Esa.

Ramai sudah jemu dengan ungkapan takbur yang itu Umno buat, ini Umno buat, semuanya Umno buat dan boleh menjamin kehidupan kamu di dunia dan akhirat. Tetapi tidak pula mereka memberitahu berapa billion pemimpin kita kebas dalam pembelian peralatan senjata perang. Tidak juga mereka memberi tahu rakyat dalam projek MRT itu berapa billion individu-individu itu dapat dan keluarga mana yang kebas.

Tidak juga mereka memberitahu peneroka Felda berapa ratus juta beberapa orang besar di dalam Felda itu akan mendapat keuntungan peribadi dan banyak lagi isu-isu yang lain yang sangat menyakitkan kepada siapa yang tahu sikit-sikit tentang apa yang berlaku di sebalik tabir.

Yang di sebut hanyalah AKU… AKU dan akulah yang boleh menjamin hidup kamu semua. Bila bercakap hanya AKU, yang pandai… AKU, yang boleh memerintah… semuanya AKU.

Ketakburan pemimpin-pemimpin kita sudah sampai ke tahap yang tidak boleh dipertahankan lagi. I reckon all of them should go! AND they must go. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.