AMK : Bersihkan Pilihanraya Atau Bertempur Di Jalanraya

JOHOR BAHRU, 25 NOV : Tunaikan 8 tuntutan Bersih, atau hadapi ledakan tunjuk perasaan di jalanraya.

Begitu kata dua Angkatan Muda Keadilan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, meskipun pihak rejim baru-baru ini mengemukakan pelan memperkenalkan akta anti-Artikel 10 Perlembagaan yang lebih keras.

"Kalau mereka terus menghimpit kita, mereka masih mahu menipu pada pilihanraya, hanya ada satu sahaja pilihan iaitu lupakan pilihanraya....kita gunakan jalan raya!," sahut Shamsul disambut sorakan dari para perwakilan Kongres AMK ke-8.

Tunjuk perasaan merupakan jalan terakhir sekiranya kerajaan masih lagi berdolak-dalik atau menolak cadangan reformasi sistem pilihanraya negara yang diusulkan Bersih 2.0

Pada 9 Julai lalu, sekatan polis di setiap laluan masuk ke ibu negara gagal menyekat 30,000 rakyat menyertai himpunan Bersih 2.0.

Perarakan tersebut tercetus sebagai tanda protes rakyat terhadap sistem pilihanraya yang didakwa pincang, dan alasan demi alasan yang diberi untuk tidak melaksanakan penambahbaikan.

Tunjuk perasaan turut meletus di beberapa lokasi penting seperti Dataran Maybank, KLCC dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya 1,600 orang ditahan, ramai lagi yang cedera akibat dipukul polis bersenjata dan satu kehilangan nyawa.

"Pilihanraya kali ini adalah detik penting bagi kita kerana ia adalah persimpangan untuk kita," kata Shamsul kepada perwakilan yang hadir.

"Adakah kita mahu membiarkan Umno-BN terus menjadi tuan dinegara ini?" tegasnya lagi.

Sementara itu, jentera Angkatan Muda diarah bersiap-sedia untuk kerahan segera ke lapangan menanti pengumuman pembubaran Parlimen.

"Untuk kita menang pada pilihanraya kali ini, pastikan jentera setiap cabang dan negeri kuat untuk pilihanraya. Kita masih percaya pada saluran pilihanraya," kata Shamsul.

AMK Kepada Najib : Buktikan Iltizam Kerajaan Mansuh AUKU

JOHOR BAHRU, 25 NOV : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak harus membuktikan keikhlasan ikrarnya meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 dengan membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan kepada mahasiswa di Universiti Malaya.

Pindaan Seksyen 15 AUKU merupakan antara rangkaian janji yang diutarakan Najib dikala Malaysia bakal menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Sebelum ini, ramai pihak melahirkan kehampaan apabila 13 individu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri walaupun Najib telah berjanji akan memansuhkan akta tersebut.

"Saya akan buat permohonan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak supaya membenarkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di Universiti Malaya. Kita mahu lihat sama ada Perdana Menteri berani atau tidak," demikian desakan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

AUKU merupakan undang-undang kontroversi yang menghalang pembabitan mahasiswa dengan mana-mana parti politik. Dalam pilihanraya kampus tahun ini, kumpulan mahasiswa pro-Pakatan menumpaskan mahasiswa pro-Barisan Nasional dan menawan badan perwakilan pelajar di beberapa universiti tempatan.

"Selepas Kongres ini, saya akan meminta rakan AMK di seluruh negara agar bergerak masuk ke dalam kampus. Kita akan bermula dengan universiti yang paling tua, iaitu Universiti Malaya,"

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar sempena pembukaan rasmi Kongres Angkatan Muda keadilan di Pulai Springs Resort di Pulai sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul melahirkan kebimbangan dengan sikap kerajaan memusuhi mahasiswa dan cendekiawan kritikal seperti penggantungan Prof Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa dan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia yang didakwa di mahkamah kerana membuat tinjuan di pilihanraya kecil Hulu Selangor.

"Universiti tidak sekadar ladang ternakan ilmuwan muda yang taat membuta tuli kepada pemerintah," kata Shamsul.

"Seharusnya hujah dihadapi dengan hujah, bukan dengan kuasa. Betapa pemerintah tidak toleran dengan perbezaan," tambah beliau.

Mahasiswa UIA Adakan Demonstrasi Bantah Campurtangan Pihak Luar

GOMBAK, 25 NOV : Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendesak pihak luar supaya tidak campur tangan terhadap hal ehwal pentadbiran pusat pengajian itu ekoran beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini.

Bantahan secara aman itu disuarakan kira-kira 200 mahasiswa di perkarangan Masjid UIA selepas solat Jumaat di sini hari ini.

Penganjur protes itu mendakwa dalam tempoh kurang daripada 100 hari, telah berlaku sekurang-kurangnya empat peristiwa hitam yang mengecewakan dan menjatuhkan nama baik institusi tersebut pada pandangan umum.

Peristiwa tersebut adalah larangan Ustaz Azhar Idrus daripada berkuliah di dalam Masjid UIA, pembatalan penyertaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA dalam panel program Hujah TV9, pengantungan tugasan Prof Dr Aziz Bari dan terkini, pembatalan secara ad-hoc program "In Person With" dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dibatalkan secara ad-hoc.

Setiausaha Agung Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Akram Ikrami Taib Azamudden yang mengetuai demonstrasi itu mengesa pentadbiran universiti supaya tidak menyekat pimpinan mahasiswa, sebaliknya memberi kebebasan kepada mereka untuk bersuara.

Menurutnya, keadilan perlu ditegakkan supaya keamanan dapat diwujudkan khususnya dalam membina sahsiah mahasiswa untuk membentuk jati diri yang kukuh dan bersikap daya saing.

"Sebagai contoh, kita tuntut salah satu dari empat perkara itu bila mana pihak pentadbiran mengekang Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIA, Profesor Dr Abdul Aziz Bari daripada muncul di kaca televisyen untuk rancangan Hujjah.

Bagi kita ia menyekat soal intelektual mahasiswa. Kenapa tidak dibuka ruang seluasnya, khususnya untuk dia (Aziz) bersuara kerana dia berada di kerusi itu atas pilihan rakyat dan mahasiswa UIA secara keseluruhannya," tegasnya.

Sementara itu, pemimpin pro-mahasiswa UIA, Nurul Farhan Omar berkata, pengrurusan universiti itu sudah sampai ke tahap yang membimbangkan sehingga tidak wujud lagi dasar ketelusan.

"Selepas ini pihak pentadbiran perlulah bersifat lebih telus dalam pengurusan dan kami mengharapkan tiada campur tangan kerana kami mendukung mahasiswa boleh berakademik, bersuara untuk apa yang mereka percayai dan mahasiswa perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk membesar sebagai individu yang bakal memimpin negara suatu hari nanti."

A.Samad Said :Kongres Di Johor Simbolik Perubahan Pilihanraya



JOHOR BHARU, 25 NOV : Penganjuran Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Pemuda Keadilan kali ke-lapan di kubu kuat Umno ini disifatkan sebagai simbolik jelas bahawa negeri itu bakal ditakluki Pakatan Rakyat menerusi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, jelas Sasterawan Negara, A.Samad Said.

"Saya merasa aneh juga kenapa kongres ini dilakukan di Johor, setelah itu saya mula memahami ia adalah langkah simbolik.

"Sedia maklum Johor adalah akar kepada Umno, kehadiran Pakatan Rakyat khususnya Keadilan (PKR) adalah untuk mencabut akar itu,"katanya.

A.Samad Said ketika ditemui TVSelangor sejurus selepas mendeklamasikan sajak pada majlis perasmian kongres Nasional Wanita dan Angkatan Pemuda Keadilan di Pulai Springs Resort, disini hari ini.

Mengulas lanjut, A.Samad Said yang mesra dengan panggilan Pak Samad menzahirkan rasa senang hati diatas kesudian PKR menjemput dirinya.

A.Samad Said juga menyifatkan jolokan Sasterawan Rakyat yang diberikan oleh rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat keapdanya adalah satu penghargaan buat dirinya.

"Saya merasa senang, setidak-tidaknya saya dapat mengikuti apa yang sedang berkembangan pada hari ini, ini juga jelas adalah satu kesungguhan untuk terus bergerak dan melakukan pertukaran pemerintahan,"katanya.

Cabaran PKR menjelang PRU-13

Oleh: Zikri..


'Demi Rakyat' adalah tema utama Kongres Keadilan ke-8 yang akan berlangsung pada 25-27 November depan di Johor Bharu.
Tema ini juga akan menjadi manifesto Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Menurut Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Johor dipilih bukan sekadar untuk melengkapkan giliran negeri-negeri tetapi disebabkan negeri tersebut merupakan kubu kuat Umno.

"Kalau roboh kubu kuat (Umno), maknanya (peluang) di negeri-negeri lain akan jadi lebih cerah." jelas Saifuddin ketika sidang media baru-baru ini.

Sementera menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli parti itu memerlukan penambahan 15 kerusi tambahan selain mempertahankan 31 kerusi yang dikuasai semasa PRU-12 pada 2008 lalu. Secara keseluruhannya pada PRU-13 nanti PKR akan bertanding di 46 kerusi parlimen diseluruh negara.


Parti yang relevan

Sebagai sebuah parti politik yang diasas berdasarkan masyarakat pelbagai kaum, PKR dilihat sebagai sebuah parti yang paling relevan dengan tuntutan semasa dan masa depan.

Impian untuk mewujudkan sebuah parti berbilang kaum merupakan impian setiap perdana menteri sebelum ini tetapi gagal dilaksanakan. Ini disebabkan kemunculan parti-parti yang diwakili pemimpin tersebut diasas berdasarkan kaum-kaum tertentu.

Kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menggabungkan parti-parti pembangkang dalam sebuah entiti parti politik amat mengejudkan pemimpin-pemimpin Umno/BN.

Berasaskan komposisi politik semasa, parti politik yang berjaya menggabungan pelbagai kaum akan dilihat sebagai parti yang paling berjaya mendominasi kerajaan dimasa depan.

Diatas alasan asas inilah seluruh rakyat negara ini dapat menyaksikan fitnah dan tohmahan yang bertali arus di kenakan kepada Anwar. Matlamat serangan tersebut semata-mata untuk memberikan imej buruk terhadap Anwar dan parti yang di pimpinnya.

Penglibatan Anwar dalam pelbagai gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa atau kronisme ketika beliau berada dalam kerajaan tidak dapat dibuktikan secara berfakta.

Justeru tidak ada jalan lain bagi musuh-musuh Anwar selain fitnah dengan pelbagai kes yang membabitkan isu moral. Tujuan isu tersebut direka cipta bagi menghilangkan kredibiliti Anwar dimata rakyat.

Sistem Dua Parti

Kewujudan gabungan Pakatan Rakyat (PR) selepas PRU-12 telah membuka lambaran baru kepada landskap politik negara.

Sebelum ini PRU akan disertai pelbagai parti. BN yang diwakili 14 komponen parti terus unggul menjuarai setiap PRU.

Gabungan tiga parti pembangkang terbesar PKR,PAS dan DAP membentuk PR ternyata mencabar keegoan BN yang selama ini mendabik dada dengan penguasaan mereka dalam kerajaan.

Kata-kata " Hanya BN sahaja yang mampu memerintah negara dan memberi kemakmuran kepada seluruh rakyat" yang sering di ucapkan oleh pemimpin-pemimpin BN sudah dianggap sumbang.

Manakala Anwar pula telah diberi pengiktirafan oleh kepimpinan PAS dan DAP sebagai bakal perdana menteri sekiranya PR menguasai Putrajaya.

Ketokohan Ketua Umum PKR itu bukan sekadar kekuatan mental dan bakat kepimpinan beliau malah beliau dianggap sebagai penyatu kepada komponen pembangkang.

Cabaran kepada PKR

Sebagai sebuah organisasi politik yang mana pemimpinnya merupakan tokoh berwibawa serta bakal memimpin negara, PKR memerlukan mekanisma pengurusan dan strategi yang berkesan bagi memastikan kemenangan besar dalam PRU-13.

Kepimpinan parti perlu mengenal pasti setiap kelemahan yang ada terutamanya melibatkan jentera parti disemua peringkat dalam menghadapi PRU akan datang.

Begitu juga dengan saluran media terhad yang sedia ada perlu dimaksimakan sehingga seluruh pelusuk negara mendapat maklumat secukupnya.

Kejayaan pemerintahan negeri-negeri yang dikuasai PR dalam pengurusan dan pentadbiran berhemah seharusnya disebarkan seluas mungkin termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ini adalah antar aset yang harus diberikan kepada rakyat supaya rakyat dapat membuat penilaian dan perbandingan berhubung kemampuan PR sekiranya menguasai kerajaan.

Pemilihan calon

Selepas tamat PRU 12 dan PKR berjaya menguasai 31 kerusi parlimen. Setelah itu menyaksikan beberapa MP PKR seperti Zaharin Hashim (Bayan Baru), Gobalakrisnan (Padang Serai),
Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) bertindak sebagai pengkhianat kepada parti
Begitu juga beberapa calon Adun dari PKR seperti Mohamad Fairus Khairuddin, Osman Jailu, Radzhi Salleh, Jamaluddin Mohd Radzi dan beberapa tokoh lain Tan Tee Beng,Salahuddin Hashim serta beberapa lagi yang juga memilih jalan yang sama.

Isu lompat parti dikalangan pemimpin-pemimpin PKR telah memberi imej yang kurang baik berhubung jati diri perjuangan pemimpin-pemimpin di peringkat atasan. Berdasarkan isu tersebut akan memberikan persepsi yang buruk terhadap PKR.

Parti juga perlu banyak bermuhasabah mencari jalan penyelesai berhubung calon-calon yang akan di pilih. Bukan setakat itu persepsi parti-parti komponen lain terhadap calon-calon PKR yang akan menyertai PRU juga perlu dipertimbangan.

Parti-parti komponen PR seperti PAS dan DAP mungkin masih menaruh kebimbangan terhadap calon-calon dari PKR berdasarkan pengalaman 'lompat parti' yang turut mencemar nama baik parti-parti komponen lain.

Revolosi dalam AMK dan wanita

Memandangkan Kongres kali ini merupakan kongres yang kelapan justeru ahli-ahli serta seluruh rakyat perlu melihat suatu progres yang sihat dan menyeluruh dalam setiap lapisan dalam parti.

Sejauh manakah penglibatan pelbagi kaum dalam kepimpinan PKR yang selama ini dianggap sebagi sebuah parti yang diwakili oleh keahlian dari pelbagai kaum perlu diketengahkan.

Apakah jentera dan kepimpinan pemuda dan wanita berjaya menarik minat golongan muda dan profesional. Berdasarkan kajian mendapati 70% pengundi terdiri dari golongan ini yang berusia 21 -40 tahun.

Dalam ertikata lain nya golongan muda ini merupakan penentu kepada kerajaan selepas PRU-13 nanti.

Persoalannya apakah langkah dan tindakan yang telah diambil oleh kedua-dua sayap parti ini bagi memastikan generasi muda ini dan seterusnya memastikan kemenangan mutlak dalam PRU-13 nanti.

Menurut bancian oleh UMR baru-baru ini juga mendapati wanita berusia antara 20 -30 tahun juga lebih berminat menyertai BN berbanding PR juga harus disambut sebagai cabaran yang memerlukan tindakan serta merta.

Untuk itu jentera pemuda dan wanita harus memulakan jentera gerak kerja untuk mengumpul seramai mungkin ahli hingga menembusi kubu kuat Umno/BN diseluruh pelusuk.

Data-data ini harus dikumpul secara berfakta dan bukannya berdasarkan persepsi dan retorik untuk menyedapkan hati pemimpin atasan.

Dilema Orang melayu

Walaupun sejak kebelakangan ini Umno/BN menggunakan pelbagai propoganda dan serangan media bagi menghidup persepsi rakyat terhadap PKR sebagai perti yang tidak membela nasib orang melayu perlu dilihat sebagai positif.

Ini memandangkan pengundi melayu merupakan penentu kepada penguasaan PR ke Putrajaya. Umno telah bertindak berpatah arang berkerat rotan untuk hanya memberi fokes kepada pengundi melayu. Ini bukan disebabkan isu melayu sebagai agenda perjuangan parti tersebut tetapi melihat isu tersebut bagi menyelamatkan BN dari mengalami kekalahan lebih teruk.

Kurangnya agenda dan untuk memartabatkan isu-isu orang melayu seperti isu PPSMI, isu Islam seperti hudud,hak keistimewaan orang melayu, institusi sultan dan raja-raja dan tanah rezab melayu telah diambil kesempatan oleh Umno untuk melebelkan PKR sebagi parti yang hanya mementingkan kaum-kaum lain.

Dalam masa yang sama PKR juga dianggap sebagai parti yang takut memperjuangkan isu-isu melayu kerana terpaksa menjaga sentimen kaum-kaum lain. Akhirnya PKR terjerat dan setiap pemimpinnya terpaksa 'menolak' isu tersebut kepada PAS bagi menangani isu berkaitan orang melayu.

Walau apa pun kongres ke-8 kali ini merupakan landasan bagi memastikan segala kelemahan dan kelebihan yang ada agar dapat diseimbangkan.

Fokas untuk menghadapi PRU-13 bukan merupakan perkara mudah sebagaimana pepatah menyatakan usaha mempertahan lebih sukar dari usaha menguasai sesuatu keadaan.

Justeru untuk menang dan berkuasa memerlukan strategi dan kaedah yang memerlukan pengorbanan sebuah pasukan yang mantap.

Maka seharusnya kongres ke-8 yang akan disertai oleh 2,534 perwakilan dan 1,055 pemerhati berdaftar ini perlu menganggap usaha pemantapan pasukan bagi menghadapi sebuah medan peperangan yang besar serta bagi survival parti dimasa depan

Maka pengorbanan tersebut perlu disertakan dengan tindakan dan bukan sekadar bersemangat berkongres tetapi layu dimedan sebenar perjuangan.

Peperangan itu adalah untuk menang dan menguasai Putrajaya selepas PRU-13 nanti

Selamat berkongres dan selamat berjuang kepada semua perwakilan.