Abdul Aziz Bari: Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua

Berita terkini melaporkan bahawa Profesor Abdul Aziz Bari digantung tugasnya sebagai pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), lantas mencungkil persoalan sejauh manakah institusi pengajian tinggi mampu mempertahankan kebebasan akademik atau kebebasan bersuara dalam menara gading?

Mampukah menara gading tempatan menampung sesuatu yang dikatakan "idealisme"? Atau sekadar bayangan realiti di luar kampus - apabila mereka yang sepatutnya mempertahankan "keluhuran perlembagaan" menodai semangat ini; dan apabila mereka yang sepatutnya mempertahankan autonomi akademik, mencabul kesucian intelektual.

Abdul Aziz Bari (gambar kiri), 52, menjadi tumpuan kali ini. Isunya terlalu besar, membelenggu fikrah masyarakat Malaysia selama ini. Namun sehingga hari ini, beliau tetap tidak berganjak, mempertahankan apa yang dipercayai dirinya, sebagai seorang pakar perlembagaan.

Ikuti bahagian kedua wawancara MerdekaReview (MR), bersama Abdul Aziz Bari (AAB) melalui email.

MR: Dari sejarahnya, sistem perlembagaan kita direka dengan institusi Raja dikekalkan sebagai lambang untuk mempertahankan agama Islam dan kaum Melayu. Mungkin ini antara puncanya mengapa institusi Raja menjadi isu "sensitif", kerana mengkritik "Raja" disamakan dengan "mempertikaikan Melayu dan Islam".

Atau dalam konteks hari ini, apakah Prof menganggap, "sensitif"nya isu institusi Raja sebenarnya berpunca daripada permainan politik kepartian? Parti politik telah mengheret institusi Raja ke gelanggang politik kepartian, sebagai senjata dalam pergelutan politik. Misalnya, dalam rampasan kuasa Perak pada tahun 2009, penyandang asal jawatan Menteri Besar, Mohd. Nizar Jamaluddin diserang sebagai "penderhaka" oleh UMNO, yang mana motifnya diketahui umum.


AAB: Apa yang dianggap sensitif itu pada saya sesuatu yang subjektif. Lain orang lain tafsirannya. Dalam konteks undang-undang hasutan seorang hakim, Tan Sri Azmi Kamaruddin, pernah menyebut dalam kes Mark Koding (1982) betapa undang-undang hasutan Malaysia payah difahami. Menyeret istana ke kancah politik ini banyak sebabnya. Tetapi jika istana tegas dan tahu peranannya itu saya fikir tidak akan berlaku. Tetapi ada kalanya tuduhan itu timbul kerana pihak berkenaan hendak menyembunyikan sesuatu dan pihak ini mungkin berkata istana diseret ke dalam politik kerana istana memainkan peranannya yang sebenar.

Dalam kes Nizar itu saya dah sebut sikap dan pandangan saya yakni istana perlu melaksanakan kuasanya sebagaimana yang dihasratkan oleh perlembagaan; yakni selaras dengan demokrasi. Ertinya kuasa budibicara itu perlu dilihat dalam konteks yang betul. Bukan secara literal.

MR: Dalam tulisan prof, institusi Raja seharusnya melangkaui politik kepartian, supaya diterima sebagai lambang perpaduan negara. Konsep ini diterima dan diamalkan di negara seperti Britain. Namun, sebagaimana yang diamati, apabila Pakatan Rakyat diasak dengan serangan UMNO-BN dalam isu institusi Raja, wujud kecenderungan daripada pihak PR untuk menarik sokongan institusi Raja. Misalnya, PKR pernah seketika dahulu mencadangkan agar kekebalan Raja dipulihkan.

Dalam senario politik sedemikian, apakah strategi ini adalah satu kemestian, ataupun sebenarnya PR boleh tampil dengan alternatif yang lain?


AAB: Saya tidak pasti apakah yang sebenarnya mereka maksudkan, khususnya mengembalikan kekebalan atau imuniti itu. Ini sebenarnya tidak timbul kerana perlembagaan hanya boleh diubah melalui pindaan formal. Saya tidak pasti apakah PKR mampu berbuat demikian kerana pindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Sekarang ini usahkan hendak meminda perlembagaan, hendak menubuhkan kerajaan yang hanya memerlukan majoriti biasa pun masih belum mampu. Saya tidak pasti apakah kekebalan atau imuniti yang menjadi kekuatan sistem beraja sebagaimana di Britain. Ini kerana sistem beraja di sana sentiasa dikritik. Bahkan kalau mengikut standard kita dipermain-mainkan atau diejek.

MR: Dalam konteks zaman sekarang, apakah Prof bersetuju, seandainya institusi Raja disesuaikan dengan peranannya sebagai lambang untuk mempertahankan SEMUA rakyat Malaysia - tanpa membezakan kaum dan agama. Apakah ia mampu meredakan masalah perkauman dan agama yang meruncing?

AAB: Setahu saya institusi ini bukan lambang rakyat; institusi beraja ialah lambang autoriti negara dan lambang perpaduan rakyat. Ia juga adalah jatidiri dan identiti negara dan sejarahnya. Sama ada sistem itu mampu meredakan masalah kaum atau tidak itu bergantung kepada komitmen institusi itu sendiri. Pada saya pengekalan sistem beraja itu sendiri sepatutnya sudah mampu mengelakkan timbulnya gerakan kanan dan ekstrem. Dengan kata lain, sekiranya sistem beraja itu dihormati maka tidak akan muncul gerakan berhaluan kanan yang pada asasnya muncul kerana tidak wujudnya institusi seperti sistem beraja.

MR: Baru-baru ini beberapa isu yang agak sensitif untuk masyarakat Melayu dicungkil. Misalnya isu Mat Indera, di mana isu di sebaliknya adalah perjuangan komunis.

Prof pernah dalam satu ceramah membidas bahawa kerajaan sebenarnya tidak mematuhi Perjanjian Haadyai 1989, apabila Chin Peng tidak dibenarkan balik ke Malaysia.


Isu di sini sebenarnya melibatkan integriti, iaitu sama ada sesebuah negara patuh kepada janjinya. Namun, suara "dominan" dalam masyarakat Melayu tidak melihat dari perspektif ini, sebaliknya lebih didorong sentimen ketika menangani isu ini, misalnya mencungkil semula emosi bekas tentera yang tercedera ketika memerangi komunis. Persoalannya, apakah di sini "emosi" mengatasi segala-galanya?


AAB: Saya tidak melihatnya begitu. Bukan soal emosi mengatasi segala-galanya tetapi ada media tertentu yang dibiarkan bermaharajalela dan berbuat sesuka hati. Mereka hanya memaparkan perspektif yang disukai oleh pemerintah yang belum tentu sempurna dan betul. Apa yang saya katakan itu adalah fakta, ia bukan pendapat saya. Ia hanyalah paparan yang perlu diketengahkan kerana masyarakat sudah lupa atau tidak tahu.

MR: Sebagai pakar perundangan, sejauh manakah prof menilai semangat "rule of law" ini dipraktikkan dalam masyarakat kita? Padahal dalam rukun negara kita melafazkan "keluhuran perlembagaan". Seandainya semangat itu masih tipis dalam masyarakat kita, apakah puncanya? Bagaimana kita boleh berusaha ke arah itu?

AAB: Masalah yang kita hadapi ialah kita melakukan itu sebagai ritual yang kosong, yang tidak ada makna apa-apa. Keluhuran perlembagaan perlu dihidupkan dalam masyarakat. Tetapi realiti kita adalah sebaliknya. Sebuah negara yang bukan sahaja penuh dengan undang-undang drakonia dan pelaksanaan yang memilih-milih dan tidak adil. Keluhuran perlembagaan bukan untuk diulang-ulang seperti burung kakak tua. Ia perlu dilaksanakan supaya rakyat komited dan sedia mempertahankannya.

MR: Masyarakat Melayu mungkin mengalami "gegaran fikrah" lantaran beberapa isu yang dibangkitkan baru-baru ini, Mat Indera, peranan Sultan dan sebagainya. Politikus mungkin lebih berhati-hati, kerana seandainya mengambil langkah terlalu ke depan, mereka bimbang kehilangan undi seandainya gagal menjelaskan kepada pengundinya.

Di sini, mungkin cendekiawan, pemikir dan ahli akademik boleh memainkan peranannya. Sejauh manakah golongan intelektual ini memainkan peranan mereka yang seharusnya? Apakah harapan Prof terhadap mereka?


AAB: Kita banyak universiti dan ramai profesor. Tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa kita ramai intelektual. Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam isu Mat Indera itu. Dan apa yang saya sendiri tanggung sekarang. Saya menghargai sokongan rakan-rakan dan saya harap mereka dapat memainkan peranan dalam bidang masing-masing. Termasuk berkongsi dengan masyarakat apa yang mereka kaji dan ajar.

MR: Prof mungkin tidak perlu berdepan dengan risiko seandainya memilih untuk berdiam diri dalam isu-isu yang kontroversial. Tetapi mengapa Prof sebagai kaki tangan dalam institusi pengajian tinggi awam mengambil langkah untuk tampil ke depan, malah tidak berundur apabila diserang?

AAB: Saya tidak mahu angkat bakul. Memadai jika saya katakan saya percaya dan komited dengan cita-cita kebenaran dan keadilan. Ini semua perlu diperjuangkan. Secara kebetulan saya ahli akademik. Jadi saya pilih jalan ini. Kalau saya petani atau ahli politik saya akan gunakan cara dan pendekatan yang lain yang sesuai dengan pekerjaan saya. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Abdul Aziz Bari: Majoriti yang sokong saya Melayu

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Wawancara di atas dijalankan melalui email.

Dr Asri: Gantung Aziz tindakan mengampu

Patut la Universiti kita ni tercorot sahaja .Bukan sahaja tak ada nama, akan tetapi tindakan tersebut juga dianggap sebagai tindakan tak bertamadun di alaf baru ni dimana sikap keterbukaan pusat pengajian tinggi ini sudah berubah menjadi pusat membodek parti pemerintah.Maka kerana itu semua kajian dan juga pandangan politik tidak dapat keluar dari Universiti kerana dianggap pelajar dan kajian yang dibuat adalah untuk pelajar dan warga Universiti sahaja.

Tidak seperti di luar negara,kajian dan pandangan dari cerdik pandai,kajian dan peruntukan kepada universiti diberi satu geran kajian yang cukup besar...supaya hasil kajian ini dimanfaatkan untuk negara...

Berlainan dengan negara kita...semakin maju kehadapan ..semakin tertinggalnya pandangan dan kajian dari pihak Universiti.Para penyarah di tutup mulut dan menjadi pensyarah yang hanya tahu mendapat habuan bulanan dan menjadi seperti pokok yang berdaun lebat tetapi tidak mengeluarkan buahnya...



Dr ASRI......TINDAKAN MENGAMPU.........

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan menyifatkannya sebagai "tindakan mengampu".

NONE"Tindakan kepada Prof Aziz Bari merupakan sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita.

"Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad.

"Tindakan ini adalah tindakan mengampu," kata fellow pelawat di Universiti Oxford itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri (kanan) menyifatkannya sebagai "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik".

Beliau bahkan sinis terhadap apa yang dirujuknya sebagai "kepimpinan baru di UIA" yang tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik.

"Kepimpinan UIA sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik," katanya.

Kakitangan UM: Tanam ketakutan

Katanya, setahu beliau rektor UIA sekarang merupakan ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), justeru beliau bimbang berlaku konflik kepentingan dalam tindakan mengambil tindakan terhadap Aziz.

azlan"Sebagai lepasan UIA, saya rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di UIA hari ini.

"UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran," katanya.

Tindakan terhadap Aziz, termasuk disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berpunca daripada komennya terhadap Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - bawah MAIS - terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya.

Dr Asri mengibaratkan tindakan UIA itu seperti "mencampak diri ke zaman kegelapan Katholik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy (menyeleweng) kepada agama".

Sementara itu, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) hari ini turut menentang tindakan pelbagai pihak terhadap Aziz - termasuk oleh polis dan UIA - kerana ia didakwa mencabul kebebasan akademik dan berekspresi.

"Tindakan oleh kerajaan dan UIA ini akan menanam ketakutan dalam masyarakat akademik," kata presidennya Azmi Sharom.

Sehubungan itu, persatuan itu menggesa siasatan polis bawah akta hasutan dihentikan dan pengantungan terhadapnya ditamatkan serta merta.

Pelbagai Pihak Protes Penggantungan Dr Aziz Bari

SHAH ALAM, 20 Oktober : Pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap penggantungan perkhidmatan pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ekoran kenyataannya berkenaan titah Sultan Selangor baharu-baharu ini.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melalui Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penggantungan itu jelas mencalarkan imej UIAM selaku ‘Taman Ilmu dan Budi', apabila seorang pensyarah yang berhujah melalui fakta dan kepakarannya, ditekan dengan tindakan seumpama itu.

"AMK tidak berniat untuk campur tangan di dalam pentadbiran UIAM. Sebaliknya, yang dipertikaikan ialah kenapa wujud kekangan ke atas kebebasan akademik, atau secara asasnya kebebasan berfikir di kalangan pensyarah yang bertanggungjawab mendidik mahasiswa?," soal beliau dalam satu kenyataan media.

Sementara itu,Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menjelaskan, mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik.

"Gerak merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau," kata setiausaha agungnya, Rosli H Mahat.

Jelasnya, Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.

"Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel," ujarnya lagi.

Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata tindakan UIAM menggantung pakar perlembagaan terkemuka itu amat mendukacitakan.

"UIAM, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea," katanya.

Tambah Elizabeth lagi, universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila beliau diserang oleh ahli politik dan media UMNO, tetapi sebaliknya menggantung beliau.

"Dengan mengambil tindakan ini, UIAM terbukti mementingkan agenda politik UMNO. "Transformasi" yang sering dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas merupakan janji-janji kosong," ujarnya.

Dalam pada itu ,kumpulan mahasiswa akan menggerakkan golongan itu secara besar-besaran daripada seluruh kampus di Lembah Klang untuk berdemonstrasi terhadap UIAM yang menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Pengerusi NGO Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab berkata, dijangkakan hampir 1,500 mahasiswa dan anak muda akan hadir bagi "mempertahankan kebebasan akademik".

"Solidariti Mahasiswa Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'," kata Syukri.

Lawyers For Liberty pula menyatakan tindakan UIAM tersebut bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan yang memberi kebebasan untuk bersuara dan menuntut kebebasan akademik dipertahankan.

"Kami menuntut bahawa penggantungan ini wajar ditarik balik serta-merta manakala menyeru SKMM tidak langkau sempadan bidang kuasa. Kami juga menggesa pihak polis menghentikan serta-merta mengganggu Prof Aziz Bari dengan penyiasatan di bawah zalim Akta Hasutan," katanya.

Perhimpunan itu dijadual berlangsung di masjid kampus UIA di Gombak selepas solat Jumaat.

Malahan protes ini semakin hebat melalui laman media sosial apabila beberapa laman Facebook dibuka untuk menyatakan bantahan tersebut.

Laman facebook "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" dan "Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari" mencatat lebih 2,000 selepas beberapa jam laman itu dibuka.