Bajet 2012 Gagal Perkasa Kehidupan Rakyat

SHAH ALAM O8 OKT : Belanjawan 2012 kerajaan persekutuan semalam hanya lunak didengar menurut penyokong Pakatan Rakyat dan gagal memperkasa kehidupan rakyat terbanyak.

Aktivis akar umbi Pakatan yang ditemui juga berkata belanjawan kerajaan persekutuan hanya tertumpu kepada sesetengah golongan masyarakat semata-mata.

Tinjauan TVSelangor mendapati mereka menyifatkan belanjawan tahun hadapan sebagai gula-gula politik untuk menawan hati rakyat menjelang pilihanraya yang bakal diumumkan pada bila-bila masa.

Pegawai Khas Adun Kota Anggerik, Mohd Redwan Alias melihat pendekatan yang cuba dibawa kerajaan mirip Pakatan Rakyat yang berkiblatkan kebajikan rakyat.

Namun pihaknya khuatir pihak kerajaan mengunakan isu kebajikan sebagai modal berpolitik semata-mata yang akhirnya kebajikan rakyat tidak terbela.

"Bajet yang dibentang semalam banyak berkisarkan tentang kebajikan kepada rakyat, ianya suatu yang dialu-alukan, namun sejauh mana kekuatan dan sumber kewangan yang kerajaan ada melunaskan janjinya kepada rakyat,"

"Saya yakin dan percaya bahawa bajet yang dibawa oleh Pakatan Rakyat jauh lebih bagus, malah ini terbukti pendekatan Pakatan Rakyat lebih releven sebagai contoh kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat, dari rakyat untuk rakyat, mengagihkan hasil negeri kepada rakyatnya tanpa ada salahguna kuasa dan korupsi"katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Keadilan Shah Alam, Anizan Othman menyifatkan belanjawan kerajaan mudah dibaca rakyat hari ini, sekaligus mencerminkan sejauh mana keihklasan kerajaan dalam membela nasib rakyat terbanyak.

Semalam, kerajaan membentangkan bahawa akan memberi caj percuma untuk pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1 Malaysia serta pergigian milik kerajaan sebagai langkah menghargai jasa warga emas.

Selain itu, warga emas juga diberikan diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.

"Benda ini memang mempermain-mainkan rakyat, kos pendaftaran perubatan diberi percuma, sedangkan ianya hanya Rm2, jangan la memperbodohkan rakyat, ianya tidak relevan."

"Saya bercakap bukan kerana saya taksub kepada Pakatan Rakyat, tetapi memikirkan belanjawan yang dibawa ini perlu menyentuh kepentingan keseluruhan, nasib generasi akan datang dan rakyat terbanyak, saya menyokong penuh bajet yang di draf Pakatan Rakyat berbanding bajet Kerajaan pusat,"katanya

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PKR cabang Shah Alam, S.Kumaravel menolak belanjawan kerajaan ekoran ianya tidak bersifat menyeluruh dan sementara selain tidak berkeupayaan memacu pembangunan rakyat yang selama ini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Belanjawan mereka seolah-olah menggambar bahawa mereka membela nasib rakyat miskin, pada kertas ianya nampak membela, tetapi pada amalan dan tata-kelola bagi saya ianya tidak, ianya hanya belanjawan untuk mengaburi mata rakyat."katanya

Belanjawan 2012 Cedok Bajet Pakatan




KUALA LUMPUR, 7 OKT: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembentangan Bajet 2012 hari ini sebahagian besarnya mencedok Bajet 2012 Pakatan Rakyat yang diumumkan beberapa hari lalu.

Menurut Anwar mencedok idea Pakatan Rakyat itu boleh, tetapi jangan dicedok dengan penyelewengan, rasuah dan ketirisan yang berterusan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen selepas pembentangan bajet 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang juga Menteri Kewangan petang tadi.

Anwar juga berkata bahawa Najib turut menyentuh sedikit isi kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat

Sebahagian besar dicedok daripada Pakatan Rakyat.

Anwar berkata dia akan member rumusan Bajet 2011 itu Isnin ini.