Gerakan Politik Kiri di Kampung Jenderam


Dr. Mohamed Salleh Lamry

Gerakan politik kiri di kampung Jenderam menarik untuk dikaji dan difahami, kerana secara perbandingan, kampung Jenderam adalah salah satu pusat atau kubu gerakan politik kiri yang terkuat, bukan saja pada peringkat daerah Hulu Langat, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi, di samping beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung Jenderam, iaitu pengaruh dari Indonesia. Pengaruh dari Indonesia ini boleh dilihat dalam empat perkara yang berikut:

Pertama, kampung Jenderam dibuka antara tahun 1909-1910 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu orang-orang keturunan Minangkabau dari kampung lain di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang keturunan Minangkabau.

Sehingga Perang Dunia Kedua (1941-1945), penduduk kampung Jenderam masih mempunyai hubungan yang rapat dengan "alam Minangkabau" yang merupakan tempat asal ibu bapa mereka atau tempat asal mereka sendiri. Salah satu cara mereka mengekalkan hubungan itu adalah dengan berkunjung atau pulang ke Minangkabau. Satu cara lagi adalah dengan menghantar anak mereka belajar ke Minangkabau.

Kedua,
pada tahun 1922 Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah. Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang guru agama lain dari Minangkabau. Haji Jalaluddin adalah seorang ulama "kaum Muda" yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kedatangannya turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu.

Ketiga, bekas penuntut Madrasatul-Ubudiah ramai yang melanjutkan pelajaran ke sekolah agama terkenal di Minangkabau, seperti Sekolah-sekolah Diniah dan Thawalib. Sebahagian daripada mereka dilantik menjadi guru sekolah itu apabila balik ke kampung Jenderam, dan turut menyebarkan fahaman kaum muda di kalangan murid dan keluarga mereka. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung Jenderam.

Keempat, anak penduduk kampung Jenderam yang belajar di Minangkabau bukan saja terdedah kepada cara pembelajaran yang baru, yang dikendalikan oleh ulama kaum muda, tetapi juga terlibat dengan gerakan politik. Misalnya pelajar yang belajar di Sekolah Thawalib terlibat dengan Parti Sarekat Islam yang berpusat di Jawa. Di samping itu, ada juga yang belajar politik secara khusus. Misalnya, Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Gurunya ialah Muchtar Lutfi, tokoh politik dari Minangkabau yang pernah belajar di Mesir (Mohd. Nor 1977/78:38-39). Oleh itu, mereka telah terdedah kepada idea anti kolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk kemerdekaan di samping membawa fahaman kaum muda, apabila mereka kembali ke tanah air.

Oleh yang demikian, beberapa aspek gerakan politik kiri yang muncul di kampung Jenderam boleh dihuraikan dengan ringkas seperti di bawah ini.

Penglibatan dengan KMM

Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula di kampung Jenderam tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung Jenderam dalam organisasi itu. Bentuk penyertaan mereka yang utama adalah dengan menjadi ahli KMM. Meskipun jumlah mereka tidak dapat dipastikan, tetapi sebahagian anak penduduk kampung Jenderam yang pernah belajar di Minangkabau adalah antara orang yang menjadi ahli gerakan itu. Salah seorang daripada mereka ialah Bakar Jali yang dianggap sebagai Ketua KMM Kampung Jenderam (Mohd.Nor Md.Amin 1977/78:40).

Penglibatan dengan Pembantu Indonesia Merdeka (PIM) dan Revolusi Indonesia.

Selepas Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos 1945, sebuah organisasi yang dinamakan PIM telah ditubuhkan di Malaya dengan tujuan untuk menyalurkan bantuan material ke Indonesia. Sebagai orang-orang yang bersemangat patriotik dan anti kolonial, penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia. Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur.

Apabila revolusi Indonesia meletus tidak lama selepas itu, kira-kria 10 orang penduduk kampung Jenderam telah pergi ke Sumatera untuk berbakti kepada Indonesia yang masih mereka anggap sebagai "ibu pertiwi" mereka. Kepergian mereka dengan hanya menaiki sampan direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh penduduk kampung tersebut. Di Indonesia pada mulanya mereka menyertai pasukan tentera rakyat, kemudian diserapkan ke dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946 (Mohd. Nor Mohd.Amin 1977/78: 41-42).

Penubuhan Cawangan PKMM dan Badan Gabungannya

Di samping memberi bantuan kepada saudara mara mereka di Indonesia dan melibatkan diri dengan revolusi Indonesia, penduduk kampung Jenderam tidak mahu mengasingkan diri dari gerakan politik di Malaya sendiri. Oleh itu, apabila PKMM ditubuhkan pada akhir tahun 1945, mereka dengan cepat melibatkan diri dengan gerakan itu. Dengan dipelopori oleh Bakar Jali dan beberapa orang kawannya yang pernah menjadi ahli KMM, sebuah cawangan PKMM telah ditubuhkan di kampung Jenderam pada awal tahun 1946.

Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri dengan semua gerakan itu. Ini bererti pada masa itu hampir seluruh penduduk kampung Jenderam, lelaki dan perempuan, telah melibatkan diri dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, menarik juga diperhatikan bahawa pada masa itu tidak ada kepimpinan yang berasingan bagi menerajui PKMM, API, dan BATAS kampung Jenderam. Sebaliknya, semua pemimpin PKMM merangkap sebagai pemimpin API dan BATAS. Barisan kepimpinan ketiga-tiga organisasi itu adalah seperti berikut:

Ketua 1: Bakar bin Jali
Setiausaha: Ustaz Haji Hashim
Ahli Jawatankuasa: Osman bin Binu, Jani bin Sudin, Ustaz Talib Nor, Abdul Latif bin Arshad, Mohd.Sharif bin Jamek

Mengenai jawatankuasa AWAS kampung Jenderam pula, nama mereka adalah seperti berikut:

Ketua 1: Fatimah bintiHaji Kassim
Setiausaha: Rosnah binti Mien
Bendahari: Mariam bintiJaafar
Ahli Jawatankuasa: Zaharah binti Hamid, Hindon binti Tahir, Zaharah binti Kassim

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, beberapa orang pemimpin dari kampung Jenderam, seperti Bakar Jali dan semua pemimpin AWAS bukan saja menjadi pemimpin pada peringkat kampung itu, tetapi juga pada peringkat negeri Selangor. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan dan peranan pemimpin gerakan kiri dari kampung Jenderam dan memang selaras dengan kedudukan kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.

Penglibatan dalam Perang Gerila

Penglibatan penduduk kampung Jenderam dengan perang gerila yang diterajui oleh Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap penjajah Inggeris wajar dihuraikan di sini, kerana ia merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan penduduk kampung Jenderam, malah itulah satu cara yang terbuka bagi orang-orang nasionalis kiri untuk meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.

Selepas Undang-Undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948, kampung Jenderam sebagai salah sebuah pusat atau kubu gerakan nasionalis kiri menjadi tumpuan pihak polis yang bertindak menangkap orang-orang yang menjadi pemimpin dan aktivis gerakan itu. Oleh itu, sepanjang tahun 1948 dan awal 1949 ada 16 orang penduduk kampung Jenderam yang telah ditangkap, sama ada kerana tidak sempat melarikan diri atau tidak mahu berbuat demikian. Di samping itu,sekurang-kurangnya ada lima orang yang telah melarikan diri ke Indonesia dan tidak balik semula ke negara ini (Mohd.Nor 1977/78: 58-60).

Namun, mengikut maklumat yang diperolehi oleh Mohd. Nor Mohd.Amin (1977/1978:58-60), sekurang-kurangnya ada 18 orang penduduk kampung Jenderam yang lebih rela masuk ke hutan dan menggabungkan diri dengan tentera PKM daripada membiarkan diri mereka ditangkap dan dijadikan tahanan politik. Mereka ialah:

1. Bakar bin Jali
2. Azman bin Haji Nordin
3. Hamid bin Tahir
4. Yaakob bin Mohd.Ali
5. Alias bin Siu
6. Mohamd Akib bin Kassim
7. Manaf bin Pisah
8. Ismail bin Manan
9. Yunus bin Buyung
10. Ismail bin Mohd.Sharif
11. Mohd.Zainbin Haji Kassim
12. Tajuddin bin Mahat
13. Yunus bin Abu
14. Abdul Malik bin Kabut
15. Sulaiman bin Haji Said
16. Malik bin Haji Bor
17. Manan bin Abdul Latif
Karim bin Sulaiman

Golongan 18 orang ini tidak mahu ditangkap dan dijadikan tahanan politik, dan dengan itu perlu mencari alternatif untuk meneruskan perjuangan mereka. Dari awal lagi mereka sudah melihat bahawa perjuangan bersenjata adalah jalan yang perlu mereka tempuh untuk meneruskan perjuangan mereka. Timbulnya persepsi yang demikian sekurang-kurangnya kerana dua faktor utama. Pertama, semasa melibatkan diri dengan API, mereka telah diorientasikan untuk berjuang secara bersenjata berdasarkan slogan API, "Merdeka dengan Darah." Kedua, sebagai orang-orang yang masih merasa dekat dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia, mereka juga melihat bahawa perjuangan secara revolusi atau perjuangan bersenjata adalah satu cara perjuangan yang boleh dijadikan contoh.

Walau bagaimanapun, pada masa itu mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan. API dan PETA telah diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang. Pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr.Burhanuddin telah ditahan. Dr.Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Oleh itu, pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung mereka dan belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri.

Namun, kira-kira tiga atau empat bulan kemudian, mereka telah dihubungi oleh utusan PKM yang mempelawa mereka supaya menyertai perang gerila yang dilancarkan oleh parti itu. Mereka menerima pelawaan PKM, kerana ketika itu hanya itulah jalan yang boleh mereka pilih jika mereka mahu meneruskan perjuangan mereka... (Bahagian kedua, bersambung)

Bahagian pertama: Kertas kerja politik kiri "ditolak" selepas "isu Mat Sabu"

*Bahagian kedua kertas kerja berjudul "Gerakan politik kiri di Hulu Langat, 1946-1948", tulisan Dr. Mohamed Salleh Lamry (gambar kanan). Kertas kerja ini telah "ditolak" daripada dibentangkan dalam satu seminar "Sejarah Daerah Hulu Langat", anjuran Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS), selepas berlakunya "isu Mat Sabu".

Hishamuddin Rais: Bawa kes kematian dalam tahanan ke antarabangsa

Dengan mengambil contoh "kes kapal selam scorpene", aktivis sosial Hishamuddin Rais melontarkan cadangan agar badan bukan kerajaan (NGO) membawa kes kematian dalam tahanan ke antarabangsa, untuk membuat desakan dari luar negeri, dan bukannya berulang-kali membuat laporan di balai polis yang sesungguhnya tidak membuahkan hasil.

Malah, Hishamuddin Rais (gambar kiri menyifatkan usaha "membuat laporan terhadap polis tentang salahlaku polis" sebagai "kerja gila", dan sesiapa yang berbuat demikian berulang-kali semestinya seseorang manusia yang tidak siuman.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk menyindir, bahawa "parang" telah menjadi senjata penjenayah, sungguhpun menyedari polis kita bersenjatakan pistol. "Parang yang sama" digunakan, termasuklah peserta perhimpunan BERSIH 2.0, seolah-olah semua penjenayah menggunakan parang yang sama ketika bertindak - dan ianya hanya berlaku di Malaysia, kata Hishamuddin Rais.

Hishamuddin juga menegur NGO, bahawa kenyataan hanya dikeluarkan apabila mangsa keganasan polis adalah orang tempatan, tetapi berdiam diri apabila buruh asing menjadi mangsa, seolah-olah "buruh asing itu berkelas rendah". Beliau menyelar sikap rakyat Malaysia yang sedemikian, yang untuknya "lebih malang apabila kita mendakwa diri kita sebagai muslim".

Demikianlah kata-kata Hishamuddin Rais dalam forum "Hak Anda dan Kuasa Polis", anjuran bersama SUARAM, Rumah Anak Teater, Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok, Amnesty International Malaysia dan KOMAS, semalam. Forum yang bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor ini menarik kehadiran kira-kira 100 orang, membariskan dua orang lagi panelis, iaitu peguam hak asasi manusia Edmund Bon dan M. Visvanathan, dengan Faisal Mustafa sebagai moderator.

Polis diberi kuasa terlalu besar

Ketika mengulas penyalahgunaan kuasa polis, Edmund Bon (gambar bawah, berdiri) menuding jari kepada peruntukan kuasa yang terlalu besar kepada penguatkuasa.

"Rakyat perlu faham, apabila kita membincangkan politik, pada hakikatnya kita membincang bagaimana untuk mengembalikan sebahagian kuasa kepada golongan minoriti dalam masyarakat, memulangkan kuasa kepada rakyat, dan bukannya memberi kuasa yang begitu besar kepada kehakiman, penguatkuasa dan parlimen. Kita tidak boleh mengelakkan diri daripada isu ini, yang padahalnya isu politik," jelas Edmund Bon.

M. Visvanathan, peguam yang mewakili keluarga mendiang R.Gunasegaran, berkongsi dengan hadirin proses perbicaraan kes kematian R.Gunasegaran. Pada jam 5 petang 16 Julai 2009, R.Gunasegaran yang berumur 31 ditangkap dan ditahan di Balai Polis Sentul atas tuduhan penyalahgunaan dadah. R.Gunasegaran pengsan di lokap pada kira-kira jam 7 petang hari itu, dan didapati mati ketika tiba di hospital.

Pada 25 Oktober 2010, inkues membuat penghakiman "open verdict", dengan dua kemungkinan "mati kerana dadah", atau "mati dipukul". Sehingga hari ini, anggota polis yang dituduh membelasah R.Gunasegaran tidak dikenakan tindakan.

Tiada surat kematian diberikan kepada keluarga R.Gunasegaran sungguhpun sudah dua tahun R.Gunasegaran meninggal dunia. "Dari segi teknikalnya, R.Gunasegaran masih hidup, rekod Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa beliau masih hidup," kata M. Visvanathan (gambar kanan).

Beliau meneruskan, "Tiada siasatan, boleh dikatakan tiada sebarang tindakan. Hampir setahun (penghakiman dibuat), apa jadi? Tiada apa-apa berlaku. Beliau hanya satu nama dalam sistem. R.Gunasegaran. Bagaimanapun, beliau adalah seorang warga Malaysia, beliau mempunyai haknya."

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Petugas DUN Kota Anggerik Bukan Pelaku Di Dalam Klip Video Blogger Umno




SHAH ALAM 30 Sept: Susun atur di ruang pejabat DUN Kota Anggerik di Seksyen 9 di sini jauh berbeza dengan klip video lucah di dalam sebuah blog pro-umno bertajuk 'Skandal Dalam Pejabat Adun Kota Anggerik Shah Alam’.

Tinjaun TVSelangor mendapati wanita yang didakwa dalam klip bertarikh 19 September bukan petugas di DUN berkenaan.

Klip video itu menyaksikan seorang wanita bertudung dengan seorang lelaki melakukan perbuatan sumbang kononnya di dalam pejabat Dun Kota Anggerik.

Adun Kota Anggerik Yaacob Sapari menjelaskan hasil siasatan mendapati klip video itu menunjukkan lokasi dan dekorasi dalaman pejabat yang jauh berbeza dengan Pusat Khidmat beliau.

"Susun atur dalam video itu sama sekali tidak sama dengan susun atur yang ada dalam pejabat ini, gambar gadis yang ditonjolkan dalam video itu juga tidak sama dengan staf saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan TVSelangor di Pejabatnya hari ini. Selain susun atur yang berbeza, klip video jelas tidak berasas kerana terdapat beberapa perkara bercanggah dengan dakwaan blogger itu.

"Jadi saya mengutuk sekeras-kerasnya fitnah lucah ini yang diusahakan oleh mereka, sepatutnya kita bersaing secara sihat dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukannya malakukan aktiviti seperti ini.

"Bagi saya ini bukan serangan kali pertama oleh blogger pro umno terhadap pemimpin pakatan rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim juga dituduh dengan perkara yang lucah sebegini," jelasnya kepada TVSelangor Pembantu Tadbir Pejabat DUN Kota Anggerik, Norlela Idris menafikan sekeras-kerasnya wanita didalam klip itu adalah dirinya kerana pada tarikh berkenaan beliau tiada di pejabat kerana cuti sakit.

"kebetulan pada hari itu saya bercuti kerana sakit, saya ada bukti surat cuti sakit, pada hari itu hanya seorang kakitangan sahaja yang ada di pejabat,"

"Saya juga menafikan sekeras-kerasnya wanita didalam klip itu adalah diri saya kerana saya adalah satu-satunya staf perempuan yang berkhidmat disini, mingkin kerana ingin mengenakan YB (Yaacob), sekaligus cuba mengaitkan stafnya sekali."

Sebelum ini PKR Shah Alam telah membuat laporan polis berhubung perkara ini di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

ASKAR KENA BERANI.......KALAU TAKUT KENA TIPU KERAJAAN BN

Akibat pecah amanah 1,000 perantis DTM terkontang kanting | Print |
Harakahdaily

LUMUT, 30 Sept: Ekoran kegagalan pembinaan kapal NGPV (New Generation Petrol Vessel) akibat penyelewengan kewangan dan rasuah pada tahun 2006, bukan sahaja duit rakyat yang hangus tetapi menzalimi anggota tentera.

Ini kerana, akibat kegagalan pembinaan 27 buah kapal tentera itu, ia telah menyebabkan lebih 1,000 pelatih TLDM yang dipersiapkan untuk bertugas dengannya sudah teraniaya.

Inilah yang diajukan para lulusan Perantis Diploma Teknologi Marin (DTM) yang kini terus terkontang-kanting dan tidak tentu hala kedudukan mereka.

Semua masalah ini berpunca dari rasuah dan pecah amanah dari skandal pembinaan 27 kapal NGPV ini.

Skim DTM yang dimulakan pada tahun 1996 dijalankan di KD Pelandok yang berpangkalan di Lumut dengan kerjasama pihak UTM Skudai.

Pembelajaran mereka dijalankan di bawah pengawasan Markas Pendidikan dan Latihan TLDM. Penganugerahan diploma pula dibuat di UTM Skudai, Johor.

NGPV

TLDM merancang pembinaan 27 kapal ronda dalam program Kapal Ronda Generasi Baru NGPV (New Generation Patrol Vessel) pada hujung 1990an.

Namun Jawatankuasa Perakaunan Awam mendedahkan kegagalan PSC-ND menyerahkan semua kapalnya yang dianugerahkan dengan kontrak sejumlah RM5.35 billion ringgit kepada media massa.

Dari 27 buah, hanya dua sahaja berjaya disiapkan.

Selepas pasukan pengurusan baru ditubuh, projek ini berjalan semula namun hingga kini hanya empat buah sahaja berjaya diselesaikan.

Dua kapal pertama dalam kelas ini, 171 KD Kedah dan 172 Pahang akhirnya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Jun dan Ogos tahun 2006.

Kapal ketiga, KD Perak (gambar atas) dan kapal keempat KD Terengganu baru sahaja diserahkan kepada TLDM baru-baru ini.

Akibat kegagalan pembinaan ini, lebih 1,000 anggota tentera laut yang dilatih untuk berkhidmat dengan kapal-kapal ini dan memiliki DTM ini terkontang kanting.

Mereka tiada tempat untuk diperjawatkan setelah habis kursus DTM dan memakai pangkat Laskar Kanan.

"Maka terjadilah lebihan anggota tetapi perjawatan tiada kerana kapal PV ini gagal disiapkan mengikut jadual," kata satu sumber kepada Harakahdaily.

Kini, mereka mula menghadapi akibat dari penyakit rasuah yang menyelubungi pentadbiran kerajaan Datuk Seri Najib Razak ini.

Antara masalah yang mereka hadapi adalah penyambungan perkhidmatan, pemberhentian sukarela sebelum tarikh tamat perkhidmatan tanpa pembelaan nasib anggota yang sewajarnya selepas berhenti di samping pemberian gaji yang tidak telus, adil dan saksama.

"Untuk pengetahuan tuan, hanya cawangan kami (skim DTM) sahaja yang mengalami masalah yang dinyatakan. Nyatalah kami telah didiskriminasi berbanding cawangan kelasi, bekalan dan teknikal biasa," kata sumber itu.

Mereka juga menghadapi pencabulan perjanjian pangkat cepat yang dijanjikan kepada mereka.

Teraniaya

"Skim kami dijanjikan pangkat cepat selepas lima tahun tamat kursus skim DTM, pakai pangkat Laskar Kanan selama setahun, selepas itu dinaikan ke pangkat Bintara Muda (petty officer).

"Tetapi janji ini telah ditarik balik oleh bekas panglima tentera laut," kata sumber itu.

Skim perantis DTM ini telah dimansuhkan pada tahun 2010 dan dihentikan pengambilan anggota sejak tahun 2009.

Pengambilan terakhir iaitu intake 2001 paling junior sekarang masih dalam on job training untuk melengkapkan kursus DTM mereka.

Mulai tahun lepas, mereka mula ditawarkan pemberhentian awal secara sukarela sebelum tarikh tamat perkhidmatan yang tidak pernah diamalkan dalam tentera laut.

Mereka hanya dibayar pampasan mengikut tahun berkhidmat.

Kini, kira-kira 200 orang dari kesemua 1,000 anggota telah berhenti dari perkhidmatan melalui pendekatan ini.

Yang menyedihkan mereka juga, akibat rasuah dan kegagalan projek ini merekalah yang menjadi mangsa.

Bayangkan selama 5 tahun berkhidmat, gaji mereka masih RM1200.00 sebulan iaitu sama dengan anggota dari cawangan lain yag baru berkhidmat dalam setahun dua sahaja.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pelbagai cara telah mereka buat termasuk berbincang secara langsung dengan Panglima Angkatan Tentera tetapi gagal.

Bahkan ada antara mereka telah cuba berbincang secara langsung dengan Perdana Menteri melalui facebooknya, namun pegawai ini telah diambil tindakan tatatertib oleh TLDM.

Bagi mereka, inilah jalan terakhir untuk membela nasib mereka iaitu ke media.

GUAN ENG MOHON MAAF ..AKAN SAMAN AKHBAR PECACAI UMNO

Maaf Sultan Johor, tetapi mahu saman media | Print |
Harakahdaily

PULAU PINANG, 30 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) memohon maaf kepada Sultan Johor ekoran rasa tersinggung baginda tentang kenyataannya namun beliau akan menyaman media kerana memutarbelitkan kenyataannya.

"Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.

"Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.

"Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.

Beliau memberikan reaksi ekoran laporan media yang berkata Sultan Johor tersinggung dengan kenyataan beliau yang berkata Johor tidak selamat.

Mula-mula, beliau dikatakan menyatakan perkataan itu di Australia namun kemudiannya dikatakan menyatakannya di Singapura pula.

Sebelum ini Harakahdaily melaporkan, kenapa media tidak bising cacian yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka terhadap negeri Kelantan.

Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik.

"Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor," kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau merasakan telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.

"Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat," katanya.

Setakat ini, katanya, selain daripada pita rakaman yang disiarkan oleh TV3, tidak ada sebarang laporan media tentang apa yang saya katakan di Singapura atau di Australia.

"Saya mempunyai akses untuk pita rakaman wawancara saya dengan Radio Australia. Saya masih sedang mencari pita rakaman tentang apa yang saya katakan di Singapura yang dibuat secara peribadi dalam satu sesi tertutup.

"Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di mahkamah, ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama," kata beliau.