Klip Video Baru Tanda Terdesak : Kak Wan



Semenyih 21 SEPT : Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menganggap tindakan pendedahan satu lagi klip video oleh blogger UMNO sebagai tindakan terdesak untuk memfitnah Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah episod 'sumpah laknat' yang cuba dijalankan sebelum ini gagal.

Wan Azizah menyatakan betapa tindakan itu diambil setelah kegagalan pihak tertentu cuba memburukkan nama Anwar yang juga suami beliau dengan pelbagai fitnah dan tohmahan selain berhadapan kes liwat di Mahkamah.

"Kenapa mereka keluarkan video seks, sekarang keluarkan sedutan keluar lif itu? Sebab kes ini tak menjadi. Rakyat tak percaya. Kes sumpah Datuk Trio itu juga tidak betul dan dapat kita menangkis dan beri hujah bahawa itu tidak benar dan fitnah semata. Mereka ibarat desperado yang nak mempertahankan kekuasaan mereka," kata beliau kepada TV Selangor semalam.

Kelmarin, negara sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan terbaru keratan video menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di media arus perdana setelah di muat-naik (upload) dalam blog pro-umno, Papa Gomo.

Papa Gomo menyiarkan rakaman bertarikh 13 Januari 2011 yang disebutnya sebagai rakaman "eksklusif", menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.

Menerusi blog tersebut, klip rakaman itu seakan disunting untuk menunjukkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa selari dengan urutan tanda masa peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan keraguan apabila pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan dalam video seks berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut mahu rakyat khususnya penyokong Pakatan terus berjuang dalam menentang kezaliman.

"Kita, rakyat mesti teruskan perjuangan. Contohnya ISA. Walaupun baru sebut ISA akan dimansuhkan, itu kemenangan rakyat tapi kita kena teruskan sebab kalau semangat kendur, (perjuangan) akan kedur juga," kata beliau lagi.

Mansuh ISA: Satu Lagi Gimik Pilihanraya BN

Tahun pertama Perdana Menteri Najib Razak menduduki takhta kuasa di Putrajaya beliau telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan dalam program tranformasi ekonominya. Menggambarkan dasar yang diamalkan PM sebelumnya Pak Lah amat lemah. Tanpa transformasi dikatakan Malaysia akan jahanam menghadapi persaingan global dan liberalisasi pasaran.

Akhirnya perjuangan rakyat berjaya

Seterusnya, diperkenalkan sedemikian banyak nama program transformasi yang pelik bagi kebanyakan rakyat seperti NKRA, ETP, EPP, MBE dan lain-lain. Kononnya, semua itu adalah program yang dilaksanakan di kebanyakan negara maju bagi mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi.

Dua tahun kemudian hanya satu perkara yang benar-benar berjaya, iaitu pengurangan subsidi. Makmal rasionalisasi subsidi telah memotong berpuluh-puluh bilion ringgit nilai subsidi barangan keperluan harian seperti minyak, tepung, gula, gas memasak dan lain-lain. Wang daripada penjimatan itu dilaburkan semula ke dalam projek-projek ekonomi kerajaan bagi menyokong pertumbuhan.

Maka ekonomi Malaysia dilihat berkembang, padahal tidak jika subsidi diteruskan. Ini satu helah licik untuk mengkagumkan rakyat dari segi angka pertumbuhan tetapi dalam masa yang sama mengeringkan wang dari kocek mereka. Rakyat Malaysia pada zaman Najib seolah-olah mengunjungi fun fair, bermain sepuas-puasnya kemudian mengeluh kehabisan wang perbelanjaan harian.

Taktik Yahudi

Pada 16 September, ‘ahli sihir’ Putrajaya ini mengubah taktik permainan ke bidang politik pula. Beliau mengumumkan semua undang-undang yang meresahkan rakyat sejak Malaysia merdeka akan dimansuhkan atau dipinda. Termasuklah undang-undang yang menjadi hantu paling menakutkan sejak 60 tahun lalu, ISA. Selain itu, Akta Mesin Cetak, Akta Polis, Akta Kediaman Terhad dan beberapa akta lain akan diubahsuai untuk menjadi mesra rakyat. Adakah Najib benar-benar tulus dan akan mengotakan janjinya?

jika rakyat tidak mendesak adakah najib akan bertindak?


Berdasarkan rekod lalu, PM yang sering membuat ‘magik kata-kata’ itu terkenal seorang penipu yang mahir. Lebih-lebih lagi beliau pernah mengambil agensi perunding pentadbiran APCO dari Israel sebagai penasihat. Sementelah itu rakyat wajib percaya apa yang akan dan sedang berlaku di negara ini, hampir kesemuanya, tidak akan jauh berbeza dengan permainan politik di kalangan ahli politik Israel.

Sebagaimana tidak akan berjayanya Palestin mendapat pengiktirafan merdeka dari PBB pada bulan September ini seperti yang dituntut Presiden Mahmud Abbas, Malaysia juga tidak akan melihat satu penyelesaian menyeluruh dalam isu pengembalian hak asasi manusia yang sekian lama dicabul.

Pemansuhan ISA tidak lebih daripada usaha terdesak Najib untuk menarik undi masyarakat Cina dan Melayu kembali kepada BN. Setelah 3 tahun mencuba pelbagai pendekatan bagi mengembalikan undi yang terlepas dalam pilihanraya 2008 tidak berjaya, diharap pemansuhan ISA adalah satu langkah besar yang boleh memperdaya rakyat.

Perlu diingat, Najib Razak satu-satunya PM yang tidak pernah menggunakan ISA ke atas aktivis politik sejak berkuasa. Beliau mengambil iktibar kecundangnya Pak Lah dalam pilihanraya 2008 selepas menggunakan ISA menahan 8 pemimpin Hindraf selepas tunjuk perasaan November 2007. Najib juga sedar ketidak-popularan ISA apabila 30,000 rakyat Malaysia keluar menunjuk perasaan pada Ogos 2009 membantah penerusan akta itu. ISA memang telah mencapai tarikh luput, dan seperti makanan, mana-mana pemerintah yang menggunakan akta melepasi tarikh luput pasti akan mengalami kehancuran.

Oleh yang demikian, Najib tidak membenarkan sepupunya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Husien dalam mencegah tunjuk perasaan Bersih bulan Julai lalu menggunakan ISA ke atas aktivis politik. Hishamuddin berpaling menggunakan Ordinan Darurat yang hampir sama kuasanya dengan ISA.

Medium seni mendesak kerajaan


Ordinan Darurat mempunyai peruntukan yang saling tidak tumpah dan diluluskan pada tahun-tahun darurat di mana ISA diluluskan. Cuma Ordinan Darurat dalam tempoh penahanan awal (dua bulan), suspek kerap dibawa ke hadapan majistret dan hakim untuk menyambung tempoh penahanan. ISA tidak memerlukan mahkamah sama sekali untuk perintah menyambung tahanan. Keputusan berpusat di tangan Menteri Dalam Negeri.

Ordinan Darurat selepas Parti Komunis Malaya berdamai dengan kerajaan Malaysia pada 1989 tidak lagi digunakan untuk menahan aktivis politik atau yang dianggap berunsur subversif sebaliknya hanya digunakan terhadap penjenayah merbahaya.

Najib berkata akan juga menamatkan kuatkuasa 3 proklamasi darurat yang pernah dibuat dan menyebabkan sehingga kini Malaysia masih dalam keadaan darurat teknikal. Mengapakah Ordinan Darurat ini tidak digantung sama? Negara yang kukuh demokrasinya akan menggantung akta seperti itu dalam keadaan aman. Untuk mengembalikan fungsinya, seandai berlaku darurat, tidaklah sukar kerana darurat di bawah kuasa Yang Dipertuan Agong dan boleh diputuskan dalam masa beberapa jam sahaja. Jadi, biarpun ISA telah mansuh dan diganti akta lain yang kononnya mesra rakyat, adakah rakyat Malaysia bebas sepenuhnya? Tidak. Ordinan Darurat menganga menunggu untuk membaham mereka!

Hak asasi kekal muram

Sama seperti magik transformasi ekonomi yang diatur Najib, apabila tersedar, rakyat mendapati harga barang keperluan harian lebih mahal dan mereka semakin sukar untuk membeli makanan serta tidak lagi mampu menyimpan wang secukupnya untuk kegunaan hari tua; magik transformasi politik ini juga akan membawa implikasi sama. Di penghujung hari, rakyat akan mendapati tidak banyak yang berubah.

BN takut kepada demo anti ISA 2009


Rekod hak asasi manusia mungkin lebih baik sedikit tetapi tetap tidak ada hak untuk menganjurkan perhimpunan aman, tiada kebebasan media, tangkapan sewenang-wenangnya masih dibenarkan tetapi lebih kerap dibawa ke mahkamah, permit penerbitan kekal sukar diperolehi bagi kumpulan tidak sehaluan dengan pemerintah namun tempoh bertahan permit mungkin lebih panjang daripada yang dipraktikkan sekarang.

Satu mercu tanda penting untuk melihat Malaysia adalah negara pendusta hak asasi ialah penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Ia ditubuhkan oleh parlimen dan diusahakan hampir sepenuhnya oleh Tan Sri Musa Hitam dibantu beberapa NGO perundangan. Setelah penubuhannya pada 2002 diharapkan rekod hak asasi di negara ini akan lebih baik kerana kerajaan mengeluarkan modal untuk membiayai perjalanan suruhanjaya itu. Malangnya, setelah sedekad berlalu hak asasi manusia tidak langsung menunjukkan peningkatan. Laporan yang dikeluarkan oleh Suhakam tidak banyak yang diambil peduli oleh kerajaan. Hampir tiada apa yang boleh diubah oleh suruhanjaya itu kecuali berkhidmat sebagai arkib penyimpanan rekod aduan rakyat.

Inilah kualiti kerajaan yang menjanjikan perubahan politik menjelang pilihanraya umum ke-13. Lebih buruk lagi, dijanjikan oleh PM yang sebelum ini berjanji untuk memberikan stadium mengadakan perhimpunan Bersih kemudian menafikan beliau berjanji sedemikian. Berjanji untuk memberitahu hal sebenarnya yang diceritakan oleh saksi kes liwat Saiful Bukhari Azlan, namun pergi ke mahkamah untuk mengesahkan tidak akan sama sekali menjadi saksi perbicaraan. Apakah rakyat Malaysia perlu jadi bodoh sekali lagi untuk mempercayai janji politik PM seperti ini? Buatlah seribu akta yang mengikut piagam PBB tetapi kerajaan BN tidak akan melaksanakannya.

Kerajaan BN juga wajar ditertawakan kerana sehingga kini tidak mampu melaksanakan walaupun satu syor IPCMC yang ditubuhkan pada era Pak Lah untuk memperbaiki perkhidmatan kepolisian. Jelas, BN dan polisi pemerintahannya tidak boleh diperbaiki. Hanya perubahan kecil di sana sini tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang signifikan kepada keseluruhan sistem.

Perkara yang dilakukan BN kini sama sahaja seperti yang dilakukan oleh kerajaan diktator Afrika Utara. Di penghujung pemerintahan Zine Abidine Ben Ali di Tunisia beliau menjanjikan perubahan struktur kerajaan. Di penghujung pemerintahan Hosni Mubarak di Mesir beliau memecat keseluruhan menteri kabinet yang dikatakan rasuah dan akan membuat perubahan. Di penghujung pemerintahan Muamar Gadafi di Libya beliau membebaskan ratusan tahanan politik dan berjanji untuk berubah. Rakyat Afrika Utara tidak bodoh dan semua pemerintahan kuku besi itu disapu bersih ke dalam laut Mediterranean.

Rakyat Malaysia wajib menolak janji perubahan Najib dan menyapu bersih pemerintahan kuku besi BN dalam PRU ke-13 demi masa hadapan yang lebih baik.

Sel Putik Mungkin Bukan Dari Dubur Saiful : Saksi Pakar




KUALA LUMPUR 21 SEPT: Saksi ke empat, konsultan Molekular Genetesis, Dr Brian Mcdonald terus memberi sebab mengapa DNA "lelaki Y" yang ditemui dalam dubur pengadu Saiful Bukhari Adzlan mungkin bukan Anwar.

Brian turut menegaskan kemungkinan bahawa sampel putik yang diberikan kepada pihak makmal tidak diambil dari dubur Saiful.

Ini berikutan katanya pakar kimia Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Dr Seah Lay Hong dan pembantu Dr Nor Aidora Saedon mengabaikan prosedur 'differential extraction" dalam ujiannya hingga menimbulkan keraguan DNA yang ditemui mungkin berasal dari sperma sel 'epitelium' (kulit).

“Awak kata DNA dari B10 boleh datang dari sel kulit Saiful sendiri?” tanya Yusof.

“DNA itu tidak memberitahu kita bahawa tiada air mani dari pengadu dari putik kapas,” kata Dr Brian.

Yusof kemudian bertanya balas kepada Brian akan dakwaan bahawa makmal JKM tidak mempunyai akreditasi ketika menjalankan ujian sampel DNA pada tahun 2008.

Katanya berdasarkan piawaian ISO17025 yang dikeluarkan agensi antarabangsa, akraditasi makmal JKM tamat pada 2011.

"Jadi apa isu yang anda cuba timbulkan dengan menyatakan makmal tidak ada akreditasi ketika melakukan ujian pada 2008?" soal Yusof.

Menurut Brian, proses 'differential extraction' perlu dilaksanakan untuk menyingkirkan sel-sel bukan sperma bagi memastikan DNA tersebut benar-benar datang dari air mani seseorang individu.

Justeru sekiranya pengasingan sel berjaya maka penggunaan slaid mikroskop juga perlu untuk memastikan sel sperma dan bukan sperma berjaya dipisahkan sepenuhnya kata beliau.

Namun Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden mencadangkan bahawa slaid tidak perlu digunakan sekiranya kesemua sel tersebut telah diasingkan melalui proses 'differential extraction'.

Beliau turut menunjukkan dokumen kepada mahkamah menyatakan "pencucian" sel epitelium tidak ‘perlu’ dilakukan tetapi hanya ‘dicadangkan’.

“Awak mengkelaskan eksperimen Dr Seah cacat kerana beliau tidak ‘membasuh’ sel epitelium?” tanya Yusoff.

“Saya beri keterangan berdasarkan apa-apa yang diberitahu Dr Seah. Dia kata dia tidak melakukannya,” jawab Brian.

Brian menyatakan pandangan bahawa terdapat dua akreditasi berbeza.

Mahkamah bersambung jam 2.15 petang.

Mat Sabu Mengaku Tidak Bersalah, Bakal Dibicara



BUTTERWORTH 21 SEPT : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

Beliau menyatakan demikian di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin di Mahkamah Seksyen Butterworth di sini sebentar tadi.

Ikmal menetapkan ikat jamin sejumlah RM 15 ribu dan tarikh sebutan kes ialah pada 27 Oktober hadapan dan perbicaraan akan dijalankan pada 5 hingga 9 Disember.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kelihatan tenang tiba di mahkamah dan diiring ratusan penyokong yang tiba sejak jam 8 pagi di perkarangan mahkamah tersebut.

Ketika ditanya komen beliau, Mat Sabu menyatakan kesediaan beliau menghadapi kes tersebut.

"Kes ini berkenaan intrepertasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan menerusi dialog dan debat, bukan mahkamah.

"Namun, memandangkan (sudah) jadi kes mahkamah, kita akan hadapinya," kata beliau