Malaysia yang (Masih) Goyang


Hasmi bin Hashim

Menjelang Hari Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak umumkan dalam ucapan secara langsungnya di TV1, kerajaan akan hapuskan ISA. Beberapa akta lain, antaranya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang digubal di era Mahathir Mohamad, juga bakal dipinda.

Apa yang diumumkan Najib mencerminkan tak semua yang dilakukan pemerintah, selama sebuah parti itu berkuasa, adalah benar. Dalam ucapannya, beliau akui era "pemerintah tahu segalanya" sudah berakhir. Malang, kesedaran penguasa adalah lambat setelah begitu ramai orang terdekam di Kem Tahanan Kamunting; setelah media terbungkam dan kebebasan bersuara diserkap, barulah sedikit nada demokrat terdengar dari corong RTM.

"Kerajaan besar" bukan lagi konsep dan amalan yang bagus, malahan "kerajaan kecil" dengan kuasa-kuasanya yang terhad kini lebih berkesan. "Berkesan" lebih mustahak daripada "besar". Sebesar apa pun tak berguna, kalau tak berkesan, khususnya tak membawa manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat. Contoh yang ada, saiz pejabat yang besar kini tak lagi menunjukkan bos di dalam pejabat itu hebat. Pejabat yang besar hanya timbulkan karenah birokrasi yang macam-macam serta biaya penyelenggaraan yang tinggi.

Berbuih mulut untuk dihujahkan bahawa segala bagai akta yang digunapakai yang bersifat draconian itu, mencengkam dan bertentang dengan Perlembagaan Persekutuan. Kritikan ini sebelum malam semalam, selalu diperlekeh elit penguasa termasuk di kalangan Pemuda UMNO sekalipun. Pemuda sewajarnya penuh idealisme. Bukannya bertakung air dalam kepala, atau "airlisme".

Adatnya kaum feudal, menunggu bos berkata iya, maka semua pun angguk-angguk kepala. Ini tanda orang yang tak boleh berfikir sendiri akibat airlisme. Barang diingat, demokrasi bukan masa lalu; demokrasi selamanya untuk masa depan Malaysia. Kesepaduan negara-bangsa takkan mungkin wujud tanpa jaminan ruang demokrasi.

Malaysia adalah negara muda. Baru 48 tahun, tahun ini. Kemerdekaan yang disambut pada '57 itu adalah bagi negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Tak termasuk Sabah dan Sarawak, sedangkan tanpa kedua wilayah berkenaan, takkan berdirinya Malaysia.

Sebelum Tunku Abdul Rahman (gambar kiri) mengemuka gagasan Malaysia, khasnya kepada Malcolm MacDonald dalam pertemuan mereka di Kuala Lumpur, Disember 1958, buah fikiran tersebut terlebih dahulu telah dibincang, dipelopor dan diperjuangkan oleh tokoh-tokoh nasionalis seperti Ibrahim Haji Yaacob, Dr Burhanuddin El-Helmy dan Ahmad Boestamam. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) jadi parti terawal yang menggagaskan konsep "Melayu Raya", iaitu nama asal bagi Malaysia.

Mewujudkan Melayu Raya ditentang bukan sahaja oleh Indonesia, juga oleh Filipina. Sebab penentangan berbeza-beza. Indonesia menuduh konsep "Malaysia" adalah kesinambungan kuasa penjajahan Barat, atau neo-kolonialisme. Soekarno ragu, wilayah-wilayah yang bergabung di dalam Malaysia bertujuan "mengepung Indonesia" secara geografi, politik dan ekonomi. Sebelumnya, beliau juga pernah bercita-cita untuk mewujudkan Indonesia Raya sebagai kesatuan seluruh wilayah-wilayah Nusantara sebelum Indonesia merdeka.

Bagi Filipina, penentangan terhadap pembentukan Malaysia dengan protes bahawa Borneo Utara (Sabah) adalah miliknya. Dengan kerjasama British, satu referendum dijalankan di kedua wilayah itu, iaitu Sabah dan Sarawak. Dengan pungutan suara itulah menjadi hujah Tunku tentang hasrat dan persetujuan rakyat Sabah untuk turut sama menyertai persekutuan baru ini.

Sempadan dua negara utama di Nusantara terbelah kerana penjajahan. Indonesia yang merdeka pada 1948 adalah jajahan takhluk Belanda, dan Malaysia di bawah British. Indonesia merdeka serentak dengan penubuhannya, tetapi Malaysia melalui dua proses iaitu kemerdekaan Tanah Melayu, enam tahun sebelum terbentuknya Malaysia.

Namun, tanpa Singapura dan Brunei yang diperkira bersama gugusan Melayu Raya, apakah gagasan Malaysia itu boleh dianggap sepenuhnya berjaya? Dengan hanya kemasukan Sabah dan Sarawak, apakah Malaysia masih perlu bernama Malaysia… atau sebaiknya persetukuan ini memakai nama awalnya sahaja, iaitu "Malaya"? Kita selalu ingat, kemerdekaan Singapura pada 2 Ogos tahun yang sama dengan penubuhan Malaysia berakibat Kuala Lumpur terlewat untuk membentuk Malaysia yang sepatutnya sama dengan tarikh 31 Ogos.

Lee Kuan Yew (gambar kiri) mengumumkan kemerdekaan Singapura sendiri. Sebelum itu, Singapura sudah mempunyai kerajaan, tetapi dianggap sebagai "kerajaan dalam negeri". Kuasa kerajaan dalam negeri terhad dan tidak diiktiraf kuasa-kuasa besar dunia termasuklah PBB. Singapura sebelum mengumumkan kemerdekaannya, tidak boleh membuka kedutaan di mana-mana negara luar.

Lee bolehlah dianggap merampas kemerdekaan. Bukan dari British, tetapi dari Kuala Lumpur. Cuma tindakan itu tidaklah begitu terasa apabila Singapura sertai Malaysia. Lee mencemeh, dengan ejekan Singapura merdeka sendiri, tetapi Tanah Melayu merdeka dengan "dulang emas".

Berbeza dengan gagasan yang dikemuka tokoh-tokoh progresif, terutama di dalam PKMM, mereka tidak pernah melihat Singapura itu terasing dari jajahan Johor. Berdirinya sebuah negara merdeka bernama Malaya adalah sekali dengan penyertaan Singapura, selain wilayah-wilayah lain bekas jajahan takhluk Inggeris yang belum merdeka. Gagasan ini termasuk di dalam apa yang disebut sebagai "merdeka secara penuh".

Prinsip asas "merdeka secara penuh" ialah sebarang keputusan tak perlu rundingan dengan pihak Inggeris. Adalah tidak munasabah untuk rundingan dibuat dengan pihak yang menjajah. Identiti dan perlembagaan negara ini, biar ditentulah oleh anak bangsa sendiri dan bukannya akan nasihat Inggeris yang membantu untuk merupa bentuk sebuah negara selepas jajahan.

Perlembagaan Rakyat pun siap ditulis pada 10 Ogos 1947. Kertas hitam-putih ini menjadikan Inggeris tercabar. Mereka masih mahu campurtangan termasuk dalam pembentukkan asas negara apabila Inggeris juga menubuhkan Suruhajaya Perlembagaan Rendell. Anggota-anggota di dalam suruhjaya ini dilantik langsung oleh Baginda Ratu di England. Barang diingat, Perlembagaan Persekutuan yang terpacak sebagai tiang seri Malaysia hari ini tak lain adalah daripada apa yang didraf oleh suruhanjaya berkenaan dan mendapat restu Ratu.

Pertembungan golongan progresif dengan kaum feudal sudah berlangsung sebelum merdeka. Bagaimanakah boleh dibanggakan apabila bendera Malaysia yang terkibar sepertimana hari ini, juga dengan kehendak Ratu; dan Malaysia jadi satu-satunya negara di dunia yang benderanya seakan-akan bendera Amerika Syarikat.

Anehnya, negeri ini merdeka dan terbentuk tanpa perbincangan rancak. Ia hanya dilakukan oleh dua-tiga kerat kaum feudal tanpa dibahas dan dibincangkan secara umum. Selepas 48 tahun, akta seperti ISA baru dijanjikan akan dihapuskan, ya selepas akta itu memakan korban begitu ramai orang. Dan selepas begini lama juga, lantai-lantai, tiang dan pasak negara ini mula dibongkar dan disemak kembali.

Terlihatlah masih wujud lobang-kelabang, sompang-sempek dan hugal-hagilnya di sana-sini. Kecintaan terhadap negeri dan bangsa bermaksud memperkukuh segala yang goyang pada terasnya.

*Dipetik dari Jalan Telawi. Hasmi bin Hashim ialah seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.

Kes Fitnah II : Dr Seah "Sembunyi" Maklumat DNA Ketiga, Dakwa Dr Brian


KUALA LUMPUR 19 SEPT: Perbicaraan kes fitnah kedua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini apabila saksi ke lima konsultan Molekular Genetisis, Dr Brian Mcdonald mengambil tempat semula di kandang saksi.

Peguambela Ram Karpal yang menyoal sejak awal pagi menimbulkan keraguan tentang prosedur standard makmal Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bersabit sampel DNA yang diperolehi daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Brian menjelaskan berdasarkan laporan pakar kimia Dr Seah Lay Hong dan pembantu Nor Aidora Saedon telah menemui tiga sampel DNA dari dubur Saiful.

Namun Brian mendakwa Seah tidak menyatakan dalam laporannya akan kehadiran DNA individu ketiga yang menyumbangkan bacaan tinggi melalui ujiannya selain daripada Saiful dan 'lelaki Y'.

"Dia (Seah) menemui DNA lain tapi dia tidak melakukan apa-apa," kata Brian di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Justeru katanya lagi, pakar kimia itu mengabaikan beberapa garis panduan asas makmal untuk memastikan sampel DNA diasingkan sepenuhnya daripada bendasing.

"Dia tidak boleh mengatakan ianya milik sesiapa... hanya jika dia melihat melalui mikroskop dan memastikan sampel hanya mempunyai ekstrak sperma asli," tambah beliau lagi.

Sementara itu peguam Sankara Nair yang ditemui ketika mahkamah berehat sebentar menyatakan Seah sedar akan kewujudan individu ketiga pada sampel DNA melalui ujian Electropherogram (EPG) namun beliau gagal melaporkannya.

"Mungkin ada individu ketiga dalam laporan Seah dan Aidora. Beliau nampak tapi beliau tidak melaporkannya," jelas Sankara kepada media.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang.

Laporan lanjut menyusul...

Pejuang Kekalkan ISA Sibuk Nak Jadi Hero

ULASAN : Perisytiharan penghapusan akta zalim ISA pada 15 September telah memenuhi dada-dada akhbar. Seperti lazimnya, juak-juak Umno, yang dulunya lantang melaungkan dan memperjuangkan pentingnya ISA dikekalkan, telah menebalkan muka dan memuji bertubi-tubi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang berani, tegas dan hebat.

Jika pujian itu diterima, secara logiknya - bukankah itu bermaksud dulu semua pemimpin Umno ini penakut, tiada ketegasan dan tiada kehebatan? Cuma sekarang saja ada keberanian.

Pada tahun 2009, kerajaan BN berkali-kali menegaskan bahawa dasar dan pendirian kerajaan adalah untuk mengkaji dan “bukannya memansuhkan ISA.”

Malah pada bulan Disember 2009, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa “semua pihak” sepakat Akta Keselamatatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan.

Pakatan Rakyat pula dalam Buku Jingganya pula menyatakan akan memansuhkan ISA. Apabila Pakatan Rakyat kata penghapusan akta zalim ini meniru idea dalam Buku Jingga, tiba-tiba bangkitlah beberapa orang menteri Umno amnesia yang menyatakan bahawa ini idea asli perdana menteri, bukannya tiru idea Buku Jingga.

Malah, Najib menyuarakan bahawa “inisiatif untuk memansuhkan ISA adalah keputusan dibuat kerajaan BN dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain.”

Mana ia penghargaan kepada jasa-jasa pejuang-pejuang memansuhkan ISA selama ini? Tak akanlah disebabkan mereka ini rakyat jelata yang menyokong perjuangan samada dalam wadah pembangkang ataupun tidak, dalam menuntut memansuhkan ISA tiada kredit?

Siapakah pencetus inisiatif tersebut kalau bukan rakyat yang membantah kerajaan dalam isu ISA, terutamanya barisan pembangkang dulu, sehinggalah Pakatan Rakyat kini yang menyerang habis-habisan ugutan dan salahguna ISA oleh puak-puak kanan di dalam Umno, dan adik mereka PERKASA selama ini yang menggunakan akta ini demi kepentingan politik semata-mata?

Tetiba, pejuang-pejuang yang dulunya bermati-matian nak kekalkan ISA hendak menjadi hero, yang hendak mansuhkan ISA sejak dulu pula sengaja diketepikan. Tindakan ini terus mengingatkan rakyat kepada nasib yang menimpa pejuang-pejuang haluan kiri pra-kemerdekaan… sejarah seolah-olah diulang tayang untuk membuka mata rakyat.

Tiru idea

Cukup marah nampaknya perdana menteri dan para pimpinan Umno apabila dikatakan mereka telah meniru idea orang lain - barangkali itu sebenarnya punca utama di sebalik penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli parlimen dari Parlimen dalam kontroversi APCO kerana mereka juga pernah menyatakan idea 1Malaysia adalah hasil ciplak 1Israel.

Media perdana kini terus memberikan bayangan bahawa perdana menteri sedang disanjungi kerana keberaniannya dalam menghapuskan ISA sehinggakan Datuk Zaid Ibrahim perlu cepat-cepat memohon maaf kepada Najib kerana tersilap membuat andaian bahawa menyangka perdana menteri tidak berani, walaupun tiada apa-apa konkrit yang berlaku lagi selain pengumuman lisan beliau.

PAS akan meneliti secara dekat hasrat murni ini dengan hati-hati kerana pada masa yang sama, Najib turut mengumumkan untuk menggubal dua akta baru bagi menyekat golongan “pengganas” yang akan mencetuskan suasana huru-hara dan menggugat ketenteraman awam.

Tafsiran “pengganas” dan “ancaman” ini pula luas, tak tahulah ia mengikut tafsiran Umno-BN ataupun kerajaan memerintah? Semuanya masih samar dan tidak diketahui.

PAS akui keamanan negara menjadi keutamaan dan tiada pihak ingin melihat negara menjadi tidak aman.

Rakyat sering dikecewakan

Namun, kerajaan BN tidak boleh menyalahkan rakyat yang bersangka buruk pada pengumuman ini kerana rakyat sudah banyak kali dikecewakan.

Apa yang menjadi keraguan rakyat ialah kebanyakan akta digubal asalnya dengan tujuan yang sangat baik, tapi rakyat sedar apabila sampai sudut pelaksanaannya, ia sering kali disalahgunakan bukan untuk menjaga kepentingan negara, tapi hanya kepentingan Umno BN, terutamanya apabila hipokrisi mereka telah terlondeh dan nyawa-nyawa ikan.

Ini ditambah pula dengan pelbagai janji Umno BN yang jarang ditunaikan, terutamanya janji-janji yang ditaburkan semasa pilihan raya telah menyebabkan majoriti rakyat serik dengan pengumuman sedemikian.

Pada masa yang sama, rakyat kini dibelenggui satu persoalan yang amat mustahak - apakah jaminan yang boleh mereka harapkan dengan mengekalkan Umno-BN, selain ISA yang dijanjikan akan dimansuhkan, apakah jaminan bahawa penyelewengan, rasuah, salahguna kuasa, politik fitnah akan turut terhenti daripada terus berlaku itu?

Rakyat sebenarnya sedar bahawa tiada apa yang boleh dijamin dalam hal-hal sedemikian sekiranya Umno-BN dikekalkan. Tambahan pula, Najib sudahpun memberikan bayangan jaminan bahawa rakyat akan terpaksa menanggung kedatangan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) sekiranya Umno-BN kekal berkuasa selepas pilihanraya umum ke-13.

Oleh itu, jaminan terbaik sekarang untuk rakyat ialah dengan mengambil langkah berani untuk mencuba pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat untuk satu penggal bagi membolehkan segala janji yang diterterakan dalam Buku Jingga dilaksanakan selepas pilihanraya umum ke-13.

Percayalah kerajaan Pakatan Rakyat akan bersungguh-sungguh melaksanakan semua janji mereka kerana Pakatan Rakyat sedar 'rakyat' adalah bos mereka yang sebenar dan hakikatnya, tiada kerajaan yang hanya ingin berkuasa untuk satu penggal. Inilah jaminan yang lebih menyakinkan daripada terus mempercayai bahawa Umno-BN akan berubah satu hari nanti.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Ketua Penerangan PAS.