Lima Syarat PR Relevan, Kerajaan Tidak Ada Sebab Untuk Tolak

SHAH ALAM 14 SEPT: Lima syarat yang diletakkan Pakatan Rakyat (PR) untuk turut serta dalam jawatankuasa khas parlimen (PSC) demi membawa pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara harus disambut baik oleh kerajaan demi keadilan sistem pilihan raya itu sendiri dan kebaikan bersama.

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari, syarat atau permintaan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat itu tidak menyalahi undang-undang malah memenuhi tuntutan rakyat.

"Mengapa tidak...dan apa salahnya kerana pilihan raya adalah satu proses dan permintaan yang munasabah kerana pilihan raya mesti adil dan saya rasa tidak melanggar pun undang-undang.

"Malah saya rasakan dari segi perspektif keadilan.. ia adalah satu perkara yang saya rasa tidak akan menimbulkan masalah kerana negara-negara lain pun sebenarnya sudah ada yang berbincang menetapkan tarikh pilihan raya secara bersama," katanya ketika dihububungi Tv Selangor hari ini.

Pakatan Rakyat menetapkan lima syarat untuk menyertai PSC, antaranya ialah penetapan tarikh pilihan raya umum akan datang mestilah dengan persetujan bersama di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Menurut ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, sekiranya syarat itu diterima, maka ia menjadi sejarah apabila tarikh pilihan raya umum dipersetujui bersama untuk mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

Sementara itu, menurut Aziz Bari, Barisan Nasional yang juga pemerintah pada hari ini mempunyai kelebihan dalam mengetahui tarikh pilihan raya memandangkan Perdana Menteri yang akan memutuskan bila parlimen akan dibubarkan.

"Tarikh itu tidak ditetapkan oleh mana-mana parti tetapi apa yang ada dari segi undang-undang bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran parlimen. Jadi dengan itu, parti pemerintah tahulah tarikh yang hendak dibuat,"katanya.

"Apa yang tidak wajar untuk mempersoalkan tarikh PRU perlu ditetapkan bersama? Kerana apabila kita melihat kepada amalan-amalan di negara yang telah lama amalkan sistem ini, perkara itu tidak ditentang oleh kerajaan, jadi apa masalahnya?," soalnya tegas.

Lantaran itu, beliau menyifatkan Umno menghadapi krisis akut yang melampau apabila berdepan dengan keadaan yang defensif dan tidak selesa dengan permintaan daripada PR untuk penambahbaikan pada sistem pilihan raya yang lebih adil lagi saksama.

Pendapat Aziz itu turut disokong oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Abu Hassan Hasbullah apabila menyatakan tidak menjadi satu kesalahan bagi pihak pembangkang untuk meletakkan syarat tersebut memandangkan negara mengamalkan demokrasi berparlimen.

"Urusan pilihan raya bukanlah urusan yang hendak berpihak kepada A mahupun B, kerana demokrasi tidak mengajarkan kita kepada apa sahaja amalan yang tidak adil dan tidak sejahtera serta tidak bebas untuk semua orang.

"Jadi sekaligus untuk menyatakan bahawa negara kita merupakan satu-satu negara tunggal di rantau ini yang mengamalkan demokrasi yang abadi, demokrasi yang abadi untuk semua orang, maka sudah pasti kepercayaan yang berpihak kepada mana-mana sikap politik A atau B tidak dibenarkan secara taksub," katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau yang juga penganalisis politik berkata, sudah tiba masanya tarikh PRU ke 13 perlu ditetapkan segera bagi kebaikan semua pihak dari terus menimbulkan pertanyaan kepada rakyat.

Abu berkata negara akan rugi jika rakyat pada setiap jam asyik memikirkan soal politik dan dalam masa sama mengabaikan perkara lain yang lebih penting.

Isu Dijajah : Sambutan Merdeka Hanya Sia-sia, Kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR 13 SEPT : Sambutan Hari Kemerdekaan selama 54 tahun ternyata sia- sia jika benar Tanah Melayu tidak pernah dijajah, seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa hakikat kehadiran British di Malaya adalah kerana mereka bertindak seperti penjajah sekali gus bersetuju dengan kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British, tetapi menegaskan hakikatnya, sultan-sultan akhirnya bertindak mengikut arahan British.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan Mahathir itu juga disifatkan hanya mahu mempertahankan MPN sekali gus sebagai cubaan meyakinkan rakyat yang semakin keliru dengan sejarah tanah melayu.

"Andaian itu adalah cubaan mereka (Umno) untuk lari daripada kenyataan bahawa Malaysia ini tidak pernah dijajah. Sekirannya itu andaian mereka, sambutan hari kemerdekaan adalah sambutan yang main-main selama ini," katanya ketika ditemui diluar perkarangan Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES), hari ini.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.

"Kita secara teknikal tidak pernah terjajah. Apa yang kita lakukan adalah sultan-sultan memutuskan untuk menjemput British datang ke mari dan menasihatkan mereka mengenai cara mentadbir negeri. Dalam kata itu, kita tidak dijajah.

"Seperti di Pulau Pinang, kita dibayar supaya memberikan mereka stesen untuk berdagang... Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka beroperasi seolah-olah kita dijajah.

 Jumaat lalu, Zainal berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pemerintahan British sebelum ini hanya bertindak sebagai Perdana Menteri yang menasihat Sultan.

"Ia hanyalah andaian Tun Dr mahathir, seperti negara kita hari ini, Yang Dipertuan Agung adalah pemerintah dan penasihatnya adalah Perdana Menteri, tetapi yang menjalankan tugas eksekutif adalah Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agung adalah penaung, begitu jugalah situasinya pada zaman dahulu, apabila British bertindak sebagai penasihat jadi mereka adalah pemerintah kepada negara kita dahulu." kata beliau.

Katanya lagi, kenyataan Mahthir itu bukan sahaja mengelirukan malah ia memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ekoran keliru dengan fakta dan kesahihan teks pelajaran mereka.

"Situasi ini amat mengelirukan, saya cadangkan agar peperiksaan SPM dan lain-lain ditangguh supaya sejarah dikaji semula kerana pelajar menjadi keliru apabila profesor-profesor yang pakar dalam sejarah kononnya memberi pandangan bertentangan dengan apa yang ada dalam teks pelajaran mereka," jelasnya.


Mat Sabu Fail Saman Utusan Malaysia Hari Ini

KUALA LUMPUR 14 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan memfailkan saman ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Hal itu disahkan oleh Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada portal The Malaysian Insider.

Sebelum ini kerajaan berkata Mohamad tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebab tindakannya tidak mengancam keselamatan negara.

“Saya dimaklumkan beliau akan memfailkan kes hari ini, setakat ini satu pihak sahaja... Utusan, beliau akan mengadakan sidang media selepas itu,” kata Tuan Ibrahim.

Penghujung minggu lalu, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata akan memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia berhubung satu berita berkenaan ceramahnya yang menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Tempoh 24 jam yang diberikan beliau kepada akhbar itu berakhir Jumaat lalu.

“Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekali gus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal,” Mat Sabu dipetik sebagai berkata demikian Sabtu lalu.

Mat Sabu sebelum ini menerima serangan bertubi-tubi dari pimpinan Umno dan media arus perdana ekoran menyifatkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Perayaan Merdeka Adalah Perayaan UMNO' - Mohamad Sabu




KUALA LUMPUR 14 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan sambutan hari Kemerdekaan yang disambut selama 54 tahun ini bukannya perayaan bersejarah yang disambut seluruh warga Malaysia tetapi sebaliknya lebih tepat digambarkan sebagai hari 'Perayaan Umno'.

Ini kerana, semua catatan dan fakta kemerdekaan yang agresif diwar- warkan media arus perdana kini, hanya mengangkat pejuang Umno dengan mengenetepikan pejuang berhaluan kiri.

Walhal, pejuang berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Baris Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan banyak lagi, turut berjuang menuntut kemerdekaan negara.

"Sebenarnya semangat patriotik dikalangan rakyat hari ini hampir tidak ada, sebab itu saya gambarkan perayaan kemerdekaan sebagai 'Perayaan Umno' bukannya perayaan rakyat Malaysia.

"Hal ini kerana semangat memperjuangankan merdeka hanya ditumpukan kepada pemimpin Umno dan tidak kepada perjuang-perjuang yang lain, jadi ia lebih tepat dikira sebagai 'Perayaan Umno' dan realitinya rakyat seolah-olah tidak sambut perayaan kemerdekaan," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui TvSelangor diluar Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES).

Beliau juga berpandangan, kerajaan pemerintah kini berdepan dengan jalan sukar untuk kembali menyuburkan erti dan semangat kemerdekaan dalam segenap jiwa rakyat Malaysia melainkan, berlakunya peralihan pucuk pimpinan negara.

"Tidak mampu menghidupakan kembali erti kemerdekaan ini, melainkan kerajaan lain mengambil alih, Umno tidak akan berubah melainkan kerajaan lain melainkan kerajaan lain ambil alih pada pilihanraya ke-13 ataupun akan datang," katanya lagi.

10,000 Pengundi Kes 'My Kad' Palsu Dikeluarkan-PAS

KUALA LUMPUR 14 SEPT : Pemuda PAS mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh dua bulan telah mengeluarkan nama lebih 10,000 pengundi yang dikaitkan dengan kes kad pengenalan palsu.

Pengerusi pemulihan demokrasi dan mobilisasi dewan itu Suhaizan Kaiat yang dipetik Malaysiakini berkata, perkara itu dikesan setelah pihaknya rancak mengenalpasti keraguan dalam daftar pemilih.

"Bukan mudah untuk sesuatu jabatan kerajaan menjejaki lebih 10,000 kes kad pengenalan palsu dalam waktu dua bulan.

"Persoalannya apakah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) sememangnya sudah memiliki senarai kad pengenalan palsu yang akan dimasukkan dalam daftar pemilih SPR untuk tujuan manipulasi pilihan raya?" soalnya.

Pada sidang media di pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Suhaizan turut mengedarkan senarai sepuluh nama bagi membuktikan dakwannya.

Ia melibatkan kes di Selangor, Perak dan Johor yang telah didedahkan sebelum ini.