Sejarah ciptaan UMNO – Oleh Adil Mat Selamat

Sejarah ciptaan UMNO – Oleh Adil Mat Selamat


5 SEPTEMBER – Dalam mencari-cari makna pengkhianatan, pembelotan dan penzalim, kita terlupa bagaimana fakta diputar-belit dan diseludup ke dalam minda masyarakat.

Hantu-hantu seperti perkauman, ajaran sesat, cauvinis hinggalah kepada isu yang sedang hangat pada hari ini iaitu komunis sedang dilemparkan secara membabi-buta oleh kerajaan UMNO-BN kepada sesiapa sahaja yang tidak senada dengan mereka dalam isu kemerdekaan, sejarah dan pejuangnya.

Dalam isu ini, kita sebagai insan waras yang secara jelas menolak sebarang tohmahan dan putar-belit fakta tidak pernah mempertikaikan semangat dan sumbangan tokoh-tokoh UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang sememangnya ada membuat jasa dalam proses negara mencapai kemerdekaan. Tidak kita nafikan itu semua.

Tetapi, adakah dengan bersetuju dengan fakta itu maka kita menafikan fakta lain bahawa bukan tokoh-tokoh ini sahaja yang telah berjuang untuk watan Malaysia, sebaliknya pejuang-pejuang yang sama menentang penjajahan ke atas tanahair kita juga perlu diberi perhatian dan diiktiraf sumbangan dan jasa mereka.

Lain padang lain belalang

Hanya perbezaan cara atau jalan atau pendekatan menentang penjajahan British itu sahaja yang berbeza, bukan bererti tokoh-tokoh ini juga penjarah. Mana mungkin anak nusa seperti Mat Indera, Rashid Maidin, Shamsiah Fakih, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy (sebahagian nama) yang tidak senada jalan perjuangan dengan UMNO pada masa itu, maka mereka boleh dianggap sebagai penjarah.

Perjuangan mereka adalah menentang penjajah. Mahu mengusir penjajah keluar dari ibu pertiwi. Adakah kerana mereka tidak bersekongkol dengan penjajah British sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO, maka hari ini mereka digelar komunis, pengkhianat bangsa?

UMNO melabel anak-anak watan ini lebih buruk dari penjajah British. Betulkah persepsi ini? Cuba kita fikirkan secara waras dan mendalam. Berfikir waras dan mendalam ini bukan suatu dosa, jadi jangan takut atau was-was untuk berfikir waras.

Cuba kita renungkan kembali, barangkali jika kita boleh kedepankan sejarah pada masa itu kepada apa yang sedang berlaku pada hari ini. Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan Nik Aziz berjuang untuk membebaskan masyarakat kita dari belenggu kejahilan dan penyalahgunaan kuasa yang ditimba UMNO kepada rakyat Malaysia.

Pemimpin Pakatan Rakyat ini sedang berjuang untuk membantu, mengubah dan menyelamatkan ekonomi dan nasib rakyat Malaysia. Tetapi jalan perjuangan yang mereka ambi tidak sama dengan cara yang sedang UMNO lakukan, justeru adakah mereka-mereka ini layaknya digelar pengkhianat atau penjarah atau komunis?

Hanya berbeza pendekatan dengan UMNO, maka Pakatan Rakyat atau pemimpin atau penyokongnya dengan mudah dilabel sebagai pengkhianat bangsa?

Jika inilah tanggapan UMNO, pesan kita kepada ahli-ahli UMNO yang ikhlas berjuang, sudah tiba masanya menggunakan akal fikiran kurniaan Allah SWT – bersihkan UMNO dari pimpinan yang korup dan menyeleweng, atau tinggalkan sahaja UMNO.

Siakap senohong gelama ikan duri

Jangan pula kita lupa, jika perasaan tidak selamat itu wujud, hakikatnya ia hanya dirasai oleh elit UMNO yang semakin terhimpit dan kuasa mereka sedang terhakis. Begitulah apa yang penjajah British rasainya suatu waktu dahulu.

Maka semua yang tidak senada dengan cara mereka maka kita akan dilabel sebagai pengkhianat, pembelot dan komunis. Malah asal-usul perkataan ‘pengganas’ komunis adalah ciptaan British yang ditelan bulat-bulat oleh UMNO. Sehinggakan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kekal hingga hari ini adalah warisan penjajah British (sedangkan undang-undang kejam itu tidak pernah wujud di bumi Inggeris sendiri).

Mereka yang melabel orang lain yang berbeza pandangan dan pendirian sebagai pengkhianat sebenarnya orang yang menjarah tanah dan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Sikap dan perangai mereka sama seperti komunis Stalin yang kononnya mereka benci itu.

Untuk menutup kezaliman mereka, sering pula bohong demi penipuan dibuat di muka media kawalan mereka. Mula-mula cakap bohong kemudian mencuri hak-hak rakyat.

Rakyat perlu hentikan segera pembohongan dan penindasan ini.

Harimau mati meninggalkan belang

Permintaan kita amat mudah dan sangat jelas. Berikan keadilan kepada tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan kita secara adil dan tidak berat sebelah. Hapuskan label ‘pengkhianat bangsa’ atau ‘pembelot’ dari nama tokoh-tokoh ini. Berikan pengiktirafan kepada mereka sesuai dengan sumbang dan jasa mereka.

Jika tidak ada keadilan kepada mereka, apa ertinya perjuangan Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Dol Said, Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh, Rentap dan banyak lagi yang menentang penjajah dan penjarah Inggeris.

Roh mereka tidak meminta apa-apa pun dari kita atau UMNO. Tetapi kita sebagai pewaris yang mendapat hasil dari darah dan air mata perjuangan merekalah maka kita boleh mengenal Malaysia seperti hari ini.

Kita yang melakar sejarah, mengapa takut mengubah sejarah untuk kebaikan dan masa depan bangsa Malaysia? Mendahulukan hak rakyat lebih utama dari survival politik sempit UMNO.

Jika ini pun pemimpin UMNO gagal lakukan, jelas sudah UMNO sama teruk dari penjajah British. Malah, seteruk-teruk British pun, mereka tidak pernah merosakkan dokumen penting negara kita. Dokumen sejarah inilah yang telah dan sedang diputar-belit oleh UMNO. – Roketkini.com

PrintFriendly

UMNO kata benci komunis tapi jalin hubungan komunis China

UMNO kata benci komunis tapi jalin hubungan komunis China


IPOH, 5 SEPT – UMNO bersikap hipkorit apabila mengecam Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana kononnya membela komunis dalam kejadian Bukit Kepong 1950 sedangkan UMNO sendiri bersekongkol dengan Parti Komunis China.

Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata putar belit sejarah oleh UMNO membahayakan hubungan harmoni antara kaum di Malaysia kerana cuba menggambarkan fakta melalui fitnah.

Katanya, Mohamad atau Mat Sabu cuma merujuk kepada sejarah negara sebelum Merdeka sedangkan UMNO kini mempunyai hubungan rapat dengan komunis di China melalui perjanjian kerjasama antara parti.

“Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sendiri telah menandatangani perjanjian atau memorandum kerjasama antara Parti Komunis China dan UMNO pada bulan Ogos, tahun 2010.

“Memorandum tersebut ditandatangani di Beijing, China dan pernah mendapat laporan meluas oleh akhbar tempatan.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap Parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa komunis kepada PKM iaitu Parti Komunis China,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan, Parti Komunis China juga sering diundang menjadi tetamu kehormat khas perhimpunan agung UMNO.

Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata UMNO bersikap seperti meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri, iaitu akibat melakukan fitnah.

Beliau berharap rakyat semua kaum tidak mudah termakan fitnah UMNO yang disebarkan secara meluas melalui media kawalan UMNO-BN. – Roketkini.com

Ramai pemimpin akar umbi Melayu bakal sertai DAP

Ramai pemimpin akar umbi Melayu bakal sertai DAP


KUALA LUMPUR, 5 SEPT – DAP yakin akan dapat menarik ramai tokoh dan pemimpin akar umbi dari kalangan orang Melayu termasuk para blogger untuk menyertai parti.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata pengumuman mengenai penyertaan beberapa pakar akademik dan blogger akan dibuat tidak lama lagi.

“Sudah ada perbincangan awal dan mereka juga sudah menunjukkan perkembangan positif untuk menyertai DAP. Kami berharap kemasukan mereka akan memberi semangat untuk lebih ramai menyertai DAP,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Beliau menjelaskan bahawa bukan DAP sahaja yang aktif menarik penyertaan kaum Melayu, malah orang Melayu dan Bumiputera sendiri melahirkan hasrat untuk menyertai DAP yang telah berusia 45 tahun itu.

“Kami mengundang mereka yang boleh memberi tenaga kepada perkembanagn DAP daripada kalangan orang Melayu, dan di Sarawak Dayak… ini merupakan dua etnik khusus, yang DAP beri perhatian buat masa sekarang,” katanya lagi dalam wawancara itu.

Loke gembira kerana walau pun musuh politik terutamanya UMNO dan kumpulan-kumpulan perkauman telah menuduh DAP sebagai parti kaum Cina, parti cauvinis dan komunis, ia tidak menghalang orang Melayu dan Bumiputera yang mengetahui keadaan sebenar untuk menyertai DAP.

“Kami sentiasa berjuang sebagai sebuah parti rakyat Malaysia… perkara ini sudah mula disedari oleh orang Melayu sendiri.

“Saya fikir bahawa sudah sampai masanya, DAP, kita berharap yang ini akan menjadi satu usaha berterusan terutama dengan kemasukan golongan cendekiawan Melayu… masuk ke dalam DAP, kami berharap proses ini akan menguatkan, dan memberi satu suntikan baru ke dalam DAP,” katanya.

Bulan lalu, tokoh akademik dan pakar sejarah budaya orang Melayu, Prof Dr Ariffin Omar telah menyertai DAP.

MB Johor contoh terbaik talibarut British?

MB Johor contoh terbaik talibarut British?
http://edyesdotcom.blogspot.com/

Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.


"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.


"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;

Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah...

KEJAM MACAM SIAPA?ADAKAH KEJAM SEPERTI UMNO

MB Johor: Mat Indera bukan pejuang merdeka, tapi pengganas

September 07, 2011

NUSAJAYA, 7 Sept – Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan,” katanya dipetik Bernama Online.

“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

“Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata beliau.

Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Menurut Mohamad atau Mat Sabu, ia berdasarkan buku “Pengukir Nama Johor” pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera.

Ghani berkata tindakan Mat Indera menyertai PKM menyebabkan dia terpesong dan ianya berlainan daripada pemimpin haluan kiri lain seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad dan Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Beliau berkata kemuncak penglibatan Mat Indera yang kejam adalah peristiwa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950 dan fakta yang diperoleh dari pelbagai sumber sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.

Mengenai buku “Pengukir Nama Johor”, Abdul Ghani berkata dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ), segala kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, merupakan data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam negeri.

Katanya, penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Pelajar Malaysia di Syria Dibawa Pulang Bulan Ini




PUTRAJAYA 7 SEPT : Wisma Putra dilaporkan akan membawa pulang lebih 200 pelajar Malaysia di Syria ekoran pergolakan dinegara itu semakin meruncing.

Pegawai di Wisma Putra, Rosmawati Abdullah ketika dihubungi Tv Selangor mengesahkan proses membawa pulang kesemua pelajar ini akan dilakukan dalam bulan September ini.

"Dalam bulan ini tapi masih tak pasti lagi tarikhnya. Perdana Menteri pun belum buat keputusan lagi. Masih dalam perbincangan tapi InsyaAllah dalam bulan ini juga," jelas Rosmawati.

Tarikh sebenar kepulangan pelajar itu belum ditetapkan kerana masih menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita tengah tunggu keputusan dariapda Majlis Keselamatan Negara," tambahnya.

Rosmawati berkata, pihaknya sentiasa berhubungan dengan kedutaan Malaysia di Damsyik, Syria bagi mengetahui perkembangan pelajar Malaysia di sana dan status keselamatan mereka.
Bagaimanapun, beliau menambah pihak Wisma Putra masih tidak dapat pastikan bilangan pelajar yang benar- benar mahu pulang ekoran ada diantara mereka yang terikat dengan jadual peperiksaan dan pembelajaran.

"Pelajar kita disana lebih 200 orang. Tapi pihak kita masih tak dapat pastikan berapa orang yang mahu pulang ke Malaysia,"katanya.
Kementerian Pengajian Tinggi juga dilaporkan akan mengemukakan surat kepada institut pengajian tinggi (IPT) di Syria bagi memaklumkan masalah dihadapi penuntut Malaysia.

Difahamkan pelajar Malaysia disana berdepan dengan kehidupan sukar apabila rusuhan rakyat Syria semakin teruk sehingga membawa kepada sekatan keatas penggunaan kad kredit dan wang tunai yang tentunya memberi kesan kepada mereka.

Sekatan itu dilakukan Amerika Syarikat sebagai mematuhi kehendak sekatan yang dikenakan oleh Jabatan Pembendaharaan Amerika ke atas Syria baru-baru ini.

Selain daripada Kad Visa, kumpulan Master Card menyatakan kesediaan mereka bahawa pihak mereka akan mengikuti langkah yang sama.

Amerika Syarikat mengumumkan dua minggu lalu bahawa ia telah mengenakan sekatan ke atas Bank Perdagangan Syria dan Bank Perdagangan Lubnan dengan mengatakan bahawa Amerika tidak akan terlibat dalam urusniaga komersial atau kewangan dengan entiti.

Pegawai bank di Syria memberitahu bahawa penggunaan Kad Visa di bank Syria atau bank-bank yang mempunyai cawangan di Syria telah berhenti beroperasi semenjak rabu lalu.

Tv Selangor pada 18 Ogos lalu telah menyiarkan keluh kesah pelajar Malaysia di Syria yang tertanya- tanya apakah usaha yang dilakukan pihak kedutaan dan Wisma Putra bagi membela nasib mereka dibumi bergolak itu.

Berita berjudul "Kami Pun Rakyat Malaysia, Jangan Sisihkan Kami - Pelajar Syria", berkongsi pengalaman beberapa pelajar Malaysia disana termasuk Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Syria, Mohammad Hazuanuddin Sofuan.

Pendedahan itu juga membawa kepada kunjungan Duta Besar Malaysia ke Syria, Mat Dris Yaacob ke rumah salah seorang pelajar disana, Hairul Faizal pada 31 Ogos lalu.

Ketika kunjungan itu berlangsung, Mat Deris sempat mengulas laporan berita Tv Selangor bersabit hubungan dua hala pihak kedutaan dan pelajar.

Tanpa menafikan bahawa pihak kedutaan sentiasa melakukan tugas dengan baik, Hairul mewakili semua pelajar disana menyatakan harapan mereka agar pihak kedutaan meluangkan lebih masa untuk melihat sendiri permasalahan yang terpaksa ditanggung mereka.