Kompas mohon maaf kepada Najib dan keluarga

Akhbar Kompas hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu yang berunsur fitnah.

Permohonan maaf itu adalah berkaitan dengan tulisan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan sebuah syarikat perniagaan, yang telah dinafikan kebenarannya dan juga cincin berlian berharga AS$24 juta, yang sebenarnya tidak pernah dipesan oleh Rosmah.

Permohonan maaf itu juga merujuk kepada laporan tentang bakal besan Perdana Menteri yang dikatakan kononnya mempunyai hubungan dengan mafia Rusia.

"Atas berita tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan keluarga," kata Rikard dalam Kompas Minggu, hari ini, Ahad.

Reformasi Pilihan Raya : Hanya Suruhanjaya Diraja Langkah Terbaik




KUALA LUMPUR 21 OGOS: Sayap kanan Parti Keadilan Rakyat yakin langkah terbaik untuk melakukan penambahbaikan dalam sistem pilihan raya di negara ini adalah melalui penubuhan suruhanjaya diraja.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sikap dolak-dalih yang ditunjukkan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya, menunjukkan ia tidak lebih dari gimik politik semata-mata.

Oleh itu katanya, hanya melalui suruhanjaya diraja kecelaruan dalam sistem pilihan raya dapat diperbaiki.

“Soal PAS mencadangkan suruhanjaya diraja itu.. saya ingat ia adalah satu langkah yang baik, pengumuman Datuk Seri Najib sendiri dalam hal ini pun, kita nampak adalah satu gimik politik untuk menunjukkan kononnya bahawa beliau Perdana Menteri yang responsif pada hal yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Walhal ini bukan sekadar pengumuman tetapi kita mahukan perubahan yang sebenarnya dari segi sistem dan beberapa keadah penipuan yang berjaya kita kesan,"kata beliau.

Ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub semalam berkata, sikap 'flip flop' yang ditunjukkan oleh Najib menyebabkan Parti Islam Se-Malaysia itu tawar hati untuk menyertai PSC.

Sebaliknya, PAS terus berpegang supaya ditubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

Panel parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya akan ditubuhkan pada Oktober depan.

Bagaimanapun kelmarin Najib yang juga Presiden Umno berkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding PSC yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Malah Najib memberitahu oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan dilakukan terlebih dahulu.

Malaysiakini melaporkan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu depan untuk membuat keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Perdana Menteri dan BN untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Laporan itu yang memetik kenyataan media oleh ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan, PAS juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaannya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, semua pihak harus menolak penubuhan PSC dan mendesak suruhanjaya diraja ditubuhkan demi membersihkan sistem pilihan raya negara ekoran ketidakseriusan Najib.

“Saya kira (PSC) wajar ditolak bukan sahaja oleh PAS, tetapi juga PR oleh NGO-NGO lain yang berminat apabila kita bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan.. tetapi dalam masa sama kerajaan tidak bersedia untuk mendengar, seperti pepatah Melayu mengatakan, anjing menyalak bukit, tidak memberi kesan yang signifikan terhadap perubahan sistem pilihan raya ini,"katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berharap Najib berpegang pada prinsipnya sebelum ini untuk memastikan keputusan-keputusan yang dibuat dalam PSC dilaksanakan sebelum PRU13 diadakan.

“Sekarang DAP dan Pakatan Rakyat akan memutuskan perkara ini. Memang pada awal, saya mengalu-alukan cadangan PSC (tetapi) kalau ada langkah yang serius dan bukan hanya satu skrip dan inilah asas penekanan kita.

“(Jadi) ini menimbulkan (tanda tanya) apa guna PSC (ditubuhkan) kalau usaha PSC itu akan sia-sia. Apa yang mustahak sekarang ialah untuk menentukan pilihan dalam penyiasatan sistem pilihan raya,"kata beliau kepada Tv Selangor.


Najib Harus Fokus Kebajikan Rakyat- PAS







SHAH ALAM 21 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan agar lebih fokus dan menumpukan kepada keperluan semasa rakyat berbanding membina imejnya melalui bangunan pencakar langit yang berjumlah berbilion ringgit.

Hal ini kerana menurut Lajnah Tanah dan Pembangunan PAS Pusat, Mazlan Aliman, asas kepada pembangunan sesebuah negara adalah kesejahteraan hidup rakyatnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru pembinaan Menara Warisan 100 tingkat yang kini sudah sampai ke peringkat mereka bentuk bangunan yang dicadangkan dan dijangka siap akhir tahun ini.

Menurut Mazlan, tindakan kerajaan yang mahu meneruskan projek tersebut walaupun dibantah keras sebelum ini kerana berlakunya pembaziran, jelas membuktikan ketidakupayaan kerajaan Najib untuk mendengar suara rakyat.

“Kalau sekadar mercu tanda ini dibina di zaman Perdana Menteri bagi gambarkan oh zaman dia ada bangunan setingi 100 tingkat kononnya jadi tatapan cucu cicit hanya kerana faktor kebanggaan itu semata-mata, saya fikir nampaknya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional ini mereka langsung tidak mempunyai kepekaan terhadap apakah keutamaan untuk dilakukan oleh pemimpin terhadap rakyat dalam keadaan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang semakin meningkat, pemimpin selalu bercakap tentang berjimat cermat, ikat perut dan sebagainya.

"Nampaknya rakyat sahaja yang dipaksa, diperingatkan tentang amalan budaya cermat, jimat cermat bahkan dalam kontek Islam pun, pembaziran ini merupakan saudara syaitan,"katanya kepada Tv Selangor.

Najib akhir tahun lalu berkata, pembinaan projek Menara Warisan yang dicadangkan oleh Permodalan Nasioanal Berhad (PNB) itu bakal menguntungkan negara.

Walau bagaimanapun, tidak pula dijelaskan oleh beliau keuntungan dari aspek apa.

Pembinaan menara 100 tingkat itu, yang akan mengatasi ketinggian Menara Berkembar Petronas, diumumkan dalam bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Difahamkan kerja-kerja mereka bentuk menara tersebut sedang dijalankan manakala projek itu dijangka siap pada 2015.

Projek tersebut, yang dilaporkan membabitkan kos RM5 bilion, bagaimanapun terus mendapat bantahan umum dan pembangkang.

Rata-rata menganggapnya sebagai salah keutamaan termasuk Mazlan.

Keadaan itu ditambah pula dengan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan tangga gaji masih di takok sama.

“Saya ingin ulangi ketegasan kalaulah perancangan kerajaan untuk membina ini diteruskan, saya harap mereka dapat membatalkan hasrat tersebut kerana ini langsung tidak memberi apa-apa kebanggaan kepada negara khususnya rakyat dalam negara kita," kata beliau.

Terdahulu, kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center juga menunjukkan dua per tiga rakyat membantah pembinaan menara pencakar langit itu.

Kajiselidik yang membabitkan 1,005 responden di Semenanjung Malaysia itu, menunjukkan 65 peratus tidak bersetuju dengan rancangan tersebut, dan hanya 25 peratus yang menyokongnya.

Penulis, Novelis Terkenal Meninggal Dunia


PULAU PINANG 21 OGOS : Penulis & novelis terkenal Azizi Hj Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan.

Allahyarham menjani pembedahan jantung pada bulan April yang lalu dan mengalami sedikit masalah berkaitan buah pinggang dan berada di hospital sehingga kematian beliau.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Tema penulisan Azizi berintikan agama dan rohani telah mengukir nama sebagai penulis yang berpengaruh di Malaysia.

Antara karya beliau yg terkenal ialah "Seorang Tua Di kaki Gunung" yang diangkat menjadi drama TV.

Banyak novel dan cerpen karya Allahyarham mendapat pengiktirafan, antaranya Anugerah SEA Write Award (1988) dari Thailand.

Allahyarham juga merupakan seorang yang cekal dalam perjuangan Islam dan adalah antara aktivis yang gigih dan cekal untuk menyatakan kebenaran terutama dalam penulisannya.

Blog Allahyarham http://aziziabdullah.blogspot.com/ kali terakhir dikemaskini pada 15 April 2011 semasa Allahyarham hendak menjalani pembedahan jantung.