Peguam Anwar Temubual Najib Dan Rosmah



KUALA LUMPUR 12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kini berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk ditemubual oleh peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tiba pada jam 2.55 petang tadi dan kini berada di tingkat tujuh.

Anwar juga berada di situ untuk menghadiri temubual tersebut.

Peguam Karpal Singh, Sankara Nair dan Param Cumaraswamy dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan temuduga itu.
Selain Najib dan Rosmah, bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof juga hadir untuk ditemubual.

Anwar juga berada di situ untuk menghadiri sesi temubual tersebut yang dijalankan Peguam Karpal Singh, Sankara Nair dan Param Cumaraswamy.

Pada masa ini sekumpulan kira-kira 20 wartawan termasuk jurugambar sedang menunggu di luar perkarangan mahkamah.

Najib dan Rosmah termasuk dalam senarai saksi yang mahu ditemubual peguam Anwar sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.

Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan semua saksi yang ditawarkan pendakwa raya kepada peguam Anwar, perlu hadir untuk ditemubual.

Peguam sebelum ini mahu Najib hadir ditemubual sebagai saksi ekoran pertemuannya dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dua hari sebelum Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar pada 28 Jun 2008.

Selain itu Saiful turut bertemu dengan beberapa tokoh lain termasuk Datuk Mumtaz Jaafar, pembantu khas kepada Rosmah.

Keterangan Najib dan Rosmah turut diambil pegawai penyiasat polis DSP Jude Pereira, sekaligus mewajarkan kedua-duanya menjadi saksi dalam kes tersebut.

Jawapan Kerajaan kepada SUHAKAM: Pemansuhan permit perhimpunan bukan keputusan tepat

Jawapan Kerajaan kepada SUHAKAM: Pemansuhan permit perhimpunan bukan keputusan tepat

MerdekaReview | Aug 12, 2011 01:04:49 pm

"Keamanan, ketenteraman dan keselamatan" menjadi alasan kerajaan untuk menolak cadangan SUHAKAM agar permit perhimpunan dimansuhkan.

"Permit Perhimpunan seperti mana yang disyaratkan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 merupakan satu bentuk kawalan dan mengelakkan berlakunya perkara yang memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Maka pemansuhan permit perhimpunan bukanlah satu keputusan yang tepat kerana perhimpunan tanpa kawalan dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam di sesuatu kawasan.

Kerajaan telah mengkaji dari segi dasar dan mendapati keperluan untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam maka peruntukan undang-undang sewajarnya dikekalkan
."

Demikianlah maklum balas kerajaan persekutuan terhadap Laporan Tahunan SUHAKAM 2010, ketika mengulas isu kebebasan berhimpun. SUHAKAM menyeru pemansuhan subseksyen (2), (2A)-(2D), (4), (4A), (5), (5A)-(5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967 dan mengesyorkan agar polis menggunakan cara yang sederhana dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan sesuatu perhimpunan.

Dalam laporan tersebut, SUHAKAM dengan tegasnya mengulangi pendirian bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyertai perhimpunan aman sebagaimana dijamin Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan berhimpun juga dijamin di bawah Artikel 20(1) UDHR.

Namun, kerajaan persekutuan memberi jawapannya, "Buat masa sekarang, Kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan subseksyen (2), (2A)-(2D), (4), (4A), (5), (5A)-(5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967. Walau bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk membuat pindaan pada peruntukan-peruntukan tertentu yang terdapat dalam seksyen 27 Akta Polis bagi mengharmonikannya dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan."

"Walaupun Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman namun menurut Perkara 10(2)(b), undang-undang sekatan boleh diperkenalkan sekiranya hak tersebut disalah guna dan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, contohnya, perhimpunan yang menyebabkan berlakunya keganasan seperti pergaduhan, keganasan, menghalang lalu lintas di jalan raya dan sebagainya."

Kerajaan menambah, "Seksyen 27 dan 27A Akta Polis 1967 merupakan antara undang-undang sekatan yang diperkenalkan bagi memastikan hak tersebut tidak disalah guna oleh individu atau kumpulan individu dan sekali gus dapat menjamin keselamatan dan ketenteraman awam."

Sayalah Mismah!



KUALA LUMPUR 12 OGOS : Seorang warganegara baru Mismah yang mencetuskan kegemparan apabila dikatakan mendapat kerakyatan dalam tempoh empat jam akhirnya ditemui media.

Beliau juga sekali gus tampil menafikan dakwaan mendapat kerakyatan mudah yang dikaitkan dengan dirinya, terutama oleh pihak pembangkang.

"Saya ikut peraturan, bukan macam orang cakap," beliau dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian hari ini.

Wanita asal Bawaen, Indonesia yang mulanya keberatan ditemubual juga mengakui sedih dengan dakwaan 'kerakyatan pintu belakang' itu.

Nama Mismah menjadi perhatian apabila rekod dalam talian pada 2 Ogos lalu menunjukkannya seorang penduduk tetapi disenaraikan dalam daftar pemilih untuk pilihan raya.

Lebih banyak kontroversi muncul apabila selepas empat jam dilaporkan Malaysiakini, status baru ibu kepada empat anak itu bertukar daripada kad pengenalan merah (penduduk tetap) kepada biru (warganegara).

Beliau juga dikatakan seorang daripada 1,597 individu yang diberi status itu secara tidak mengikut prosedur.

"Tidak, Itu semua tak betul. Sudah bertahun-tahun saya mohon jadi warganegara Malaysia, bukan empat jam, bukan empat hari, bukan empat minggu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sebuah lokasi pinggir ibu negara.

Mismah juga mengakui tidak sedar namanya menjadi sebutan atau menjadi buruan media sehinggalah diberitahu anaknya beberapa hari lalu.

Mengimbau kisah hidupnya hampir 30 tahun lalu, Mismah yang digambarkan sebagai ceria, bersuara lembut dan tenang berkata, beliau masuk dengan sah ke Malaysia pada 1982 untuk bekerja sebagai pengangkut simen.

Beliau ketika itu menetap di rumah neneknya di Keramat, Kuala Lumpur dan berpindah ke setinggan Kayu Ara di Petaling Jaya selepas berkahwin dua bulan selepas itu.

Beliau terus memohon status penduduk tetap dan mengejutkan apabila berjaya mendapatkannya pada 17 Julai tahun yang sama.

Dengan kata lain, Mismah mendapat status itu dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

"Pada masa itu prosesnya mudah, tak macam sekarang," katanya dengan loghat tempatan, sesuai dengan taraf barunya itu.

Bagaimanapun, pengalamannya mendapat kewarnageraan penuh pula menunjukkan pengalaman berbeza apabila terpaksa menunggu 17 tahun, 12 tahun berurusan di Petaling Jaya dan selebihnya di Putrajaya.

Dilaporkan, mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), permohonan Mismah diluluskan pada 31 Januari tahun ini selepas 29 tahun menjadi penduduk tetap.

Mismah, empat anaknya dan - dua lelaki dan dua perempuan termasuk ibunya yang sudah berumur 70 tahun juga merupakan pemegang kad pengenalan biru.

Tiga anaknya kini merupakan penjawat awam manakala seorang lagi baru tamat belajar.

Beliau kini bekerja sebagai tukang sapu di pejabat sebuah syarikat jualan langsung dan dikatakan seorang penjimat sehingga memiliki sebuah rumah teres.

Mismah ditemui dua wartawan Sinar Harian. Akhbar berita tempatan berbahasa Melayu itu dikatakan sudah seminggu cuba menjejak wanita itu tetapi hanya menemuinya selepas dibantu maklumat daripada seorang pembaca.

Bagaimanapun, gambar Mismah yang disiarkan sengaja dikaburkan di bahagian mukanya manakala suaminya pila hanya diperkenalkan dengan nama Musadi (bukan nama sebenar).

Peguam Anwar Temubual Najib Dan Rosmah



KUALA LUMPUR 12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kini berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk ditemubual oleh peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tiba pada jam 2.55 petang tadi dan kini berada di tingkat tingkat tujuh.

Anwar juga berada di situ untuk menghadiri temubual tersebut.

Peguam Karpal Singh, Sankara Nair dan Param Cumaraswamy dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan temuduga itu.
Laporan penuh menyusul.

Bajet 2012 Hanya Suntikan 'Feel Good Factor', Kata Dr Dzulkefly



SHAH ALAM 12 OGOS : Hasrat Kerajaan Pusat mahu melaksanakan Bajet 2012 dengan belanjawan inklusif yang berpaksikan rakyat dalam menuju negara maju serta ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020 disifatkan sebagai hanya suntikan 'feel good factor', kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Malah katanya, perlaksanaan itu hanyalah bertujuan untuk mengaburi mata serta menawan kembali hati rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang.

Sehubungan itu, beliau berkata usaha tersebut juga jelas bermotifkan kepentingan politik semata dalam mengekalkan kuasa tampuk pemerintahan sedia ada, walaupun jelas ia dilihat telah gagal menangani masalah pokok yang menekan kehidupan rakyat terbanyak.

"Kita cukup memahami apa yang menjadi perhitungan besar buat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bagi mereka bulan-bulan mendatang ini sehingga hari pembentangan bajet adalah bulan-bulan memenangi keyakinan rakyat dengan menjalankan apa sahaja usaha asalkan hati rakyat berjaya ditawan menjelang musim pilihanraya yang dijangka tidak lama lagi selepas pembentangan bajet," katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian bagi mengulas pendirian kerajaan pusat dalam memberi gambaran indah kepada rakyat berhubung Bajet 2012 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober sebagai belanjawan inklusif yang berpaksikan rakyat dalam menuju negara maju serta ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Dzukefly berkata kerajaan pentadbiran Najib sewajarnya mengambil pendekatan dengan membantu rakyat dengan merungkai amalan monopoli dan oligopoli dalam pemerintahanya yang selama ini didakwa telah menindas dan menekan kehidupan rakyat marhean.

"Inilah caranya (rungkai kaedah monopoli), kalau kerajaan benar-benar mahu membantu dan menolong rakyat, bukannya setelah puas cekik rakyat dengan monopoli selepas itu berhasrat kononnya mahu berbaik dengan rakyat dengan memberikan habuan dalam bentuk kupon, subsidi dan sebangainya," ujarnya.

"Sebenarnya kerajaan mahu kekal memberikan keuntungan kepada kroninya dan hanya memberikan sedikit bantuan kepada rakyat dalam sistem yang masih kekal (monopoli) melindungi kroni-kroninya," katanya.

Justeru itu katanya, kerajaan tidak mampu lari dari amalan monopoli dan oligopoli dalam pentadbiranya ekoran kebergantngan terlalu kuat mereka kepada kroni-kroni yang selama ini menerima bantuan dan projek bagi membantu kerajaan terus kekal berkuasa khususnya dari sokongan dana.

"Inilah cara Umno-BN mendapatkan 'feedback' kembali dari kroni-kroni mereka yang selama ini membiaya mereka untuk kesetiap kali pilihanraya," ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Najib Razak dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan merangka strategi terbaik untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat menerusi bajet itu serta dalam masa sama menguruskan pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, ini termasuk meneliti kaedah untuk meningkatkan rantaian bekalan pertanian bagi memastikan bekalan makanan yang hilang sepanjang proses penghasilan dan pembekalan dapat dikurangkan.

Selain itu, kepimpinan Najib turut menjanjikan akan meneruskan sistem kawalan harga barang dan menguruskan subsidi dengan bijak yang mana merupakan antara subsidi tertinggi diberikan di sesebuah negara.

"Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan lagi inisiatif berfokuskan rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan yang terbaru, Menu Rakyat 1Malaysia iaitu program yang menggalakkan syarikat pengeluar makanan memperkenalkan pakej menu sarapan pagi serendah RM2 dan makanan tengah hari RM4 di restoran-restoran yang mengambil bahagian"

Justeru, Dr Dzulkefly menegaskan pihaknya tidak akan sekali-kali akan membenarkan kroni Umno-BN terus kekal berkuasa dalam memonopoli hasil kekayaan negara.

"Kita sama sekali tidak akan mengizinkan monopoli seperti ini, semua ini (monopoli-kroni) ibarat 'kucing-kucing gemuk, yang gemuk atas penderitaan rakyat," tegasnya.

"Dalam Pakatan Rakyat, kita tidak nafikan ada baik buruknya pemberian subsidi, namun ianya harus dikaji dengan melihat secara keseluruhanya, subsidi akan jadi tidak baik sekirannya disalurkan kepada orang yang tidak layak seperti IPP, pemilik konsesi air dan lain-lain,"tambahnya.


DAP Mahu Nazri Disiasat Ikut Undang-undang Yang Penjarakan Anwar



KUALA LUMPUR 12 OGOS : Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua menegaskan walaupun Datuk Nazri Abdul Aziz telah menjelaskan bahawa suratnya kepada syarikat kaitan kerajaan (GLC) supaya selesaikan saman mereka dengan bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli hanya satu "nasihat", namun DAP mahu menteri itu disiasat atas dakwaan salahguna kuasa dan rasuah di bawah undang-undang yang sama, yang memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

Tony Pua dalam satu kenyataanya berkata, beliau mendakwa ia merupakan satu kes yang jelas menteri menggunakan kedudukannya untuk secara tidak wajar mempengaruhi keputusan yang belum selesai di syarikat-syarikat tersebut.

Menurut Tony Pua, Nazri tidak ada urusan untuk memberi apa juga bentuk arahan kepada GLC kerana beliau bukan ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat tersebut yang dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan terbaik.

Justeru, pihak terbaik untuk menasihati lembaga pengarah syarikat berkenaan berhubung kes perundangan mereka adalah peguam mereka yang dilantik, yang menurut Pua, juga terkejut dengan arahan menteri tersebut.

Malah beliau turut menyifatkan arahan Nazri itu sebagai "memperolok-olokkan urus-tadbir korporat syarikat berkenaan", yang menurutnya hanya akan menjejaskan minat pelabur tempatan dan asing, yang tidak bertolak ansur dengan campurtangan terang-terangan kerajaan dalam perniagaan dan keputusan kewangan.

Tony Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata Nazri boleh disiasat di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No 22/1970.

Malah katanya, seksyen itu menyebut mana-mana anggota pentadbiran, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pegawai awam yang melakukan perbuatan rasuah boleh dihukum penjara 14 tahun atau denda 20,000 RM atau kedua-duanya."