Isu Agama : Jangan Keruhkan Keadaan, Kata Harussani


KUALA LUMPUR 11 OGOS: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan agar jangan ada pihak yang cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan menabur sentimen agama bagi mewujudkan pertelagahan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasil kajian yang dibuat oleh Pew's Forum on Religion and Public Life yang merumuskan Malaysia antara 10 negara teratas dalam ranking dunia yang menyekat kebebasan beragama.

"Kalau (bercakap tentang) kebebasan agama, kita tidak pernah melarang, perarakan Thaipusam kita bagi kemudahan, perakan Cina pun kita bagi kemudahan, Kristian punya sambutan Christmas pun diberi kemudahan, semua kita bagi kemudahan, kita tidak pernah sekat," katanya.

Terdahulu, gempar apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dikatakan menyerbu sebuah gereja di Damansara Utama apabila mendapat maklumat majlis makan malam yang diadakan di gereja itu dihadiri penganut agama Islam.

Hal itu kemudiannya menimbulkan pelbagai pertikaian sehinggalah pada hari ini, JAIS tampil membuat kenyataan bahawa tidak ada serbuan dilakukan pada hari terbabit melainkan pegawai jabatan itu dan polis membuat "pemeriksaan untuk memastikan kehadiran orang Islam".
"JAIS juga menegaskan bahawa perundingan yang diadakan dengan penganjur di luar dewan majlis berkenaan membuktikan tuduhan kononnya JAIS membuat serbuan, kekasaran serta pecah masuk adalah tohmahan liar semata-mata," kata pengarah JAIS, Marzuki Hussin.

Sementara itu, portal Malaysiakini hari ini melaporkan, hasil kajian Pew's Forum on Religion and Public Life yang berpangkalan di Washington DC selama tiga tahun bermula tahun 2006 hingga 2009 mendapati, Malaysia merupakan antara 10 negara teratas yang mengekang kebebasan agama yang berbeza.

Menurut hasil kajian itu lagi, Malaysia kini berada dalam kelompok sama dengan negara-negara seperti Mesir, Iran, Arab Saudi, Uzbekistan, China, Maldives, Burma, Eritrea dan Indonesia.

Malah Malaysia juga dikatakan negara kelima yang mencatatkan peningkatan ketara dalam isu sekatan kebebasan beragama ini.

Antara faktor yang menjadi penyumbang kepada kedudukan tersebut ialah kes rampasan buku dan CD berkaitan agama Kristian seperti kes Jill Ireland di mahkamah dan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian termasuk akhbar The Herald.

Malah ia juga meliputi tindakan ke atas pengikut mazhab Wahabi dan Syiah serta penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Namun menurut Harussani, beliau percaya Malaysia masih berpegang kepada paksi asalnya bersabit isu agama sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Yang di Malaysia bukan menyekat, dalam perlembagaan mengatakan mereka boleh mengamalkan agama mereka sendiri bahkan menghormati tetapi tidak mempropagandakan agama mereka kepada penganut agama Islam.

"Itu sudah ada dalam perlembagaan. Dipersetujui sewaktu merdeka, jadi benda ini tidak betul,"katanya lagi.

Jelasnya lagi, terlalu banyak kekeliruan di kalangan pengkaji agama terutamanya dari negara luar yang dilihat suka mengambil kesempatan ke atas keadaan negara yang sedang keruh dengan isu agama.

"Apa yang dibuat di barat, semua diakui. (Dalam hal ini) kita yang hendak ditekan, itulah (yang dinamakan) globalisasi. Globalisasi itu maknanya (pihak) yang berkuasa dan menekan orang lain, itulah maknanya,"tambah beliau lagi.

Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Sementara perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukkan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan agamanya”.

Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka.

Selain itu, Fasal (4) pula menyebut undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.

Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain.

Bagaimanapun itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4) iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut ketika ditanya oleh TV Selangor mengenai Malaysia yang turut dikaitkan dengan kurangnya sikap bertoleransi dalam isu agama, Harussani ada pendirian beliau yang sendiri.

"Dalam perlembagaan,(cuma yang) disekat dari segi mengembangkan agama kepada orang Islam. Sama kalau hendak diikutkan, di negera lain lagi teruk. Di China ada yang sampai bunuh orang Islam, di German dan di Amerika sendiri, usah cakaplah.

"Kalau itu yang dicakapkan, mereka kena datang Malaysia dan mereka akan nampak,"katanya lagi.

BSKL Menjunam : Persatuan Pengguna Saran Najib Ambil Ikhtibar



SHAH ALAM 11 OGOS : Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disarankan agar mengkaji semula kelemahan diri hingga menyebabkan kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur (BSKL) sejak Jumaat lalu.

Malah menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Dr Jacob George, kerugian yang dialami pelabur itu juga didakwa berpunca daripada keengganan dari terus melabur di Malaysia berikutan bimbang dengan agenda politik yang dimainkan Umno-BN.

Sehubungan itu, Dr Jacob berkata, antara faktor utama yang menyebabkan kejatuhan nilai mata wang luar ke dalam negara adalah dari segi 'Foreign Direct Investment' (FDI) sekaligus mengakibatkan kerugian besar kepada semua sektor dalam indusrtri pada waktu ini.

Walaupun (negara) stabil politiknya, kewangannya, pemerintah dan sebagainya tetapi apa yang dibaca di dalam surat khabar tentang politik-politik fitnah, caci, mengugut menjadi satu masalah yang begitu besar," katanya memberitahu Tv Selangor.

Menurut Dr Jacob lagi, melalui kajian yang dilakukan oleh pihaknya beliau mendapati pelabur mengikuti perkembangan semasa negara, terutamanya terhadap media aris perdana yang lantang mengutarakan berita yang langsung tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

"Ini daripada sisatan kita sendiri, bila kita jumpa pelabur-pelabur mereka selalunya membaca surat khabar berhubung analisis ekonomi kedalaman dan daripada itulah mereka nak cuba untuk melabur tetapi kita mendapati sejak tahun 2008 politik negara kita menjadi seperti 'kanak-kanak di tadika'," jelasnya.

"Ini adalah gambaran yang telah diberi kepada pelabur-pelabur."katanya.

Justeru itu, beliau memberi contoh negara serantau yang berdekatan dengan Malaysia iaitu Singapura yang telah mengambil pendekatan mengubah dasar mereka dengan begitu drastik atas kehendak rakyat yang inginkan dasar yang lebih mesra rakyat dan lebih terbuka.

Jelasnya, begitu juga di Indonesia yang kini mengamalkan konsep yang lebih matang dan tidak dikuasai oleh pemerintah sahaja.

"Contohnya Indonesia, hari ini kedudukan kewangan Indonesia akan naik dengan begitu tinggi sebab negara mereka nampak sebagai satu negara yang kuat,walaupun dulu mempunyai masalah bom dan sebagainya. Mereka telah pulihkan ekonomi dan politik mereka serta menunjukkan politik yang matang di mana instituisi kerajaan dan sebagainya tidak dikongkong," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak peranan media prokerajaan dalam memainkan peranan dalam memfitnah negara sendiri.

Katanya, ini kerana disebabkan retorik politik untuk orang-orang kampung yang tidak boleh menerima kenyataan itulah politik di negara kita kini semakin tercemar.

Ujar Dr Jacob lagi, tindakan pentadbiran Najib memberikan taraf kewarganegaraan penuh kepada rakyat asing untuk dijadikan pengundi hantu jelas menunjukkan bahawa Malaysia kini lebih senang mengamalkan 'politik sarkas' dan mengakibatkan pelabur asing keluar melabur ke negara-negara serantau seperti Filipina, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Tegas Dr Jacob lagi, antara isu-isu yang menjadi ikutan pelabur asing adalah dasar kerajaan yang sering kali berubah, apatah lagi dasar itu dibuat demi kepentingan politik semata.
"Ini akan membawa begitu banyak masalah di masa akan datang sebab polisi-polisi dan dasar-dasar yang kita nak buat adalah 'short-term' dan mempunyai kaitan dengan agenda politik. Pemimpin kita perlu tahu semua itu kerana mereka bukan budak kecil kerana dasar-dasar yang hendak dicapainya juga bukan untuk politik dan untuk satu-satu parti tetapi untuk negara."tegasnya.

Malah katanya, jika keadaan seperti itu akan berterusan ia boleh mengakibatkan rakyat hidup dalam keadaan sengsara serta hilang pekerjaan berikutan terlalu banyak syarikat akan ditutup.

"Bila FDI dan pelabur kita keluar ke Vietnam, Thailand akan menyebabkan banyak syarikat-syarikat akan ditutup dan keluar dari negara kita dan akan mewujudkan masalah pengganguran."katanya.

Ujarnya lagi, kegawatan ekonomi akan berlaku jika tiada pemulihan yang dibuat oleh kerajaan, seperti yang berlaku pada tahun 1998.

Malah, kerajaan juga tidak wajar menyembunyikan kenyataan sebenar terhadap apa yang berlaku terhadap kedudukan ekonomi negara.

Tambahnya, beliau turut memuji pendekatan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor dalam mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan strategi serta dasar yang lebih prihatin serta mendatangkan keuntungan kepada rakyat ekali gus menarik minat dan keyakinan para pelabur.

Belum Ada Petunjuk Bila Boleh Temubual Najib, Rosmah-Karpal


KUALA LUMPUR 11 OGOS : Tiga hari telah berlalu, namun belum ada petunjuk bila pasukan peguam bela, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menembual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, kata peguam Karpal Singh.

Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan Anwar menemubual 15 saksi sebelum beliau memberikan keterangan membela diri dalam kes fitnah liwat ke atasnya pada 15 Ogos ini.

“Mahkamah telah memberikan pihak pendakwaan tempoh seminggu untuk membekalkan saksi untuk ditemubual oleh pihak pembelaan sebelum perbicaraan membela Anwar bermula. Jadi kita tunggu dan lihat,” kata Karpal.

Hari ini, dua lagi saksi dalam kes fitnah liwat Anwar ditemubual oleh peguam Karpal dan Sankara Nair.

Mereka ialah pengawal peribadinya Mokhtar Mustafa dan pemandunya Abdullah Sani Said.

Temubual itu berlangsung selama sejam lamanya,

Dalam pada itu Karpal memberitahu, dua lagi saksi akan dipanggil esok.

Mereka adalah pemilik kondominium, lokasi kejadian di mana Anwar didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Hasanuddin Abd Hamid dan Noor Sham Abdul Hamid.


Bersih 3.0 Kami Tunggu Respons Putrajaya, Kata Ambiga


KUALA LUMPUR 11 OGOS : Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga memaklumkan bahawa pihaknya belum bercadang untuk menggerakkan gelombang Bersih 3.0 dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya kini hanya menunggu respons daripada Putrajaya berhubung lapan tuntutan Bersih 2.0 yang telah diketengahkan.

Ambiga berkata, walaupun kepincangan mengenai sistem pengurusan pilihan raya terus didedahkan dan diperkatakan namun pihaknya mengambil pendirian untuk “tunggu dan lihat” terhadap perkembangan terbaru yang akan diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam tempoh tiga bulan ini.

Pada 9 Julai lalu, Bersih 2.0 telah mengajurkan perhimpunan besar-besaran yang disertai puluhan ribu rakyat Malaysia yang turut disambut dibeberapa buah negara luar.

Jelas Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam , pihaknya kini hanya mahu SPR dan kerajaan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang disifatkan boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Kita ambil pendirian tunggu dan lihat yang mana kita mahu SPR dan kerajaan mengambil tindakan yang serius dan melaksanakan lapan tuntutan kita.

“Kita tahu ada desakan yang mahu perhimpunan Bersih 3.0 diadakan tapi kita tidak pernah membincangkan perkara itu setakat ini... tiada perbincangan dan keputusan,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Ujarnya lagi, walaupun beliau diasak soalan sama berulang kali namun Ambiga tetap mempertahankan pendirian gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Seperti yang saya katakan kita mahu lihat reaksi SPR dan kerajaan terhadap lapan tuntutan kita.

“Sepatutnya semua tuntutan ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan terutamanya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, rasuah dan akses media,” katanya.

Bersih 2.0 membuat lapan tuntutan agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malah, isu kepincangan sistem pengurusan pilihan raya yang hangat diperkatakan kini berhubung pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat mendapat bantahan pelbagai pihak terutamanya kepimpinan Pakatan Rakyat.

Ia didakwa menjadi semakin meruncing apabila pemastautin tetap itu juga turut didaftarkan sebagai pengundi.

Namun dengan pantas perkara itu dinafikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendesak Najib memikul tanggungjawab bagi memastikan daftar pemilih benar-benar serius sekiranya tidak mahu berdepan dengan gelombang Bersih 3.0.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Malaysia Tersenarai Negara Sekat Kebebasan Beragama





KUALA LUMPUR 11 OGOS : Malaysia buat kali pertamanya tersenarai antara 10 negara teratas dalam ranking dunia yang menyekat kebebasan agama yang berbeza.

Satu kajian yang dibuat oleh Pew's Forum on Religion and Public Life yang berpangkalan di Washington DC, Malaysia kini berada dalam kumpulan yang sama dengan Mesir, Iran, Arab Saudi, Uzbekistan, China, Maldives, Burma, Eritrea dan Indonesia.

Malah hasil kajian itu menunjukkan Malaysia antara negara kelima yang mempamerkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun dari tahun 2006.

Kajian yang dilakukan ke atas 198 negara itu mendapati, sekatan terhadap kepercayaan dan amalan agama telah meningkat pada pertengahan tahun 2006 hingga 2009 di 23 negara, termasuk Malaysia dan Mesir.

Kaji selidik itu dijalankan oleh felo kanannya Brian Grim dan para penyelidiknya yang meninjau data-data dan maklumat termasuk laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Majlis Kesatuan Eropah, dan beberapa kumpulan hak asasi.

Tujuan mereka adalah untuk melihat sejauh mana tolak ansur setiap negara berhubung agama yang berlainan.

Di Malaysia, beberapa kejadian, dikatakan faktor penyumbang kepada kedudukan yang tidak diingini itu.

Ini termasuk rampasan buku dan CD berkaitan agama Kristian seperti kes Jill Ireland di mahkamah dan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian termasuk akhbar Herald.

Tindakan pihak berkuasa ke atas pengikut mazhab Wahabi dan Syiah serta penangkapan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga dipercayai mempengaruhi kajian itu.

Begitu juga dengan laporan dan aduan mengenai perobohan kuil-kuil Hindu, sehingga menyaksikan pembentukan Hindraf dan demonstrasi besar-besaran pada 2007 yang sebelum ini belum pernah terjadi di Malaysia.

Anwar : Hanya Menteri Kewangan Boleh Arah GLC


KUALA LUMPUR 11 OGOS: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz kerana mengeluarkan surat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menarik balik saman yang difailkan ke atas bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli.

Menurut Anwar, jika sesuatu perkara membabitkan GLC, arahan mesti datang daripada menteri kewangan atau Kementerian Kewangan dan bukannya Nazri.

“Arahan seumpama ini sepatutnya datang dari Menteri Kewangan (dan bukannya Nazri) kerana ini membabitkan GLC.

“Kerajaan sebelum ini berkata mereka mempunyai kes yang kukuh terhadap Tajudin yang membabitkan berbilion ringgit (dalam mengemukakan saman). Ini amat menganggu,” kata Anwar yang juga seorang bekas menteri kewangan yang dipetik dari Keadilan Daily.

Menurut sebuah portal berita, Nazri dalam sepucuk surat yang dihantar bulan ini kepada GLC berkenaan dan Danaharta memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan bersetuju untuk menyelesaikan semua saman sivil ke atas Tajudin yang tertangguh.

“Dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan kesemua tuntutan awam ke atas Tan Sri Dato Tajuddin Ramli dan beberapa yang lain dengan menarik balik dengan segera atas pandangan bahawa kerajaan dan Kementerian Kewangan telah bersetuju agar kes-kes yang ada akan diselesaikan di luar mahkmah.

“Untuk makluman anda, kerajaan telah memberikan saya mandat untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam hal ini,” kata Nazri dalam surat itu.

Dalam perkembangan berkaitan, adalah difahamkan semua kes membabitkan Tajudin, kerajaan dan GLC berkenaan sedang dirundingkan bagi mencari penyelesaian pada semua peringkat proses mahkamah tersebut.

Laporan portal berkenaan memetik sumber berkata, sesetengah perkara itu telah dibawa kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Md Raus Shariff, yang juga adalah hakim pengurusan bagi mahkamah perdagangan hari ini.

Kes-kes berkenaan telah ditetapkan pada 29 September bagi pengurusan kes sementara menunggu penyelesaian.

Antara GLC yang menyaman Tajudin adalah Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holdings Bhd, Pengurusan Danaharta Bhd, Malaysia Airlines and Duta Skyline Bhd.

MAS membuat laporan pertama terhadap Tajuddin pada 2002 berhubung kerugian RM8 bilion yang dialami syarikat penerbangan itu. Tajudin merupakan pengerusi eksekutif MAS dari 1994 hingga 2001.

Pada 1998, Danaharta menuntut pinjaman tidak berbayar daripada Tajuddin, namun beliau juga gagal untuk menyelesaikan pinjamannya, dianggarkan RM1.41 bilion setakat 8 Oktober 2001.

Anwar Khuatir Penggabungan MAS-Air Asia Rugikan Kumpulan Majoriti


KUALA LUMPUR 11 OGOS : Pertukaran saham di antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia bukan sahaja membangkitkan kerisauan serius tentang penguasaan AirAsia yang berkemungkinan berlakunya episod monopoli ke atas industri penerbangan tanahair, malah ia juga menyalahi peraturan urus tadbir korporat.

Menurut Ketua umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mustahil keghairahan gabungan itu membawa kepada monopoli kerana ia membabitkan broker kuasa politik.

“Malah, penglibatan Pengerusi AirAsia, Tony Fernandes dan penamanya dalam lembaga pengarah MAS turut menimbulkan konflik kepentingan walaupun beliau memegang jawatan bukan eksekutif,” kata Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tony Fernandes dan syarikatnya, Tune Air Sdn Bhd semalam menukarkan 10 peratus kepentingan saham dalam AirAsia dengan 20.5 peratus saham dalam MAS.

Menurut Anwar, senario yang merisaukan ini juga menimbulkan persoalan terhadap nasib program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia melibatkan penggunaan wang rakyat.

“Adakah kerajaan sekarang mengakui pemulihan MAS yang dikatakan berjaya sebelum ini adalah satu ‘pertunjukan’ semata-mata?"

“Najib perlu dipertanggungjawabkan kerana mengelirukan rakyat tentang hal ini,” kata Anwar.

Dalam kenyataan sama, Anwar turut melahirkan kerisauannya tentang urusniaga itu yang akan menguntungkan pihak minoriti tetapi merugikan pihak majoriti.

“Saya risau urusniaga ini menguntungkan pihak minoriti dan mengorbankan pihak majoriti, iaitu pekerja MAS yang berkhidmat dengan penerbangan nasional kita dengan berdedikasi dan setia walau pun diberikan pilihan yang teruk dan tidak mendapat bonus selama bertahun-tahun,” kata Anwar.

Urusniaga itu juga, kata Anwar, membangkitkan isu ketelusan kerana ia dilakukan dengan penuh kerahsiaan.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya Sekuriti perlu menyiasat kemungkinan berlakunya urusniaga dalaman membabitkan saham kedua-dua entiti ini,” kata Anwar.