Pasca Bersih 2.0 : SPR Dituntut Tubuh J/kuasa Khas Pantau Pilihan Raya



KUALA LUMPUR 9 OGOS : Sebulan berlalu sejak Himpunan Aman Bersih 2.0 yang mengumpulkan puluhan ribu rakyat Malaysia di kota Kuala Lumpur, namun perjuangan menuntut pilihan raya bersih dan adil masih diteruskan.

Terbaru, Jawatankuasa Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan tiga jawatankuasa khas yang dianggotai parti politik untuk mengkaji masalah berkaitan pilihan raya.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, tiga jawatankuasa itu adalah untuk menyelesaikan daftar pemilih, menjelaskan kaedah biometrik dan pengundian awal.

"Bersih akan menulis surat kepada suruhanjaya itu bagi menggesa jawatankuasa khas tersebut ditubuhkan dalam masa tiga bulan.

“Bersih akan menghantar surat cadangan tersebut kepada SPR dalam minggu ini,” kata Maria dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman pelaksanaan sistem biometrik oleh SPR selepas himpunan 9 Julai lalu itu mendapat tentangan dan kritikan pelbagai pihak.

Pakatan Rakyat berpendapat pelaksanaan sistem biometrik hanya akan menambah lebih banyak masalah dan bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan pilihan raya yang berlaku selama ini, termasuk pengundi hantu.

Menurut Maria, kerana itulah jawatankuasa khas itu perlu ditubuhkan bagi menjawab pelbagai dakwaan mengenai kepincangan dalam sistem pilihan raya yang dilaksanakan dan dirancang SPR, termasuk kaedah biometrik yang mahu diperkenalkan.

“Bersih memerlukan laporan lengkap tentang kaedah biometrik yang akan dibuat oleh SPR dan keselamatannya.

“Mereka juga perlu memberi senarai terperinci tentang kawasan pengundian awal yang bakal mereka jalankan terhadap pengundi dari anggota tentera dan polis. Kita juga perlu tahu samada mereka akan membenarkan pemantau ketika pengundian awal dijalankan,” katanya.

Lebih teruk lagi, SPR kini dibelenggu pelbagai masalah dengan sistem daftar pemilihnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa usaha mendaftarkan 200,000 warga Indonesia sebagai pengundi di negara ini.

Kontroversi pengundi bernama Kg Baru yang berdaftar di laman SPR serta seorang bertaraf permastautin tetap bernama Mismah yang mendapat taraf warganegara dalam tempoh 4 jam, seolah-olah tidak diakui SPR.

Menurut Maria, SPR perlu bertanggungjawab dengan kelemahannya dan bersedia menerima kritikan pihak lain.

“Cukup dengan menuding jari terhadap banyak pihak dan SPR perlu bertanggungjawab di atas kesalahan ini. Jika mereka tak boleh buat, biar pihak lain melakukannya,” katanya.

PKR : Ilmu Politik Penting Demi Masa Depan Negara





SHAH ALAM 9 OGOS : Kefahaman mengenai politik boleh diterapkan oleh pensyarah kepada pelajarnya, asalkan tidak membawa elemen kepartian yang menjurus kepada kepentingan sesebuah parti politik, demikian menurut Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang.

Katanya lagi pendedahan mengenai kefahaman ini penting bagi mendidik mahasiswa menentukan hala tuju politik negara pada masa hadapan.

"Yang tidak boleh dibawa oleh pensyarah-pensyarah ini ialah elemen kepartian tetapi dari segi profesionalisme, maklumat-maklumat pensyarah kena beritahu. Supaya mahasiswa yang ada di universiti itu dapat ilmu dan dapat mengenal,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut Abbas, sesebuah institusi itu akan disifatkan gagal untuk mendidik mahasiswa jika memberikan fakta dan maklumat yang salah kepada pelajar-pelajar yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.

"Kalau mahasiswa keluar universiti tidak dapat gambaran antara kebenaran dengan kebatilan atau maklumat-maklumat tidak sampai yang menuju kepada kebenaran, (maka) universiti itu gagal dari segi mendidik pelajar untuk menjadi orang yang baik.

"Contoh (subjek) Sejarah, berbincang mengenai ketamadunan sesuatu bangsa, itu politik (tetapi) yang salahnya parti. Misalnya seorang pensyarah itu bercakap tentang Islam, maka (dia) kata (ini) parti PAS, (jadi) tak boleh lah, ini adalah (mengenai) agama Islam,"jelas Abbas lagi.

Oleh itu katanya, apa yang paling penting dalam hal ini ialah mesej yang dibawakan oleh golongan pendidik itu sendiri haruslah berteraskan kepada fakta yang benar.

"Pensyarah pula jangan bawa kepartian masa bersyarah, sampaikan maklumat yang sebenarnya,"tambah beliau lagi.

Justeru ujarnya, adalah penting kepada pensyarah institusi terbabit memahami perbezaan antara elemen kepartian dan ilmu politik, kerana kedua-dua konsep yang disampaikan adalah berlainan sama sekali.


Pemuda PAS : SPR Lakukan Kesalahan Memalukan, Daftar 'Kg Baru' Sebagai Pengundi




SHAH ALAM 9 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak proaktif dengan bertindak segera terhadap pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh pihak tertentu berhubung senarai daftar pemilih yang meragukan.

Oleh itu menurut Pengerusi Malaysian For Free and Fair Elections ( MAFREL) Syed Ibrahim Syed Noh, satu laporan rasmi harus dibuat oleh pihak terbabit bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru apabila SPR mendaftarkan seorang yang bernama 'Kg Baru' sebagai pemilih.

Kg Baru didaftarkan sebagai pengundi bagi Dewan Undangan Negeri Hulu Besut dan Parlimen Besut, Terengganu.

Namun apabila semakan dibuat di laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN), nombor kad pengenalan sama adalah milik Noraini Binti Abdullah.

“Pada saya mudah sahaja, saya rasa pendedahan-pendedahan begini perlu dibuat laporan secara rasmi dan kemudian pihak SPR perlu ambil tindakan,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut Syed Ibrahim lagi, sesebuah suruhanjaya perlu memandang berat isu ini memandangkan ia melibatkan kredibiliti badan itu.

“Sebenarnya SPR sendiripun boleh membuat kajian mereka kalau dah ada satu dua aduan.Maknya berdasarkan kepada satu dua aduan, mereka kena membuat siasatan serius,"ulas beliau lagi.

Masalah seperti ini juga katanya, jika tidak ditangani dengan baik oleh SPR membolehkan ahli-ahli parlimen membawa perkara ini ke Dewan Rakyat bagi menolak daftar pemilih itu.

“ Dari segi undang-undangpun, ada ruang di mana pihak ahli-ahli parlimen boleh timbulkan untuk menyebut bahawa dengan keraguan-keraguan yang timbul berhubung dengan daftar pengundi, malah pilihan raya sendiripun tidak boleh diadakan," kata beliau.

“Kalau SPR tidak ambil secara serius, saya rasa itu satu keangkuhan dan sepatutnya mereka lebh bersikap 'gentleman' dan berbesar hati menerima aduan-aduan ini dan terus membuat semakan,"katanya lagi.

Semalam, Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan isu 'penaiktarafan' status penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari seorang individu bernama Mismah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berjanji akan memanjangkan perkara itu ke pengetahuan Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa semalam.

Selangor Bakal Peneraju Pilihan Raya Tempatan.


SHAH ALAM 9 OGOS : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik cadangan kerajaan Selangor melaksanakan pilihan raya bagi melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tiga perkampungan Cina akhir bulan ini.

Menurut koordinatornya, Sarah Devaraj pemilihan ketua kampung menerusi kaedah tersebut membantu menyuburkan amalan demokrasi tulen di peringkat akar umbi.

Beliau yakin kaedah pilihan raya mampu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih sendiri pemimpin di kawasan mereka berbanding Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang dilantik terus oleh kerajaan Umno- Barisan Nasional (BN).

"Kami menggalakkan Kerajaan Negeri Selangor mengekalkan momentum untuk perubahan demokratik dan terus meneroka cara-cara untuk mengadakan pilihan raya bagi kerajaan tempatan," ujar beliau dalam kenyataan media.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 ribu bagi mengendalikan pilihan raya JKKK di tiga kampung merangkumi Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat, Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang.

Ketiga- tiga kampung ini dipilih sebagai perintis bergantung kepada saiz kepadatan penduduk.

Kampung Bagan di Pulau Ketam mempunyai kepadatan penduduk yang kecil, manakala Kampung Baru Sungai Jarom pula mempunyai kepadatan penduduk yang sederhana dan Kampung Baru Pandamaran mempunyai jumlah penduduk yang besar.

Pilihan raya Kampung Baru Sungai Jarum ditetapkan pada 24 Julai, sementara Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang, masing-masing pada 31 Julai dan 7 Ogos depan.

Selangor mempunyai 368 kawasan perkampungan Melayu dan 78 kawasan perkampungan Cina.

Pemilihan Pengerusi JKKK itu sama seperti pilihan raya biasa yang diadakan di DUN dan Parlimen seperti wujudnya pengeluaran writ, hari penamaan calon, RM500 deposit semasa kempen, waktu pengundian, keputusan, serta petisyen bantahan.
Sarah menjelaskan cara tersebut mampu menggalakkan penduruk kampung untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam isu-isu masyarakat setempat.

Beliau kemudian menggesa kerajaan Umno-BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan retorik ketakutan dalam usaha mereformasikan sistem pilihan raya umum termasuk penggunaan dakwat kekal.

Justeru beliau dengan lantang menyeru agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi kerajaan Selangor dengan mempertimbangkan tuntutan rakyat bersabit perlantikan pengerusi JKKK seraya menolak kaedah JKKP yang menjulang perlantikan berkepentingan politik.

DARI SABAHDAILY-MAFIA DAPAT KERAKYATAN


PENDUDUK Sandakan mengetahui bahawa Ula atau Abdullah, bukan sahaja mendapat suaka daripada pihak berkuasa atas sindiket kongsi gelapnya, ‘Maling Kundang’; malah Ula juga mendapat perlindungan daripada Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah.

Dengan kerjasama pegawai JPN yang khianat kepada Negara, Ula berjaya menukar identitinya daripada Ula @ Abdullah ketika datang ke Sabah dari Indonesia kepada Halim Bin Ahmad.

Ada kemungkinan, Kementerian Kesihatan juga turut terlibat sama untuk menukar DNA Ula yang berketurunan BUGIS kepada SUNGAI, kerana Ula ini adalah pengundi hantu berasal PATI menjadi Bumiputra dan seorang Warganegara Malaysia.

Sedikit masa lalu, cerita tentang Ula telah disiarkan dalam Sabahkini.Net untuk tatapan umum tetapi tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa; malah semua agensi kerajaan berdiam diri atau lebih tepat lagi menghalalkan kegiatan MAFIA ini berleluasa.

Mungkinkah agensi kerajaan yang dinamakan dalam artikel ini mendapat bayaran, kalau ia mendapat bayaran, kenapa SPRM tutup mata dan telinga? Mustahil semua jabatan kerajaan mendapat bayaran daripada Ula?


Labels:

Abim sedia jadi orang tengah, NGO lain mahu Uthman-Juanda temu

Abim sedia jadi orang tengah, NGO lain mahu Uthman-Juanda temu

August 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Badan bukan kerajaan Islam mahu pertemuan antara pendakwah bebas Dr Muhammad Uthman El Muhammady dan Mufti Perlis diadakan bagi menjernihkan isu “kesesatan” dan “keganasan” ekoran dakwaan fahaman Wahabi — dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bersedia menjadi “orang tengah.”

Bagaimanapun Presiden Abim Amidi Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu daripada kedua-dua tokoh agama itu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Jelas beliau, sekiranya masih tiada jalan penyelesaian Abim bersedia menjadi “orang tengah” dan pemudahcara.

“Buat masa ini kita berharap perkara ini boleh diselesaikan secara perbincangan atau dialog tapi bila Uthman menolak, pihaknya bercadang untuk berjumpa dengan kedua-dua tokoh terbabit secara berasingan untuk mendapatkan penjelasan.

“Mungkin Dr Uthman ada alasan mengapa beliau tolak, mungkin beliau tidak bersetuju dengan tempat dan mungkin juga beliau ada jalan penyelesaian yang lain... apa-apa pun, kita akan dapatkan maklumat dulu dan kalau tiada jalan penyelesaian, kita bersedia menjadi orang tengah dan pemudahcara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Uthman telah menolak pelawaan Mufti Perlis agar diadakan satu dialog berhubung isu itu.

Surat penolakan mengenai idea berdialog, yang dicadangkan diadakan ketika Ramadan ini, diterima Juanda Jumaat lalu.

Ekoran keputusan itu, Juanda berkata, beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu.

Sebelum ini, Uthman yang dipanggil MKN untuk memberi taklimat mengenai Wahabi berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

Kata Amidi, sebarang persoalan mengenai isu Wahabi sepatutnya diselesaikan secara dialog dan kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam dalam negara.

“Sepatutnya diselesaikan secara baik, sebab, apa yang kita tahu mereka berdua ini tidak bersependapat... kita menghormati pandangan Dr Uthman tapi adalah lebih baik ia diselesaikan dengan baik dan harmoni.

“Jadi, kita akan mendapatkan penjelasan mereka dulu, kita mahu perkara ini ditangani secara matang,” katanya.

Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pula berkata, jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan kemelut itu adalah dengan mengadakan muzakarah yang melibatkan cendekiawan dan tokoh-tokoh agama.

“Perlu diadakan muzakarah dan perbincangan secara tertutup bukan secara terbuka, ia perlu melibatkan individu yang berwibawa yang melibatkan cendekiawan dan tokoh-tokoh agama.

“Kalau tidak selesaikan perkara ini ia akan menimbulkan keraguan antara kita, kalau boleh perlu ada pihak ketiga yang menganjurkan perbincangan ini, tapi tidak melibatkan mereka yang berkepentingan,” katanya.

Tambah beliau, kemelut yang berlaku boleh diselesaikan dengan baik.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, beliau secara peribadi kesal dengan pihak yang memperbesarkan isu Wahabi yang disifatkannya “tidak sesat.”

“Wahabi ini apa? Wahabi bukan mazhab... Wahabi ini adalah amalan, buat apa kita perlu bising akan perkara ini? Wahabi, perbezaan kita adalah soal cara amalan.

“Yang berbeza cara pegangan dari sudut akidah dan tauhid, orang yang tidak faham Wahabi akan kata bukan... saya faham Wahabi tapi saya tidak ikut Wahabi,” katanya.

Justeru kata beliau, Uthman sepatutnya bersemuka dengan Juanda untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku.

“Selesaikan secara baik, perkara ini bukan isu besar... pertemuan perlu diadakan antara kedua-dua pihak untuk selesaikan perkara ini,” katanya.

Tolak Dialog : Tindakan Kurang Bijak Uthman El-Muhammady, Kata Dr Asri


NI KUAT AMANO NIII..........



SHAH ALAM 8 OGOS : Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan keengganan pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady untuk menerima pelawaan dialog berhubung isu Wahabi sebagai reaksi tidak profesional dan "kurang intelek" pemimpin itu.

Bercakap kepada Tv Selangor, Dr Asri berkata, seorang pemimpin Islam seharusnya mencerminkan sikap cendekiawan dan bukannya membiarkan sesuatu perkara yang dibangkitkannya menjadi pertikaian awam dan dibiarkan begitu sahaja.

"Dukacita sekiranya kita menuduh orang lain, di mana orang yang dituduh itu menjemput untuk mendengar alasan dan hujah tuduhan tetapi kita enggan.

" Ini bukan reaksi interlek dan sikap cendiakawan yang sepatutnya ditonjolkan dalam dunia Islam. Sekiranya kita telah menuduh sesorang dengan tuduhan yang berat dan diminta untuk berbincang eloklah kita berbincang," kata Dr Asri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang diambil penceramah popular, Dr Uthman yang sebelum ini mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Uthman sebelum ini menolak jemputan rasmi dialog oleh jawatankuasa fatwa Perlis setelah penceramah itu mengaitkan beberapa tokoh agama di negara ini dengan fahaman Wahabi.

Antaranya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan jawatan itu, Dr Asri sendiri.

Dr Juanda sebelum ini menyatakan kekecewaannya di atas penolakan Uthman untuk mengadakan satu dialog harmoni mengenai 'kesesatan' dan 'keganasan' Arab Saudi yang dibangkitkan Uthman.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan 'ahli akademik' takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi-buta,” kata Dr Juanda dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Mengulas senario itu, Dr Asri menambah, Dr Juanda mahupun jawatankuasa fatwa Perlis mempunyai sebab kukuh menjemput Uthman menghadiri dialog berkenaan.

" (Oleh) kerana ini membabitkan satu tuduhan ke atas sebuah kerajaan sebagai pengganas dan sesat ke atas Arab Saudi, ini adalah satu tuduhan yang besar sedangkan Malaysia ada hubungan rapat dengan mereka (Arab Saudi) dan hubungan ini adalah satu hubungan yang baik (antara negara Islam),"kata beliua.

Ujarnya lagi, insiden ini merupakan sesuatu yang serius dan mendesak ia diselesaikan segera memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dengan pihak Arab Saudi khususnya dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial.

"Pihak saya difahamkan, kerajaan Arab Saudi memandang serius perkara ini, kerana tuduhan berat ke atas negaranya sebagai pengganas dan ini saya lihat ia adalah satu kelemahan yang hadir dari kerajaan pemerintah yang ada.

"Saya tidak katakan perkara ini terbit dari pimpinan kerajaan pusat, namun ia adalah sebagai tanda bahawa kerajaan pemerintah yang sedia ada ini lemah sehingga gagal mengawal organisasi-organisasi yang ada sehingga mereka mampu bertindak sendiri tanpa sebarang halangan,"katanya lagi.

Sebelum ini, Uthman yang dipanggil Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi taklimat mengenai Wahabi.

Selain itu, Uthman juga dilaporkan turut mengaitkan Dr Asri dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Bagaimanapun setelah itu, Uthman berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog dengan Dr Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar bagi menjelaskan hal itu.

Bagaimanapun, Uthman yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah kemudiannya mengambil pendirian menolak jemputan rasmi itu, Jumaat lalu.