Sidang Parlimen Tergempar, Tunggu Kata Putus Najib - Nazri Aziz
Peguambela Anwar Sedia Temubual Najib, Rosmah
Perkara tersebut dinyatakan peguam Karpal Singh setelah hakim Datuk Zabidin Mohd Diah membenarkan kesemua saksi ditemubual oleh pihak pembelaan pagi tadi.
Karpal yang ditemui media selepas hakim menangguhkan sesi pembelaan hari pertama menyifatkan, arahan yang dikeluarkan mahkamah adalah jelas dan berlandaskan undang-undang.
Menurutnya, mana-mana pihak yang enggan bekerjasama akan disabitkan dengan dakwaan menghina mahkamah tanpa mengira kedudukan dalam kerajaan dan institusi sosial.
"Perdana Menteri dan isteri tidak boleh ingkar arahan mahkamah.. oleh yang demikian mereka harus datang ke sini. Apabila mahkamah mengeluarkan arahan dan ianya hak kami untuk temubual mereka.
"Kita tidak berniat untuk menangguhkan perbicaan ini. Biar kami jelaskan di sini, tidak ada alasan untuk menangguhkan perbicaraan. Malah saya cadangkan kepada hakim kita akan teruskan dengan dua saksi pertama pakar dari Australia. Kita teruskan dengan bukti dari mereka dahulu," jelas beliau ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor antara 20 individu yang disenaraikan untuk tampil ke mahkamah ditemubual sebagai saksi dalam kes liwat melibatkan pengadu Saiful Bukhari Azlan.
Antara lain termasuk bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusuf, dan pemilik unit kondominium Desa Damansara Hassanuddin Abdul Hamid.
Namun kesemua mereka sebelum ini enggan memberi kerjasama sekiranya mahkamah tidak mengemukakan sepina.
Sehingga kini, pihak peguambela hanya berjaya menemuramah lima individu iaitu bekas atlet negara Datuk Mumtaz Jaafar, doktor Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman, bekas pegawai khas Perdana Menteri Khairil Annas Jusoh, doktor Hospital Kuala Lumpur Dr Anantha Raj Daniel dan kakak Saiful, Saidati.
Karpal seterusnya menyatakan keputusan hakim tersebut adalah bertepatan dengan undang-undang malah ianya bagi mengelakkan daripada dimanipulasi pihak pendakwaraya.
"Mereka perlu datang ke sini (mahkamah). Mereka perlu mengikuti arahan. Kalau Perdana Menteri dan isteri enggan hadir, jadi mereka akan menghina mahkamah termasuk juga yang lain. Ia semudah itu.
"Saksi tidak boleh kata mereka tidak mahu kata apa-apa. Ianya menghalang keadilan. Perlu dijelaskan tidak semudah itu. Anda perlu beritahu apakah peranan kamu (saksi) sebab kalau tidak kamu dianggap menghina mahkamah dan menghalang keadilan," kata beliau lagi.
Ditanya sekiranya hakim akan diberi kepercayaan penuh untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak, Karpal berkata, ianya bergantung kepada Zabidin untuk memperlihatkan dasar undang-undang yang dipegang beliau.
Namun berdasarkan kejadian lalu, Zabidin telahpun menghukum Anwar lebih awal dengan menyatakan Saiful adalah saksi yang relevan sebelum mendengar hujah pihak pembelaan.
Sehubungan dengan itu, Karpal memberi amaran mana-mana organisasi yang berhasrat untuk menggangu perbicaraan perlu bersedia untuk berhadapan dengan kemungkinan didakwa termasuk Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).
"Saya serius tentang perkara ini. Jangan beri tekanan kepada hakim. Tiada alasan untuk menangguhkan perbicaraan ini dan ianya berdasarkan undang-undang," tambahnya lagi.
Peguambela sebentar tadi telah bersedia untuk memulakan sesi pembelaan dengan memanggil dua orang pakar dari Australia iaitu Dr David Wells dan Dr Brian McDonald.
Namun Timbalan Pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden memohon tempoh seminggu untuk menyediakan saksi-saksi yang ditawarkan.
Sehubungan dengan itu hakim Zabidin menetapkan 15 Ogos sebagai tarikh mahkamah memanggil semula untuk sesi pembelaan.
Dalam pada itu, Anwar yang ditemui media menegaskan tiada alasan oleh mana-mana saksi untuk tidak bekerjasana dengan peguamnya.
"Kita akan lihat sebab mereka nampaknya begitu yakin dan mereka tahu fakta. Mengapa mereka perlu menolak? Walaubagaimana pun mereka perlu berada di mahkamah dan keputusan menyatakan mereka perlu berada di sini untuk bertemu dengan peguambela.
"Ada yang mengendaikan sepertimana yang disebut Karpal sebentar tadi, kita (peguambela) cuba melengah-lengahkan. Yang memohon penangguhan ini adalah pendakwa.
"Kedua kami telah bersetuju memulakan kes pembelaan esok pagi dengan keterangan dua pakar dari Australia. Tapi mereka minta untuk menangguhkan, jadi kita akan lihat apa yang berlaku pada 15 haribulan," ujar beliau.
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Biar Pemimpin Dari Kalangan Rakyat Tadbir Negara- A Samad Said
Menurut Datuk A. Samad Said, setelah 54 tahun negara diperintah oleh Umno-Barisan Nasional, kini sudah tiba masanya negara bebas daripada cengkaman rejim yang membenarkan amalan salah urus negara terus berleluasa.
“Sudah tiba waktunya kita adakan perubahan rejim, kita sudah memberi masa kepada orang yang memerintah sekarang ini 54 tahun dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih daripada itu.
“Banyak perkara boleh dilakukan anak muda antaranya merubah, maksudnya sudah tiba masa kita adakan perubahan rejim ini, bilakan pemimpin daripada rakyat akan memimpin?,"soal beliau.
A Samad Said berkata demikian kepada kira-kira 100 hadirin pada pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, semalam.
Selain mahasiswa, turut kelihatan wakil media alternatif hadir bagi memeriahkan majlis.
Beliau semalam sempat mendeklamasikan sebuah sajak bertajuk "Kepada Cendekia Solidar" yang ditujukan khas kepada gerakan mahasiswa SMM.
Dalam pada itu,Ketua Pengarang web berita portal Malaysiakini, Fathi Aris Omar turut menyatakan, usaha SMM mengajak rakyat membaca media alternatif adalah contoh baik dan perlu disebarkan di seluruh peringkat akar umbi.
Beliau berkata pendekatan ini merupakan satu usaha yang sihat bagi menggalakkan persaingan di kalangan pengamal media.
"Negara demokrasi yang sihat perlu maklumat yang disampaikan oleh pelbagai sumber. Sekarang ini media alternatif banyak tertumpu di kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor," katanya.
Menurut Fathi, media alternatif diwujudkan bagi mengimbangi laporan media arus perdana yang terlalu pro kerajaan sehingga menyebabkan medium sebaran maklumat itu tidak lagi berteraskan prinsipnya yang sebenar.
Kepada Cendekia Solidar
Ogos 8, 11
11:28am
Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka,
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya
dengan media gergasi pertajam taring dustanya.
Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.
Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.
Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.
A Samad Said
Kes Fitnah Liwat II : Mahkamah Benarkan PM, Rosmah Ditemubual
Ketika membacakan keputusan itu Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menyatakan pihak pendakwaraya harus memastikan saksi yang dicadangkan hadir ke mahkamah.
"Apabila pendakwaraya menawarkan saksi kepada pihak pembelaan, adalah menjadi tanggungjawab pendakwa untuk memastikan saksi hadir ke mahkamah.
"Pihak pembelaan mempunyai hak untuk menemuramah saksi," kata Zabidin.
Sebelum ini kesemua mereka enggan ditemuramah peguambela lalu menyatakan hanya akan hadir sekiranya mahkamah mengemukakan sepina.
Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memohon tempoh seminggu untuk pihak pendakwaan mengaturkan sesi temuramah berkenaan kerana dua daripada saksi kini berada di Indonesia.
Zabidin kemudiannya bersetuju menangguhkan perbicaraan kepada 15 Ogos depan.
Selain Najib dan Rosmah, 13 lain yang akan dipanggil termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodwan Mohd Yusof.
Terdahulu empat individu ini memberitahu sedia memberi keterangan di mahkamah dalam kes fitnah liwat ke atas Anwar sekiranya pihak pembelaan mensepina nama mereka sebagai saksi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Yusof sebelum ini.
“Menurut afidavit DPP Mohd Hanafiah (Zakaria), mereka (4 saksi itu) enggan datang kerana mereka bukan saksi utama.
“Justeru, mereka hanya akan datang ke mahkamah jika disepina sebagai saksi”, katanya.
Karpal berkata pasukan pembelaan sepatutnya diberikan hak untuk menemu bual mereka sepertimana ketetapan undang-undang.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menetapkan hari ini iaitu 8 Ogos untuk memutuskan sama ada permohonan Anwar memanggil 15 orang saksi termasuk Najib dan Rosmah untuk dibawa ke mahkamah bagi ditemubual, dibenarkan atau sebaliknya.
Ketua Pembangkang itu juga mahu menemubual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan.
Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemubual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan yang dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos.
Istana Ala Bali : Khir Diarah Bela Diri
SHAH ALAM 8 OGOS : Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.
Mokhtaruddin kemudiannya menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 30 September ini.
Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.
Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Khir yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.