Penafian Najib Di Media Asing Tambah Kelukaan Rakyat



SHAH ALAM 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membelakangi realiti Bersih 2.0 apabila mendakwa polis hanya menggunakan kekerasan ringan ketika menyuraikan Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Kata-kata itu keluar dari mulut Najib ketika kali pertama beliau ditemu bual media asing berhubung Himpunan Bersih Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu nyata sekali mengundang reaksi kurang senang penganalisis politik termasuk Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai menambah luka di hati rakyat Malaysia.

Malah menurut beliau, Najib sekaligus membuka pekung di dada bahawasanya polis sememangnya menggunakan kekerasan untuk menyuraikan himpunan aman itu walaupun dikatakan "agak ringan".

"Apa yang dijelaskan di Britain adalah satu gambaran yag sebaliknya iaitu gambaran yang menafikan bahawa telah berlaku kelukaan pada rakyat sedangkan ia adalah satu proses pandangan rakyat terhadap pemimpin,"kata Dr. Abu Hassan kepada Tv Selangor.

Najib ketika ditemu bual CNN semalam berkata, pihak polis hanya menggunakan kekerasan minimum dalam usaha menyuraikan himpunan Bersih.

Namun lensa kamera dan seluruh media yang membuat liputan pada himpunan Bersih itu menyaksikan sebaliknya.

Gambar-gambar dan rakaman video di ibu negara pada 9 Julai lalu memperlihatkan tindakan kejam polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia kepada para demonstran yang berjalan secara aman.

Malah ada di antaranya, FRU menembak gas pemedih mata secara terus kepada orang ramai yang sepatutnya dilepaskan 45 darjah ke arah udara.

Selain seorang meninggal dunia, puluhan mengalami kecederaan dan himpunan itu menyaksikan 1,667 peserta himpunan itu ditahan polis selama beberapa jam.

Namun Najib berkeras bahawa polis menjalankan tugas mereka dengan baik di sebalik kritikan keras pelbagai pihak.

“Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum,” kata Najib kepada CNN.

Ia temu bual pertama Najib dengan media asing sejak perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mempertahankan tindakan polis.

Melihat kepada senario itu, Dr Abu Hassan yang juga Pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia (Zentrum) menyifatkan tindakan pemerintah menggunakan kekerasan sebagai formula utama mendepani suara rakyat jelas satu bentuk penyelewengan demokrasi.

"Perhimpunan Bersih 2.0 itu sendiri harus dilayan dengan baik kerana ia adalah satu keperluan dan kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan, jadi kita tidak nampak kenapa perhimpunan ini dilihat sebagai satu ancaman kerana ia langsung tidak memberi gambaran sedemikian.

"Sebab itulah kita cuba elakkan kekejaman, kurangkan krisis, dan cegah peperangan menerusi diplomasi. Bagaimana kita ingin semai budaya diplomasi? Iaitu budaya berbincang, budaya saling berbagi-bagi dan bukanya membeza-beza jika pemerintah menggunakan jalan mudah menyelesaikan masalah dengan kekerasan,"katanya.

Malah kenyataan Najib yang acapkali menggambarkan polis melayani peserta himpunan dengan baik adalah jelas satu pembohongan dan keterangan sedemikian hanya
satu hipokrasi yang mengaibkan.

"Tindakan polis adalah satu tindakan yang melampaui daripada ramalan yang dijangka, sedangkan rakyat hanya ingin berkumpul, bersuara dan berdendang tentang keinginan dan perasaan mereka tetapi sebaliknya berlaku,"kata beliau lagi.

Maria Chin : Rombak Sistem Atau Tiada Pilihan Raya

SHAH ALAM 15 JULAI: "Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya."

Demikian kenyataan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah seraya mendesak suruhanjaya itu mempertimbangkan empat tuntutan utama bersabit rombakan sistem pilihan raya yang boleh dilaksanakan oleh suruhanjaya itu dengan kadar segera.

Tambahnya lagi, Bersih akan mengemukakan petisyen kepada SPR dalam masa terdekat sebagai tindakan lanjut termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu.

Beliau berpendirian tindakan tersebut adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program 'hari kuning' pada setiap Sabtu.

"Kita mahu bergerak ke hadapan. "Bola" kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respon sekarang," katanya.

Bercakap dalam wawacana khas bersama Tv Selangor, Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih.

Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba untuk melindungi pihak berkepentingan.

Menurut beliau, SPR mempunyai kuasa untuk merombak sebarang peruntukan yang diyakini dapat menambahbaik sistem pilihan raya di negara ini memandangkan agensi itu terletak di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

"Dalam perbincangan antara Bersih 2.0 dan SPR, kita sudah jelaskan mereka ada kuasa untuk merubah undang-undang dan mengemukakan kepada kabinet. Tapi mereka menghadkan peranan dengan mengatakan mereka hanya pentadbiran.

"Jadi inilah (sebenarnya) empat tuntutan yang utama (dalam aspek) pentadbiran. Membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh berkempen selama 21 hari. Ini tidak perlu ubah undang-undang. Jadi saya rasa sekarang mereka tidak ada alasan (untuk tidak) melakukan dalam tempoh tiga bulan," kata beliau.

Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini mengakui kelemahan aspek komunikasi suruhanjaya itu yang menyebabkan mereka gagal menjelaskan kepada rakyat tentang langkah penambahbaikan sistem pilihan raya.

Beliau turut berdalih tentang ruang yang terhad berikutan terikat dengan Akta Pilihan Raya 1957 selain mendakwa Bersih 2.0 membuat andaian tanpa sebarang bukti.

Beliau juga mendakwa pembangkang memanipulasi isu ketelusan pilihan raya sehingga menyebabkan rakyat turun ke jalanan pada 9 Julai lalu.

Mengulas perkara itu, Maria menyahut baik tindakan SPR untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada rakyat namun katanya, tuduhan bahawa Bersih tampil tanpa sebarang bukti ternyata meleset.

"Sampai sekarang ada orang hantar bukti. Semalam, ada individu yang daftar dua kali menggunakan kad pengenalan yang sama dan dia telah mengundi dua kali tetapi dua tempat berasingan.

"Kita juga ada bukti di mana kad pengenalan baru dan lama digunakan untuk mengundi. Ini menunjukkan SPR sebenarnya tidak membersihkan senarai pengundi. Jadi kalau ini berterusan ianya akan memberi impak buruk kepada kerajaan sekarang," ujar beliau lagi.

Beliau turut mengulangi kejadian pembelian undi yang didedahkan portal berita alternatif pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu di mana SPR gagal mengambil sebarang tindakan walaupun gambar dan video telah tersebar luas di internet.

Maria menyifatkan sekiranya SPR melaksanakan tugas secara telus maka risiko bagi kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk tumbang adalah lebih kritikal.

Dalam pada itu Maria berkata, pengenalan kepada sistem biometrik amat digalakkan namun katanya kaedah itu memerlukan kos yang tinggi berbanding dakwat kekal.

Jelasnya lagi, dakwat kekal telah digunapakai di kebanyakkan negara termasuk India di mana perlaksanaannya memberangsangkan.

Maka menurut Maria tidak timbul sebarang dakwaan bahawa kaedah tersebut ketinggalan zaman kerana ianya akan memberi kebaikan kepada parti politik yang bertanding seraya mengelakkan daripada salah laku pengundian.

Sehubungan dengan itu kata beliau, Bersih bersedia untuk mengadakakan pertemuan semula dengan SPR sekiranya suruhanjaya itu berhasrat untuk mempertimbangkan empat tuntutan utama yang dinyatakan.

500 Ahli PSM, NGO Desak Enam Tahanan EO Dibebaskan




KUALA LUMPUR 15 JULAI : Badan Bukan Kerajaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Kajang hari ini menghantar satu memorandum dan petisyen yang ditandatangani oleh 500 individu mendesak agar enam tahanan Ordinan Darurat (EO) PSM dibebaskan segera.

Menurut wakil PSM Kajang Ganesan Dhanapal, mereka yang ditahan kerana terlibat dengan bersih sepatutnya dibebas kerana Himpunan Bersih telah tamat 6 hari lalu.

"Memang kita, PSM, Jerit dan SUARAM tidak berpuas hati dengan penangkapan mereka. Mulanya mereka ditangkap kerana Bersih tapi himpunan sudah berlalu mereka masih tak dibebaskan.

"Kami kumpul tandangan bersama PSM dari seluruh Malaysia untuk desak mereka dibebas. Penahanan ini tidak munasabah," kata Ganesan kepada TV Selangor hari ini.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, enam daripadanya termasuk Dr. D Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah EO sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Oleh itu hari ini, kira-kira 30 ahli PSM Kajang, Jerit dan SUARAM berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tersebut.

Bagaimanapun keadaan menjadi sedikit tegang apabila sekumpulan polis yang diketuai oleh ASP yang hanya dikenali sebagai Hata telah mengarahkan banner yang dibawa mereka ditutup.

Lebih parah lagi, Hata turut mengatakan pegawai hanya dapat menerima memorandum tersebut di kawasan tempat letak Kereta berhampiran.

Bagaimanapun setelah perang mulut terjadi antara koordinator SUARAM Nalini E dan Wakil Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman, DSP Venu Gopal, pegawai tersebut bersetuju menerima memorandum di hadapan Bukit Aman, tempat berkumpul wakil NGO tersebut.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan oleh wakil PSM Lecthmi Doraisamy yang mahukan polis bertindak dengan lebih profesional.

"Kami menegaskan kepada pihak polis agar jangan salah guna kuasa yang diberikan.

"Kami mahu pihak polis tidak menjadi pak turut BN terutamanya Umno, " kata Lecthmi.

PSM kini sedang menunggu permohonan bagi mendapatkan perintah 'habeas corpus' yang akan didengari pada 22 Julai hadapan menerusi peguam mereka, Edmund Bon.

TAKUT KUNING DAPAT KUNING

SHAH ALAM 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terus menerima sindiran hebat masyarakat dunia ketika kunjungannya ke Buckingham, London.

Sindiran yang dimaksudkan ialah apabila pemakaian gaun dan tali leher kuning oleh Ratu Elizabeth dan Menteri Pengangkutan, Philip Hammond dalam dua pertemuan berasingan dengan Najib semalam.

Kolumnis Suara Keadilan, Hishamuddin Rais membayangkan tindakan itu sebagai kritikan terhadap dasar Najib.

“Dalam bahasa diplomatik, ini memperlekehkan Najib. Dalam bahasa diplomatik, ini mengkritik tindakan Najib yang menghambat peserta himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.

“Sampaikan bunga di pasu dalam bilik pertemuan itu pun berwarna kuning. Tak mungkin Ratu Elizabeth atau Menteri di Britain tidak tahu apa yang berlaku di Malaysia sepanjang minggu lalu,” katanya kepada KeadilanDaily.

Dalam pertemuan itu menyaksikan Najib bersalam dengan Ratu Elizabeth dan ada suara-suara yang mengatakan akhirnya Najib tunjuk kepada kuning berdasarkan gambar tersebut.

Malah paling ketara apabila kehadiran Perdana Menteri Malaysia itu tidak disambut dengan hamparan karpet merah sementara, Perdana Menteri Britain, David Cameron, malah membatal majlis makan tengah hari bersama Najib.

 Malah Najib terus menerima tamparan hebat hari ini apabila puluhan penunjuk perasaan turut berpakaian kuning menyambut kehadiran Najib ke United Kingdom hari ini.

Mereka membidas tindakan kerajaan yang menekan ribuan peserta perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Najib yang dijadual mengakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Sambil membawa kain rentang dan sepanduk, penunjuk perasaan juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat. Di bawah akta itu, mereka boleh ditahan dan dinafikan hak untuk dibicarakan.

Malang Rakyat Malaysia Dapat PM Macam Najib-Khalid Samad





SHAH ALAM 15 JULAI: Rakyat Malaysia cukup malang mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak memandang berat nasib yang menimpa rakyat dan beranggapan menzalimi rakyat pada himpunan aman 9 Julai lalu adalah satu perkara biasa.

Paling teruk apabila seorang daripada peserta himpunan itu meninggal dunia ketika melarikan diri dari asakan polis dan ia disifatkan Najib Razak sebagai tindakan ringan yang harus dikenakan ke atas rakyat kerana berhimpun menuntut sebuah pilihan raya adil dan bebas.

Mengulas hal itu lagi, seorang mangsa keganasan polis pada hari kejadian , ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Najib cuba menafikan perkara yang sudah terbukti dan rakyat mampu menilainya.

“Saya rasa banyak gambar-gambar yang jelas menunjukkan keadaan yang sebaliknya.. Keadaan macam saya ini tidaklah seteruk macam Mat Sabu yang sampai dirempuh oleh polis.

" Lepas itu ada yang dalam video tu kita nampak kena pukul, yang berdarah-darah teruk,"kata Khalid yang mengimbas kembali kezaliman polis ketika menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

Najib dalam satu temu bual dengan CNN berkata, polis menggunakan tindakan sewajarnya dalam usaha menyuraikan himpunan aman di ibu negara 9 Julai lalu.

“Ia (tahap tindakan polis) agak ringan sebab meskipun ia dikenakan, mereka (yang ditahan) telah dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik,” kata Najib dalam temu bual itu.

“Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum,” tambah beliau lagi.

Namun Khalid berpendapat, kenyataan Najib itu langsung tidak menggambarkan jawapan seorang pemimpin sebuah negara yang menuju status negara maju.

“ Saya rasa kalau di negara-negara yang lain kenyataan yang bodoh macam itu, rakyat sudah hukum dia,"kata Khalid lagi.

“Dia menunjukkan satu sikap yang tak ambil endah hak rakyat... hak rakyat dia tahan, dia halang, menyusahkan orang dan sebagainya. Walaupun dia lepaskan selepas sejam atau dua jam, ia tetap merupakan satu ketidakadilan terhadap rakyat yang tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana yang dianggap sebagai kesalahan adalah berhimpun (secara aman) dan memang terbukti aman. (Mereka) berjalan dengan lancar dan aman sehinggalah bila bertemu dengan polis,"kata Khalid lagi.

Dalam asakan polis ketika menyuraikan himpunan aman itu, kepala Khalid turut tercedera akibat tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis.
Puluhan mengalami kecederaan dan 1,667 ditahan polis.
Kerajaan pimpinan Najib sebelum ini dikritik media asing malah dibantah keras oleh masyarakat antarabangsa ekoran keganasan polis pada hari kejadian namun pentadbiran Najib menyokong tindakan polis berbuat demikian.
“Reaksi dari peringkat antarabangsapun semakin jelas menunjukkan bahawa tndakan Najib terhadap rakyat ini pun tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat atau negara yang bertamadun,"ujar beliau.

Khalid juga menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang kebudak-budakkan dan tidak matang dalam berpolitik lantaran tindakannya memperlekeh-lekehkan kecederaan yang dialami Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“ Bagi dia sendiri (yang) tak pernah menghadapi kesusahan, tak pernah kena jentik, dia (pula) nak gelakkan Anwar kata Anwar buat lebih-lebih... itu saya rasa menunjukkan satu sikap yang kurang matang. Nampak cara dia buat itu buat orang naik meluat tengok dia,"tambah beliau lagi.

Tahan Bawah EO Satu Ketidakadilan Yang Dahsyat, Kata Kit Siang

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang melawat enam tahanan Ordinan Darurat (EO) Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Bukit Aman hari ini mengutuk tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan tangkapan itu.

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan tindakan itu sebagai ketidakadilan yang dahsyat kerana tiada justifikasi dalam penangkapan tersebut.

Beliau mengganggap penahanan ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu sebagai cubaan untuk mecemarkan gerakan himpunan Bersih 2.0.

"Tuduhan sebagai penggerak Bersih ialah satu ketidakadilan. 709 telah tunjukkan betapa bukan puluhan ribu penyokong Bersih yang lakukan keganasan dan huru-hara tetapi pihak berkuasa polis," kata beliau kepada para wartawan di hadapan Bukit Aman.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, 6 daripadanya termasuk Dr. Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Kit Siang hari ini hadir bersama ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memberitahu Dr. Jeyakumar dan yang lain dalam keadaan baik.

Sivarasa bagaimanapun menyatakan tahanan yang dilakukan itu jelas bermotif tidak baik.

Menurut Sivarasa lagi, fitnah dan dakwaan bahawa Dr. Jeyakumar terlibat dalam aktiviti subversif seperti yang diuar-uarkan sebelum ini nyata tidak dipercayai oleh masyarakat, khayalak politik, malah polis sendiri.

"Tuduhan terhadap mereka tiada asas. Semua tuduhan tersebut berniat jahat untuk mengutuk Bersih. Malah untuk seksyen 122 melancarkan perang, satu satunya rujukan ialah kes Al-Maunah.

"Ia tidak berhasil, tiada siapa yang percaya malah kerajaan sendiri tak percaya sebab itu tak ada dakwaan," tegas Sivarasa.

Salahuddin pula menyatakan atas sebab-sebab itu nyata sekali Dr. Jeyakumar dan mereka yang lain seharusnya dibebaskan untuk memulihkan imej negara.

"Yang ditekankan ialah isu Bersih dan menganjurkan Bersih. Adakah itu sebab beliau ditahan dibawah Ordinan Darurat? Jadi untuk itu, saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak beliau dan yang lain dibebaskan kerana ia tidak menepati lunas kemanusiaan,"kata beliau lagi.

A Samad Said 'Boikot' Semua Jemputan Kerajaan

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau "tidak akan melayan" sebarang jemputan rasmi kerajaan termasuk membaca puisi dalam majlis anjuran mereka.

"Sebolehnya sekarang, saya tidak menerima jemputan daripada kerajaan," katanya ketika ditanya reaksi kawan-kawannya dalam kerajaan selepas menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya tidak fikir, (saya) dipulaukan. Tetapi kalau dijemput sementara ini, saya tidak akan layan. Kalau oposisi menang, saya layan,"katanya dalam temu bual khas bersama Malaysiakini.

Bagaimanapun, sasterawan 76 tahun itu berkata, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan daripada BN kepada Pakaran Rakyat, beliau akan menerima jemputan tersebut.

Ditanya sama ada tindakan beliau sebagai 'mogok seni' kali kedua, A Samad yang terkenal dengan novel Salina itu berkata:

"Saya tidak tahulah tu. (Saya) tak tahu," katanya sambil ketawa sinis.

Pakai Baju Bersih,MP Bakri Ditahan Kali Kedua

MUAR 15 JULAI :Gara-gara terus mahu memakai baju T Bersih 2.0, ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa sekali lagi ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam semalam.

Pemimpin DAP itu ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke program memperingati mendiang Teoh Beng Hock di Muar, Johor dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Muar sambil membawa kekwa putih dan bunga raya.

Ketika dihubungi, Er berkata beliau dan kumpulanya yang kira-kira 20 orang baru sahaja keluar dari pusat khidmat DAP Muar dan dalam perjalanan tiga buah trak FRU sedia menunggu di kawasan itu.

“Polis tidak benarkan saya terus kerana saya pakai baju Bersih. Tetapi apabila rakan saya beri baju lain, dan saya sarungkan baju itu, tapi polis tangkap saya juga,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Er beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Muar dan hanya dibebaskan pada kira-kira jam 1 pagi tadi. Beliau dikehendaki melapor dirinya sekali lagi pada 15 Ogos nanti.

Baju Bersih miliknya itu juga dirampas.

Er pernah ditahan pada 3 Julai lalu beserta lima ahli DAP kerana mengedarkan risalah berkenaan himpunan BERSIH yang telah diadakan pada 9 Julai lalu.

Mereka ditahan di Pasar Awam, Taman Sri Tebrau, ketika mengadakan kempen kebersihan gotong-royong sambil mengedarkan risalah antara lain tertera “Membersihkan sampah-sarap negara”.

Kumpulan itu memakai baju-T berwarna kuning dengan perkataan “Negara BERSIH Rakyat Bertuah” serta gambar penyapu dan penyodok.