COVER IT LIVE
TEAM WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI AKAN MENGADAKAN COVER IT LIVE SITUASI DI SEKITAR IBU NEGARA ESOK.
Silapkah Seri Paduka Baginda Terima Wakil 62 NGO Berdaftar Mengadap?
KOMENTAR : “Hanya kerana Yang Di-Pertuan Agong menemui mereka (Bersih) tidak bermakna mereka tidak lagi diharamkan.” Itu kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Dalam keghairahan untuk terus menyerang Bersih 2.0, Hishamuddin mencadangkan bahawa Tuanku Mizan Zainal Abidin telah sanggup berjumpa dengan sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh kerajaan.
Pendapat ini kemudiannya turut disokong oleh sepupu beliau – Perdana Menteri Najib Razak sebagai alasan untuk menafikan Bersih permit bagi mengadakan perhimpunan amannya di sebuah stadium pada Sabtu ini.
Tindakan kedua-dua pemimpin itu dikecam kerana Najiblah yang mencadangkan kepada Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di sebuah stadium.
Apabila dipersetujui Bersih, beliau tampil pula mengingatkan Bersih bahawa rangkaian kerjasama itu sudah diharamkan kerajaan dan tidak layak memohon permit untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.
Inilah urutan perkembangan dalam tempoh 48 jam yang menyerlahkan kualiti kepemimpinan negara ini dan tahap “kesetiaan” Umno kepada institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Nasihat” baginda kepada Bersih untuk membatalkan perarakan di atas sebab keselamatan dijunjung oleh Bersih yang kemudiannya menerima tawaran Najib untuk mengadakan perhimpunan itu di sebuah stadium.
Tuanku Mizan kemudian sudi menerima menghadap rombongan Bersih iaitu Pengerusinya Ambiga Sreenevasan, Presiden Jamaah Islah Malaysia Zaid Kamaruddin dan Sasterawan Negara A Samad Said.
Pertemuan itu dan titah baginda membuka laluan untuk Bersih membatalkan tunjuk perasaan yang amat digeruni oleh BN.
Perbincangan di Istana Negara dan kenyataan susulan Bersih akhirnya meleraikan ketegangan yang diwarnai dengan tangkapan-tangkapan polis dan kenyataan-kenyataan menghasut dan berbaur perkauman oleh kumpulan-kumpulan tertentu dan Najib sendiri.
Apakah respon kerajaan pula? Malangnya, Najib dan Hishamuddin membawa mesej bahawa pertemuan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan jawatankuasa Bersih tidak memberi apa-apa makna kerana Bersih masih pertubuhan haram dan justeru tidak boleh diberikan permit mengadakan perhimpunan di stadium.
Tangkapan-tangkapan polis ke atas sesiapa yang memakai baju berlogo Bersih diteruskan dan penahanan enam orang di bawah Ordinan Darurat juga diteruskan.
Pada ketika kerajaan dan polis berpeluang tampil memberi kerjasama untuk membolehkan suara rakyat didengar di sebuah persekitaran yang dikawal dan dijamin keselamatannya, Najib dan sepupunya Hishamuddin meremehkan pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan penganjur Bersih dan terus menekan kumpulan itu.
Di manakah kesetiaan tidak berbelah bahagi Umno kepada institusi raja dan kerelaannya untuk mengikut pedoman yang diberikan oleh Tuanku Mizan?
Amat mudah untuk pemimpin-pemimpin Umno mengeluarkan madah-madah indah mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara menerusi media arus perdana, dan menuduh semua yang lain sebagai pengkhianat bangsa, agama dan negara.
Rujukan mudah adalah krisis perlembagaan Perak tahun 2009 yang akhirnya menguntungkan Umno apabila calon lantikannya dinobat sebagai Menteri Besar .
Namun apabila tiba saat untuk Umno membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Istana dengan menghayati semangat perlakuan Tuanku Mizan, parti itu yang ditunjangi oleh Najib gagal dari segala sudut.
Sepupu beliau, Hishamuddin begitu biadap meremehkan titah dan semangat tindakan susulan yang diambil oleh Seri Paduka Baginda.
Justeru hari ini, negara masih berdepan dengan kemelut Bersih – kerana kerajaan yang memerintah enggan menghormati petunjuk-petunjuk jelas daripada Seri Paduka Baginda dan menghayati semangat Baginda.
Sebaliknya Najib dan Hishamuddin mahu menguatkuasakan undang-undang zalim ke atas Bersih, demi agenda sempit masing-masing.
Apakah benar Bersih sebuah pertubuhan haram? Soalan yang lebih tepat adalah sama ada Bersih itu sebuah pertubuhan.
Jawapannya Tidak. Bersih adalah hanya satu bentuk kerjasama antara 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) YANG SAH dan berdaftar.
NGO-NGO ini memupuk kerjasama untuk mengatur sebuah majlis bagi mendesak pilihanraya yang adil dan telus.
Mereka melakukan usaha ini setelah usaha mereka berunding dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) gagal.
Apakah kerjasama Bersih ini memerlukan pendaftaran rasmi di negara ini? Tentunya tidak, jika keluhuran undang-undang dan semangat Perlembagaan didokong oleh pihak berkuasa.
Anehnya, kerajaan tidak pun merungut mengenai mengenai status Bersih sebelum ini, walhal Bersih 2.0 dilancarkan pada 10 November 2010 dan hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani.
SPR pula bebas mengadakan mesyuarat dengan Bersih sebelum ini sungguhpun hasilnya tidak ke mana.
Hanya apabila Bersih mula mengatur perhimpunan aman, yang kemudiannya disokong sepenuhnya oleh parti pembangkang, kerajaan mencengkam pergerakan itu dengan tafsiran undang-undang yang sempit.
Najib pula melabelkan Ambiga sebagai musuh Islam hanya kerana membela seorang anak guamnya dalam kes murtad Lina Joy.
Tiba-tiba daripada sebuah pergerakan masyarakat madani, Bersih digambarkan oleh kerajaan sebagai berhaluan militan dan komunis yang mahu menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.
Tidak cukup dengan itu, perhimpunan aman Bersih juga didakwa akan merugikan negara pada kadar RM1 bilion sehari!
Dalam jangka masa singkat dua minggu, rakyat dipertontonkan watak sebenar Perdana Menteri dan Hishamuddin terhadap sistem demokrasi berparlimen, keluhuran undang-undang dan perlembagaan serta institusi Raja Berdaulat.
Tindakan mereka harus menimbulkan rasa gusar kepada sesiapa sahaja yang mendokong keadilan, prinsip-prinsip hak asasi manusia serta mahu melihat institusi-institusi seperti SPR diperkasakan demi manfaat rakyat.
Bersih 2.0 : Polis Perak Tahan 41 Orang
IPOH 7 JULAI : Polis Perak menahan 41 orang di beberapa daerah di negeri ini sejak Jumaat lalu hingga semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penganjuran perhimpunan aman anjuran BERSIH 2.0 yang dijadual pada Sabtu ini.
Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata mereka yang ditahan turut membabitkan beberapa wakil rakyat Pakatan, individu dan seorang guru agama.
Mereka ditahan kerana didapati berkumpul dan memakai baju dengan lakaran 'BERSIH' serta mengagihkan baju-T 'BERSIH 2011' dan risalah mengenai perhimpunan itu, katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ipoh hari ini.
Shukri berkata kepada Bernama Online, kesemua mereka ditahan di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Batu Gajah dan Ipoh mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis serta Seksyen 108 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis.
Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam perhimpunan itu kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang dan polis tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang masih meneruskan kegiatan itu.
Dalam perkembangan lain, Shukri mempelawa orang ramai mengunjungi program Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan, yang akan diadakan setiap bulan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, untuk mendapatkan maklumat serta pertanyaan mengenai masalah yang mereka hadapi di kaunter yang disediakan.
Progam Hari PDRM bersama pelanggan turut diadakan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah pada Khamis setiap minggu, katanya.
Beliau berkata sepanjang enam bulan pertama tahun ini, Polis Perak berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 7.6 peratus.
Laporan kes jenayah yang direkodkan bagi tempoh berkenaan ialah 4,979 kes berbanding 5,363 kes bagi tempoh yang sama tahun 2010, yang memperlihatkan penurunan sebanyak 384 kes, katanya.
Teresa Desak Bebas Tahanan Bersih 2.0
SHAH ALAM 7 JULAI : Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok Suh Sim, mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) membebaskan kesemua tahanan yang ditahan berkaitan Bersih 2.0 sekali gus menghormati titah Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Teresa berkata, sehingga kini, seramai 180 orang telah disoal, ditahan atau didakwa oleh pihak polis termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat dan Ahli Majlis serta aktivis.
Menurut Teresa, kebanyakan mereka didakwa kerana berhimpun tanpa permit, memakai baju T berlambang Bersih 2.0 berwarna kuning selain memiliki risalah kempen.
“Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Michael Tamil dan rakannya telah dipanggil untuk memberi keterangan mengenai Bersih 2.0 di Balai Polis USJ8 dan ditahan apabila mereka tiba di balai polis itu.
“Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) juga didakwa di Mahkamah Majistret kerana memakai baju T berlogo Bersih ketika menghadiri mesyuarat mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan akan membebaskan tahanan Bersih yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan memerangi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin melibatkan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
“Saya gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membebaskan semua tahanan bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.