Najib: Abdullah kedua atau Mahathir kedua?

Najib: Abdullah kedua atau Mahathir kedua?

Lim Hong Siang | Jul 04, 2011 06:06:12 pm

Perkembangan terkini senario politik tanahair jika ditafsir dengan istilah positif, akan berbunyi "ketegangan diredakan"; dan mungkin untuk mereka yang sudah bertekad untuk turun ke perhimpunan BERSIH 2.0 pada hujung minggu ini, akan mengeluh "anti-klimaks".

Antara perkembangan yang penting adalah titah khas Yang di-Pertuan Agong yang dikeluarkan Istana Negara semalam, diikuti dengan cadangan yang diulangi Perdana Menteri Najib Razak pada pagi ini, yang menawarkan stadium sebagai pengganti jalan raya untuk perhimpunan. Terkini, Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan memohon untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, dan bersedia membatalkan perhimpunan pada 9 Julai, seandainya dinasihat untuk berbuat demikian.

Apa yang tersirat di sebalik Titah Khas

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, sesungguhnya akan ditafsir dengan pelbagai perspektif, dari perhitungan kepentingan masing-masing. Namun demikian, seandainya teks penuh Titah Khas (dilampirkan di bawah) diteliti, akan didapati bahawa YDPA tidak menggunakan istilah HARAM, sama ada ketika menggelar BERSIH, mahupun perhimpunan tersebut. Sebaliknya, YDPA menggunakan istilah "Kumpulan Bersih", dan "perarakan dan perhimpunan beramai-ramai". Lebih penting, dalam perenggan ketiga terakhir, baginda bertitah, "Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik."

Ini penting dalam konteks di mana Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein telah mengisytiharkan BERSIH sebagai pertubuhan haram mulai 1 Julai 2011, malah polis sejak awal lagi telah mengumumkan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 adalah perhimpunan haram.

Lebih-lebih lagi, YDPA langsung tidak menyentuh tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap BERSIH sepanjang dua minggu ini, termasuk resapan komunisme dalam gerakan itu, niat untuk memerangi YDPA, wujud anasir asing, muslihat pembangkang untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan sebagainya.

Sebaliknya, ketika menyeru kepada pihak BERSIH, YDPA bertitah, "...keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara."

Sementara itu, Baginda menyeru kepada "pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun."

Istilah "adil" digunakan, yang mana jika diteliti dalam konteks tuntutan "pilihan raya yang bersih dan adil", amat memberi makna.

Dilema Najib

Apakah perkembangan ini melembutkan sikap Najib Razak, yang masih berkeras dengan kenyataan "Ambiga jangan fikir kuat" pada 2 Julai, kepada cadangan "Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul", pagi tadi?

Untuk Najib Razak (gambar kiri), perhimpunan BERSIH 2.0 wajib dipatahkan untuk mengelakkan "tsunami politik" pada 8 Mac 2008 berulang. Perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 dikatakan sebagai punca utama yang menyebabkan kekalahan UMNO-BN dalam PRU-12 - hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen, di samping empat kerajaan negeri bertukar tangan, dan Kelantan kekal dalam genggaman PAS.

Namun demikian, tindakan terlalu keras yang digunakan untuk menekan gerakan BERSIH mencungkil lebih ketidakpuasan, daripada ketakutan. Ia semestinya mencalar imej kerajaan Najib Razak, apabila orang awam ditangkap sewenang-wenangnya hanya kerana berpakaian "kuning". Kezaliman itu seolah-olah sampai ke tahap "langsung tidak masuk akal".

Dan Najib tersepit di antara dilema ini. Seandainya perhimpunan BERSIH 2.0 gagal disekat, beliau akan dilihat sebagai "Abdullah Ahmad Badawi kedua" dalam UMNO, yang akhirnya berundur. Sekiranya kerajaan BN memberi reaksi yang dilihat mencapai tahap "kegilaan" di persimpangan "transformasi" ini, beliau akan dilihat sebagai "Mahathir Mohamad kedua", yang terkenal dengan simbol "zalim" dan "kuku besi".

Langkah seterus BERSIH...

Untuk BERSIH 2.0 pula, pimpinannya terpaksa membuat keputusan di bawah tekanan-tekanan tertentu. Kesediaan untuk mengadap YDPA mungkin sebagai langkah BERSIH untuk menyanggah tuduhan "memerangi YDPA". Seandainya YDPA bersetuju untuk membuka pintu istana, maka UMNO-BN, bersama polis yang menurut perintahnya, bakal menerima tamparan kerana dengan angkuh menutup pintu rundingan bersama BERSIH sebelum ini. Bagaimanapun, seandainya BERSIH dinasihatkan untuk membatalkan perhimpunan ini, dan pimpinannya akur, maka mereka mungkin berdepan dengan suara berbeza yang bakal timbul dalam gerakan ini.

Senario kedua adalah seandainya YDPA menyerah kepada kerajaan Najib untuk menyelesaikan isu ini, maka Najib yang telah menutup pintu rundingan sebelum ini, terpaksa menjilat ludah sendiri. Dan jika ini berlaku, ia mungkin ditafsirkan sebagai YDPA tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Najib menangani isu tersebut sebelum ini.

Senario ketiga, seandainya Najib enggan membuka pintu rundingan - bukankah BERSIH mempunyai alasan yang kukuh untuk meneruskan perhimpunannya pada 9 Julai 2011?

Teks penuh Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (pada malam 3 Julai 2011)

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran". Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Satu Iktibar Kepemimpinan Tulen Untuk Najib

KOMENTAR : Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai Bersih 2.0 memperlihatkan ketokohan dan kepemimpinan yang didahagakan oleh rakyat sekian lama.

Kematangan Seri Paduka Baginda dalam menyampaikan pendirian berhubung perhimpunan aman itu sekaligus mendinginkan hati rakyat dan menyejukkan keadaan yang semakin panas akibat kenyataan- kenyataan Perdana Menteri dan tangkapan-tangkapan polis terhadap penyokong Bersih 2.0.

Dalam kenyataan yang ringkas tetapi padat, Tuanku Mizan menintahkan supaya adalah lebih elok perhimpunan Bersih 2.0 dibatalkan kerana ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, walaupun niatnya baik.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda mengingati Najib dan kerajaan pimpinan beliau terhadap keperluan menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bertanggungjawab.

Titah baginda: “Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasanpun.

“Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah
Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik”

Walaupun media arus perdana menganggap titah Tuanku sebagai tamparan kepada penganjur Perhimpunan Bersih, mereka tersasar dalam menghayati semangat ucapan Seri Paduka Baginda.

Apa yang dinyatakan oleh Baginda amat jelas : biarlah segala permasalahan diselesaikan menerusi dialog dan rundingan yang telus dan adil supaya ia tidak mencetuskan sesuatu keadaan yang tidak diingini.

Sayugia diingati Bersih telah berunding dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk lebih setahun sebelum memutuskan untuk menganjur perhimpunan aman pada Sabtu ini.

Namun SPR tidak melayan rungutan-rungutan 62 Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergabung di bawah naungan Bersih.

Justeru, masalah seperti puluhan pengundi berlainan kaum berdaftar menggunakan alamat sama, pengundi biasa ditukar menjadi pengundi pos tanpa pengetahuan mereka hanya secebis daripada kepincangan yang dikesan dalam daftar SPR.

Apabila rundingan antara SPR dan Bersih gagal, sepatutnya Perdana Menteri sendiri harus mengambil iktibar untuk memberikan perhatian kepada rungutan-rungutan yang dibawa oleh Bersih.

Namun ini tidak dilakukan. Perdana Menteri sebaliknya menfitnah Ambiga sebagai musuh Islam semata-mata kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang peguam dalam kes murtad Lina Joy.

Perkasa dan Pemuda Umno digerakkan untuk menganjur perarakan bagi menandingi perhimpunan Bersih hanya untuk mencetuskan ketegangan.

Masjid-masjid di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula diwajib membaca Khutbah Jumaat yang melabelkan penganjur Bersih sebagai pelampau yang sanggup mencederakan anggota pasukan keselamatan.

Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam pula mendakwa beliau tidak dapat mengawal pesilat pertubuhan kebangsaan yang dipimpinnya daripada bertindak keras terhadap peserta Bersih 2.0.

Rasanya tidak perlu mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Ibrahim Ali atau dalang-dalang yang melancarkan demostrasi jalanan di Pulau Pinang atau yang membuat laporan polis terhadap Bersih 2.0.

Pada masa sama, polis turut dikerah untuk menangkap beramai-ramai sesiapa sahaja yang memakai baju berlogo Bersih. Lebih 200 orang ditahan dan Pejabat seketariat Bersih di serbu dan ratusan baju T dirampas.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong gerakan Bersih disoalsiasat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan. Enam orang termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput
Dr D.Jeyakumar ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Tanpa menunggu hasil siasatan, Jeyakumar dan rakan-rakannya dituduh oleh polis sebagai cuba menghidupkan fahaman komunis menerusi Bersih.

Siapakah yang harus bertanggungjawab kerana menimbulkan ketegangan ini?

Apakah yang dilakukan oleh Bersih sehingga mengundang tohmahan dan tindakan polis sebegitu?

Adakah Bersih melancarkan walaupun satu perhimpunan yang menggunakan kekerasan atau memusnahkan harta benda sebagai tindak balas? Tidak. Namun mereka yang menyokong gerakan itu menerima padah kerana terpalit dengan tohmahan yang direkayasa.

Ketika Malaysia memerlukan kebijaksanaan, kematangan dan kepemimpinan untuk menangani tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh Bersih, Perdana Menteri memilih untuk menggalakkan budaya samseng dalam cubaan terdesak untuk menakut-nakutkan pendokong Bersih 2,0.

Fitnah disebarkan menerusi Khutbah Jumaat dan media arus perdana. Ugutan demi ugutan dibuat oleh persatuan pesilat dan “patriot-patriot” lain dengan restu Perdana Menteri dan Menteri Umno yang lain.

Amat sukar untuk meneka kenapa Najib tidak memilih untuk berdialog dengan penganjur Bersih 2.0 tetapi bertindak untuk melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap mereka dengan menggunakan institusi media, polis dan masjid.

Jika beliau begitu bingkas berdialog dengan pemimpin-pemimpin Kristian tidak lama dahulu untuk meredakan kemarahan penganut agama berkenaan bersabit fitnah penubuhan negara Kristian, kenapa pula Perdana Menteri menjauhkan diri daripada penganjur Bersih 2.0?

Harus diingati, Bersih 2.0 bukan merangkumi Pertubuhan Bukan Kerajaan sembarangan.

Ia dibarisi oleh aktivis-aktivis tersohor yang sudah lama bergiat menyuburkan proses demokrasi di negara ini dan memerangi rasuah serta mendokong keadilan.

Selain daripada bekas Presiden Majlis Peguam S. Ambiga, nama-nama seperti Marina Chin Abdullah, Marina Mahathirdan Zaid Kamaruddin harus meyakinkan kita akan keikhlasan gabungan ini mahukan sebuah pilihanraya bebas dan adil demi manfaat rakyat.

Nama-nama ini juga tentunya memberi keyakinan bahawa mereka bukan golongan yang sanggup bergerak di bawah telunjuk mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

Sayang, Najib kehilangan peluang keemasan untuk memperlihatkan kepemimpinan pada saat yang amat diperlukan.

Beliau berpeluang untuk meredakan keadaan, dan mengajak Bersih 2.0 untuk berdialog secara ikhlas dengannya.

Namun beliau memilih jalan mudah untuk “melepaskan” segala aparatus kerajaan bagi menanam hasad dengki rakyat terhadap Bersih 2.0 dan menzalimi penyokong tertentu gabungan itu.

Rakyat hanya menarik nafas lega apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tampil untuk mengemudi jalan keluar daripada sebuah keadaan yang semakin gawat dengan pancaroba dan bahaya.

“Berdialog secara ikhlas dan elakkan tindakan yang boleh merugikan negara,” itu antara teras titah Tuanku Mizan.

Apa pula jawapan Najib kepada titah diRaja itu :

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah”

Kenyataan itu yang dibuat di depan pegawai-pegawai kerajaan hari ini adalah tawaran yang menjengkelkan kepada penganjur Bersih 2.0. Ia juga menyerlahkan kualiti kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

PR, Bersih Adakan Mesyuarat Tergempar Rabu Ini

PETALING JAYA 4 JULAI: Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat tergempar Rabu ini bagi membincangkan perkara yang akan dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum perhimpunan 9 Julai nanti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang ditemui media berkata pertemuan itu amat penting untuk memberi penjelasan kepada Seri Paduka Baginda berhubung jaminan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil tanpa menimbulkan sebarang kekacauan.

Menurut Azmin, perkara tersebut telah pun dipersetujui oleh Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Jadi kita boleh membentangkan kes kepada Yang di-Pertuan Agong membawa bersama bukti tentang kepincangan dalam proses pilihan raya," jelasnya.

Tuanku Mizan pada lewat petang semalam menyampaikan titah berhubung rancangan perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu ini.

Dalam titahnya baginda menyeru agar segala permasalahan diselesaikan melalui permuafakatan bagi mengelakkan tercetusnya sebarang suasana tegang dalam negara.

Pada masa yang sama Baginda menasihatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bijaksana.

Azmin menyifatkan titah oleh Tuanku Mizan itu tepat pasa masanya justeru mendesak Najib dan pentadbiran Putrajaya mengambil inisiatif bersifat rundingan di antara kerajaan dan Bersih sekaligus menolak ketepi sikap konfrontasi terhadap rakyat.

Namun beliau bertegas bahawa tuntutan Bersih akan tetap diteruskan untuk memperoleh ruang demokrasi yang lebih luas demi menjamin ketelusan sesebuah pilihan raya.

Azmin kemudian mengecam tindakan Najib menggunakan kaedah ugutan dan kuasa sewenang-wenangnya untuk menangkap aktivis termasuk pemimpin Pakatan Rakyat sambil membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan tersebut kata beliau secara tidak langsung menghakis sifat hormat rakyat terhadap kepimpinan Najib sendiri.

"Tetapi nampaknya rakyat tidak sedikit gentar dengan tekanan dan ugutan ini. Maka nampaknya Umno sekali lagi terpaksa berselindung di sebalik tembok istana untuk mendapat perlindungan," katanya.

Sehubungan dengan itu Azmin menyeru agar Najib menghentikan tekanan terhadap gabungan Bersih dan Pakatan Rakyat selain menolak tangkapan bermotifkan politik.

"PDRM sewajarnya mengambil sikap bertanggungjawab selaras dengan titah Tuanku yang mendesak supaya kerajaan, parti politik dan masyarakat umum lebih kepada dialog dan konsultasi. Bukannya berkonfontasi," ujar beliau.

Himpunan Bersih : Polis Rekod Keterangan Azmin Untuk Kali Kedua





PETALING JAYA 4 JULAI : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali hari ini memberi keterangan kepada pihak polis berhubung ceramah beliau di Desa Mentari pada 25 Jun lalu yang dikatakan menyentuh soal perhimpunan Bersih 9 Julai ini.

Keterangan Azmin diambil oleh pegawai dari Balai Polis Petaling Jaya di pejabat parti itu.

Atas nasihat peguamnya, Azmin tidak menjawab semua soalan yang diajukan.

Ini merupakan kali kedua Azmin diminta berbuat demikian dalam tempoh seminggu.

Ahli parlimen Gombak itu sebelum ini dirakamkan kenyataannya oleh pihak polis di lobi parlimen pada 28 Jun lalu, bersama seorang lagi ahli parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Menurut Azmin, pada masa itu, mereka disiasat atas “dakwaan mengundang” orang ramai menyertai Perhimpunan Bersih dalam satu ceramah yang dihadirinya.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, polis bertindak secara ganas untuk memecahkan pintu pejabat PKR di Pasir Salak malam tadi.


Kejadian yang berlaku sekitar jam 11 malam itu menurut beliau dipercayai atas cubaan mengaitkan program pelancaran jentera pilihan raya parti itu dengan rancangan perhimpunan Bersih 2.0.

Azmin memberitahu pada awalnya program berlangsung di hadapan pejabat parti PKR namun selepas mendapat nasihat polis beliau dan anggota parti lain berpindah ke dalam bangunan.

Namun sejurus selepas itu, hampir 100 orang anggota polis bertindak mengepung bangunan tersebut dan cuba menggangu perjalanan program sejurus Azmin mengambil tempat untuk berucap.

"Alasan tidak ada permit tetapi kita tidak memerlukan permit polis sebarang aktiviti yang dijalankan di dalam premis persendirian termasuk pejabat parti," jelas Azmin.

Namun demikian katanya, kakitangan pejabat PKR berjaya menghalang polis untuk masuk kerana ianya dibuat di dalam premis persendirian.

Bersih Mahu Mengadap Agong, Sedia Batal Himpunan Aman





KUALA LUMPUR 4 JULAI : Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreeneevasan berhasrat mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan pada 9 Julai ini jika diminta berbuat demikian oleh Seri Paduka Baginda.

"Bersih 2.0 akan mengikut nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak mengadakan dialog bagi mencari konsensus bersabit pembaharuan proses pilihan raya dan penyuburan demokrasi di Malaysia," kata Ambiga.
Berikut kenyataan penuh Ambiga :
BERSIH 2.0 mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong atas sokongan baginda terhadap aspirasi rakyat jelata untuk reformasi sistem pilihan raya.

BERSIH 2.0 akan patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk berdialog ke arah mewujudkan satu konsensus nasional bagi reformasi sistem pilihan raya dan proses pembangunan demokrasi di Malaysia.

BERSIH 2.0 memohon mengadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mempersembahkan isu-isu yang diambil berat oleh rakyat jelata serta aspirasi bagi reformasi pilihanraya dan proses pembangunan demokrasi untuk dilaksanakan dengan segera selaras dengan kehendak Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk rekonsiliasi nasional.

Menurut Ambiga, satu surat rasmi akan dihantar ke Istana Negara hari ini bagi menjelaskan hasrat Bersih mengadakan pertemuan dengan Tuanku Mizan.

Ditanya pemberita sama ada beliau bersedia membatalkan perhimpunan aman pada Sabtu ini jika diarah berbuat demikian oleh Tuanku, Ambiga berkata, pihaknya akan akur dengan kehendak Seri Paduka Baginda.
Dalam kenyataannya semalam Tuanku Mizan menyeru semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan negara susulan ketegangan yang tercetus akibat penangkapan hampir 200 orang termasuk enam ahli pembangkang di bawah Ordinan Darurat.

Baginda juga menggesa supaya kerajaan yang memerintah melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan saksama dan tidak mahu mana-mana segmen masyarakat bermusuhan dengan kerajaan.

“Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun,” titah Tuanku.

Beberapa kumpulan sebelum ini mengugut untuk menggunakan kekerasan jika 62 pertubuhan bukan kerajaan meneruskan hasrat menganjurkan perhimpunan aman Bersih untuk mendesak pilihanraya yang bersih dan adil pada 9 Julai.
Polis pula bertindak menangkap hampir 200 orang, kebanyakkan mereka kerana memakai baju dengan logo perhimpunan aman itu. Enam daripada mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.