PKR Pecat 29 Ahli, Pembersihan Parti Menjelang PRU-13

PETALING JAYA 21 JUN : Parti Keadilan Rakyat hari ini mendedahkan nama ahli parti itu yang dibuang, digantung dan diberi surat amaran sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Biro Displin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan seramai 29 ahli dipecat, 10 digantung dan 12 diberi surat amaran lantaran pelbagai perkara seperti menjadi calon pilihan raya untuk parti lain, membantu kempen parti lain, serta mengkritik kepimpinan tanpa menggunakan saluran yang betul dalam laman web sosial.

"Ini tindakan membersihkan parti ikut saluran dan perlembagaan parti. Secara umum terdapat dua kumpulan dalam senarai ini. Pertama selepas pemilihan parti akhir tahun lalu, kedua selepas pilihan raya negeri Sarawak," umum beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Antara yang dipecat ialah Thony anak Badak, Michael Jok dan beberapa lagi yang bertanding sebagai calon SNAP dan Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.

Bekas Pengarah Komunikasi Jonson Chong dan Soo Lina pula didapati membantu calon parti lain sepenuhnya dalam PRN yang sama.

PKR mengamalkan sikap tegas ini dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang demi membersihkan dan menaikkan imej parti.

Beliau memberi contoh bertapa kebanyakan ahli terbabit melakukan kesalahan serius kepada parti dan semua siasatan telah dilakukan dengan terperinci.

Menurut Dr Tan, keputusan itu telahpun diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik PKR dan semua surat tunjuk sebab telahpun diberikan kepada ahli yang menerima tindakan displin.

Malah beliau menyatakan ahli boleh merayu keputusan itu kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR jika mereka mahu berbuat demikian.

"Kami ikut prosedur, kita lampirkan bukti seperti keratan surat khabar dan sebagainya. Kemudian kita hantar surat tunjuk sebab melalui pos berdaftar dan kalau ada maklumat hantar sms dan sebagainya, biasanya kita tunggu selama 10 hari.

"Cara kita sama. (Ikut Perlembagaan) PAS juga sama, DAP juga sama. Saya tak boleh cakap untuk Barisan Nasional tapi mereka juga nampaknya akan lakukan yang sama (jika ia terjadi). Kecuali kalau BN membeli mereka," katanya.

Mengulas mengenai beberapa ahli yang mendakwa tidak mendapat surat tunjuk sebab dan pemecatan mereka, Dr Tan menyatakan itu merupakan kesalahan mereka sendiri.

"Itu alasan lapuk. Menjadi tanggungjawab ahli untuk mengemaskini dan berikan butir seperti alamat kepada ibu pejabat parti. Sama seperti saman polis, kita tak boleh beri alasan kita dah pindah ke rumah ibu kita. Ada beratus ribu ahli bagaimana kita nak pastikan semua maklumat terkini tanpa kerja sama ahli?," katanya.

Bersih 2.0 : "Kami Tak Takut Ugutan Polis"

SHAH ALAM 21 JUN : Parti Keadilan Rakyat Selangor dari segenap peringkat akan bersama-sama gerakan rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan di negara ini walaupun bakal berhadapan dengan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafie berkata, pihaknya tidak gentar berhadapan dengan ugutan polis mahu menahan sesiapa sahaja yang menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, sebaliknya menegaskan perhimpunan itu begitu penting bagi membina sebuah negara yang dihormati dunia.

"PDRM sewajarnya mengambil inisiatif untuk menjaga keselamatan rakyat pada 9 Julai ini dan bukan dengan tindakan provokasi menyembur gas pemedih mata pada rakyat yang berhimpun aman! Jika ugutan ini diteruskan dengan tindakan, Keadilan Selangor percaya kebanyakan rakyat sudah bersedia menghuni penjara. Waktu itu api semangat jihad menegakkan keadilan, tidak akan dapat di padam lagi hatta dengan ratusan 'water cannon' di depan mata!,"katanya.

Malah beliau turut membidas sikap berat sebelah polis yang cenderung mengikut telunjuk pemerintah sekaligus menafikan hak rakyat untuk bersuara.

" Peliknya, pihak yang mengedarkan video lucah dibiarkan bebas lepas, manakala yang berjuang demi hak rakyat diancam untuk ditangkap,"katanya lagi.

Kejayaan Bersih pada 10 November 2007 menjadi pemangkin kepada usaha Jawatankuasa Bertindak untuk melancarkan Bersih 2.0 yang membuat tuntutan kepada penambahbaikan juga pemulihan sistem pilihan raya Malaysia yang nyata kotor dan dimanipulasi oleh parti pemerintah.

Antara lapan perkara tuntutan Bersih 2.0 adalah semakan semula daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, pemansuhan sistem pengundian pos dan akses media yang adil kepada semua parti bertanding.

Dalam pada itu, Shuhaimi turut mempersoalkan tindakan polis yang mengugut dan mahu memperlakukan rakyat seperti pesalah sedangkan tugas sebenar polis adalah menjaga keselamatan dan memastikan perhimpunan aman itu tidak dicemari anasir-anasir provokasi pihak lain.

"Di manakah maruah PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang yang sewajibnya memahami hak rakyat untuk berhimpun? Arahan siapakah yang diikuti PDRM? Jika benar polis sebuah organisasi bebas, kenapa Ibrahim Ali dibiarkan sewenang wenangnya?

Selain Bersih 2.0, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno juga dijadual mengadakan perhimpunan pada tarikh yang sama.


SEJUTA SOKONG BERSIH- UNDIAN AKHBAR STAR

Sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.

Jumlah sebenar bilangan responden tidak dapat disahkan apabila portal berita berkenaan menghentikan banciannya kira-kira tengahari tadi.

NONEMenurut skrin yang dirakamkan oleh seorang pengguna Facebook, jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi ini, yang dirakamkan menerusi laman Google Cache.

Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?, 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan' pada 12.25 tengahhari.

Manakala pilihan satu lagi - 'Ia harus dibatalkan' - hanya dipilih oleh 14,222 responden.

WAJAH Tarik Minat Wanita Luar Bandar

PETALING JAYA 21 JUN : Wanita Parti Keadilan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan Wanita Keadilan Jelajah Kampung (WAJAH) yang bertujuan untuk menarik sokongan wanita luar bandar terhadap Pakatan Rakyat.

Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, program ini merupakan kesinambungan ucapan dasar beliau sewaktu Kongres Nasional Tahunan Keadilan tahun lalu yang memberi penekanan kepada strategi, inisiatif dan idea wanita PKR.

Menurut Zuraida, wanita yang merangkumi hampir 50 peratus pengundi di negara ini dahagakan informasi terhadap perkara sebenar yang berlaku di negara ini lantaran kekangan media Umno-Barisan Nasional.

"WAJAH merupakan suatu strategi, insiatif dan idea dari pimpinan Wanita Keadilan Selangor yang berasaskan kaedah jelajah yang merangkumi seluruh kelompok pengundi dan lokaliti dari luar bandar, FELDA, estet, ladang sehingga ke kelompok orang asal," kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Zuraida menganggap pembangunan wanita di negara ini tidak selaras dengan kemajuan pembangunan negara berdasarkan kepada indeks Jurang Jantina Global 2010 yang dibentangkan di Forum Ekonomi sedunia baru-baru ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menilai jurang pencapaian wanita dari pelbagai sudut seperti pencapaian ekonomi, pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya, mendapati Malaysia hanya menduduki tangga ke 101 dari 132 negara.

Menurut beliau, WAJAH berbeza dengan skuad Sayang yang digunakan oleh Umno yang lebih menggula-gulakan rakyat luar bandar dengan sumbangan dari Kerajaan Pusat dan bukannya insiatif dari parti Umno demi pencerahan politik dan maklumat kepada rakyat.

"Pendekatan WAJAH berbeza kerana ia berikan ilmu pengetahuan. Jadi ini amat dihausi oleh Wanita di Malaysia seperti mana kita lihat bajet tambahan semalam, Kementerian Wanita 30 peratus, mereka memperoleh lebih kurang RM 458 juta dan disasarkan untuk beri sumbangan kepada OKU, orang susah, ibu tunggal dan sebagainya. Jadi ini mainan politik Umno guna duit rakyat untuk beri sumbangan bawah nama Wanita Umno.

"Wanita keadilan berganjak dari arah itu, dan kami memfokuskan lebih kepada maklumat dan ilmu untuk beri perubahan hidup dan kualiti dan main peranan sebagai rakyat Malaysia," tegas Zuraida.

Sementara itu, menurut naib ketua wanita Keadilan, Haniza Talha pula, pelancaran WAJAH akan dijalankan serentak di semua 13 negeri dan wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 2 Julai ini.

Pelbagai program telah disusun untuk mendekati penduduk luar bandar bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam arus politik dan pembangunan negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Parti Pakatan Rakyat dan pimpinan tempatan yang lain.

"Pendekatan kita adalah pimpinan akan turun sekali mendengar rintihan penduduk. Pendekatan dinamik ini kerana BN jarang turun bergaul bersama rakyat. Perkara ini tidak asing bagi kami kerana sebelum ini pemimpin kami juga rakyat. Kita dengar sendiri semua pendapat mereka," kata beliau.

Speaker Putuskan Kedudukan Tian Minggu Depan

 KUALA LUMPUR 21 JUN : Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan mengumumkan keputusan sama ada akan mengambil tindakan terhadap ahli parlimen Batu, Tian Chua yang disaman RM2,000 tahun lalu.

Pandikar juga berkata beliau telah menerima surat daripada ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan peguam Tian berhubung perkara tersebut.

"Sekarang saya sedang meneliti. Akan berbincang dengan penasihat undang-udang dan minggu hadapan akan beri keputusan," jelas belia.

Ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung sebentar tadi, Ibrahim bingkas bangun membacakan peraturan dewan yang menyebut peruntukan melucutkan jawatan mana-mana ahli parlimen yang terlibat dengan kes polis atau disaman.

Beliau merujuk kepada kes Tian yang didenda oleh mahkamah membayar RM 2,000 atas kesalahan menghalang tugas polis.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menegaskan pada penghakiman bertulisnya 17 Jun tahun lalu, bahawa denda RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua dari PKR tidak akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi parlimen Batu.

Dalam penghakiman 18 dokumennya, hakim itu memetik sebahagian penghakiman hakim Mahkamah agung, Tan Sri Gunn Chit Tuan yang berkata "tidak kurang dari" seharusnya membawa maksud "lebih daripada".

Ugut Kaum Cina : KDN Terus Diamkan Diri

KUALA LUMPUR 21 JUN : Pendakwaan terpilih yang diamalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diteruskan lagi dalam kes melibatkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengugut kaum Cina di negara ini.

Setelah dua hari berlalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan apatah lagi mengambil tindakan terhadap Ibrahim.

Sehubungan itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang di parlimen hari ini menuntut kementerian termasuk Ketua Polis Negara menjelaskan kepada umum kuasa imuniti Ibrahim sehingga beliau tidak terkesan oleh peruntukan undang-undang.

"Apa yang berkaitan adalah perbuatan membisu oleh PM, TPM dan polis yang perlu dijelaskan dan mengapa Ibrahim diberi kebebasan untuk membuat ugutan.

"Adakah mesyuarat kabinet minggu depan akan mengkritik menteri kerana gagal mengambil tindakan sesuai menentang Ibrahim yang bertindak sedemikian rupa," katanya pada sidang media di lobi parlimen tadi.

Ibrahim bersama lebih 160 badan bukan kerajaan (NGO) lain pada Ahad lalu mengarahkan supaya kaum Cina berada di rumah pada tarikh 9 Julai nanti jika khuatir akan keselamatan diri selain mengarahkan mereka membeli stok makanan untuk disimpan.

Ini kerana menurutnya akan berlaku pertembungan di antara penyokong perhimpunan Bersih 2.0 dan Perkasa pada hari berkenaan.

Selain melabel Ibrahim sebagai "badut", Kit Siang berpendapat kenyataan presiden pertubuhan pro Umno-Barisan Nasional (BN) itu boleh mengancam keselamatan negara umpama kejadian pada 13 Mei 1969.

Bersabit perkara yang dibangkitkan itu, Kit Siang seterusnya mengumumkan dua tuntutan tambahan pada perhimpunan Bersih 2.0 iaitu tidak ada sebarang ugutan mahupun ancaman seperti yang berlaku pada 13 Mei, sebelum mahu pun ketika pilihan raya berlangsung.

Kedua, kerajaan pusat dan menteri tidak boleh menyalahgunakan kuasa membenarkan penjaga mereka berfungsi untuk tujuan pengundian.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media turut menyarankan agar Ibrahim ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 bersabit kenyataan menakut-nakutkan masyarakat Cina.

Katanya, kementerian tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak mendakwa Ibrahim kerana kenyataan beliau yang berbaur rasis dan boleh dianggap membahayakan keselamatan awam.

Justeru Khairy menyifatkan kenyataan ahli parlimen Pasir Mas itu bukan mewakili keseluruhan masyarakat Melayu di negara ini yang lebih bertamadun.

Kit Siang kemudian mempelawa Perdana Menteri dan timbalannnya serta seluruh kepimpinan BN untuk turut serta dalam perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung pada 9 Julai nanti.

Menurutnya tindakan ini akan memberi mesej kepada negara bahawa menjelang 54 tahun amalan demokrasi berparlimen, kesemua parti politik akan bersama-sama rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Penyertaan dari pemimpin-pemimpin BN bagi inisiatif Bersih 2.0 akan menjadi sejarah besar buat demokrasi di Malaysia, justeru membawa satu pengakhiran bagi elemen negatif, perpecahan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Bersih 2.0 : PAS S'gor Sasar Separuh Ahlinya Sertai Himpunan

 SHAH ALAM 21 JUN : PAS Selangor menjangkakan lebih separuh daripada 72,000 anggotanya akan menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai depan.

"Kita ada 72,000 ahli di Selangor. Paling minima 50,000 akan keluar (berhimpun). Kita sudah arah keluar tanpa kecuali," kata setiausaha PAS negeri Khairudin Othman.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bagaimana mobilisasi anggotanya itu akan dibuat.

"Tak pernah jadi strategi kita naik bas. Ahli kita faham bagaimana," katanya ketika ditanya sama ada parti itu menyediakan bas untuk membawa anggotanya.

Dalam pada itu, amaran diberikan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya tidak melakukan sebarang provokasi pada perhimpunan itu nanti.

Pada hari sama, Pemuda Umno juga akan mengadakan himpunan.

“Perkasa jangan cuba buat provokasi, jangan anggap orang yang turun ke jalanan adalah orang tidak bertamadun.

“Berdasarkan sejarah, demonstrasi yang dianjurkan PAS tidak pernah berlaku kekecohan dan pada himpunan Bersih yang lalu ia berjalan dengan aman dan tidak ada satu pasu pun yang pecah,” kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman.

RAKYAT TETAP SOKONG BERSIH

Himpunan Bersih: PAS Selangor beri amaran Perkasa jangan buat provokasi


Penyokong Perkasa membakar poster dengan gambar ketua Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan sewaktu pelancaran Gerak Aman menentang Bersih 2.0 di Padang Kelab Sultan Sulaiman 19, Jun 2011.
SHAH ALAM, 21 Jun — PAS Selangor memberi amaran kepada Perkasa agar tidak mewujudkan suasana provokasi pada tiga perhimpunan serentak 9 Julai ini yang turut disertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Selain Bersih dan Perkasa, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari itu.

“Perkasa jangan cuba buat provokasi, jangan anggap orang yang turun ke jalanan adalah orang tidak bertamadun.

“Berdasarkan sejarah, demonstrasi yang dianjurkan PAS tidak pernah berlaku kekecohan dan pada himpunan Bersih yang lalu ia berjalan dengan aman dan tidak ada satu pasu pun yang pecah,” kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman.

Beliau menegaskan Perkasa yang diterajui Datuk Ibrahim Ali harus menjaga tingkah laku dan mendisiplinkan ahli pada perhimpunan itu.

“Perkasa ini tidak ramai, mereka hanya cakap... kita tunggu dan lihat nanti dan saya minta Perkasa jaga ahli dan disiplinkan ahli dulu,” katanya.

Tambah Mohd Khairuddin, pihaknya akan menggerakkan seramai 50,000 ahli untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0.

“Kita ada 72,000 ahli di Selangor, kita telah arahkan 50,000 ahli daripada 72,000 untuk turun.

“Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) telah arahkan saya keluarkan arahan kepada ahli untuk sama-sama turun pada himpunan Bersih 2.0 nanti,” katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Perkasa juga akan mengadakan perhimpunan balas bagi membantah penganjuran himpunan Bersih 2.0.

Tambah Mohd Khairuddin, ahli PAS yang turun menyertai himpunan Bersih 2.0 tidak perlu bimbang sekiranya ditahan kerana pihaknya akan menyediakan khidmat guaman.

“Mana-mana ahli kita yang ditahan, PAS pusat akan menyediakan khidmat guaman mereka dari hari ditahan sehingga dibawa ke Mahkamah Rayuan secara percuma,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana ahli yang akan menyertai himpunan Bersih 2.0 perlu menggunakan perkhidmatan masing-masing kerana pihaknya tidak menyediakan bas.

“Tak pernah jadi strategi kita naik bas. Ahli kita faham bagaimana.

“Nanti kalau ada sekatan jalan raya habis kita,” katanya.

Bersih yang terdiri daripada gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut keadilan dan pilihan raya adil dan bersih.

Barisan PAS Selangor baru dibentuk hadapi Umno-BN, kata Dr Rani


KUALA LUMPUR, 21 Jun — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dilantik semula membarisi kepimpinan PAS Selangor selepas digugurkan daripada jawatan timbalan pesuruhjaya negeri pada era Datuk Dr Hasan Ali.

Selain Khalid (gambar), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shaari Sungib dilantik semula memegang jawatan ketua penerangan.

Pengumuman barisan kepimpinan baru dibuat Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman pada sidang media pagi ini.

Menurut Dr Rani, keputusan barisan baru itu dibuat secara bulat suara selain mengambil kira pandangan PAS kawasan.

Tambah beliau, barisan kepimpinan baru itu dibuat atas dasar “boleh bekerjasama” dengan semua pihak dalam menghadapi Umno-Barisan Nasional (BN) dan pilihan raya umum ke-13.

Pada 2009, Khalid, Yang Dipertua Shah Alam dan Saari digugurkan jawatan oleh Dr Hasan yang ketika itu pesuruhjaya PAS Selangor.

Tindakan itu dipercayai kerana Dr Hasan “kepanasan” dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

“Ini (barisan baru) kombinasi semua golongan, kita ada ulama, profesional, aktivis parti, muka lama dan muka baru... kalau dibenarkan kita akan tambah lagi (bilangan) tapi ini yang telah ditetapkan dalam perlembagaan parti.

“Barisan kepimpimpinan baru ini adalah untuk berhadapan Umno-BN dan pilihan raya umum yang mungkin akan diadakan pada tahun ini,” kata Dr Rani.

Tambah Adun Meru ini, beliau berharap kepimpinan baru akan memberikan kerjasama dengan semua pemimpin lain dan boleh menegurnya sekiranya melakukan kesalahan.

“Saya melihat yang penting (mereka yang dilantik) adalah orang yang boleh bekerjasama sebab kalau tidak ada kerjasama sukar untuk saya.

“Saya juga ikut gaya PAS Kelantan, yang mana yang saya hubungi semua yang dipertua untuk meminta pandangan dan apa yang mereka mahu, jadi pelantikan Khalid dan Saari ini dikira mendapat majoriti selain telah menunjukkan prestasi yang bagus,” katanya.

Khairy: Ambiga degil, ada tujuan politik teruskan Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 21 Jun — Khairy Jamaluddin mengecam pendirian pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan yang enggan menemui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perhimpunan 9 Julai ini sambil menyifatkan bekas presiden Majlis Peguam itu “ingin menghangatkan pertimbangan politik.”

Ketua Pemuda Umno berkata kumpulan yang menuntut sistem pilihan raya adil dan bersih “memperoleh kemenangan moral” apabila berjaya mendesak SPR untuk datang berbincang tetapi tetap berkeras kerana mempunyai tujuan politik.

“Beliau (Ambiga) begitu degil. Beliau boleh bekerjasama tetapi beliau mahu ia berlaku. Jika tidak beliau akan berbincang dengan SPR dan ini tidak jujur dengan mengatakan anda ingin melakukan perubahan,” kata Ahli Parlimen Rembau ini kepada The Malaysian Insider.

Ambiga menolak tawaran SPR untuk berbincang mengenai perubahan sistem pilihan raya yang didakwa berlaku banyak penyelewengan dan penyalahgunaan supaya ia boleh dibentangkan di Parlimen.

Khairy (gambar) berkata keputusan itu menunjukkan Bersih tidak bebas kerana ia cuba memastikan Pakatan Rakyat membawa isu itu ke Parlimen.

“Mengapa tidak bertemu dengan SPR terlebih dahulu, masih ada dua minggu sebelum 9 Julai? Kemudian baru putuskan jika ada apa-apa kemajuan yang boleh dibuat. Tetapi beliau jelas tidak berminat dan mahu menjadikan ia sebagai isu politik.

“Semua rakyat Malaysia mahu mengelak daripada berlaku pertembungan tetapi beliau cuba menghangatkan suasana politik,” katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan ratusan ribu peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Pada perhimpunan 2007, ia menyaksikan perubahan yang besar berlaku pada pilihan raya umum 2008 apabila Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun akhbar Utusan Malaysia, milik Umno meneruskan serangan terhadap perhimpunan itu dengan mendesak rakyat membantah demonstrasi itu.

Pemimpin Umno menuduh penganjur menggunakan perhimpunan haram itu untuk mendapatkan sokongan politik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga memberi amaran bahawa “akan berlaku huru-hara dan membantah perhimpunan di jalanan.”

Selain Pemuda Umno, pertubuhan hak Melayu, Perkasa akan mengadakan perhimpunan balas pada hari sama.

BERSIH 2.0 : Apa Saja Ancaman, Rakyat Tekad Turun Ke Jalan-AMK

SHAH ALAM 21 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan rakyat tetap akan turun ke jalan pada 9 Julai ini, biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman, tegas Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

“Biar apa jua keadaan yang mendatang, AMK akan terus berada di barisan hadapan untuk membawa rakyat merempuh sistem pilihanraya yang tidak telus melalui Perhimpunan Bersih 2.0 kelak,” tegasnya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

Khairul berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dibuat secara berangkai oleh Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa dan pihak polis mengenai perhimpunan tersebut, yang jelas menunjukkan kedangkalan dan sikap tidak matang mereka berdepan suara rakyat.

Khairul yang juga dikenali sebagai Jonah mengingatkan perhimpunan Bersih 2.0 adalah hak rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menuntut perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan telus, selaras peruntukan perlembagaan.

“AMK menyarankan kepada Pemuda Umno dan Perkasa agar tidak membuang masa dengan mengugut rakyat. Jangan memperbodohkan rakyat dengan sistem yang menindas, sebaliknya belajarlah berhadapan dengan kuasa rakyat secara bermaruah,” katanya.

Tegasnya, perhimpunan itu bertujuan untuk memperbaiki sistem Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan menuntut kerajaan supaya lebih peka terhadap keperluan perjalanan pilihanraya yang adil untuk semua pihak.

“AMK ingin membalas semua ‘kerisauan’ yang ditimbulkan oleh Umno, Perkasa, dan Polis ini dengan satu pertanyaan sahaja: “mengapa mereka perlu takut denganperhimpunan Bersih 2.0 sekiranya mereka yakin sistem Pilihanraya yang diselenggara oleh SPR di Malaysia benar-benar telus dan bersih?,”soalnya.

Malah, sistem pilihanraya yang adil dan telus bukan untuk menguntungkan PKR ataupun rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya ia menguntungkan rakyat kerana suara mereka diterjemahkan dengan betul tanpa sebarang manipulasi.

Pemuda Umno dan Perkasa sebelum ini menyatakan hasrat untuk turut sama mengadakan perhimpunan pada tarikh dan masa yang sama bagi menyokong sistem pilihan raya di negara ini.

Ia disusuli dengan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang memberi amaran kepada kaum Cina supaya ‘membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah’ jika perhimpunan itu tidak dihentikan.

Malah pertubuhan pelampau itu turut memberi ancaman kepada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan menyatakan beliau sebagai ‘Wanita Hindu yang berbahaya’.