PAS bersama Pakatan Rakyat: Harus tegas kerana pendirian, bukan kerana tekanan

Perkembangan pasca "tsunami politik" membawa PAS ke persimpangan jalan, dan halatuju masa depannya dijangka akan ditentukan dalam pemilihan pada tahun 2009. Mohamad Sabu dan Husam Musa yang berpendirian lebih tegas untuk menutup pintu rundingan bersama UMNO - akhirnya gagal menawan jawatan Timbalan Presiden, sungguhpun jumlah undi kedua-dua mereka melebihi penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa.

Kesudahan sedemikian mencungkil ramalan bahawa isu "kerjasama UMNO-PAS" atas nama perpaduan umat Islam akan terus menghantui PAS, malah PAS mungkin mengalami retakan dalaman berikutan isu ini. Bagaimanapun, isu ini akhirnya berjaya dimatikan dalam Seminar Politik PAS, selepas Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat secara terbuka menyelar beberapa pemimpin yang "tak habis-habis nak bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan".

Untuk berlaku adil kepada Presiden PAS, beliau sebenarnya telah berulang-kali menegaskan pendirian PAS untuk bersama Pakatan Rakyat selepas "Seminar Politik" tersebut. Bagaimanapun, "ketegasan" Abdul Hadi Awang tetap tidak meyakinkan sesetengah orang - misalnya Profesor Abdul Aziz Bari yang masih menuding jari terhadap kelemahan pimpinannya.

Tegas kerana terpaksa tegas?

Pemerhatian ini dilontarkan kepada Mohamad Sabu, calon Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan yang bakal berlangsung pada Jun 2011, disusuli dengan persoalan mengapa keadaan ini berlanjutan. Beliau tidak menyanggah pemerhatian tersebut, sambil berkata, "Dia satu, tegas kerana pendirian kita. Satu lagi tegas (kerana) terpaksa tegas kerana kehendak orang ramai. Kita mahu tegas di sudut pendirian, bukan tegas kerana terpaksa tegas."

"Kita kata kita bersama Pakatan Rakyat. Bukan soal Anwar ada atau tak ada; Nik Aziz ada atau tidak ada. Sebab manusia boleh datang dan pergi. Sama ada keluar parti, meninggal dunia... sebab tu kita kena tegaskan dengan Pakatan Rakyat. Bukan the person, tapi parti. Gobalakrishnan pun dah pergi, Ezam..." kata Mat Sabu (gambar kanan).

Beliau yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu berkata sedemikian dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 12 Mei 2011, di Hotel Armada Petaling Jaya.

Jawapan Mat Sabu mengisyaratkan bahawa wujudnya pandangan berbeza dalam isu kerjasama antara PAS dengan gandingan parti politik yang berbeza. Dan beliau tanpa berselindung untuk mengaku bahawa dirinya bersama sekumpulan rakan perjuangan dalam PAS berpendirian untuk bersama Pakatan Rakyat buat masa kini, agar membentuk formula politik baru untuk Malaysia.

Dari sebermulanya, Mat Sabu enggan mengulas kelemahan atau kelebihan "lawan"-nya, meskipun berkali-kali diaju dengan soalan untuk menilai saf pimpinan asal. Beliau berkata, "Apa yang penting ialah apa yang saya nak buat bila saya dipilih nanti."

PAS kurang agresif

"Saya nampak bila kita sebagai parti yang tidak memerintah, ia mesti bersifat agresif. Bukan radikal, (tapi) agresif. Saya melihat Keadilan (PKR), partinya tidak sekuat mana. Tetapi dia lebih agresif dari segi menyatakan sesuatu isu, misalnya isu rasuah, penyelewengan, nampak lebih ke depan...sedangkan ahli dan kekuatan mereka tidak seberapa..."

Beliau menambah, "Tapi Parti Islam, ia lebih ramai ahli, dan lebih established, organisasinya mantap, tetapi untuk nak eksploitkan orang ramai menyokong parti itu, perlu dipertingkatkan. Itu yang saya nampak ruang yang saya boleh mainkan peranan di sini."

Mat Sabu secara terang-terang menolak perjuangan radikal, misalnya mengangkat senjata; tetapi dari segi tindakan, beliau berpandangan bahawa pimpinan harus lebih progresif dan proaktif. Wartawan menyusul dengan soalan sama ada inilah yang kurang dalam pimpinan yang sedia ada, Mat Sabu menjawab, "Ya."

"Misalnya corruption (rasuah), penyalahgunaan ISA, penyalahgunaan Akta Cetak dan sebagainya, kita nampak parti lain dan pertubuhan lain lebih terkehadapan, sedangkan kita lebih berupaya..." katanya.

Mat Sabu jelas bahawa PAS tidak akan menang dalam pilihan raya hanya dengan sokongan ahli partinya, tetapi sokongan orang ramai yang menjangkau kaum Cina, India, dan suku kaum di Sabah dan Sarawak. Pemidato popular ini yakin bahawa dirinya "ada sedikit keupayaan untuk mendamping mereka", barangkali latar belakangnya yang lahir di Pantai Barat, iaitu Pulau Pinang, dan hidup bersama komuniti bukan Melayu, katanya. Lebih-lebih lagi, persahabatan yang terjalin antara pemimpin DAP misalnya Lim Guan Eng, Karpal Singh dan lain-lain, ketika mereka ditahan bersama di bawah ISA dalam Operasi Lalang pada tahun 1987.

Mat Sabu berterus-terang bahawa PAS perlu bergerak bersama orang-orang bukan Melayu yang tidak menyokong MCA dan BN, seandainya "berangan-angan untuk memerintah Malaysia". Beliau mendakwa bahawa masyarakat Tionghua lebih gelisah dan sensitif dengan isu hak asasi, rasuah dan sebaginya, berbanding masyarakat Melayu.

Padahalnya, pendekatan untuk menjangkau komuniti bukan Melayu/Islam terbukti strategi yang berjaya, sebagaimana apa yang berlaku dalam "tsunami politik" 2008. Menurut analisa Mat Sabu, antara faktor yang mencetuskan "tsunami politik" adalah perhimpunan BERSIH dan HINDRAF. Mat Sabu mendakwa bahawa dirinya bersama beberapa rakan dalam PAS antara yang cuba meyakinkan pimpinan lain untuk turut serta dalam perhimpunan tersebut.

Ketika ditanya apakah kekhuatiran yang membelenggu sesetengah pimpinan dalam PAS yang enggan menyertai, Mat Sabu berkata, "Mereka, setengahnya menganggap bahawa Cina dan India ini selamanya tidak boleh terima Parti Islam. Kita kata, pernahkah kita berdamping dengan mereka, bercakap, berdialog berterus-terang? Lalu benda-benda seperti ini, kami, sekumpulan mainkan peranan sehingga parti menjadi begini sekarang."

Isu Negara Kristian: Usaha Utusan yang cukup jahat

Sungguhpun demikian, "keghairahan" selepas "tsunami politik" kelihatan tidak bertahan lama. Tsunami berlaku di bandar dan airnya tersekat di luar bandar. Malah beberapa PRK kebelakangan ini, yang kebetulan berlaku di kawasan luar bandar - mungkin sedikit sebanyak melemahkan semangat Pakatan Rakyat. Mat Sabu mengingatkan, padahal pembangkang agak sukar menang dalam PRK mengikut pengalaman lalu, kerana terpaksa melawan dengan jentera negara, yang kini semakin "terang-terang" disalahgunakan.

Apabila wartawan membangkitkan bahawa PR pun pernah menang dalam beberapa PRK yang awal selepas PRU 12, menyusul dengan pertanyaan sama ada ia tanda "lunturnya semangat PR", sambil senyum Mat Sabu menjawab, "Itu yang saya cuba, nak menaikkan semula!"

Beliau mengupas perbezaan antara pola pengundian masyarakat Cina di bandar dengan masyarakat Melayu di kampung. Untuk Mat Sabu, gula yang ditaburkan memberi kesan kepada penduduk kampung, sungguhpun PAS terkenal untuk mengingatkan pengundi agar tetap undi PAS walaupun menerima kebaikan daripada UMNO-BN. "Sikit (orang) yang ambil (kebaikan) tapi tak balas budi," katanya.

"Masyarakat Tionghua ini sejak awal dulu dia masyarakat yang independent (berdikari). Dia tak bergantung kepada subsidi, dia tak bergantung kepada... Tak kan you nak bagi orang di Petaling Jaya 50 ringgit untuk undi dia? Jadi berlainan. Tapi saya yakin kalau sekarang berlaku pilihan raya, undi Melayu akan melonjak..."

Bagaimanapun, pemimpin yang kerap berceramah di peringkat akar umbi mengakui bahawa serangan UMNO-BN cukup berbisa, dan perlu ditangani dengan baik. Misalnya, beliau menganggap "isu negara kristian" yang ditimbulkan Utusan Malaysia baru-baru ini sebagai "usaha yang cukup jahat", kerana ia menimbulkan kegelisahan di kalangan Melayu/Muslim. "Orang kampung tak tahu yang nak tubuh negara kristian tu memerlukan majoriti dua pertiga dalam parlimen," katanya, sambil menambah bahawa pihak Pakatan memerlukan beberapa minggu untuk "cover-balik" (menangkis dengan baik) isu yang ditimbulkan ini.

Beliau turut menyifatkan bahawa BN "tersepit sungguh" untuk memainkan isu sebegini, kerana UMNO sedar bahawa gandingan PAS, PKR dan DAP boleh menjurus kepada pertukaran kerajaan. "PAS kalau berpisah dengan DAP, BN akan memerintah selama-lamanya," katanya, menambah bahawa ini adalah soal perkiraan matematik yang mudah.

Tidak bercita-cita untuk jadi Presiden

Ketika ditanya MerdekaReview, Mat Sabu secara terus-terang mendakwa bahawa dirinya tidak berniat untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi, iaitu Presiden, pada masa depan - setelah menilai keupayaan diri. Beliau sekadar mahu menyumbang tenaganya selaku Timbalan Presiden, seandainya direstui perwakilan dalam pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun beliau enggan menamakan calon yang sesuai untuk jawatan Presiden selepas Abdul Hadi Awang, cuma yakin bahawa ada orang yang lebih layak.

Mat Sabu bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2009, memperolehi 261 undi, berbanding Nasharuddin Mat Isa (480 undi) dan Husam Musa (281 undi). Kali ini, Mat Sabu diberi laluan oleh Husam Musa, memperolehi pencalonan yang tertinggi untuk jawatan Timbalan Presiden. Beliau berdepan dengan dua orang pesaing yang sudah mengumumkan kesediaan bertanding, iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian Pertama: Mat Sabu: Jangan terperanjat anak tokoh PAS bertanding atas tiket DAP

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tarif Elektrik : Kroni Terus Kaut Untung, Rakyat Kekal Menderita

TARIF BAGI KAD KEAHLIAN UMno dikurangkang....ha..ha...ha



SHAH ALAM 27 MEI : Kenaikan tarif elektrik yang hanya akan diperincikan butirannya Isnin ini mungkin menyaksikan kenaikannya dilakukan secara berperingkat-peringkat demi mengelakkan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah terus merudum menjelang Pilihan Raya Umum.

Walau bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, strategi Umno-BN ini tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat memandangkan ketirisan subsidi kepada kroni masih diteruskan kerajaan pemerintah.

“Kalau ia (tarif elektrik) tak naik, juga bermaksud pilihanraya sudah dekat (tetapi ) kerajaan akan naikkannya selepas pilihanraya, jadi isu tarif ini tidak selesai.

“Mereka hanya buat sedikit perubahan untuk menahan sekejap (kenaikan) sahaja tetapi mereka tidak selesaikan masalah ketirisan subsidi kepada kroni-kroni yang kaya,” kata Tian kepada TV Selangor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menuntut kerajaan menyemak semula perjanjian berat sebelah antara syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut Anwar, perjanjian tersebut hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni yang rapat dengan pemerintah, sedangkan rakyat terpaksa menanggung beban akibat kenaikan tarif elektrik.

Jelas beliau, perjanjian itu sebelum ini direka untuk memastikan 26 syarikat IPP dilindungi dari sebarang risiko kenaikan harga bahan api seperti gas, disel dan arang batu menyebabkan TNB terpaksa menanggung akibat jika berlaku kenaikan harga.

Walau bagaimanapun berikutan perjanjian itu, Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjualnya semula pada kadar harga subsidi tetap.

“Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM 22 billion setahun jika dikira menurut kadar harga semasa minyak mentah serta gas asli,” kata Anwar dalam satu kenyataan akhbar.

Justeru itu katanya, ekoran perjanjian yang rumit dan berat sebelah itulah rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik yang tinggi.

Majlis Ekonomi Negara (NEC) yang bermesyuarat hari ini meluluskan kenaikan tarif elektrik dan butirannya akan diumumkan Isnin depan.




Pusat Tak Bantu Percepat Selesai Masalah Air Selangor


SHAH ALAM 27 MEI : Tindakan kerajaan pusat menolak cadangan Selangor mengenai idea penstrukturan semula air di negeri ini menyukarkan penyelesaian proses itu dilakukan.

Hal ini kerana, tindakan kerajaan Pusat yang enggan menimbang sebaik mungkin tawaran yang diberikan kerajaan negeri lah yang menyebabkan isu ini masih berlarutan sehingga sekarang, kata ahli parlimen Klang, Charles santiago.

" Apa yang lebih malang ialah, kerajaan Persekutuan pun tidak ada apa-apa cadangan yang baru, pandagan mereka ialah untuk tidak lakukan apa-apa perubahan mengenai cara untuk menguruskan, yang pasti mereka takut untuk cakap dengan terus terang, oleh kerana itu apa-apa cadangan yang dibentangkan kerajaan negeri ditolak dalam mesyuarat," kata Charles.

Berita Harian hari ini melaporkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan Selangor gagal menyusun langkah sesuai untuk mengatasi masalah ini sehingga mengakibatkan kerajaan Pusat terpaksa masuk campur.

Bagaimanapun, menurut Charles, kenyataan menteri itu amat tidak bertanggungjawab memandangkan umum mengetahui kerajaan negeri beberapa kali membentangkan tawaran kepada empat syarikat konsesi di negeri ini namun "diganggu" oleh kerajaan Pusat.

"Apa yang dikatakan oleh Datuk Peter itu memang tidak patut dan tidak bertanggungjawab sebab kita telah lakukan banyak cadangan tetapi ditolak dan perkara ini membuatkan ia berlarutan dalam jangka masa yang lama,"katanya.

Charles menyatakan kerajaan Selangor menyedari kebimbangan pemegang- pemegang bon air susulan laporan bahawa bon mungkin menghadapi penurunan rating sekiranya perbincangan penyusunan semula industri air tidak diselesaikan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat menyelesaikann isu dengan kerajaan Persekutuan bagi menyusun semula perkhidmatan air seperti yang diperuntukkan bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Malangnya, kerajaan Pusat pula tekad mengambil alih bon air dari kerajaan Selangor atas alasan menstabilkan industri air Selangor.

Justeru menurut Charles, penyelesaian Selangor perlu diberi hak dan ruang dalam menyelesaikan masalah ini.

"Kalau Peter Chin tidak mampu uruskan biar kerajaan negeri uruskan, dan kini dia bagi pembelaan kepada pemegang bon dan jelas tindakan ini tidak masuk akal, ini menunjukkan keadaan sedia ada iaitu menggunakan pihak swasta menguruskan air (yang terbukti) telah gagal,"katanya lagi.

DAP hari ini mendedahkan, kerajaan membayar 73% lebih tinggi daripada nilai pasaran walaupun sepatutnya baki bon tersebut harus diselesaikan oleh pemegang saham syarikat terbabit.

Untuk rekod, kerajaan Persekutuan telah memberi lampu hijau kepada Kerajaan Selangor pada Januari 2008 untuk menyatukan pemegang konsesi air ini di bawah syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Selepas Pakatan Rakyat memerintah pada Mac 2008, Menteri Besar memutuskan untuk menstruktur semula industri air dengan menawarkan pampasan kepada pemegang konsesi sebanyak RM5.7 billion.

Pemegang konsesi menolak tawaran ini kerana mendakwa jumlahnya tidak cukup untuk menampung hutang-hutang yang ditanggung syarikat konsesi yang berjumlah RM6.4 billion.

Selepas semakan semula empat bulan kemudian, Kerajaan Selangor menawarkan pampasan sebanyak RM9.3 billion dan tawaran ini diterima konsesi SPLASH dan ABBAS.

Pada Mac 2010, kerajaan persekutuan membuat tawaran kepada pemegang konsesi berjumlah RM10.3 billion tetapi ditolak oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Pada Januari 2011, Kerajaan Selangor sekali lagi membuat tawaran pengambilalihan termasuk menawarkan arbitrasi antarabangsa (International Arbitration) dalam memastikan pengambilalihan dilaksanakan dengan integriti dan adil kepada semua pemegang konsesi.

Skandal Scorpene : Peguam Perancis Akan Tiba Ke Malaysia



SHAH ALAM 27 MEI : Peguam Perancis yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dijangka tiba ke Kuala Lumpur lewat Jun atau Julai untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terbaru skandal pembelian dua kapal selam Scorpene.

SUARAM mewakili rakyat Malaysia memfailkan aduan terhadap DCNS pada Disember 2009, di mahkamah Paris kerana aktiviti rasuah dalam urusan pembelian berkenaan.

SUARAM juga mengesyaki wang sogokan berjumlah ratusan juta di sebalik transaksi berkenaan, yang butirannya cuba disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan Malaysia Chronicles, peguam berkenaan akan memberi taklimat kepada warga Malaysia di beberapa tempat.

Namun tidak dapat dipastikan samada peguam Joseph Brehem yang tiba ke sini April tahun lalu akan turut hadir.

Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Perimekar Sdn Bhd adalah syarikat milik isteri Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan. Abdul Razak merupakan kenalan rapat Najib yang terlepas dari kes pembunuhan kejam warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai berbillion dollar itu dimeterai Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2002.

Pada April tahun lalu, seorang ahli perundangan Perancis, Joseph Breham memfail aduan di mahkamah Perancis berhubung skandal pembelian dua kapal selam Scorpene kepada kerajaan Malaysia.

Pengarah Urusetia SUARAM, Cynthia Gibrael turut mendedahkan dua tiket penerbangan yang disahkan atas nama Abdul Razak dan Altantuya, ke Malta, sebenarnya melibatkan seorang lagi individu ketiga.

“Siasatan mendapati Gifen- sebuah subsyarikat kepada DCNS berpengkalan di Malta, berperanan sebagai pembuat bayaran. Mereka jumpa bayaran e-tiket melibatkan Razak baginda, Altantuya dan seorang lagi,” kata Cynthia.

Hubungan Pemuda Umno Dan Perkasa Rapat - Khalid Samad



























SHAH ALAM 27 MEI : Penglibatan bersama antara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno berhimpun di hadapan pejabat akhbar Utusan Malaysia minggu lalu jelas menggambarkan mereka mempunyai hubungan rapat.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata gambaran itu mudah dibaca rakyat sekaligus membuktikan adanya pertalian antara keduanya yang dinafikan sebelum ini.
"Rakyat sudah sedia maklum bahawa mereka (Pemuda Umno & Perkasa) bersama, sebelum ini Umno mahupun pemudannya menafikan Perkasa bukan pro mereka.
"Itulah sebabnya apabila MCA turut membantah (boikot) bukan sekadar Perkasa malah pemuda Umno turut turun dan ini juga jelas mengesahkan bahawa antara mereka memang ada hubung kaitnya yang rapat," katanya.

Terdahulu, Angkatan Muda Kedilan (AMK) memutuskan untuk menunda perhimpunan aman dihadapan syarikat Utusan Malaysia bagi membantah laporan fitnah akhbar milik Umno itu berikutan provokasi yang keterlaluan dari Pemuda Umno dan Perkasa.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, pertembungan AMK dengan pemuda Umno dan Perkasa yang kononnya mahu mempertahankan akhbar itu hanya akan mengubah makna perhimpunan aman yang dirancang AMK sebelum ini.

"Ini juga menunjukkan sikap Pemuda Umno yang jelas agen provokasi-provokasi perkauman dan agama selain melihat itu adalah satu-satunya cara bagi menyelamatkan diri mereka dalam PRU akan datang ini," katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut mempersoalkan kedudukan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ekoran kegagalan beliau hadir bersama bagi mengepalai perhimpunan tersebut.

"Saya mempersoalkan sama ada Pemuda Umno hari ini sudah menolak kepimpinan beliau (Khairy Jamaluddin) ataupun lebih lebih selesa di bawah Ibrahim Ali," katanya.



Hutang Air : 'Putrajaya Terlebih Bayar 73% Peratus', Kata DAP



KUALA LUMPUR 27 APRIL : DAP hari ini membidas keputusan kerajaan pusat kerana membeli bon yang telah diturunkan taraf milik syarikat konsensi air pada harga 73.2 peratus lebih tinggi daripada nilai pasaran dan menganggap tindakan itu “melampau dan menyalahgunakan wang pembayar cukai”.

“Tidak dapat dijelaskan mengapa kerajaan memutuskan untuk menyelesaikan baki bon syarikat swasta air itu sedangkan pemegang saham syarikat berkenaan sepatutnya bertanggungjawab,” kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua.

Sebelum ini dilaporkan syarikat Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) milik kerajaan persekutuan menubuhkan Acqua SPV Bhd bagi membeli bon yang telah diturunkan tarafnya oleh agensi penarafan.

Ini kerana keempat-empat syarikat konsesi air Selangor - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS - gagal membayar pemegang bonnya.

Menurut laporan media arus perdana, Acqua SPV menawarkan untuk mengambil-alih bon berkenaan pada harga RM6.5 bilion, berbanding nilai terbitan sebanyak RM9.02 bilion.

water paipsNamun, mengikut laporan yang diterbitkan oleh The Edge Financial Daily pada Rabu lalu, harga tawaran adalah pada RM94.49 berbanding nilai pasaran yang cuma pada RM54.54 pada akhir bulan lalu, yang mana dakwa Pua adalah 73.2 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran.

Kata pemimpin DAP itu lagi, syarikat konsesi air itu juga telah mengisytiharkan dividen bagi pemegang sahamnya apabila mereka membuat untung.

Antara konsesi itu, Splash, iaitu anak syarikat Gamuda Bhd, mengisytiharkan dividen RM578.6 juta pada 2007 manakala PNSB pula mengumumkan dividen berjumlah sehingga RM214 juta antara 2006 dan 2010. Malaysiakini