UMNO BN Perkuda Eskay Serang Anwar
Zunar terima anugerah Cartoonists Rights Network International
Zunar, kartunis politik yang pernah ditahan polis telah dipilih untuk menerima anugerah CRNI 2011 Award for Courage in Editorial Cartooning, oleh satu badan yang mewakili kartunis editorial sedunia, Cartoonists Rights Network International (CRNI). Beliau bakal menghadiri majlis penyampaian anugerah tersebut yang akan diadakan di St. Petersburg Florida, Amerika pada 7 Julai 2011.
Zunar, atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Haque (gambar kiri) pernah ditahan polis pada 24 September 2010, sebelum koleksi kartunnnya "CARTOON-O-PHOBIA" dilancarkan pada malam tersebut. Malah, koleksinya "1 Funny Malaysia" dan beberapa terbitan majalah jenaka kelolaannya turut diharamkan dari pasaran, menjurus kepada tindakan undang-undang oleh Zunar dan Malaysiakini (penerbit koleksi kartun Zunar) terhadap Kementerian Dalam Negeri atas keputusan tersebut.
Pada Disember 2010, Pengarah Eksekutif CRNI, Robert Russell meminta Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein untuk menggugurkan semua dakwaan terhadap kartunis Zunar. Malah, CRNI menyaran agar buku kartunnya diterbit dan diedarkan tanpa sekatan, untuk menunjukkan bahawa Malaysia terbuka dan jujur dalam proses demokratiknya.
Zunar menjadi kartunis terkenal semasa zaman Reformasi, dengan karyanya yang menyindir pemerintahan kerajaan Mahathir Mohamad ketika itu. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang lidah Parti Keadilan Rakyat, iaitu Suara Keadilan, sebelum menubuhkan cartoon cafe pada tahun 2009, antara usahanya adalah penerbitan majalah jenaka alternatif, berjudul Gedung Kartun.
Bagaimanapun, beliau bersama pasukan editorilnya terpaksa mengharungi rintangan dan halangan yang pelbagai dari pihak Kementerian Dalam Negeri, tetapi tetap mengeluarkan kata-kata bersemangat, "Saya akan terus berkartun hingga titisan dakwat terakhir."
Baca: Laporan tentang kartunis di Malaysia dan Wawancara bersama Zunar
Bebaskan RTM Sebelum Diperbadankan
SHAH ALAM 24 MEI : Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran membebaskan diri daripada cengkaman pemerintah UMNO BN terlebih dahulu sebelum bercadang untuk melangkah ke arah pengkoparatan.
Pengerusi Media Adil Tuntutan Awam (MATA), Dzulkarnain Taib berkata jika RTM masih menjadi penyiar rasmi kerajaan, matlamatnya untuk berjaya sebagai agensi perbadanan atau swasta tidak akan berjaya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengumumkan sebahagian perkhidmatan RTM akan diperbadankan atau diswastakan agar lebih efisien serta meningkatkan tahap daya saingnya.
Dzulkarnain berkata RTM adalah sebuah agensi media rasmi yang menggunakan dana awam seharusnya menonjolkan imej organisasi yang mementingkan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang seimbang serta tidak hanya memihak kepada satu pihak sahaja.
MATA turut menyatakan kekesalannya apabila RTM dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada parti yang memerintah iaitu UMNO-BN semata- mata, sekaligus menafikan hak parti-parti pembangkang seperti PKR, PAS, DAP.
Contoh yang jelas dapat dilihat baru-baru ini ketika kejadian tanah runtuh di Hulu Langat Sabtu lepas, saluran RTM termasuk stesen televisyen di bawah Kumpulan Media Prima hanya menayangkan wajah serta aksi pemimpin BN menyalurkan bantuan kepada mangsa tragedi tetapi langsung tidak melaporkan sumbangan serta bantuan yang disampaikan kerajaan negeri Selangor termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan EXCO dan ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.
Justeru, MATA mendesak RTM serta media swasta seperti Media Prima dan Astro supaya lebih adil dalam membuat liputan berita yang melibatkan kepentingan rakyat.
Melalui maklumat yang diperolehi daripada kedua-dua belah pihak rakyat mampu membuat penilaian yang adil dan seimbang dalam isu-isu berkepentingan negara.
SPR Dinasihat Fokus Isu Yang Lebih Penting
SHAH ALAM 23 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinasihatkan agar memberi tumpuan kepada isu besar yang menjamin keadilan dalam pilihanraya bukannya fokus kepada perkara- perkara kecil umpamanya cadangan larangan membawa telefon bimbit semasa proses pengiraan undi berlangsung.
Tindakan itu menurut SPR, mahu memastikan tidak berlaku penghebahan jumlah undi tidak rasmi pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin berkata SPR lebih terdesak untuk menangani tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) daripada larangan yang disifatkannya sebagai mengarut.
"Larangan SPR yang tidak membenarkan penggunaan telefon bimbit di pusat-pusat mengundi adalah satu larangan yang cukup remeh, SPR harus menumpukan kepada isu-isu besar," kata Tze Tzin.
Selain cadangan larangan membawa telefon bimbit, SPR turut menyenaraikan cadangan mewajibkan deklarasi bersumpah untuk tidak membuat apa- apa hebahan ataupun semua undi dikira lewat walaupun pusat mengundi ditutup awal.
Kesemua 3 cadangan itu disenarai pendekkan SPR kononnya untuk mengelakkan sebarang keputusan tidak rasmi pilihan raya dihebahkan seperti mana yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu.
Tze Tzin menegaskan, SPR sebagai agensi yang berpengalaman harus tahu membezakan tindakan yang memberi keadilan sama rata dalam pilihan raya atau hanya menguntungkan parti politik tertentu sahaja.
"Saya rasa SPR menjadi kuda tunggangan UMNO-BN sebagai satu alat untuk mengekalkan kuasa."
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang akan berlangsung 9 Julai depan di Kuala Lumpur bagi bersama- sama menuntut pilihan raya yang adil.
"Jadi kita kena bangkit pada 9 Julai untuk demonstrasi Bersih 2.0, kena turun ke jalan untuk memastikan bahawa SPR sedar sekarang rakyat sudah bangkit marah dengan SPR dan kena lakukan perubahan."
BERSIH sebelum ini mendesak empat perkara termasuk penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.
Bagaimanapun dua lagi tuntutan ditambah iaitu penyalahgunaan institusi kerajaan secara berleluasa, dan menuntut tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan.
40 Peratus Rakyat Terkesan Jika RON95 Naik 20 Sen
SHAH ALAM 24 MEI : Kerajaan Pemerintah kini giat mencanang betapa kabinet hari ini terpaksa menanggung beban yang sangat tinggi akibat memberi subsidi kepada rakyat.
Akan tetapi, dalam masa yang sama, kerajaan pemerintah enggan menerima pelbagai cadangan yang dikemukakan pimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat menjamin kebajikan rakyat marhaen.
Malah analisis demi analisis dibuat yang hanya menampakkan seolah- olah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak ini akan 'nazak' jika terus memberikan subsdidi kepada rakyat.
Hari ini, firma penyelidikan pelaburan, AmResearch pula meramalkan harga RON 95 akan naik 20 sen bulan hadapan menjadikan harga bahan bakar itu mencecah RM2.10 seliter.
Analisis itu turut menyebut kenaikan itu perlu berikutan harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu.
Analisis itu disambut dingin Ahli Parlimen Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin.
Beliau menyifatkan kenaikkan itu, walaupun 20 sen, akan memberi impak yang besar kepada golongan yang mempunyai pendapatan bulanan RM2000 kebawah.
"Kita tahu bahawa Malaysia sekarang, rakyat yang teramai tu mempunyai pendapatan yang rendah, lebih kurang 40% rakyat Malaysia berpendapatan kurang daripada RM 2000, maka pemotongan subsidi sekarang betul-betul menyusahkan rakyat," katanya.
Tze Tzin menyertai pimpinan Pakatan Rakyat yang lain, mengutuk tindakan 'liat' kerajaan memotong subsidi berjumlah RM19 bilion kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) tetapi rakus mengurangkan pemberian subsidi kepada rakyat terbanyak.
"Saya rasa ini adalah masalah UMNO-BN, di mana mereka sekarang kurangkan subsidi kepada rakyat tetapi kekalkan subsidi kepada kroni-kroni mereka," katanya.
Baru- baru ini, Najib Razak dalam ucapan beliau di Pusat Pengajian Islam di Oxford 17 Mei lalu menyatakan subsidi ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.
Kenyataan itu dibidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpim Pakatan Rakyat yang lain, sebagai tidak bertanggungjawab.
"Jadi ini adalah polisi UMNO-BN langsung tidak menjaga kepentingan rakyat, 1Malaysia apa? siapa didahulukan? sebenarnya 1Malaysia, kroni-kroni didahulukan dan rakyat menjadi mangsa," katanya.
Hari ini AmResearch menjangkakan harga petrol RON95 mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika.
Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu.
Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.
RON97 yang mengalami empat kali kenaikan tahun ini dijual RM2.90 seliter sekarang.
Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.
Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.
BN Cuba Daftar Rakyat Thailand Di Tumpat, Dakwa PAS
KUALA LUMPUR 24 MEI : Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar mengesyaki Barisan Nasional (BN) cuba mendaftarkan warga asing dipercayai dari Thailand sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar”.
Kamaruddin mendakwa operasi itu akan diadakan 28 Mei ini dan beliau bimbang ia mungkin salah satu cara bagi BN untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menafikan pihaknya mendaftar warga asing sebagai pengundi.
Kata beliau, selepas warga asing itu didaftarkan sebagai warganegara ia secara automatik akan membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi di kawasan Tumpat.
“Saya dimaklumkan mereka yang mendaftarkan sebagai warganegara akan terus mendapat kad pengenalan pada hari yang sama dan kita syaki operasi ini sedang berjalan bukan sahaja di Selangor tetapi negeri-negeri lain termasuk Kelantan.
“Proses daftar sebagai warganegara satu hari siap dan ini pertama kali operasi seperti ini dijalankan di sana (Tumpat), jadi kita desak supaya operasi ini dihentikan kerana ia jelas untuk wujudkan pengundi-pengundi hantu,” katanya pada sidang media di sini.
Kamaruddin yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat percaya warga asing yang akan didaftarkan sebagai rakyat Malaysia dipercayai dari Thailand kerana kedudukan dekat dengan Kelantan.
“Kita bersempadanan dengan negara Thailand, ramai rakyat Thailand boleh berbahasa Melayu dan beragama Islam, saya yakin urusan ini seolah-olah rasmi dan mengikut undang-undang memberikan kewarganegaraan kepada warga asing ini.
“Saya yakin operasi ini akan berjalan, masih berjalan dan terus berjalan kerana operasi ini baru pertama kali berlaku dan operasi mendaftarkan kewarganegaraan siap dalam satu hari pertama kali berlaku,” katanya.
Sebelum ini, PKR Selangor mendakwa Umno Hulu Selangor menghantar permohonan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta kelulusan menukar taraf pemastautin tetap sekitar 2,000 rakyat asing bagi membantu kemenangan BN di Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.
Malah kedua-dua PKR dan Umno telah membuat laporan polis mengenai isu itu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan akan mengadakan satu program pelaksanaan operasi “MyDaftar” pada 28 Mei ini di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur, Tumpat.
Difahamkan program itu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri rakyat Kelantan yang masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta bagi yang layak memohon perkhidmatan yang disediakan termasuk pendaftaran, kelahiran, kematian dan anak angkat, pendaftaran urusan kad pengenalan, pendaftaran urusan kewarganegraan, khidmat nasihat semua urusan JPN dan khidmat naihat oleh Jabatan Imegresen Malaysia.
Kata Kamaruddin, pihaknya akan memantau program itu bagi mengelakkan pendaftaran kewarganegaraan warga asing.-The Malaysian Insider
Felda Pinjam RM6 Bilion Dari KWSP, Pusat Dituntut Beri Penjelasan
KUALA LUMPUR 24 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dituntut memberi penjelasan segera mengenai tindakan Felda memohon pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan bukti itu yang terkandung dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Rancangan Felda Nitar 2, Mersing Johor.
Hal ini membayangkan Felda kini berhadapan dengan krisis kewangan dan ini adalah sesuatu yang malang untuk sebuah agensi kerajaan Persekutuan yang dibawahnya bernaung ratusan ribu generasi peneroka.
“Sebelum ini Datuk Ahmad Maslan berkata Felda memiliki kewangan yang kukuh, jika betul apa tujuan pinjaman ini kerana bebanan akhir akan ditanggung peneroka,” katanya.
“ (Jadi) untuk apa wang RM6 bilion ini dipinjamkan? Bagi tujuan apa? Kerajaan mesti membuat penjelasan segera kerana ia memberi implikasi sangat buruk kepada pengurusan Felda keseluruhannya,” katanya lagi pada sidang media di sini.
Menurut Mazlan, pada era pemerintahan Najib ketika ini dapat dilihat jelas kawalan kewangan Felda begitu meragukan dan pemborosan berlaku tanpa dikawal.
Antaranya pelaburan Felda dalam syarikat Twin Rivers Technology US Inc. (TRT US) pada tahun 2007 berjumlah RM270 juta.
Kedua, pelaburan Felda melalui Felda Globbbal Ventures Sdn Bhd berjumlah RM500 juta di Cincinnati dan Boston.
Tidak cukup dengan itu katanya, Felda membayar faedah persaraan yang terlalu tinggi kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Nor berjumlah RM84,923.
Malah, Felda juga membayar elaun yang tinggi kepada Ahli Lembaga Pengarah Felda jutaan ringgit pada setiap tahun.
Jelas Mazlan lagi,adalah begitu memalukan apabila Felda yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk mengangkat martabat Melayu-yang kini diterajui anaknya, berhadapan dalam situasi getir.
Ia ditambah dengan kepimpinan korup di bawah teraju Tan Sri Isa Samad.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Felda membuat pinjaman daripada KWSP.
Pada 2010, agensi itu telah meminjam RM3 bilion dari KWSP dengan melancarkan program yang dinamakan 'Felda Global Venture' untuk memacu agensi itu menjadi pemain dalam industri perladangan dunia.
Peruntukan RM 3 bilion diperuntukkan termasuk dipinjam dari KWSP.
Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuat pengakuan di dalam Dewan Rakyat bahawa rizab tunai Felda menjunam daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM 1.35 bilion pada 2009.
“Felda mesti diselamatkan daripada ‘makhluk perosak’ yang sedang mengagihkan projek berbilion ringgit kepada kroni. Ubah sekarang, selamatkan Felda,” kata Mazlan.
Tanah Runtuh : Selangor Rancang Wujud Sistem Amaran Awal
KAJANG 23 MEI : Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dengan barisan exco dan perancang negeri dalam masa terdekat untuk mewujudkan sistem amaran awal yang berupaya mengesan kawasan atau zon berisiko di Selangor.
Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hadir melawat tempat kejadian tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat berkata, sistem ini boleh mengesan kawasan berisiko tanah runtuh melalui sistem google.
Katanya, usaha ini dapat membuka mata orang ramai agar lebih peka sekaligus dapat mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Menurut Khalid sistem ini sudah lama dipraktikkan oleh kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kerja Raya (JKR), namun tidak didedahkan kepada rakyat.
"Kita ada teknologi maklumat yang cukup untuk tahu keadaan yang berlaku. Saya difahamkan satu kajian mengenai tempat-tempat sensitif yang dibuat oleh JKR menunjukkan gambar rajah kawasan merah,"kata Khalid kepada media.
Jelas Khalid, kesemua kawasan ini dipantau ketat oleh JKR dan dijaga oleh Jabatan Perdana Menteri. Justeru Khalid menggesa agar kerajaan segera membuka maklumat mengenai kawasan berisiko tanah runtuh ini agar ia tidak berulang lagi.
Khalid tiba di lokasi tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa pada Sabtu lalu sekitar jam 7 petang tadi. Beliau ditemani Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang memendekkan rangka lawatannya ke San Francisco, Amerika Syarikat tiba di tanah air sekitar jam 5 petang.
Pada kejadian menyanyat hati Sabtu lalu, 16 anak yatim termasuk seorang penjaga maut ditimbus runtuhan tanah dari bukit bersebelahan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.
Operasi mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan kesemua 25 mangsa.
Mangsa terkahir hanya ditemui kira-kira jam 5 pagi semalam.
9 mangsa yang terselamat kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
Difahamkan 3 daripadanya kanak-kanak tersebut yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) juga kini dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Khalid turut memaklumkan akan mengadakan pertemuan bersama perancang negeri bagi membincangkan usaha-usaha memantau bangunan berisiko tinggi.
Jelas beliau, sejak 2008 kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang projek pembinaan bangunan di lereng-lereng bukit.
"Kalau ada kelulusan diberikan sekalipun,kita akan kenakan syarat yang ketat. Hal ini bertujuan untuk mengelak daripada lebih banyak nyawa terkorban,"katanya.
Sementara itu, Khalid turut memaklumkan kepada media bahawa kerajaan negeri akan lebih menggiatkan usaha utk menggalakkan aktiviti kebajikan khusus buat anak yatim dan ibu tunggal.
Ujarnya, beberapa exco kerajaan negeri Selangor akan diberi tanggungjawab menguruskan serta merekod segala aktiviti kebajikan yang berlangsung di negeri itu.
Ini bertujuan bagi memastikan kebajikan warga Selangor yang memerlukan terus terpelihara.
Sebagai langkah awal katanya, kerajaan negeri akan memberi tapak atau tanah kepada rumah kebajikan dengan kadar premium serendah RM1.
Khalid juga mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak melalui kawasan tanah runtuh di Hulu Langat bagi tujuan keselamatan.
Untuk sementara waktu, anak-anak yatim Madrasah Al-Taqwa akan ditempatkan di sebuah kawasan lain dan ditegah untuk kembali ke rumah tersebut sehingga diberitahu kelak.
DAP cadang negeri Pakatan tak bubar DUN jika PRU diadakan tahun ini
DAP cadang negeri Pakatan tak bubar DUN jika PRU diadakan tahun ini
KUALA LUMPUR, 24 MEI – DAP akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya kesemua negeri Pakatan tidak membubarkan DUN masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankausa Eksekutif Pusat DAP di sini malam tadi.
Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, pucuk pimpinan parti lebih cenderung untuk tidak membubarkan DUN bagi membolehkan pemusatan tenaga dan jentera dalam menghadapi Barisan Nasional.
“Ia juga bertujuan memastikan usaha Pakatan Rakyat untuk memenangi semula Perak dapat ditumpukan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimana pun, beliau menjelaskan, keputusan sama ada untuk sama-sama membubarkan DUN atau tidak, sekiranya PRU diadakan tahun ini, akan dibuat bersama oleh pucuk pimpinan Pakatan tidak lama lagi.
Pakatan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Perak dimenangi secara sah oleh Pakatan dalam PRU 2008 tetapi dirampas secara haram oleh UMNO dan BN setahun kemudian.
Menurut Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham, kajian terbaru yang dibuat oleh Pakatan negeri itu menunjukkan PAS, DAP dan PKR mampu memenangi 33 daripada 59 kerusi DUN Perak.
“Dalam PRU 2008, kita menang 31 kerusi dan berjaya bentuk kerajaan. Selepas BN rampas DUN Perak, kajian yang kita buat menunjukkan jika pilihan raya negeri diadakan pada ketika itu, kita mampu menang sehingga 40 kerusi, iaitu menang dua pertiga majoriti,” katanya.
Beliau menambah, keadaan pada masa itu menggambarkan kemarahan para pengundi Perak berikutan taktik kotor UMNO dan BN.
Beliau menjelaskan, walau pun kajian terbaru menunjukkan kemungkinan pengutan kerusi berkurangan, ia adalah lebih baik daripada keputusan yang Pakatan catatkan pada 8 Mac 2008 dan terus menjamin kemenangan.
Sebelum itu, Guan Eng menyatakan pucuk pimpinan DAP mengulangi pendirian bahawa parti tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, kini dan sekiranya Pakatan kembali menguasai negeri itu. – Roketkini.com
Iktibar politik daripada seorang bekas banduan – oleh Zairil Khir Johari
Iktibar politik daripada seorang bekas banduan – oleh Zairil Khir Johari
“Saya bekerja untuk Lim Guan Eng.”
Ayat ringkas di atas itu tidak pernah gagal mendapatkan saya sekurang-kurangnya secawan teh tarik percuma. Tiada sesiapa yang tidak ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai insan yang kini menjawat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Bagaimanakah perwatakan beliau? Adakah benar cerita ini atau cerita itu? Kerap kali soalan-soalan yang diajukan ternyata kurang munasabah, tetapi begitulah jadinya apabila saluran maklumat di negara kita menjadi mainan propaganda pihak yang berkuasa.
Jika berkesempatan, saya akan menerima minuman yang ditawarkan. ‘Bayarannya’ hanya sekadar meluahkan sedikit masa untuk menceritakan sedikit tentang seorang personaliti yang dikenali tetapi mungkin tidak difahami ramai.
Jadi, sebelum saya bermula, terima kasihlah atas kemurahan hati anda. Teh tarik kurang manis satu!
Amat sukar untuk saya membayangkan kedinginan dan kesepian seseorang yang terpaksa mendiami bilik yang berjeriji besi atau kesuraman yang pasti menyelubungi sesebuah jiwa dalam ringkukan, dan sememangnya itu bukan suatu pengalaman yang saya citai. Yang pastinya, jika saya dihantar ke penjara, apatah lagi tanpa melakukan apa-apa kesilapan, dan tambahan pula kerana menjunjung kebenaran, sudah tentu saya tidak akan mudah melepaskan kesumat dalam hati.
Namun manusia tersebut yang saya kenali hari ini tidak menyimpan walau segumpal perasaan benci atau dendam terhadap pihak-pihak yang telah menzaliminya.
Pernah beliau berkata kepada saya, dan sememangnya jarang perkara ini ditimbulkan, sewaktu dalam perjalanan pulang setelah selesai satu malam berceramah di kawasan pedalaman: “Saya tidak sesekalipun mengingini perkara yang sama akan menimpa kepada mereka. Jalan kebenaran mungkin dipenuhi keperitan, tetapi kejayaan pasti menunggu.” Begitulah ulasan seorang bekas banduan yang dua belas tahun lalu terpaksa bercangkung dengan tahanan-tahanan lain sambil berpakaian baju Pagoda dan seluar pendek warna putih. Walaupun jasadnya ketika itu menjadi kurus dan kendengkik, jiwanya tidak pernah patah dan kini beliau sudah berjaya menawan jawatan tertinggi di negeri Pulau Pinang.
“Lagipun, pengalaman pahit saya tidak seberapa jika dibandingkan dengan kesengsaraan Nelson Mandela yang terpaksa meringkuk hampir selama tiga dekad. Tetapi sekarang kita sudah lihat. Akhirnya, kemenangan akan berpihak kepada yang benar.”
Itulah falsafah yang dipikul Saudara Lim Guan Eng, dan itulah pengajaran pertama saya.
Setelah beberapa bulan menjadi pegawainya, sudah tidak mengejutkan lagi jika telefon berdering ketika tengah malam buta ataupun sebelum berkumandangnya azan Subuh. Malah sudah menjadi perkara biasa. Sesungguhnya sesiapa yang bekerja untuk Lim Guan Eng itu harus bersedia mengikut jadual kerjanya yang memaksimumkan setiap detik dalam setiap hari.
Tetapi inilah kehidupan pejuang politik. Masa kita milik rakyat. Kepentingan ramai selalu diutamakan daripada kepentingan peribadi. Petua ini wajib dijadikan panduan kita, yakni ‘utara benar’ dalam perjuangan politik. Dan dasar itulah yang menjadi pegangan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Baginya, jawatan yang disandang adalah satu amanah yang cukup berat untuknya. Kerana itu, segala perbelanjaan wang rakyat hendaklah dilakukan dengan penuh ikhtiar dan tanggungjawab. Antara tindakan yang pertama yang dijalankannya sebaik sahaja mengambil alih pejabat Ketua Menteri adalah untuk melaksanakan dasar tender terbuka dalam semua kerja pembekalan dan pemerolehan awam. Cara yang telus ini membawa keuntungan kepada pengusaha dan kontraktor yang tulen dan bekerja keras, dan menimbulkan kesukaran kepada syarikat-syarikat kroni yang bergantung kepada modus operandi ‘subkontrak’.
Selepas tiga tahun berlangsungnya sistem tender terbuka di Pulau Pinang, sudah jelas terbukti faedahnya apabila ramai kontraktor Melayu yang dahulunya tidak mendapat peluang kerana kurang ‘kabel’ sekarang telahpun berjaya melalui kebolehan dan daya saingan sendiri untuk membekalkan perkhidmatan dan produk mereka kepada Kerajaan Negeri. Sesungguhnya kejayaan juga akan memihak kepada yang jujur dan bekerja keras.
Kebenaran dan ketelusan sememangnya menjadi ciri-ciri khas kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Tetapi apakah rahsia disebalik penjelmaan semula Pulau Mutiara yang telah berlaku dalam masa tiga tahun yang lepas?
“Semuanya bermula dari kepala,” tegas Lim Guan Eng. “Apa-apa perubahan hanya boleh dilakukan jika dipandu dari pucuk pimpinan.”
Begitulah caranya berlaku reformasi dalaman dalam Kerajaan Negeri. Sesiapa yang pernah melawati Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun yang lepas ini pasti terkagum dengan kebersihan yang ketara, apa-apa lagi di sebuah negeri yang dahulunya diberi imbuhan ‘Darul Sampah’.
“Saya tidak menukar pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan. Pekerjanya masih sama. Tetapi yang ditukar adalah pimpinannya, di mana saya telah memilih pegawai yang paling cekap dan berdisiplin untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.” Kedua-dua Yang DiPertua MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) serta MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) sudah menjadi punca kebanggaan Lim Guan Eng. Kebetulan juga mereka berdua merupakan wanita. “Jika kepala bersikap bersih dan tegas, anggota yang lain akan mengikut secara sendiri.”
Prinsip ini juga mewarnakan cara pimpinan beliau sebagai Ketua Menteri. Salah satu tanggungjawab yang paling penting bagi seorang pemimpin adalah untuk menunjukkan teladan yang konsisten.
Pernah sekali saya mengikuti beliau ke luar negara, di mana kita telah berjumpa dengan seorang saudagar asing. Kerana mengejar sebuah projek yang bernilai besar di Pulau Pinang, jadi bermesralah si saudagar itu dengan Ketua Menteri. Namun, apabila cubaannya untuk memujuk Ketua Menteri nyata tidak berjaya, saudagar itu pun membuka mulut menawarkan sejumlah wang ringgit yang tidak kurang menakjubkan, sebagai dorongan untuk mendapatkan projek tersebut.
Dengan air muka yang jengkel, Lim Guan Eng menjawabnya dengan ringkas: “Saya bukan seperti menteri-menteri lain dari Malaysia. Jika anda hendakkan projek itu, anda boleh menyertai proses tender terbuka. Selain daripada itu, saya tidak boleh membantu.” Sambil tersenyum malu, sambil ahli peniaga itu meminta diri.
Itulah yang dikatakan memimpin melalui teladan. Sebagai kepala Kerajaan Negeri, Lim Guan Eng tidak pincang dalam perlakuannya. Dugaan silamnya tidak diendahkan, justeru tumpuan sepenuhnya dicurahkan ke atas jalan di hadapan, iaitu jalan yang akan membawa kemajuan dan keadilan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang secara khusus dan rakyat Malaysia secara am.
Yang pasti, segala jenis dakwaan dan tuduhan tidak akan berhenti dilemparkan kepadanya. Namun begitu, iltizamnya tidak akan gentar. Seperti yang ditegaskan beliau, kebenaran itu adalah mutlak. Walau apa pun cabaran, jangan kita terpesong daripada ‘utara benar’, iaitu asas perjuangan politik kita.
Dan kini berakhirlah cerita saya, sepertimana habisnya teh tarik yang terlebih kurang manisnya. Terima kasih kerana mendengar. - Roketkini.com
PKR Buka Pintu Kerjasama, Jika Objektif Sama
PETALING JAYA 24 MEI : Parti Keadilan Rakyat sedia berbincang dengan mana- mana parti yang mempunyai 'objektif sama' bagi bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi menumpaskan UMNO Barisan Nasional.
Naib Presiden PKR Tian Chua menyatakan PKR sedang mengadakan perbincangan bersama Parti Progresif Sabah (SAPP) pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee dalam merangka kerjasama di negeri itu pada PRU akan datang.
Bagaimanapun Tian menyatakan perbincangan itu masih di peringkat awal.
"Kita ada beberapa perbincangan dengan SAPP, dalam membuat perubahan dan memberi impak kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya akan datang, " kata Tian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.
7 Mei lalu, Naib Presiden SAPP Dullie Marie mengumumkan satu panel ditubuhkan melibatkan Parti SAPP dan Pakatan Rakyat dalam membincangkan strategi menentang Barisan Nasional dalam PRU akan datang.
SAPP mengumumkan keluar dari Barisan Nasional pada 2008 membantah keputusan UMNO BN di Sabah yang tidak adil dalam pembahagian kerusi pada PRU sebelum ini.
Seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan SAPP telahpun bekerjasama dengan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Baru-baru ini.
"Saya berterima kasih kepada SAPP kerana turut membantu kita dalam kempen Pilihan Raya Sarawak di Miri baru-baru ini. Kerjasama ini adalah kerana kita mempunyai musuh yang sama," kata Izzah.
Ketika ditanya mengenai harapan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) pimpinan penyelaras Hindraf P. Uthayakumar, Tian menyatakan Pakatan sentiasa mengalukan Parti lain yang mempunyai tujuan sama datang berbincang dengan mereka.
"Kita ada tujuan yang serupa, mana- mana parti yang berminat atau mahu bersama, boleh datang berbincang dengan kami," kata Tian.
DAP Lancar Portal Berbahasa Melayu, Roketkini
KUALA LUMPUR 24 MEI : DAP hari ini melancarkan portal berita bahasa Melayu, Roketkini untuk mendekati masyarakat dan sebagai usaha menonjolkan bahawa parti itu adalah untuk semua.
Portal itu yang memberi tumpuan kepada berita dan analisis dipercayai untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-DAP.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, portal berkenaan akan dikendalikan oleh editor, Wan Hamidi Hamid.
Antara lain, portal Roketkini akan menjadi medan kepada parti untuk menyampai dan memperbetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk menjatuhkan imej DAP.
Tian Chua Kekal MP Batu
PETALING JAYA 24 MEI : Ahli parlimen Batu Tian Chua menegaskan beliau kekal sebagai ahli parlimen walaupun Mahkamah Rayuan menolak permohonan beliau.
Tian menyatakan permohonan beliau di Mahkamah Rayuan itu langsung tidak menyentuh status beliau kerana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha sebelum ini adalah jelas dan bersandarkan autoritinya untuk mengelakkan pilihan raya kecil berlaku dan status ahli parlimennya dilucut.
"Apa yang hakim Mahkamah (Tinggi) lakukan (sebelum ini) ialah kurangkan denda RM 3000 kepada RM 2000 dan tolak 6 bulan penjara dengan berikan tulisan bahawa niat beliau ialah untuk tidak adakan pilihan raya kecil kerana ikut pemahaman beliau hukuman (lucut status) adalah RM 2000 ke atas," kata Tian Chua dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
29 Jun lalu, Ghazali mengenakan denda RM2,000 terhadap wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat itu selepas mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua sebelum itu kerana mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, pada sebatang jalan menghala ke bangunan Parlimen pada 10.45 pagi 11 Disember 2007.
Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan tanpa mendengar alasan meritnya.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datin Paduka Zaleha Zahari sebulat suara memutuskan bahawa rayuan Tian mempunyai kecacatan kerana ia difailkan melewati tempoh yang disyaratkan oleh undang-undang.
Tian turut menyatakan kekesalan berkenaan alasan teknikal yang digunakan untuk membuang rayuannya sedangkan menurut beliau peguamnya tidak diberi peluang untuk memberi penghujahan.
"Mahkamah Rayuan terima keputusan sebelum ini dan tidak beri peluang peguam saya kemukakan hujah...Saya kesal kerana tak ada peluang buktikan saya tidak bersalah. Bagaimanapun ia tak ganggu tugas saya sebagai ahli parlimen," tegasnya lagi.