Saya tahu siapa lelaki dalam video seks, kata Anwar

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mungkin mengenalisi pelaku dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan dirinya apabila ditanya mengenai skandal itu dalam sesi perbualan bersama Yahoo! News.

“Saya ada beberapa orang untuk disyaki! perut buncit dan dada lendut, ha ha,” katanya ketika ditanya jika mengenali identiti lelaki dalam video 21 minit yang didedahkan 21 Mac lalu.

Dalam perbualan selama 75 minit itu, yang dihoskan Yahoo! Malaysia, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berulang kali menafikan penglibatannya dalam aksi seks didakwa “Datuk T”.

Bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun kelihatan mempertahankan diri dan kebanyakan soalan yang ditanya dijawab dengn penafian sambil menuduh ia komplot Barisan Nasional (BN).

Apabila ditanya sama ada beliau bersalah, Anwar bagaimanapun kelihatan marah terhadap seorang pengikut Yahoo yang merujuk kepada ketulenan rakaman video itu, hasil analisi pakar-pakar dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Pengunjung atas talian Nik Abdul bertanya, “Datuk Seri: Bagaimana pandangan anda apabila pakar dari Korea Selatan dan AS mengesahkan bahawa individu dalam video seks mirip anda? Adakah anda berpendapat ia juga konspirasi?”

Dalam responsnya, Anwar (gambar) berkata, “contoh tipikal bagaimana orang macam anda boleh terpengaruh dengan media Umno. Pakar mana? Mengapa tidak mereka telus?”

Anwar juga diajukan satu soalan langsung oleh seorang pengunjung yang bertanya sama ada beliau adalah lelaki dalam video itu.

Anwar membalas dengan berkata, beliau dengan keras telah menafikan dan membuat laporan polis mengenainya.

“Pemimpin-pemimpin Umno nampaknya merestui politik pornografi ini. Dan, bagi mereka bercakap mengenai moral adalah hipokrit.”

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata tiada keperluan dari segi undang-undang bagi pihaknya untuk mendedahkan identiti pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan pemimpin sebuah parti pembangkang.

Kata Khalid, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamer video lucah, di mana tiada keperluan di pihak polis untuk mendedahkan identiti pelakunya.

“Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jikalau kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik.”

“Kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita, kita mengikut peruntukan undang-undang,” katanya mengulas kenyataan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa kredibiliti polis akan terjejas jika ia masih teragak-agak mendedahkan identiti pelaku dalam video seks itu.

Dalam ulasan hari ini, Anwar terus tegas dengan pendirian beliau yang telah pun menafikan dakwaan berkaitan dengan video seks dan sekali lagi menegaskan tidak perlu baginya menjelaskan keputusannya tidak menyerahkan jam tangan Omega, yang didakwa “Datuk T” ada dirakamkan dalam video seks.

Seorang pengunjung dengan nama samaran “Dr MiM” bertanya, “DSAI, apakah rasional mengelak daripada menunjukkan jam Omega kepada media dan publik? Secara logik, langkah mudah ini akan mengatasi isu moral anda.”

Anwar menjawab, “apa isunya? Pertama, Eskay mendakwa bahawa ia diberikan oleh seorang putera Saudi. Kemudian, ia dibeli di Taiwan pada 2004 (ketika saya di penjara). Apa perlunya saya membuat penjelasan?”

Seorang lagi pengunjung yang mengenalkan dirinya Brandon bertanya sama ada Pakatan Rakyat akan berpecah jika Anwar masuk penjara kerana kes liwat memandangkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan beliau agar membela diri.

Anwar menolak tanggapan sedemikian dengan berkata “tiada sebab” beliau harus dipenjarakan.

“Tiada sebab bagi saya dipenjarakan berdasarkan fakta dan undang-undang. Buat sekarang (yang diperlukan), reformasi!” jawab beliau.

Beliau menekankan tuduhan-tuduhan ke atasnya diperangkap dan adalah akibat konspirasi pemimpin-pemimpin Umno yang mahu mengalih perhatian daripada isu-isu urus tadbir, rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita patut mengatasinya,” janji Anwar.

Isu Moral : Pemimpin Umno hipokrit, Kata Anwar




SHAH ALAM 19 MEI : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin Umno yang membangkitkan isu moral sebagai hipokrit dan mengamalkan “politik pornografi”.
Beliau sekali lagi menegaskan beliau bukan pelaku dalam video seks lucah Datuk T dan mahukan siasatan telus oleh polis dan hukum Qazaf digunapakai oleh Mahkamah Syariah untuk menegakkan kebenaran.
"Saya dah berkali-kali menafikan dan telah buat laporan Polis. Pimpinan UMNO nampaknya membenarkan Politik Pornografi ini. Dan untuk mereka mengatakan soal moral adalah hipokrit," kata Anwar.
"Saya telah rujuk kepada polis dan rakan-rakan telah rujuk ke mahkamah Syariah. Saya akan tentukan strategi sebaiknya, tambah beliau.
Ditanya samada beliau mengenali pelaku dalam video itu, Anwar secara berseloroh menjawab “Saya ada suspek, perut buncit...,".
Video 21 minit itu ditayangkan oleh gandingan Datuk T pada 21 Mac lalu kepada wartawan terpilih sebelum disebar secara meluas oleh media dan blog pro UMNO sebelum ini.
Gandingan Datuk T merangkumi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik, bekas setiausaha Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Sharzly Eskay.
Anwar menyatakan demikian dalam rancangan Question Time anjuran Yahoo! Malaysia.
Beliau meluangkan masa selama 75 minit bagi menjawab persoalan yang dikemukakan pelayar-pelayar internet yang mengikuti program ini dari seluruh dunia.
Yahoo turut mengadakan beberapa tinjauan ringkas terhadap mereka bagi mengetahui keadaan politik di Malaysia.
Lebih setengah atau 57 peratus dari mereka bersetuju bahawa Masalah Paling besar yang dihadapi Malaysia ialah 'Politik Kotor'.
11 peratus pula menyenaraikan 'Masalah Kaum/Agama, 21 peratus 'rasuahi', 7 peratus mengatakan keadaan ekonomi adalah masalah paling meruncing di Malaysia.
Anwar turut mengatakan dakwaan yang dikenakan ke atas beliau merupakan konspirasi Pimpinan UMNO bagi menarik perhatian rakyat terhadap isu sebenar yang melanda negara.
"Tuduhan palsu, Konspirasi pemimpin UMNO untuk lari dari isu pentadbiran, korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Kami akan atasinya," kata Anwar mengenai peluang beliau melepaskan diri dari perkara ini.

RoS Patut Lucut Pendaftaran Umno, Kata Saifuddin





PETALING JAYA 19 MEI: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu membatalkan pendaftaraan Umno terlebih dahulu sebelum membatalkan permit PKR.
Ini kerana, Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memecat beliau pada September 1998 tanpa dipanggil untuk membela diri oleh jawatankuasa disiplin parti itu.

Justeru menurut beliau, sekiranya RoS ingin membatalkan permit PKR kerana bertindak memecat keahlian A. Jayagopal setelah melanggar perlembagaan parti, maka agensi kerajaan itu juga seharusnya membatalkan pendaftaran Umno.

"Contoh, September 1998, Saifuddin dipecat daripada Umno tanpa dipanggil membela diri atau mengadap jawatankuasa disiplin di bawah Tun Zaki Azmi. Saya adalah jawatankuasa disiplin Umno.

"Dua minggu selepas Datuk Seri (Anwar) dipecat, saya pula dipecat tetapi tidak dipanggil. Jadi kalau pemecatan anggota parti tanpa melalui Lembaga Disiplin, RoS juga patut batalkan pendaftaran Umno. Hantar surat macam ini juga kepada Umno pada tahun 1998," ujar beliau.

Saifuddin yang ditemui media sebelum itu memperjelaskan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengemukakan notis bertarikh 9 Mei 2011 mengugut untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Alasan yang dikemukakan pertubuhan itu mendakwa PKR dengan sengaja melanggar Fasal 32.2.1 Undang-undang Berdaftar Parti kerana memecat keahlian seorang anggota parti yang bertanding tanpa mendapat watikah perlantikan daripada parti.

Jelasnya lagi beliau tidak menyesal dipecat oleh Umno-BN kerana menyebelahi bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difitnah oleh kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamed berikutan dakwaan liwat terhadap bekas pemandunya Azizan Abu Bakar.

"Itu jelas saya masih ingat. Saya menerima surat daripada Setiausaha Agung, Sabaruddin Chik. Bukan mahu ungkit tapi mahu menyebut fakta. (saya) tidak menyesal," katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Saifuddin menang dengan majoriti undi 1, 460 ke atas calon BN, Datuk Sazmi Miah di kerusi Parlimen Machang.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Syed Hamid Albar (bekas Menteri Luar Malaysia) dan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Lunas, Kedah pada 29 November 2000 dan menang.

Wayang Kulit Umno-Perkasa Yang Menjolok Mata





KOMENTAR : Berikut adalah beberapa petikan ucapan Ibrahim Ali pada ceramah di Gombak minggu lalu di mana beliau membuat ugutan akan melancarkan perang salib atau jihad terhadap orang Kristian.

“Sila rakamkan kata-kata saya, jika ada mana-mana pihak di Pulau Pinang khususnya paderi-paderi Kristian yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, jika mereka terus dengan agenda mereka yang sudah pun diketahui sekarang, saya bersedia untuk menawarkan, jika mereka mahukan perang salib, kami boleh adakan.

" Dan di Malaysia ini, yang ramai Kristian memang orang Cina. Dan agama Kristian ini dominannya dari negara mana? Dominan agama Kristian dari Amerika Syarikat. Amerika Syarikat tali barut dia di Malaysia ialah Anwar Ibrahim. Jadi sudah masuk saf lah semua ini.

"Nik Aziz ini tuan-tuan dan puan-puan, PAS ini mereka bukan tahu apa pun. Betul lah dia alim. Bangun pagi dia mengajar kuliah subuh. Saya tahu. Saya pernah solat dengan dia, saya tahu. Memang selepas sembahyang Zuhur pukul 1 mengajar bab agama, tapi dia tidak tahu apa yang berlaku dalam dunia ini. Sekitar alam ini dia tidak tahu apa yang berlaku. Video pun dia tidak tahu apa itu. Dia tidak tahu apa. Dia hanya dengar orang bercakap.” Kata Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz pula berkata, ucapan Ibrahim itu lumrah pada masa sekarang dan tidak perlu di ambil tindakan. Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein turut mengambil pendirian yang hampir sama. Pokoknya ialah, tidak ada tindakan akan diambil terhadap Ibrahim Ali.

Kenapa Ibrahim membuat ugutan perang salib atau jihad itu? Kerana Utusan Malaysia menyiarkan laporan kononnya ada konspirasi oleh paderi dan DAP untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri Kristian.

Malah Ibrahim membuat kenyataan “jihad” itu kerana, menurut beliau, Hishamuddin sendiri mengesahkan laporan Utusan itu mempunyai asas.

Kenapa Hishamudin berkata demikian? Ini kerana beliau perlu mencari alasan bagi menghalalkan tindakannya tidak mengenakan hukuman lebih keras terhadap Utusan selain daripada mengeluarkan surat teguran.

Segala perkembangan ini menjadi contoh begitu jelas bagaimana Umno, Perkasa dan Utusan Malaysia bersekongkol untuk terus menanam bibit-bibit benci dalam sanubari orang Melayu terhadap kaum lain, khususnya Cina.

Mengikut sifir Umno, “kebencian” itu akan mendorong Melayu bernaung semula di bawah payung Umno dalam menghadapi Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke -13.

Justeru dengan perlindungan penuh KDN yang dipimpin oleh Naib Presiden Umno Hishamuddin, Utusan dan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali bebas untuk membakar sentimen perkauman Melayu bagi memenuhi agenda sempit pemerintah.

Natijahnya ialah, rakyat dicengkam dengan keresahan dan kecurigaan mengenai kestabilan politik dan tahap toleransi kaum di negara ini.

Hakikatnya pula ialah, ketegangan kaum semakin membiak di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah, ia menjadi fenomena yang mewarnai sepanjang pemerintahannya sejak 2009.

Kenapakah isu-isu perkauman ini begitu menyerlah di bawah pemerintahan Najib walhal beliau yang memperkenalkan konsep gagasan 1Malaysia dan membelanjakan berjuta-juta ringgit duit rakyat untuk mempromosikan slogan itu.

Jawapannya berpaksi kepada keikhlasan.

Najib tidak boleh mencanang 1Malaysia dan pada masa sama, secara berselindung, merestui segala tindak-tanduk Perkasa dan Utusan Malaysia.

Beliau tidak boleh meraih undi Melayu dengan membariskan Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia untuk membakar sentimen orang Melayu dengan retorik perkauman dan pada masa sama mengharapkan sokongan tidak berbelah kaum Cina, India dan lain-lain.

Ibrahim sendiri mendedahkan pada ceramahnya di Gombak bagaimana Najib terpaksa bermuka-muka untuk menawan sokongan pengundi bukan Melayu demi jangka hayat Umno sendiri.

Berikut petikan ceramah itu:

“Sebab apa, Datuk Najib pun sudah panggil saya, berbahas saya dengan Datuk Najib. Betul juga dia cakap pada saya, kuat pun kuat, saya tidak ada bertolak ansur, Dia kata saya faham,saya pun lebih kurang sama kamu, juga Melayu, tapi saya pimpin parti politik. Saya Perdana Menteri. Baru ni Barisan kalah. Kalau tidak dapat undi Cina, kalau tak banyak pun 30 peratus, tak dapat tarik balik, Selangor kita tak menang. Sebab kerusinya 60 40, 70 30, You Kelantan tak apalah. Di Terengganu tak apalah, di Selangor,di Negeri Sembilan, di Perak tak dapat 20, 30 peratus undi Cina, gabung dengan undi Melayu, jangan berpecah, kita boleh menang. Ini orang Melayu pun sudah berpecah. Cina tak sokong kita, habis kita. Itulah saya kena jadi macam ini, maksudnya Datuk Najib sudah hilang kuasa tawar menawar.”

Petikan ceramah itu menzahirkan kesediaan Najib untuk memberi sokongan atau sekurng-kurangnya memahami dan merestui segala tindak-tanduk Ibrahim Ali kerana akhirnya ia akan menguntungkan Umno.

Sebagaimana beliau tidak boleh melonggarkan ikatannya dengan Pakatan, begitu juga dengan hubungan Najib dan Utusan.

Beliau adalah pemimpin yang menentukan siapa menjadi Ketua Pengarang Utusan Malaysia. Justeru beliau tidak boleh memberi alasan kononnya beliau tidak ada kena mengena dengan desakan Utusan mahukan gagasan 1Melayu 1 Bumi untuk kononnya bersaing penyatuan orang Cina di bawah DAP.

Gagasan sebegitu, seperti Perkasa adalah cara licik untuk menebalkan sentimen perkauman dan memastikan mereka bernaung di bawah Umno.

Justeru selagi Najib tidak ikhlas terhadap konsep 1Malaysia yang dicanangnya sendiri, selagi itu rakyat Malaysia, khususnya kaum Melayu akan disajikan dengan ugutan-ugutan jihad, konspirasi negara Kristian dan apa sahaja yang mengisi agenda sempit politik perkauman Umno.

Utusan dan Perkasa tidak perlu bimbang terhadap sebarang tindakan – selagi Kementerian Dalam Negeri di pimpin oleh sepupu Najib, Hishamuddin Tun Hussein.

Mahathir : Kaum Cina Kurang Yakin BN Untuk Raih Kekayaan













SHAH ALAM 19 MEI : Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa sokongan kaum Cina untuk Barisan Nasional berkurangan kerana kurang yakin kemampuan parti itu untuk “meraih kekayaan.”
Jika mereka (kaum Cina) nampak peluang mereka meraih kekayaan agal berkurangan, tidak mustahil mereka akan menolak parti pemerintah, Mahathir dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.
“Apabila ada pihak membangkitkan isu kaum, mereka akan tertarik. Namun, kalau kerajaan bijak membangunkan ekonomi dan mengagihkannya kepada mereka serta kaum lain, saya fikir mereka akan sokong," kata Mahathir dalam temubual ruangan 'Sembang Bersama Che Det.
Ini bukan kali pertama Mahathir menggambarkan kaum Cina sebagai kaum yang terlalu mementingkan peluang ekonomi sebagai paksi kesetiaan mereka kepada sesebuah parti politik.
Bagaimanapun andaian Mahathir itu meleset dan contoh terbaik adalah pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini.
Pilihanraya bulan April itu menyaksikan pengundi Cina menolak Barisan Nasional di hampir semua kerusi bandar walaupun mereka diberi pelbagai sogokan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Keputusan itu mencerminkan kesungguhan pengundi Cina memberi keutamaan kepada isu-isu moral, rasuah dan penyelewengan kuasa yang membayangi kerajaan BN sekian lama.


Dalam wawancara itu, Mahathir turut mendakwa golongan pembangkang bersikap kasar dan sentiasa mengecam Kerajaan terutamanya di Pulau Pinang.


“Di Pulau Pinang pula mereka begitu berkuasa. Mereka percaya cara ini memang menarik kerana di mana saja, kerajaan dikecam. Jadi mereka berpendapat kalau kerajaan diserang bertubi-tubi, ada kemungkinan mereka boleh menang dan memerintah, jadi tidak hairanlah mereka guna pendekatan yang kasar ini,” kata beliau.
Meskipun menjadi penaung Perkasa yang disifatkan golongan pelampau, Mahathir menasihati kerajaan sekarang supaya bersikap adil kepada semua kaum.

“Kalau kita tidak beri pertimbangan kepada semua kaum secara adil, maka negara ini tidak akan menjadi stabil,” tegas beliau.

Umno Dalangi Notis Pembatalan PKR, kata Anwar





KUALA LUMPUR 19 MEI : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cubaan mengharamkan parti itu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) adalah usaha terbaru yang didalangi UMNO untuk terus mendera rakyat.
"Ini kerja pimpinan UMNO yang terdesak dan terus mendera rakyat," kata Anwar ketika menjawab soalan pelayar Internet menerusi program "Question time' anjuran Yahoo Malaysia pagi tadi.
Dalam wawancara itu, Anwar juga menolak sebarang kemungkinan balik ke Umno dan menyelar parti itu kerana menggunakan Perkasa untuk menambah ketegangan kaum di Malaysia.
Anwar juga berkata PKR dan Pakatan Rakyat akan bekerja keras untuk membawa pembahruan politik yang didahagakan oleh rakyat.
Pendaftar Pertubuhan menghantar notis kepada PKR, memberitahu parti itu akan dibatalkan pendaftarannya kerana kononnya memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Displin parti.
Menurut ROS, pendaftaran PKR akan dibatalkan mulai 9 Jun jika parti itu tidak memberikan alasan yang munasabah kepada badan itu.
Bagaimanapun Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution mendedahkan ROS menghantar notis itu berasaskan peruntukan perlembagaan parti yang direkayasa dan maklumat salah.
ROS mendakwa tindakan memecat Rajagopal a/l Andaikkalam bercanggah dengan peruntukan 32.2.1 perlembagaan PKR.
Saifuddin berkata peruntukan yang dirujuk itu tidak ada dalam pelembagaan parti. Yang ada cuma fasal 32 “yang tidak langsung berkaitan dengan isu displin dan Lembaga Displin”.
Ahli yang dinamakan sebagai Rajagopal dalam notis ROS itu juga tidak wujud. Yang dipecat adalah A.Rajagopal yang disingkir pada 27 April 2009 oleh MPP kerana bertanding sebagai calon bebas, pada pilihanraya kecil Bukit Selambau Kedah.
Sesi bersama Anwar yang dikendalikan Editor Yahoo News Malaysia itu mendapat sambutan hangat daripada warga Internet sehingga terpaksa dilanjutkan 15 minit lebih daripada sejam yang dijadualkan.
Anwar menjawab soalan yang kebanyakan berkisar kepada kemelut politik negara dan harapan rakyat terhadap situasi politik tanah air menjelang Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.
Menurut Anwar, Pakatan Rakyat telahpun bersedia menghadapi segala kemungkinan yang bakal dilakukan UMNO.
"Kita arif dengan penipuan PRU yang dikendali UMNO/BN. Kita akan lebih waspada dan kerja keras. Suara rakyat, suara keramat!," kata Anwar.
Menurut Anwar, politik perkauman UMNO sudah tidak lagi relevan dalam kancah politik negara.
Malah menjawab pertanyaan, Anwar menyatakan beliau tidak akan menyertai UMNO kembali walau ditawarkan jawatan Perdana Menteri.
"Saya tetap bersama golongan Mustadh'afeen. UMNO sudah tidak relevan kerana dikaitkan dengan kezaliman, keangkuhan dan rasuah," kata beliau.

"Adalah amat dikesali pemimpin parti itu sekarang menggunakan taktik kotor politik dan pornografi. Saya dianggap membahaya kerana komitment saya kepada reformasi dan membanteras rasuah serta kronisme," tambah beliau.
Anwar turut menegaskan Pakatan Rakyat menolak sebarang isu perkauman yang saban hari dijaja UMNO dan Perkasa.
"(Perkasa) ialah penghinaan kepada rakyat Malaysia dengan rentak perkauman mereka. Ia juga alat UMNO untuk membuat kacau dan menimbulkan ketegangan antara kaum.
"Kewarasan mesti menang. Rakyat Malaysia menolak perkauman. Hanya UMNO dan Perkasa terdesak mengguna isu perkauman," tegas Anwar.
Dalam wawancara maya itu, Anwar turut mengiktiraf sokongan sahabat yang masih setia kepada perjuangan beliau untuk mengubah Malaysia
"Sahabat setia dan saya terharu. Teman-teman lama ini berjuang kerana yakin dengan prinsip. Ini berbeda dengan juak-juak baru yang menuntut saham dan dana. Jazakumullah khairan kepada sahabat-sahabat setia," kata Anwar.

SPR : Tiada Lagi Pilihan Raya Kecil Mulai Esok


KUALA LUMPUR 19 MEI : Tiada lagi pilihan raya kecil peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara selepas tarikh 20 Mei, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata ia berikutan semua negeri sudah mencapai mandat selama tiga tahun bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lalu, dengan Pahang adalah negeri yang paling lambat bersidang iaitu pada 20 Mei 2008.

"Ini bermakna semua negeri tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil lagi. Ada laporan yang menyatakan terdapat negeri mengadakan sidang DUN pada Julai 2008 sebelum ini dan ini tidak benar sama sekali," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Aziz berkata sekiranya berlaku kekosongan kerusi yang disebabkan oleh kematian atau penyandangnya hilang kelayakan, maka PRK (pilihan raya kecil) tidak perlu diadakan.

Beliau berkata perkara itu adalah sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata terdapat beberapa negeri yang tarikh persidangan dewannya sama dengan tarikh persidangan Parlimen iaitu pada 28 April lalu iaitu Perlis, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Katanya terdapat juga negeri-negeri yang tarikh persidangannya lebih awal berbanding persidangan Parlimen seperti Melaka dan Johor pada 21 April 2008, Selangor (22 April) dan Perak (25 April).
Tiada kerusi DUN

Manakala Kedah dan Sabah mengadakan sidang DUN pada 5 Mei, Terengganu (7 Mei) dan Pulau Pinang (2 Mei), katanya.

Pilihan raya DUN Sarawak baru sahaja diadakan 16 April lalu, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tidak mempunyai kerusi DUN.

Sebelum ini Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen tidak perlu diadakan selepas 28 April memandangkan penggal Parlimen ke-12 ini telah mencapai tempoh mandat tiga tahunnya.

Mandat kerajaan Persekutuan akan berakhir pada April 2013.

Abdul Aziz berkata bagaimanapun sekiranya ada keperluan khas, Speaker DUN perlu menulis surat kepada SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil.

Keperluan khas itu termasuklah jika berlaku situasi di mana kerajaan pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti di dalam Parlimen atau DUN, menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau
negeri.

"Jika berlaku keadaan 50-50, mana-mana parti yang bergabung tak boleh wujudkan kerajaan. Speaker Dun boleh menulis kepada SPR menyatakan masalah itu dan SPR boleh panggil pilihan raya untuk selesaikan 'deadlock' (kebuntuan) itu," katanya.

Selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, sebanyak 16 PRK telah dijalankan, iaitu enam bagi kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN, membabitkan kos lebih RM11 juta.

13 wakil meninggal dunia

PRK diadakan di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Sibu, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi adalah kerusi Parlimen manakala selebihnya adalah kerusi DUN. Perlis adalah satu-satunya negeri yang tidak terbabit dalam PRK dalam tempoh tiga tahun ini.

Sebanyak 13 wakil rakyat meninggal dunia disebabkan serangan jantung, kanser, angin ahmar dan jangkitan paru-paru dalam tempoh itu.

Jumlah itu termasuk bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah, apabila penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya.

Manakala tiga pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas wakil rakyatnya meletak jawatan iaitu di kerusi Parlimen Permatang Pauh, kerusi negeri di Penanti, Pulau Pinang dan Bukit Selambau, Kedah. Ketiga-tiganya adalah wakil rakyat dari PKR.

Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 yang menyaksikan 17 PRK diadakan.

- Bernama

Haramkan PKR - Muslihat Umno untuk Dera Rakyat, kata Anwar




KUALA LUMPUR 19 MEI : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mahu mengharamkan parti itu didalangi oleh UMNO untuk terus mendera rakyat.
"Ini kerja pimpinan UMNO yang terdesak dan terus mendera rakyat," kata Anwar ketika menjawab soalan pelayar Internet menerusi program "Question time' anjuran Yahoo Malaysia pagi tadi.
Pendaftar Pertubuhan menghantar notis kepada PKR, memberitahu parti itu akan dibatalkan pendaftarannya kerana kononnya memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Displin parti.
Menurut ROS, pendaftaran PKR akan dibatalkan mulai 9 Jun jika parti itu tidak memberikan alasan yang munasabah kepada badan itu.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sedang mengadakan sidang media mengenai isu itu hari ini.

Haram PKR : ROS Guna Peruntukan Rekayasa Dan Maklumat Salah, Kata Saifuddin



PETALING JAYA 19 MEI: Pendaftar Pertubuhan cuba memansuhkan Parti Keadilan Rakyat berasaskan peruntukan perlembagaan parti yang direkayasa, kata Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution.


Beliau mengulas tindakan ROS memberi notis untuk membatalkan pendaftaran parti itu mulai 9 Jun depan kerana kononnya memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Displin parti.


ROS mendakwa tindakan memecat Rajagopal a/l Andaikkalam bercanggah dengan peruntukan 32.2.1 perlembagaan PKR.


Saifuddin berkata peruntukan yang dirujuk itu tidak ada dalam pelembagaan parti. Yang ada cuma fasal 32 “yang tidak langsung berkaitan dengan isu displin dan Lembaga Displin”.


Fasal 32 itu hanya menetapkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat mempunyai kuasa muktamad menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai tafsiran perlembagaan atau peraturan tetap mengenai kongres parti, kata beliau.


Ahli yang dinamakan sebagai Rajagopal dalam notis ROS itu juga tidak wujud.


Saifuddin berkata ahli yang dipecat oleh PKR adalah Jayagopal. Beliau disingkir pada 27 April 2009 oleh MPP kerana bertanding sebagai calon bebas, menentang parti pada pilihanraya kecil Bukit Selambau Kedah.


Saifuddin menyifatkan notis ROS itu bersifat “aneh” dan cubaan terbaru mensabotaj penyertaan parti itu pada Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.
"RoS mengemukakan fakta aneh dan undang-undang yang tidak ada kena mengena.


"Semakan kita maklumat itu tidak ada nama Rajagopal tetapi ada Jayagopal," kata beliau.


Peguam Sivarasa Rasiah menegaskan pemecatan anggota parti kerana melanggar disiplin adalah hal dalaman PKR dan tidak ada kena mengena dengan ROS.


Beliau berkata alasan pemecatan ahli yang digunakan oleh ROS itu pertama kali digunakan untuk membubarkan sebuah parti di Malaysia.


"Persoalannya bagaimana mereka boleh berpuas hati dengan alasan macam ini sebelum membatalkan mana-mana parti," ujar Sivarasa.
Justeru PKR akan mengumukakan surat kepada RoS hari ini untuk memberikan hujah-hujahnya bagi mempertahankan pendiriannya.

PKR hadapi risiko diharam, sidang media tengah hari

KUALA LUMPUR, 19 Mei — Di sebalik spekulasi pilihan raya umum ke-13, Parti Keadilan Rakyat (PKR) - komponen Pakatan Rakyat, berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftaran, dipercayai berkaitan dengan pemilihan secara langsung akhir tahun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan PKR telah menerima surat berkaitan dengan tindakan itu daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) awal bulan ini.

“Saya dimaklumkan RoS sudah keluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran, surat diterima baru-baru ini, saya tak pasti tarikhnya,” kata sumber.

Sumber itu berkata berdasarkan surat RoS, PKR didakwa melanggar beberapa peruntukan perlembagaan part itu, yang ditubuhkan April 1999.

Bagaimanapun katanya, PKR mempunyai alasan kukuh yang ia tidak melanggar sebarang peruntukan dalam perlembagaannya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan sidang media mengenai isu itu tengah hari ini.

“Kami tak terkejut dengan tindakan RoS ini, tunggu sidang media nanti,” katanya lagi.

PKR, yang awalnya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditukar nama semasa selepas proses penggabungan empat tahun kemudian.

Ia mengadakan pemilihan secara langsung peringkat pusat menggunakan kaedah satu ahli satu undi, yang turut menyaksikan masalah dan aduan.

Sejak selepas pilihan raya umum 2008 PKR juga tidak kesunyian daripada kritikan daripada pesaingnya termasuk menggesa agar RoS mengambil tindakan ke atas parti itu.

Parti itu yang menyaksikan prestasi terbaik pada pilihan raya umum 2008 menerusi kerjasama dengan PAS dan DAP turut berhadapan dengan tindakan beberapa wakil rakyat, di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, keluar atau melompat parti.