Nur Manuty : Islam Tegah Umatnya Lakukan Kehancuran Apatah Lagi Berbunuhan




SHAH ALAM 15 MEI : Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan menegah umatnya daripada melakukan kehancuran di atas muka bumi Tuhan.

Malah Islam menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing seperti firman Allah S.W.T dalam Al-Quran.

Berlandaskan hujah itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty berkata, adalah tidak wajar seorang Islam mahu menganjurkan suatu pertumpahan darah yang hanya membinasakan umat manusia tanpa alasan yang benar-benar kukuh.

" Islam agama yang mahukan keamanan. Semua manusia yang berlainan agama diperuntukkan dalam Al-Quran, haram darahnya kalau kita membunuh manusia. Satu nyawa yang hilang seolah-olah kita membunuh semua manusia," kata Manuty.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan kesediaannya melancarkan perang salib ke atas penganut Kristian yang didakwa mahu merampas kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Hakikatnya paderi Kristian yang didakwa mengadakan perbincangan mengenainya menafikan bahawa wujud dakwaan seperti yang dilaporkan media kawalan Umno, Utusan Malaysia awal bulan ini.

Menurut Nur, tindakan Ibrahim Ali yang juga ahli parlimen Pasir Mas itu mengeluarkan kenyataan sedemikian hanya bertujuan untuk "memanaskan" keadaan.

" Untuk provokasi lah tujuannya. Hendak timbulkan ketegangan supaya nanti dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan
Rakyat,"katanya.

Sementara itu, menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, tindakan Ibrahim Ali yang mengugut mahu melancarkan perang jihad menunjukkan yang beliau sendiri tidak menghormati teras agama Islam itu sendiri.

" Ini lah masalah kita dari dahulu sampai sekarang. Orang yang bukan Islam, mereka tidak boleh gugat Islam, yang menggugat Islam ialah orang Islam sendiri yang tidak mengamalkan Islam termasuklah Ibrahim Ali,"katanya.

" Orang Kristian sudah katakan sebelum ini mereka memang tidak ada niat untuk cabar kedudukan Islam. Apa yang mereka mahukan ialah hak mereka untuk mengamalkan agama mereka dan itu memang suatu hak yang dijamin oleh Islam,"tambahnya lagi.

MP : Trend Politik Ugut Cemar Demokrasi Negara




SHAH ALAM 15 MEI: Politik ugutan yang berlaku sejak kebelakangan ini umpama barah yang boleh merosakkan keharmonian negara dan perlu dikekang oleh pihak yang berwajib.

Tindakan proaktif dan efisyen pihak polis tentunya dituntut supaya individu yang bertanggungjawab dalam membuat ugutan dan sebagainya dikenakan hukuman yang setimpal di atas jenayah yang dilakukan.

Menurut ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang merupakan seorang peguam, tindakan mengugut bukanlah sesuatu yang boleh dibuat mainan dan tindakan tegas harus diambil.

“ Pada saya isu ini serius apabila sampai tahap seorang wanita dan ibu mendapat ugutan. Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk kita dapat mengatasi masalah ini,"katanya merujuk kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima Nurul Izzah minggu lalu.

Izzah minggu lalu telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang wangi berhubung ugutan SMS yang diterimanya.

Dalam laporan polis berkenaan, beliau berkata SMS berbentuk "ancaman serius" terhadap anaknya diterima daripada seorang yang tidak dikenali.

“Sebagai seorang peguam perkara ini cukup serius dan pihak polis perlu bertindak segera dengan siasatan yang rapi dengan secepat yang boleh,” tegas Gobind.

Menerusi SMS berkenaan, ahli parlimen Lembah Pantai itu yang mempunyai dua orang anak, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar, Raja Ahmad Harith Raja Ahmad Shahrir Iskandar diancam "sesuatu yang tidak elok" akan berlaku kepada anaknya kecuali jika beliau berhenti menyokong ayahnya.

SMS penuh yang diterima berbunyi seperti berikut:

“YB Nurul, berhati-hati, jangan terus menerus menyokong ayah YB, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bimbang ada yg sakit hati nak jadikan nasib anak YB macam Sharlinie. Oleh itu sebelum apa-apa terjadi, YB bercakaplah benar walaupun pahit tentang ayah YB, dengan ini YB dapat selamatkan anak YB. disamping itu dapat halang ayah dari terus tipu rakyat, berhenti dari politik dan selesaikan masalah peribadi. Jadilah ibu yang penyayang dan anak yang bertanggungjawab".

Terdahulu pemandu peribadi Anwar, Abdulah Sani Said yang berkhidmat dengan Anwar sejak 28 tahun lalu membuat laporan polis terdapat usaha untuk membunuh atau mencederakan Ketua Umum PKR itu.

Dalam kejadian pada 19 April itu, beliau yang memandu kenderaan jenis Mercedes Benz S350 sedang membawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
yang kemudiannya terpaksa berhenti secara kecemasan apabila kereta berkenaan tiba-tiba bergegar kuat dan tayar belakangnya seolah-olah terkunci.

Beliau membuat laporan polis di Balai Polis Merchant Square, Petaling Jaya 10 Mei lalu.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, insiden seumpama ini yang sudah dilaporkan kepada pihak polis harus disiasat segera kerana ia melibatkan nyawa seseorang.

“Daripada ugutan dan laporan yang dibuat, pihak polis kena buat siasatan. Jangan berlengah lagi. Sebab ugutan ini adalah ugutan nyawa. Ugutan ini membahayakan nyawa. Pada saya sendiri, sekiranya mana-mana pihak yang diugut, maka mereka buat laporan dan tunjukkan dari mana ugutan diterima dan pihak polis hendaklah bersedia membuat siasatan.

Sebelum ini Ketua Umum PKR dan juga presiden parti berkenaan diugut supaya meninggalkan arena politik sekiranya tidak mahu video yang mengandungi adegan seks
mirip pemimpin kanan Pakatan itu dihebahkan kepada umum.

Anwar didakwa pelaku dalam video seks berkenaan walaupun beliau berkali-kali menjelaskan bahawa individu berkenaan bukanlah dirinya.

Klip video 21 minit itu ditayangkan kepada wartawan terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara sebelum ianya dimuatnaik di Youtube secara berperingkat-peringkat.

Sehingga ke hari ini, walaupun laporan Qazaf telah dibuat ke atas trio Datuk T yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay dan bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim- yang bertanggungjawab menayangkan video berkenaan-tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak berwajib.

Rakyat Hargai Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat




PETALING JAYA 15 MEI: Keprihatinan kerajaan negeri Selangor dalam menaik taraf penginapan kos rendah di negeri ini merupakan suatu usaha yang dinantikan oleh rakyat sejak sekian lama.

Bagi penduduk Pangsapuri Taman Maju Jaya, petaling Jaya Selatan, projek pengindahan kawasan kediaman mereka yang dahulunya suram, sememangnya berita yang cukup mengembirakan.

Dengan adanya pertambahan infrastruktur yang disediakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, ia pastinya lebih memudahkan kehidupan seharian penduduk.

Salah seorang penduduk, Muslifah Tajuddin melahirkan rasa terharu beliau di atas keprihatinan yang ditonjolkan oleh kerajaan negeri terutama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua, terutamanya daripada PKR dan kerajaan negeri. Saya harap projek ini tidak terbengkalai di sini sahaja. Kami berharap agar Datuk Seri (Anwar) selaku Penasihat Ekonomi Negeri memantau dari semasa ke semasa bersama MBPJ,” katanya.

“Ini adalah kali pertama projek sebesar ini diadakan di flat kita, khususnya Blok C. Kita juga berterima kasih lebih-lebih lagi kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diharapkan selepas ini apa keperluan asas penduduk diberikan perhatian.

Setelah hampir 20 tahun tinggal di kawasan ini, ini merupakan kali pertama mereka mendapat perhatian yang selama ini diharapkan, ujar Mohd Akram Manap.

“Sebagai penduduk tempatan yang menetap hampir 20 tahun di sini, ini adalah kali pertama pemberian yang sangat bertuah. Selaku wakil penduduk juga saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid yang komited dalam membantu penduduk rumah kos rendah,” katanya.

Sementara bagi Hatijah Tajuddin, kawasan kediaman mereka akan bertambah ceria dan berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan.

“Kita berterima aksih di atas sumbangan yang selama ini kami nantikan. Selepas ini kawasan kami akan bertambah cantik, Alhamdulillah,” katanya.

Kerajaan Selangor melancarkan program pemulihan bandar untuk menaik taraf penginapan kos rendah yang dibina dalam keadaan serba kekurangan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang lalu.

Pengubahsuaian itu antara lain membabitkan penerapan ciri-ciri insani termasuk kawasan permainan kanak-kanak, ruang istirehat bagi penghuni dengan reka bentuk kediaman bertingkat dan yang moden dan mesra pengguna.

Bangunan pangsapuri terbabit juga akan dicat semula dengan warna yang dipersetujui bersama oleh penduduk terbabit.

Projek ini juga akan diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Rakyat diberi mandat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum akan datang.

Projek perintis pembaharuan Pangsapuri Taman Maju Jaya ini dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dan pihak swasta yang turut menyumbang khidmat perunding dan reka bentuk pemuliharaan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial mereka.

Anti Lynas : Polis Tahan Empat Angoota DAP




KUANTAN 15 MEI : Polis menahan empat anggota DAP pagi ini kerana mengadakan demonstrasi memprotes loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Anthony Loke, yang hadir ketika kejadian memberitahu The Malaysian Insider, polis menahan empat anggota parti itu ketika protes mereka hampir berakhir.

Katanya, program membantah bermula dengan pembukaan pusat khidmat DAP Kuantan di Jalan Beserah di sini pada pukul 10 pagi tadi sebelum memulakan demonstrasi ringkas.

“Ia hanya demonstrasi kecil... tiga daripada kami memberikan ucapan, (Adun Triang), Leong Ngah Ngah, (Ahli Parlimen Indera Mahkota dari PKR) Azan Ismail dan kemudian saya.

“Ketika saya hendak berucap, OCPD Kuantan datang dan minta kami menghentikan acara ini. Saya memberitahu bahawa kami hampir mahu mengakhiri majlis, jadi selepas hujah kecil, kami berjaya menamatkan demonstrasi kami dan meminta setiap orang supaya bersurai,” katanya ketika dihubungi.

Loke menjelaskan, pemimpin-pemimpin DAP berkumpul untuk sesi bergambar untuk media dan ketika empat anggota parti menunjukkan kain rentang anti-Lynas (gambar) yang hanya tertera logo.

“Melihat perkara ini OCPD dengan serta-merta mengarahkan pegawai-pegawainya menahan mereka, mendakwa ia tindakan provokasi,” katanya lagi.

Empat yang ditahan itu terdiri daripada timbalan ketua DAPSY Kuantan Lee Chin Chen, timbalan ketua DAP Bentong Chow Yu Hui, pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Ting Siow Shuen dan pemberita Rocket Khor Huey Ying.

Loke berkata, keempat-empat mereka telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah Kuantan.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang mengetuai kempen anti-Lynas di kawasannya berkata, adalah jelas pihak polis untuk menunjukkan kuasa dan autoriti mereka.

“Mereka hanya mahu menunjukkan mereka berkuasa. Mereka belum pun memulakan (demonstrasi) dan sudah ada kehadiran polis yang ketat di kawasan itu,” kata Naib Presiden PKR ini.-The Malaysian Insider

Anwar : Politik Lucah Boleh Musnahkan Negara

FAIL BUNUH DAN ROGOL





SELAYANG 15 MEI :Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyebaran berleluasa video lucah tanpa sebarang kekangan kerajaan Pusat umpama mengulangi kesilapan pemerintahan Rom suatu ketika dahulu.

Kerana keengganan itulah kata Anwar, sistem ini seperti zaman Gaius atau Carigula, Maharaja Rom yang terkenal dengan skandal seks dan kehidupan hedonistik hingga hampir memusnahkan empayar Rom pada Abad pertama dahulu.

"Kerana keengganan sistem ini menghukum, ia menjadi sistem paling lucah di dunia. Kita tahu sistem lucah ini dulu ialah 'Maharaja Gila' Rom Carigula. Nombor dua kita, lucah secara terang-terangan," terang Anwar di hadapan kira-kira 5 ribu hadirin di Program Munajat Umat Tolak Fitnah di Stadiuam Selayang semalam.

Anwar menyatakan ini merupakan usaha 'merampas' negeri Selangor oleh Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Najib Razak kerana gagal menandingi dasar
dan cara kerja Pakatan Rakyat.

"Kenapa ini berlaku, sebab tak mampu nak lawan kerja. Rakyat Selangor tahu apa yang dilakukan PAS, DAP dan PKR. Nak menang di Selangor Najib guna istilah 'rampas'. Rampas ni sudah biasa pada dia, rampas bini, rampas tanah, rampas macam-macam," sindir Anwar.

Program Pakatan Rakyat di Stadium Selayang sekali lagi menjadi sasaran pengedaran VCD rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” Mac lalu dan dikaitkan
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin Pakatan mendakwa perbuatan itu didalangi oleh Umno.

Selain mengedarkan VCD itu, risalah berkaitan video seks turut diedarkan di luar stadium - yang secara jelas mahu menjejaskan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat dan PKR.

Anwar menyatakan betapa hal bukan lagi rahsia dan tidak boleh disembunyikan tetapi dibiarkan begitu sahaja oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat akan terus bekerja membantu negeri ini dan mengubah negara mengikut dasar dari 'Buku Jingga' mereka.

"Seperti kata Tan Sri Khalid, kita kerja. Tadi saya ada program di PJS..Itu kerja kita tapi apa kerja Umno-BN? Tiap-tiap program kita sama ada solat hajat, di masjid, tempat awam, dia edar video seks terang-terangan. Apa polis kata?

"Menang hari ini BN, air naik 35 peratus. Tan Sri Khalid tahu menang BN, dia tahu balanya kepada rakyat. Kita telah buktikan kalau bantah perjanjian tidak adil dan menekan rakyat. Kita boleh bertahan," tegas Anwar lagi.

Mat Sabu: Jangan terperanjat anak tokoh PAS bertanding atas tiket DAP

"Sebagai seorang muslim, saya mesti percaya bahawa ia sebagai undang-undang tertinggi yang perlu dilaksanakan. Tetapi, sebelum pelaksanaan Hukum Hudud ini, banyak lagi perkara yang boleh ditonjolkan, kebaikan Islam itu. Misalnya good governance (urus-tadbir yang baik), akauntibiliti, tidak rasuah, tolak nepotisme. Dan sekarang ini saya nampak, kalau PAS slow (perlahan) dalam bidang ini, for the future, DAP will take over."

Demikianlah kegusaran yang menyelubungi seorang pemimpin politik veteran, Mohamad Sabu (gambar kanan) yang menyertai PAS sejak tahun 1977. 34 tahun daripada pemimpin yang berusia 56 tahun ini dicurahkan untuk perjuangan PAS. Kesetiaannya bersama parti sukar dipertikai, pada masa yang sama beliau juga sahabat akrab kepada pemimpin DAP yang menerajui tampuk pimpinan sekarang.

Lanskap politik tanahair berubah dilanda "tsunami" pada 8 Mac 2008. PAS dan DAP yang sering bertentangan pendirian dalam isu "Hukum Hudud" dipaksa untuk duduk semeja berikutan sentimen rakyat untuk menentang Barisan Nasional. Namun demikian, "Hukum Hudud" kekal sebagai isu kontroversi, khususnya apabila berdepan dengan masyarakat bukan muslim.

Mohamad Sabu mengakui bahawa pelaksanaan hukum hudud bukannya sesuatu yang senang, melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, dan hasrat ini perlu dirunding bersama dan direstui rakan-rakan partinya. Tetapi, beliau lebih mengambil berat bagaimana Islam diterjemahkan kepada "urus-tadbir yang baik", untuk peringkat ini.

"Boleh capai atau tidak (pelaksanaan hukum hudud), itu soal cita-cita," Mat Sabu sekali lagi berjenaka, "Macam kita-lah, nak kahwin seorang puteri. Mungkin kita tidak dapat puteri itu, kita dapat kahwin dengan kerabat diraja pun cukuplah!"

Anak muda Melayu teruja nak sertai DAP

Calon Timbalan Presiden PAS ini berkongsi pengamatan dan pengalamannya dalam senario politik pasca 8 Mac 2008. "Ramai anak muda Melayu berjumpa saya sekarang. Dia kata Pak Mat, bila Pak Mat nak join DAP? Kalau Pak Mat join DAP, kami akan bersama..."

Ketika ditanya mengapa pendirian DAP yang jelas menentang pembentukan Negara Islam itu tidak menghalang anak muda Melayu daripada menyokong parti itu, Mat Sabu menjelaskan bahawa kecenderungan ini disebabkan dasar-dasar yang ditawarkan DAP, misalnya urus-tadbir yang baik, dengan konsep "CAT" (Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan) oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan sebagainya.

Secara terus-terang Mat Sabu berkata, pembangkang tidak boleh hanya mendakwa dirinya menentang Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi pada masa yang sama tidak menawarkan sesuatu apabila menguasai kerajaan negeri. Mat Sabu menganggap ini adalah kehendak orang ramai, dan beliau amat bimbang seandainya PAS tidak merobah konsep ini.

Beliau enggan mengulas secara terperinci, walaupun wartawan MerdekaReview membangkitkan kerajaan negeri Kedah yang dikuasai PAS, yang kelihatan tidak mendahulukan agenda reformasi sebagaimana yang disebut di atas. Cuma, Mat Sabu mengingatkan, bahawa rata-rata wakil rakyat DAP mampu mempersembahkan "kehidupan yang tidak mewah", sebagaimana yang diamalkan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat.

Meskipun diserang bertubi-tubi dengan media kawalan UMNO, namun Mat Sabu berkata pemerintahan DAP di negeri Pulau Pinang berjaya menonjolkan ciri-ciri atau nilai Islam, jika dilihat dari substance (intipati) dan bukan form-nya (bentuk luaran). Malah beliau memberi peringatan bahawa jangan terperanjat seandainya terdapat anak tokoh PAS peringkat negeri bertanding atas tiket DAP dalam pilihan raya umum yang akan datang!

Mat Sabu ingin berkongsi idea-idea ini dengan PAS, kerana beliau menganggap seandainya PAS berjaya menjelmakan Islam kepada urus-tadbir yang baik, maka mungkin komuniti bukan Islam tidak bermasalah untuk menyokong PAS. "Kalau keadilan ini tak dapat dipamerkan dahulu, macam mana mereka lihat keadilan yang lain?"

"Kalau ditonjolkan Melayu sebagai Islam, orang Cina melihat apa yang ada pada Melayu? Ini yang saya nak fikirkan," kata Mat Sabu dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di Hotel Armada Petaling Jaya, semalam.

Enggan telan bulat-bulat pemikiran yang disogokkan

Mat Sabu terkenal sebagai pemidato di peringkat akar umbi. Namun, untuk polis cawangan khas (special branch), keupayaan beliau mengatur demonstrasi jalanan mungkin lebih digeruni. Malah bukan rahsia jikalau dikatakan Mat Sabu lebih cenderung kepada "haluan kiri" dari segi pemikiran politiknya, berbanding dengan pemikiran arus perdana dalam masyarakat Melayu-Islam, malah dalam PAS sendiri.

"Saya dalam memahami politik ini, saya membaca, termasuklah buku-buku Lenin, Mao Ze Dong, dan dalam Islam, Ikhwan Muslimin dan sebagainya," katanya. Mat Sabu mungkin pemimpin PAS yang paling rapat dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM), sehingga ada yang berjenaka bahawa hubungan PAS dengan DAP dan PSM akan bertambah baik seandainya Mat Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mat Sabu menolak untuk menelan sesuatu konsep secara bulat-bulat, misalnya Komunis dikaitkan dengan jijik, bunuh orang dan sebagainya - yang ditanamkan oleh penjajah British dan pemerintah selepas merdeka kemudiannya.

"Selepas perjanjian Damai, saya melawat ke Betong di Thailand. Saya juga melawat kem Rejimen 10 Komunis Malaya, (berjumpa dengan pemimpin seperti) Rashid Maidin, dan juga Abdullah CD. Saya dialog, bercakap dengan mereka, sesetengah-setengah mereka ini, yang orang Melayu, yang beragama Islam dalam Rejimen ke-10 itu, mempertahankan amalan Islam jauh lebih baik daripada orang Melayu "so-called" (kononnya), yang ada di luar, dan termasuk yang ada dalam UMNO."

Mat Sabu pernah mengutarakan pandangan-pandangan yang "menggemparkan", untuk masyarakat Melayu-Muslim, misalnya berkata orang Melayu seharusnya berterima kasih kepada Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM).

"Saya tidak suka disogok begitu, tanpa kita buat sedikit kaji selidik (research). Saya rapat dengan, dari awal dulu, dengan Syed Husin Ali (bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia), Dr.Nasir Hashim (Pengerusi PSM)..." secara terus-terang Mat Sabu berkata, pertukaran regim pemerintahan bergantung kepada kuasa rakyat.

Mat Sabu mengakui bahawa dalam isu-isu seperti fahaman komunis, institusi Raja, malah agama, PAS kadang-kala terikut-ikut dengan rentak UMNO, malah termakan dengan retorik itu. Beliau menganggap masalah yang paling besar didepani masyarakat Melayu sekarang adalah "pemikiran".

"Masalah pemikiran yang susah nak sebut... Pergi kepada Islam yang ditafsirkan dalam satu aliran. Tidak terbuka untuk berbincang dengan aliran lain," katanya yang mencadangkan agar setiap aliran dan fahaman dikaji dan bukan ditolak begitu sahaja.

"Saya amat tidak bersetuju, di Malaysia ini, dia letakkan Islam itu seolah-olah agama Melayu. Melayu itu Islam. Melayu berugama Islam saya amat bersyukur. Tapi nilai Islam ini, jauh lebih berada dalam kalangan orang Cina berbanding dengan orang Melayu."

Mat Sabu menjelaskan selanjutnya, bahawa sikap seperti kerja kuat, tidak bergantung kepada pertolongan subisidi, berdikari dan sebagainya dalam kalangan Cina ini adalah penjelmaan nilai Islam, cuma masyarakat bukan Islam ini tidak menerima Allah sebagai Tuhan mereka. Malah, beliau menyifatkan warga Jepun sebagai "umat Islam sejati", kerana tidak merampas makanan, beratur untuk dapatkan bantuan, menghormati hak orang lain dan sebagainya selepas masyarakat itu dilanda tsunami.

Beliau menolak "semangat asabiyah", misalnya kaum Islam dan Melayu tetap dibela walaupun telah melakukan kesilapan. (Bahagian pertama, bersambung)

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Dr Wahbah : 'Anwar Perlu Terus Mengadu Ke Hadrat Allah'



SHAH ALAM, 15 MEI : Ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Antarabangsa, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berdepan dengan kes rakaman video fitnah seksnya, “sangat wajar mengadu terus ke hadrat Allah S.W.T.”

“Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, beliau seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar beliau mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t dari menyibukkan diri dengan isu-isu politik yang remeh-temeh ini,” kata beliau pada program anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang mengaitkan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, dengan video seks, yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang itu, tidak akan masuk syurga.

Ucapan Dr Wahbah telah diterjemahkan oleh pendakwah tempatan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Rakaman video seks yang didakwa pelakunya mirip Ketua Pembangkang itu didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu dan semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, analisis pakar dari Amerika Syarikat mengesahkan ia sebagai tulen.

Dalam pada itu Dr Wahbah menambah, peralatan moden dengan teknologi secanggih mana pun tidak layak menjadi dalil dalam penghakiman Islam.

Katanya, meskipun peralatan itu digunakan oleh pengarah filem di Hollywood sekalipun, alat-alat itu tetap tidak boleh menjadi saksi.

“Kini alat-alat moden terlalu banyak seperti boleh menggunakan telefon tangan atau video. Jelas semua itu sengaja diadakan oleh mereka yang tidak baik, munafik dan rendah moral,” tegasnya.

Dr Wahbah menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Sumpah dan Qazaf di Masjid Negeri.

Dr Wahbah juga menyatakan al-Quran menetapkan penuduh wajib mendatangkan empat saksi yang adil dan sebenar.

Tegasnya lagi, jika si penuduh gagal membawa empat saksi adil itu, mereka adalah pendusta atau munafik.

Beliau juga menyebutkan saksi adil itu mesti tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak melakukan kerja-kerja yang mencarikkan maruah dirinya.

“Orang fasik gugur sifat keadilannya dan mereka yang tiada padanya keadilan, Islam menolak kesaksiannya,” tegasnya yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H.

Menjawab soalan yang berkisar tentang video seks, DNA dan Anwar, Dr Wahbah menolak dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan tegas.

Menurutnya, beliau menyebutkan pernah berlaku di Mesir di mana perkara dilakukan kepada seorang ulamak yang dilakukan superimpose bagi menampakkan beliau sedang menari dengan artis menggunakan alat moden.

Malah, ujarnya, Majma’ Fiqhiah Islami Makkah menolak isu ini kerana ia adalah rekaan dan kerenah kecil sahaja.

Tiada pakar juga menjadi punca penolakan itu kerana asasnya tidak kuat, malah mahkamah antarabangsa juga tidak menerima sesuatu kes sewenang-wenangnya.

“Umat Islam hendaklah mengambil syariat Islam dalam menyelesailkan permasalahan dalam kehidupan mereka dan letakkan undang-undang syaitan di bawah tapak kaki mereka,” jelas beliau.

Dr Wahbah menggesa umat Islam segera mengambil iktibar dari semua peristiwa yang Allah s.w.t. datangkan seperti tsunami dan gempa bumi akibat daripada sikap dan amalan manusia mutakhir.

Beliau dalam lawatan ke negara ini selama empat hari dan berakhir hari ini.

Dr Wahbah mempunyai penglibatan dan sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam dan umat Islam.

Beliau yang juga tenaga pakar dalam Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa (Majma Fiqh l-Islami), mempunyai kepakaran yang amat tinggi dalam penulisan ilmiah.

Karya Dr Wahbah menjadi rujukan umat Islam di dunia antaranya yang tersohor di Malaysia adalah Kitab Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah Wa Al-Syariah Wa Al-Minhaj dan Kitab Fiqh Perundangan Islam.

PR Boleh Rampas Kerajaan Walau Bila Pun PRU, Kata Azmin





KUALA LUMPUR 15 MEI : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan Pakatan Rakyat bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan berkeyakinan untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) bila-bila masa sekalipun.

Azmin merujuk kepada nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Najib Razak agar pilihan raya umum diadakan tahun depan kerana menurut Mahathir, 'Umno akan tewas jika PRU 13 diadakan tahun ini.

“Saya nak kata kepada Mahathir, jika PRU diadakan tahun depan sekalipun, Insya Allah Umno akan tumbang," kata beliau disambut kira-kira 5 ribu hadirin program Munajat Perdana Rakyat Tolak Fitnah di Stadium Selayang.

“Oleh sebab itu. kita harus bergabung tenaga, bekerja dalam satu pasukan, ini bukan untuk mempertahankan individu tapi sistem yang dapat mengangkat martabat rakyat dan negara,” kata beliau.

“Tapi ia tidak mudah, kita harus bekerjasama, bersatu hati dan beriman kepada Allah... Insya-Allah dengan kesungguhan ini bukan hanya Selangor dapat kita pertahankan, tapi Putrajaya akan jadi milik rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Awal bulan ini, Najib menggesa Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13, yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”

Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan 'apa cara sekalipun' Azmin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor membidas kenyataan Najib tersebut dan mencabar Najib untuk menerangkan maksud 'kemenangan dengan apa cara sekalipun' (winning at all cost) itu.

“Saya nak tanya Najib dan Rosmah, apa maksud 'apa jua cara'? (Beri) rasuah, (ugut) bunuh, sogokan atau rampas? Kalau kenyataan itu datang dari ketua cawangan Umno saya faham tapi ini datang dari Perdana Menteri, dia tidak faham demokrasi?” katanya.

Azmin turut menyatakan betapa rakyat Selangor sepatutnya lebih boleh menilai betapa Pakatan Rakyat jauh lebih berkebolehan mentadbir negeri ini.

"Lihat sahaja negeri Selangor, 3 tahun di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim lebih baik dari 50 tahun Umno," tegas Azmin

Anwar : 'Kesilapan Besar Ugut Keluarga Saya'




SHAH ALAM 14 MEI : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak yang mengancam beliau dan keluarganya melakukan kesilapan besar, jika beranggapan mereka akan tunduk kepada ugutan sebegitu.



Semalam anak sulung Anwar, Nurul Izzah membuat laporan polis terhadap sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengancam "sesuatu yang tidak elok" ke atas kepada anaknya jika beliau terus menyokong ayahnya.
“Saya boleh tahan. Ini kemudian isteri, anak dan terbaru cucu. Tapi saya rasa orang yang telah cuba untuk membuat ugutan ini telah melakukan kesilapan yang besar. Jika mereka ingin menumpulkan semangat, mereka silap dan kita akan terus menumpukan gerak kerja kita,” kata Anwar.



Nurul Izzah mempunyai dua orang anak - Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 3 tahun setengah dan Raja Ahmad Harith Raja Ahmad Shahrir Iskandar, yang berusia 1 tahun 10 bulan.
Bulan lalu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail turut berada dalam keadaan membahayakan apabila kereta yang dinaikinya terbabas dalam perjalanan pulang dari memberi ceramah di Chemor Perak.
Pemeriksaan oleh mekanik mendapati sistem brek kereta Mercedez Benz itu dipercayai disabotaj oleh pihak tertentu.



Anwar menambah, pihak mekanik juga telah mengeluarkan surat hitam putih mengesahkan bahawa kereta yang dinaiki Azizah disabotaj.

“Memang benar, selain kepada saya, Azizah juga terlibat dengan satu kemalangan. Mekanik mengesahkan, hitam putih bahawa itu adalah satu sabotaj. Itulah sebab kita membuat laporan polis,” katanya.
Pemandu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah Sani Said membuat laporan polis itu.
Beliau yang menjadi pemandu keluarga Anwar selama 28 tahun, percaya kereta itu dirosakkan dengan niat jahat dan mahukan polis menyiasat.

NEGARA MAJU PEMIMPINNYA MUDA DAN IDEALIS...SELEPAS YANG TUA MENTADBIR TANPA RASUAH....DI MALAYSIA YANG TUA TERHEGEH-HENGEH BUAT ISU SEKS.....

Kuan Yew, Goh Bersara Dari Kabinet Singapura
15/05/2011
Share |



SINGAPURA 15 MEI : Menteri Mentor Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong membuat keputusan untuk berundur daripada Kabinet, sekali gus merintis laluan bagi Perdana Menteri Lee Hsien Loong serta pasukannya mempunyai rekod kerja tanpa apa-apa kesilapan masa silam.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, kedua-dua pemimpin itu berkata:

"Kami telah pun mengkaji situasi politik terbaru dan memikirkan bagaimana ia boleh menjejaskan masa depan.

"Kami telah pun memberi sumbangan kepada pembangunan Singapura. Masanya sudah tiba bagi generasi muda untuk membawa Singapura maju ke hadapan dalam situasi yang lebih sukar dan rumit.

"Perdana Menteri dan pasukan pemimpin muda beliau perlu mempunyai rekod kerja tanpa apa-apa kesilapan masa silam. Generasi lebih muda, selain mempunyai kerajaan bebas rasuah dan meritokratik serta menikmati taraf hidup yang tinggi, juga ingin lebih melibatkan diri dalam keputusan yang memberi kesan terhadap mereka," kata kedua-dua pemimpin itu.

Selepas berakhirnya pilihan raya umum yang menjadi titik perubahan, kedua-dua pemimpin berkata:

"Kami membuat keputusan untuk berundur daripada Kabinet dan menyerahkan kepada kumpulan menteri muda sepenuhnya untuk mendekati dan melibatkan diri dengan kalangan generasi muda dalam membentuk masa depan Singapura kita.

"Namun pasukan muda harus sentiasa mengingati kepentingan generasi lebih tua. Generasi yang telah memberi sumbangan kepada Singapura mesti dijaga dengan baik," kata mereka.