BN rancang pilihan raya olok-olok hadapi PRU-13


ADA CALON SIAP BUAT FLYERS DAH PUN...TAPI MENANG UNDI POS...ADOIII WAKIL POS LA NAMPAKNYA

May 11, 2011

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang akan bermesyuarat Jumaat ini dijangka akan mengadakan pilihan raya olok-olok bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kertas kerja mengenai pilihan raya olok-olok akan dibentangkan dalam mesyuarat Jumaat memandangkan Umno akan mengadakan pemilihan parti Julai ini.

“Kemungkinan besar kami akan menyentuh mengenai prestasi pilihan raya negeri Sarawak, analisis keputusan pilihan raya itu, pendaftaran pengundi dan saya akan membentangkan kertas kerja ‘dry run’ itu,” katanya.

Bernama Online melaporkan parti komponen BN Sarawak juga akan membentangkan laporan pilihan raya negeri Sarawak 16 April lalu yang menyaksikan Pakatan Rakyat menambah bilangan kerusi dari tujuh kepada 15, dari 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Tengku Adnan berkata BN perlu membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum dengan mengambil iktibar dari beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan termasuk keputusan pilihan raya negeri Sarawak.

Ia juga termasuk mengkaji trend pengundian pada pilihan raya umum Singapura Sabtu lalu sebagai persiapan pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menangguhkan tarikh pilihan raya umum sehingga hujung tahun ini atau awal 2012 bagi memastikan sokongan Bumiputera dan pengundi India seterusnya memastikan kemenangan dua pertiga Parlimen.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan Melayu terhadap Umno akan meningkat selepas pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan diri beliau untuk mencalarkan imej Pakatan Rakyat sebagai tanda pilihan raya umum akan diadakan Ogos ini.

Tapi sumber BN berkata Najib masih berhati-hati untuk mengadakan pilihan raya umum selagi beliau tidak yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga yang mana kini dilihat agak mustahil selepas sokongan orang Cina di Sarawak menunjukkan penurunan sokongan yang besar.

MCA telah mengalami kekalahan besar pada pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga — yang mana parti itu hanya menang 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Isu Kewarganegaraan : Umno Hulu Selangor Digesa Beri Kerjasama


SHAH ALAM 11 MEI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Umno khususnya bahagian Hulu Selangor memberi kerjasama baik kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan berhubung surat rasmi memohon kelulusan menukar taraf kewarganegaraan kira-kira 2,000 warga asing demi memastikan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata kerjasama dari pejabat Umno kawasan itu amat diperlukan bagi merungkai masalah yang bukan sahaja melibatkan proses keadilan di negara ini, sebaliknya sesuatu yang boleh mengancam keselamatan negara.

"PKR Selangor menggesa Umno khususnya Bahagian Hulu Selangor agar memberi kerjasama kepada polis apabila siasatan dijalankan dengan membenarkan pihak polis untuk meneliti surat dan fail yang terdapat di dalam pejabat mereka sekaligus ia mampu untuk membuktikan mereka benar atau salah," katanya kepada Tv Selangor.

PKR hari ini membuat laporan polis berhubung satu surat permohonan oleh Umno bahagian Hulu Selangor yang mengemukakan senarai warga asing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diberikan sijil kewarganegaraan bagi tujuan meningkatkan jumlah undi parti itu pada PRU ke-13 nanti.

Surat berkenaan dibocorkan oleh seorang pegawai kakitangan awam yang tidak tahan dengan penipuan yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, kewujudan surat terbabit dinafikan oleh Ketua Umno cawangan itu, Mohamed Idris Abu Bakar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lee Chee Leong.

PKR bagaimanapun menyerahkan tanggungjawab itu kepada polis untuk mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR turut menjelaskan pihaknya tidak menemui sebarang kesangsian pada surat terbabit kerana ia datangnya dari sumber yang boleh dipercayai.

"PKR memang tidak sangsi dengan kehadiran surat tersebut, sumber yang diperoleh ini adalah adalah daripada sumber yang sahih dan amat boleh dipercayai, malangnya pihak kami tidak boleh mendedahkan personaliti ini kerana khuatir merbahayakan keselamatan mereka, yang jelas di sini Umno-BN terdesak dalam menggunakan apa jua cara untuk merampas negeri Selangor,"katanya lagi.

Mengulas kenyataan Mohamed Idris bahawa beliau tidak menandatangani sebarang surat seperti yang didedahkan, ia kata Zuraida adalah alasan biasa yang digunakan Umno apabila berada dalam keadaan tersepit.

Amalan berdolak dalik ini juga kata Zuraida turut dikesan oleh seorang pemberita dari media alternatif yang menghubungi pejabat Umno Bahagian itu yang pada mulanya mengakui ada mengeluarkan surat sokongan berhubung hal sama.

Namun kenyataan itu berubah apabila pemberita yang sama menghubungi pejabat itu untuk reaksi susulan apabila berita mengenai isu itu terdedah semalam.

"Mereka menyatakan ada menghubungi pejabat Datuk Idris, bertanya kepada kerani dan kerani memberitahu ada satu surat sokongan dikeluarkan tetapi kali kedua menghubungi mereka menafikannya, seperti yang saya katakan mereka sering menafikannya dan saya berharap polis akan menyiasat untuk mendapatkan kebenarannya,"tegas Zuraida.

Pandi Kutty : Kenapa Najib Begitu "Terasa", Tanya Azizah




KLANG 11 MEI : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail "hairan" kenapa Utusan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu "terasa" terhadap perkataan 'Pandi Kutty' yang disebut suaminya pada satu ceramah Sabtu lalu.

"Kalaulah Perdana Menteri Najib kata Anwar kata dia 'pandi kutty', Anwar tak kata dia. Anwar kata siapa yang rasuah, siapa yang buat fitnah, siapa yang bunuh, itulah perangai 'pandi kutty'. Yang mereka nak terasa kenapa? Siapa makan cili dia yang terasa pedasnya," kata Azizah dalam siri Ceramah Jelajah Selangor di Meru di sini malam tadi.

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno semalam melaporkan kononnya Anwar menggunakan ungkapan bahasa Tamil itu yang bermaksud anak babi terhadap Najib.

Berasaskan laporan Utusan itu semata-mata, Perdana Menteri dan juak-juak Umno membidas Anwar tanpa usul periksa mengenai kesahihan laporan itu.

Najib semalam menuduh Anwar sebagai mengamalkan politik tak beretika kerana kononnya menggunakan perkataan kesat itu terhadap beliau.

Tuduhan Perdana Menteri itu tersasar. Rakaman ceramah Anwar di Kelang oleh TVSelangor menunjukkan Anwar tidak menggunakan perkataan itu terhadap Najib tetapi terhadap taktik-taktik jijik yang digunakan, khususnya video lucah untuk menjatuhkannya.

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus kearah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul "pandi kutti," Anwaf berkata di Dewan Hamzah Kelang.

"Ada orang kata Anwar cakap kasar. Macam mana tidak kasar. Ini kerja gila. Anda tahu sejarah India, Cina, Melayu Arab, adakah anda lawan politik begitu kotor macam Datuk Najib buat? Tidak ada,” tambah Anwar di ceramah itu.

Hari ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menghairankan bagaimana Utusan, sebuah akhbar yang menjadi juara penyebaran kelucahan kepada masyarakat kini mahu menjuarai adab sopan.

Menurut Azizah, Utusan gagal menurut tujuannya iaitu pembina wacana orang Melayu sebaliknya melemahkan lagi pemikiran dengan isu remeh dan fitnah seperti ini.

Azizah turut merujuk berita muka hadapan Utusan 9 Mei lalu dimana bekas ahli PKR Aminah Abdullah meminta beliau bercerai dengan Anwar kerana video fitnah yang diuar-uarkan.

"Apa hal 'pandi kutty' pun nak jadik berita besar? Cik Aminah (Abdullah), orang Meru pun tak kenal Cik Min, boleh jadi muka depan suruh (saya) cerai. Ini pun jadi berita. Apa jadi dengan Utusan Malaysia? Sepatutnya menjana pemikiran orang Melayu. Apa orang Melayu tak ada pemikiran? Apa beginikah cara menjamu pemikiran orang Melayu?," kata Azizah.

Azizah kesal kerana media arus perdana termasuk Utusan cuba mengalihkan rakyat daripada masalah-masalah yang mencengkam kehidupan harian seperti kenaikan harga gula dan ketirisan kewangan di bawah pentadbiran Umno-BN.

Kristian-Islam: Blogger pro-Umno telagah, gesa Bigdog ditahan ISA

Kristian-Islam: Blogger pro-Umno telagah, gesa Bigdog ditahan ISA

May 11, 2011

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Sebuah blog pro-Umno mengecam pendedahan provokasi yang dibawa blogger “Bigdog” berhubung dakwaan wujudnya konspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara sekali gus melantik perdana menteri dalam kalangan penganut itu.

Ekoran pendedahan penulis blog Bigdog itu, Utusan Malaysia telah memetik laporan tersebut dan disiarkan pada Sabtu lalu dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi? yang mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Laporan muka depan akbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Blog “Bigdog” atau nama sebenar penulisnya, Zakir Mohammed menerusi entri bertajuk “Making Christianity the official religion? mendakwa paderi-paderi Kristian mahu perdana menteri dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Blogger “Papa Gomo” menerusi entri “Negara Kristian - Tangkap Sumbat Dalam ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Si Bigdog Ini” mengecam tindakan yang dilakukan”Bigdog” atas alasan mengeluarkan laporan berunsur fitnah dan tidak benar.

“Dalam isu gereja dan negara Kristian ini memang dari awal saya merasakan sangsi berhubung laporan yang ditulis Bigdog ini sebab dalam laporan itu tiada asas yang kukuh untuk mengatakan perjumpaan paderi itu adalah untuk membentuk jemaah yang sebulat suara menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

“Secara logik mustahil pihak Kristian dalam Malaysia boleh berikrar secara terbuka dalam hal ini, mereka tahu kewajaran dalam nak menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian tidak dapat dilaksanakan.

“Jadi bagaimana pula Bigdog ini boleh mengeluarkan satu perkara yang tidak pasti yang mana sekarang kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa akibat dari kebodohan Bigdog ini,” katanya.

Justeru kata “Papa Gomo”, kerajaan harus peka dan memandang serius terhadap laporan palsu yang dikeluarkan blog “Bigdog” kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara agama.

Selain itu, penulis itu juga mahu “Bigdog” ditahan di bawah ISA jika terbukti laporan yang dikeluarkan itu berunsur fitnah.

“Jika blog Bigdog terbukti menyebarkan fitnah sehingga menggugat keselamatan negara adalah satu kewajaran untuk Bigdog ditahan di bawah ISA bagi mengelakkan kekacauan dan ketenteraman awam tergugat.

“Kerajaan harus memandang serius isu yang dimomokkan blog Bigdog kerana yang menanggung beban dalam hal ini adalah kerajaan BN dan bukannya Pakatan Rakyat. Bagaimana hendak kita bela blogger yang merosakkan keharmonian kaum di Malaysia?” katanya.

Tegasnya, konsep 1 Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat direalisasikan jika kerajaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap “Bigdog”.

“Apa guna 1 Malaysia jika hal begini tidak dapat dibendung oleh kerajaan Malaysia. Saya yakin dan amat pasti pembangkang (Pakatan Rakyat) juga akan turut sama bersetuju agar ISA dikenakan ke atas blogger Bigdog jika terbukti dia salah menyebarkan laporan.

“Sudah sampai masa KDN (Kementerian Dalam Negeri) bertindak tegas dalam hal ini bagi menjamin ketenteraman awam, bagi saya berbaloi jika Bigdog ditahan di bawah ISA kerana dapat menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Blog Bigdog juga menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Penganjur program itu — Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan.

Bahasa Umno-Utusan Lebih Kesat Dari Pandi Kutty : Surendran




SHAH ALAM 10 MEI : Parti Keadilan Rakyat menganggap sebagai lucu, fitnah terbaru Umno dan Utusan Malaysia menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya menggunakan ungkapan ‘Pandi Kutty’ terhadap Perdana Menteri Najib Razak pada satu ceramah Sabtu lalu.

Naib Presiden PKR, N Surendran yang hadir pada ceramah berkenaan berkata, Ketua Pembangkang menggunakan ungkapan itu hanya untuk menggambarkan rasa jijik terhadap taktik Umno menggunakan video lucah dan fitnah untuk menjatuhkan beliau.

"Saya berada di sana dan saya dengar Datuk Seri Anwar menggunakan perkataan itu secara umum. Dia merujuk kepada kelakuan dan politik jijik (Umno).

"Surat khabar Umno memperbesarkan perkara ini tetapi mereka sendiri menggunakan perkataan dan tuduhan lebih teruk daripada perkataan 'pandi kutty' Utusan dan Umno menfitnah orang liwat tanpa bukti, menuduh kononnya Anwar adalah pelaku dalam video seks walaupun tidak ada bukti,” tambah beliau.

Rakaman ceramah itu di Dewan Hamzah Klang, Sabtu lalu oleh TvSelangor menunjukkan Anwar tidak menggunakan perkataan itu terhadap Najib tetapi terhadap taktik kotor politik yang digunakan untuk menjatuhkan beliau.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu menyifatkan Umno sebagai parti terdesak yang menggunakan video lucah untuk mengaibkannya.

Berikut adalah petikan ucapan Anwar di ceramah yang dimaksudkan Utusang :

"Maknanya kalau kita lawan dengan parti yang terdesak, mereka menjurus kearah perbuatan terdesak termasuk video. Azizah kata sekarang jangan makan banyak sebab nanti sama dengan dalam video. Ini betul-betul "pandi kutty".

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan muka depan komen juak-juak Umno yang membidas Anwar , kerana kononnya menggunakan ungkapan “pandi kutty” terhadap Perdana Menteri .

Malah, akhbar milik Umno itu mencetak reaksi lucah seperti pemimpin Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang berkata Anwar mengalami “sindrom prahaid (PMS), kesan daripada kes liwat dan video seks yang sedang dihadapinya.”

Surendran berkata fitnah “pandi kutty” terbaru yang cuba disebarkan oleh Utusan Malaysia dan Umno melucukan.

"Jika dibandingkan dengan politik kotor BN, saya ingin ketawa bila saya lihat mereka tiba-tiba buat bising mengenai satu perkara yang begitu remeh seperti ini, “ kata Surendran.

Utusan Malaysia sebelum ini diselar pelbagai pihak kerana kerap menyiarkan berita fitnah termasuk isu video lucah untuk mengaibkan Anwar.

Sabtu lalu, akhbar itu mendakwa golongan paderi bersekongkol dengan DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini.

Antara yang mengecam akhbar itu adalah Kesatuan Wartawan Kebangsaan. Presidennya Hatta Wahari bekerja di Utusan tetapi dipecat minggu lalu kerana didakwa bertindak melanggar kepentingan syarikat.

Urus Tadbir Merosot Punca Harga Barang Naik


KUALA LUMPUR 10 MEI: Kenaikan harga barangan menunjukkan kerajaan semakin hilang kawalan dan kemampuan dalam mengurus hasil pendapatan negara dengan baik.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, kerajaan sepatutnya mencari alternatif dalam meningkatkan pendapatan ekonomi negara dan bukannya menarik semula subsidi yang diberikan kepada rakyat.

“Tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20sen menunjukkan kerajaan sudah hilang satu kemampuan dan keupayaan untuk membantu rakyat. Sepatutnya kerajaan berfikir bagaimana mencari sumber kewangan bukan ambil apa yang telah diberikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikia, mengulas kenaikan harga gula sebanyak 20sen menjadikan harga terkini barang kawalan itu RM2.30 berkuatkuasa hari ini.

Menurut Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena, kerajaan sepatutnya mengambil inisiatif menerokai sumber-sumber baru dan bukannya projek yang membazirkan wang rakyat.

“Sepatutnya kerajaan memikirkan cara mencari sumber baru. Kita sudah menyebutkan dalam Parlimen banyak sumber-sumber baru yang belum diterokai oleh pihak kerajaan disamping pihak kerajaan tidak berusaha untuk melaksanakan projek secara berjimat cermat,” katanya.

Malah menurut Mahfuz lagi, kerajaan katanya harus bijak menggunakan kenaikan harga RON97 dengan menurunkan harga RON95 supaya kos sara hidup rakyat dapat diturunkan.

“Keadaan ini sepatutnya dilihat oleh orang ramai betapa liciknya kerajaan membangkitkan isu perkauman dan kemudiannya menaikkan harga barang,” katanya.

“Bagi saya kerajaan harus melihat kembali apa yang disebut sebagai makmal rasionalisasi subsidi mesti diperbaruhi dan melibatkan pelbagai pihak supaya tidak membebankan rakyat. Saya melihat, keputusan yang dibuat oleh mereka (makmal rasionalisasi subsidi) akhirnya akan membebankan rakyat secara lebih besar,” katanya.

Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).

Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya di sekitar Kuala Lumpur.

Pada waktu itu, harga gula naik 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Sebelum itu pada tahun yang sama, negara turut mengalami kenaikan "5-dalam-1" yang menyaksikan harga gula, dua gred petrol, diesel, dan gas dinaikkan.