Pakatan Rakyat: Islam Agama Rasmi Malaysia

Utusan Malaysia sekali lagi bertindak melampui batas, mereka kini telah menghempas tanggungjawab selaku pengamal media demi tunduknya mereka kepada adikuasa. Amat malang bagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan apabila saban hari disogok dengan berita fitnah dan hasutan.

Isu agama rasmi bagi Negara ini menjadi sasaran terbaru aparat pemerintah, manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat. Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ianya merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.

Jelaslah bahawa Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ianya hanya layak menyandang gelaran "Tabloid UMNO" sesuai dengan kenyataan bahawa Parti tersebut merupakan pemegang saham sekaligus merupakan majikan mereka. Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan oleh para pejuang pembebasan tanahair dahulu telah dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini.

Berikut merupakan pernyataan bersama yang dibuat pada 8 September 2008 oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan turut dimuatkan didalam Buku Jingga:-

KENYATAAN AKHBAR
8 September 2008

PAKATAN RAKYAT MENJUNJUNG PRINSIP PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang pada hari ini 8 September 2008 dengan ini menegaskan penolakan kami terhadap usaha-usaha menyemarakkan politik perkauman yang sedang dilakukan oleh UMNO akhir-akhir ini. Kami amat bimbang isu ini sekarang digunakan untuk mengelabui pandangan rakyat yang sebenarnya merupakan usaha terdesak untuk menyelamatkan kepentingan segelintir golongan elit politik dan kroni mereka.

Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan ini kami menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit yang menjadi dasar UMNO-BN. Pendekatan inilah yang sengaja digunakan untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

Sehubungan ini kami membantah ucapan yang dibuat oleh Dato Ahmad Ismail yang disokong oleh semua pemimpin UMNO Pulau Pinang. Isi ucapan itu mencerminkan dasar perkauman UMNO yang sebenarnya bertujuan hanya untuk mempertahankan kepentingan segelintir golongan orang kaya Melayu serta suku sakat mereka yang menggunakan kuasa politik untuk mengambil kesempatan mengaut kekayaan negara dengan berselindung di sebalik membela kepentingan Bumiputera dan orang
Melayu.

Sekian, terima kasih.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen
Democratic Action Party (DAP)

HJ. ABDUL HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

*Kenyataan ini dipetik dari blog Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen.

Apabila Utusan Menggugah Keharmonian Negara




KOMENTAR : Bagaimana agaknya persepsi pelabur asing, terutama yang datang dari barat dan beragama Kristian bila memahami kandungan laporan Utusan Malaysia pada Sabtu, 7 Mei 2011? Laporan itu mendedahkan ada usaha untuk menjadikan Krisitian agama rasmi Malaysia dan perdana menteri negara ini mungkin seseorang yang beragama Kristian.

Mungkin ada di kalangan mereka yang teruja untuk terus melabur di Malaysia dengan harapan apabila Malaysia menjadi sebuah Negara Kristian akan mudah mereka berurusniaga.

Sudah tentu ada yang berkira bahawa pegangan agama mereka akan memberi kelebihan dalam iklim niaga yang dikendalikan oleh pemerintah Kristian yang seagama dengan mereka.

Sudah pasti juga ada sebilangan pelabur yang waras dan bijaksana membaca laporan Utusan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan. Pelaburan mereka mungkin dalam bahaya.

Sudah pasti sebagai pengusaha skala besar-besaran mereka dapat mencongak bahawa tidak mudah Kristian menggantikan Islam di Malaysia.

Majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu dan Bumiputera. Hampir semua Melayu di Malaysia adalah penganut Islam. Sudah tentu pelabur kategori ini dapat merumuskan betapa gempita reaksi orang Melayu dan Islam tehadap komplot Kristian ini.

Mereka juga pasti akur bahawa majoriti anggota polis adalah Melayu-Islam. Begitu juga dengan tentera. Maka adakah institusi ini akan membiarkan perubahan tunggak agama ini dengan mudah berlaku di Negara ini?

Natijahnya tentu mudah ditelah. Lebih baik jangan melabur di Malaysia. Peniaga yang bijak tentu tidak mahu melabur di bumi yang akan bergolak.

Benar atau tidak laporan Utusan itu bukan persoalan di sini. Itu harus dipulangkan kepada pihak berkuasa untuk menilainya.

Jika benar, tindakan perlu diambil bagi menjamin kedamaian dan ketenangan sosio-politik negara.

Jika tidak benar, maka makin lebih perlu lagi tindakan diambil ke atas jenis kewartawanan sensasi yang memperjudikan keharmonian Negara.

Namun kesannya amat mengerikan. Yang pertama akan merasa bahana perang agama ini adalah pelabur. Ia juga akan mencengkam rasa damai dan tenteram rakyat beragama Kristian.

Bagaimana mereka dapat merenung mata jiran dan sahabat handai Islam mereka jika orang Islam mula curiga akan keikhlasan mereka bermaustatin di bawah naungan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan?

Orang Melayu Islam pun juga bimbang. Jika pelabur asing mulai meninggalkan negara ini tentu ramai yang menganggur.

Namun tidak kurang juga yang akan “berdiri tocang” kerana marah akan niat buruk Kristian mahu merampas kuasa di negara ini. Orang Melayu memang berdarah pahlawan.

Tentu ramai yang sedia syahid untuk mempertahankan agama dan bangsa mereka. Akibatnya tentu lebih parah daripada 13 Mei 1969.

Secara ringkasnya, ini adalah di antara pelbagai kesan negative daripada laporan media arus perdana perihal perkara sensitif dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Sebab itu, para pemimpin yang berfirasat tinggi memutuskan untuk meluluskan perundangan menghalang prasangka begini menular di kalangan rakyat. Akta Hasutan adalah penawarnya.

Sedihnya, ini bukan kali pertama Utusan bersikap begini. Akta Hasutan langsung tidak menggerunkannya. Mungkin ini kerana Utusan yakin ia berada di luar lingkungan kuasa apa jua Akta di Negara ini.

Mungkin di atas lessen memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, ia wajib mendedahkan sebarang ancaman yang mungkin menggugat kepentingan khalayak yang menjadi pendokong parti pemerintah -Umno.

Menteri Dalam Negeri ahli Umno. Mungkin sebab itu, Utusan merasakan mustahil Umno akan bertindak ke atasnya kerana menjadi jurucakap Umno.

Bicara ini bukan soal kesahihan sumber atau landasan laporan Utusan itu. Ia bersabit soal tanggungjawab sosial dan politik Utusan disuluh dari sudut kewartawanan.

Apakah Utusan berharap dengan laporan sensasi ini ia akan membantu pulihkan jumlah akhbarnya yang kian merosot? Atau, agendanya ialah menggertak orang Melayu supaya terus berpayung di bawah parti pemerintah, Umno?

Jika itu niatnya, amat malang bagi Malaysia. Utusan mungkin mendabik dada ia berbuat demikian kerana sayangkan bangsa Melayu dan agama mereka.

Namun dalam pada itu, ia jelas tidak menunjukkan kecintaan kepada negara apatah lagi cita-cita 1Malaysia perdana menteri.

Laporan Utusan itu menyindir ahli parlimen Jelutong dari DAP sebagai penganjur sidang paderi yang dikatakan mengatur konspirasi memartabatkan Kristian sebagai agama rasmi Negara.

Ini mengingatkan kita pada tuduhan beberapa tahun lalu bahawa gerakan pelampau Tamil Eelam bergerak di Malaysia dan beberapa pemimpin Hindraf turut terbabit dengan gerakan itu.Hingga hari ini tiada pendakwaan atau bukti kukuh diketengahkan.

Apa yang patut dilakukan oleh Utusan ialah serahkan pada pihak berkuasa menyiasast dahulu perkara sensitif ini sebelum menggemparkan rakyat.

Menyakat rakyat dengan kemiskinan, prasangka kaum dan prejudis agama adalah jelas bertentangan dengan semangat perpaduan 1Malaysia.

Apa yang perlu ditanyakan Utusan bagi pihak rakyat apa sudah jadi dengan Badan Pemuafakatan Antara Agama yang ditaja oleh kerajaan? Hormati institusi kerajaan. Usahlah bertindak secara unilateral.

Jika tiada tindakan diambil ke atas laporan sebegini, maka rakyat haruslah maklum bahawa memang benar ada amalan siasatan terpilih berlaku dan dilakukan dengan sedar dan sengaja di negara ini.

Putar Belit Isu Agama, Utusan Melampau

SHAH ALAM 7 MEI : Pakatan Rakyat (PR) tetap berpendirian Islam kekal sebagai agama rasmi negara ini dan tidak timbul persoalan gagasan itu akan mengambil langkah untuk mengubah statusnya jika berjaya menawan Putrajaya sekali gus menyangkal dakwaan Utusan Malaysia bahawa " Malaysia Negara Kristian".

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi nota admin blog hari ini, Utusan Malaysia bertindak melampaui batas dengan menyogok rakyat dengan berita fitnah dan hasutan apabila memainkan isu agama rasmi di Malaysia.

Malah katanya, Utusan juga telah mengetepi tanggungjawab sebagai pengamal media apabila tunduk kepada adikuasa atau pemerintah, tanpa rasa malu dengan menidakkan fakta apabila berterusan memutar belit fakta sehingga mengelirukan rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk “Kristian agama rasmi?

Laporan itu juga memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister, George Town sebagai tetamu.

Akhbar milik Umno itu mendakwa majlis pertemuan paderi-paderi berkenaan dan ikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua laman blog.

“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan.

“Jelas, Utusan tidak layak untuk digelar selaku akhbar arus perdana, ia hanya layak menyandang gelaran ‘Tabloid Umno’ sesuai dengan kenyataan bahawa parti itu merupakan pemegang saham sekaligus majikan mereka.

“Amat sedih melihat akhbar yang diasaskan pejuang pembebasan tanah air dahulu, dirantai oleh manusia-manusia rakus kuasa zaman ini,” tulis nota itu lagi.

Tulisan itu menambah, isu agama rasmi bagi Malaysia menjadi sasaran terbaru “aparatus pemerintah manakala Utusan tanpa rasa malu telah menidakkan fakta yang terbentang di depannya dengan berterusan memutar belit fakta bertujuan mengelirukan rakyat.”

“Sudah dinyatakan sebelum ini, bahkan ia merupakan kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat bahawa Islam tetap kekal sebagai agama rasmi di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, nota berkenaan juga memuatkan penyataan bersama yang dibuat pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 September yang turut terkandung dalam Buku Jingga yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

“Kami sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak semua kaum yang dijamin Perlembagaan,” kata penyataan itu.

Penyataan itu ditandatangani Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

GAPS Rendahkan Martabat Diri, Kata Khalid




KAJANG 6 MEI : Gagasan Anti Penyelewengan Selangor yang disokong oleh Umno, hanya merendahkan martabat diri dengan menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata Anwar tetap menjadi sandaran kerajaan negeri kerana beliau telah menjalankan tugas sebagai penasihat ekonomi dengan baik.

Khalid menyifatkan 15 dalil yang diberikan oleh Presiden Gaps Hamidzun Khairuddin untuk Anwar digugur sebagai Penasihat Ekonomi Selangor tidak masuk akal dan tidak ada kaitan dengan tugasan Ketua Pembangkang itu.

“Jadi seorang professional yang boleh memberi nilai tambah, kita ukur dengan cara nilai tambahan. Jadi saya juga berpendapat perkara berkaitan video seks ini yang sebenarnya sebahagian besarnya ialah spekulasi, oleh sebab itu, kita tidak boleh mengambil keputusan berasaskan kepada spekulasi. Jadi saya rasa saranan Gaps itu merendahkan tahap Gaps,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Khas Mesra Rakyat peringkat daerah Hulu Langat di sini, hari ini.

GAPs yang merangkumi ahli dan penyokong Umno cuba menjadikan tindakan Anwar tidak mengikut jejak ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengambil sumpah laknat bersabit video lucah itu sebagai alasan mahukan beliau dilucutkan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor. .

Beberapa mufti sebelum ini mengecam tindakan Eskay melakukan sumpah laknat kerana ia bercanggah dengan syariat Islam.

Beberapa mufti termasuk Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria menjelaskan Anwar tidak perlu melakukan sumpah mubahalah dan isu video seks itu lebih sesuai di tangani menerusi hukum Qazaf yang memerlukan penuduh untuk menampilkan bukti yang sejajar dengan syariat Islam.

Kekalutan Najib Melucukan




SHAH ALAM 7 MEI : Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata Pakatan Rakyat kini bertekad mempertahankan Selangor dan negeri-negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 lalu serta akan berusaha keras untuk memerintah pada peringkat kerajaan pusat.

Idris Ahmad dalam kenyataan medianya berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hendak merampas semula Selangor dengan alasan untuk membela kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat adalah suatu perkara yang amat melucukan bagi mereka yang waras.

“PAS hendak bertanya kepada Datuk Najib yang juga pengerusi Perhubungan Umno Selangor, apakah amalan zalim apabila rakyat diberi air percuma?

“Apakah amalan zalim (jika) warga emas yang meninggal diberi wang kifalah RM2,500?” soalnya.

Najib ketika berucap pada majlis 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, Khamis lalu menggesa anggota Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu.

Beliau yang juga presiden Umno juga berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang dimiliki mereka.

"Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas... Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," kata perdana menteri.

Sehubungan itu, Idris juga meminta BN menjelaskan apakah amalan zalim yang dilakukan di Selangor sedangkan setiap bayi yang dilahirkan, keluarga mereka mendapat RM100.

Katanya PAS menasihatkan Najib supaya berterus terang kepada rakyat Selangor bahawa memberi kembali Umno BN mandat untuk memerintah Selangor semula adalah supaya pemimpin Umno dapat membaham khazanah negeri.

Ini kerana pemimpin Umno sudah tidak bermaya dan kebuluran projek.

“Beri tahu kepada rakyat Selangor jika Umno perintah Selangor, kami (pemimpin Umno) akan pastikan masjid surau mati supaya rakyat tidak memahami Islam yang syumul,” katanya.

Rampas Selangor : Anwar Nasihat Najib Jangan Bongkak




KUALA TERENGGANU 7 MEI : Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Datuk Seri Najib Razak supaya jangan terlalu yakin dan angkuh untuk merampas kembali Selangor daripada pimpinan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Anwar memberi amaran kepada Perdana Menteri Najib Razak agar tidak mengamalkan "politik rampas" semata-mata untuk memerintah negara.

“Ini politik rampas tidak boleh (diamalkan), bini (isteri) orang nak rampas... Perak rampas... Selangor nak rampas... mana boleh macam ini.

“Najib jangan bongkak... insya-Allah kami akan tawan Putrajaya, kamu akan jadi ketua pembangkang yang baru,” katanya pada ceramah perdana isu-isu semasa di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di sini malam tadi.

Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira 4,000 orang itu turut menggesa supaya rakyat melakukan perubahan dan memilih Pakatan Rakyat bagi menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Laporan media semalam menyebut, Najib mahu Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13, yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”

Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja ‘senjata’ yang dimiliki mereka.

Pada pilihan raya umum 2008, selain Selangor, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan mengekalkan Kelantan di bawah pentadbiran PAS.

Namun Perak dirampas semula BN setahun kemudian.

“Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

“Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah,” kata Najib yang juga pengerusi Umno Selangor.

Jelas Anwar, Pakatan Rakyat akan mempertahankan setiap kerusi yang dimenanginya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai strategi kotor Umno-BN.

“Kita perlu pertahankan kerusi-kerusi ini, saya percaya Umno akan gunakan apa sahaja cara untuk melemahkan kita.

“Mereka (Umno-BN) kata kita bermimpi (untuk tawan Putrajaya) tapi jangan lupa kita pernah menang di Terengganu, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan, malah di Wilayah Persekutuan juga kita menang... cukuplah dengan sistem sedia ada (sekarang), kita perlukan perubahan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata, janji-janji yang terkandung dalam dasar bersama tiga parti gagasan itu yang termaktub dalam Buku Jingga akan dilaksanakan sebaik sahaja berjaya menawan Putrajaya.

Tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, setiap yang dijanjikan itu bukan janji kosong, sebaliknya ia akan dilaksanakan.

Buku Jingga yang terdiri daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan 10 inisiatif 100 hari pertama pemerintahan diperkenalkan pada konvensyen keduanya di Pulau Pinang Disember lalu.

Umno terus perbodoh rakyat kekal kuasa, kata Anwar

Umno terus perbodoh rakyat kekal kuasa, kata Anwar

May 07, 2011

Datuk Seri Anwar hadir member ucapan di ceramah perdana di Marang semalam
MARANG, 7 Mei — Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan siri jelajahnya dengan malam tadi menuduh Umno “memperbodohkan” rakyat negara ini terutamanya orang Melayu melalui “pembohongan” semata-mata untuk berkuasa.

Berucap pada ceramah perdana isu-isu semasa di sini malam tadi, beliau berkata, Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam keadaan semakin terdesak terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13. Anwar meramalkan pilihan raya umum ke-13 tahun ini, sebelum bulan Ramadan.

“Bila saya datang, orang tengok muka saya... ada yang tengok perut saya... ini celaka punya Umno,” katanya secara berseloroh.

Seterusnya Ketua Pembangkang itu bertanya, mengapa apa pimpinan Umno cemas. “... sebab apa Najib tuduh saya macam itu? Ini budaya apa? Budaya Melayu? Budaya Cina? Budaya India? Budaya apa ini?... budaya Najib.

“Sebab apa dia serang (Datuk) Nik Aziz (Nik Mat)? Sebab apa serang (Datuk Seri) (Abdul) Hadi (Awang)? Sebab apa mereka serang saya? Ini sebab mereka berasa cemas,” katanya di hadapan kira-kira 3,000 orang di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di sini.

Tegas Anwar (gambar), rakyat terutamanya orang Melayu “diperbodohkan” dengan tindakan Umno yang mempergunakan media bagi mengelakkan segala kelemahan mereka terbongkar.

“Kenapa saya kata rakyat diperbodohkan? Media kita dikongkong, adakah rakyat tahu masalah ekonomi negara? Tidak... adakah rakyat tahu masalah-masalah yang dihadapi negara? Sudah tentu tidak.

“Sebab itu, saya kata rakyat perlu buat perubahan, orang muda kena ikut trend... orang muda kena berfikiran terbuka... berfikiran bebas untuk menjatuhkan pemimpin yang zalim, rasuah dan mengawal semuanya,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR itu, sekiranya Umno masih berkuasa segala masalah atau penyalahgunaan kuasa yang berlaku tidak akan diketahui rakyat termasuk kes jenayah dan rasuah.

“Kalau sokong Umno, kes bunuh... kes rasuah... kes rogol, semua akan tutup kes.

“Tapi kalau kita tidak bersetuju dan tentang mereka, yang tidak ada akan mereka adakan (ciptakan)... jangan bagi maklumat kepada rakyat, Umno anggap rakyat bodoh,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Anwar juga berkata, Umno juga akan memperalatkan apa sahaja termasuk agama bagi memastikan tiada sesiapa yang boleh mencabar kepimpinan parti itu.

“Kes (liwat) saya, bila saya minta dibawa ke mahkamah syariah tidak dibenarkan, malah menteri agama Umno yang halang saya untuk dibicarakan di mahkamah syariah.

“Jadi ini macam mana? Bila saya mahu cabar di mahkamah syariah mereka halang saya,” katanya merujuk kes liwat yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lalu.

“Sudah tiga tahun tapi tiada apa yang berlaku, saya tidak buat tapi kata saya buat,” tambah Anwar.

Kes liwat yang melibatkan Anwar itu masih berjalan di mahkamah.

Mahkamah akan menentukan sama ada Anwar akan dipanggil bela diri ataupun sebaliknya pada 16 Mei ini.

Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Anwar juga berhadapan dengan pendedahan rakaman video seks oleh “Datuk T” Mac lalu kononnya melibatkan beliau, tetapi telah dinafikan.

80 NGO Gesa JAWI Laksana Hukum Qazaf, Tolak Fitnah





KUALA LUMPUR 6 MEI: Ratusan umat mewakili 80 badan bukan kerajaan berkumpul secara aman di Masjd Negara bagi membantah budaya fitnah yang semakin ghairah disebarkan dan tindakan pihak berkuasa Islam membelakangkan hukum Qazaf terhadap gandingan Datuk T kerana menayangkan video lucah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka kemudian berarak ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) untuk menghantar memorandum bantahan terhadap tindakan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengambil sumpah laknat kononnya Anwar adalah pelaku dalam rakaman itu Jumaat lalu.

80 NGO itu yang bergabung sebagai SAF Anti Fitnah turut menuntut supaya JAWI mengambil mengenakan pertuduhan qazaf terhadap Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim yang mengaku menayangkan video itu pada 21 Mac lalu untuk memaksa Anwar berundur dari politik.

Kira-kira seratus anggota polis mengawal ketat perkarangan Masjid Negara dan merampas segala sepanduk yang dibawa oleh penunjuk perasaan serta melarang mereka daripada menggunakan pembesar suara.

Sepanduk itu antara lain berbunyi "Kami tolak politik fitnah" dan "Mahasiswa tolak politik jijik."

Selain mengecam penyebaran fitnah, penunjuk perasaan juga meluahkan kemarahan terhadap Utusan Malaysia dan TV3 kerana menghebahkan fitnah itu termasuk menyiarkan rakaman video seks berkenaan berulang kali.

Penyokong-penyokong yang hadir mengoyakkan akhbar Utusan Malaysia di hadapan masjid bagi menandakan Himpunan Amarah Rakyat Malaysia. Bagaimanapun, tidak ada sebarang tangkapan dibuat pihak polis.

Gabungan NGO itu kemudian berarak ke JAWI untuk menuntu supaya badan itu menguatkuasakan Jenayah Syariah Qazaf bagi menangani fitnah tuduhan zina dan liwat terhadap Anwar.

Pengerusi Saf Anti Fitnah Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perbuatan fitnah bukan lagi berkisarkan politik negara semata-mata tetapi melibatkan prinsip agama Islam.

Justeru pihaknya bercadang menyampaikan memorandum kepada Raja-Raja Melayu di setiap negeri untuk menzahirkan keresahan rakyat Islam terhadap penyebaran fitnah seks yang semakin berleluasa tanpa penguatkuasaan undang-undang syariah.

"Kami akan berterusan berjumpa dengan Majlis Raja-raja Melayu bermula di negeri Kedah," kata Mohd Azmi pada Hari Amarah Rakyat hari ini.

Seterusnya SAF memberikan JAWI sebulan untuk mengangkat perundangan Qazaf bagi menangani dakwaan-dakwaan Datuk T. Jika JAWI gagal berbuat demikian, SAF akan meneruskan siri bantahan demi mempertahankan kewibawaan undang-undang syariah di Malaysia.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jawi(Pengurusan), Abdul Murat Abdul Wahab oleh liwa wakil NGO berkenaan.

Selain membantah penyebaran fitnah menerusi media kawalan Umno, penunjuk perasaan juga senada dengan beberapa mufti negeri dalam mengutuk tindakan Eskay mengambil sumpah laknat yang bertentangan dengan syariat Islam.

Sehingga hari ini, Pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali belum menjelaskan kenapa beliau merestui sumpah laknat Eskay itu yang diambil Masjid Amru Al-As Sentul, walaupun ia jelas di luar peruntukan hukum Syariah Islam

Video Seks : Pengerusi NIAT Terima CD, Yakin Pelaku Bukan Anwar





KUALA LUMPUR 6 MEI : Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT), Datuk Thasleem Ibrahim memaklumkan beliau adalah salah seorang daripada beberapa individu yang menerima DVD video seks, yang didakwa “Datuk T” pelakunya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Thasleem berkata, DVD itu diposkan ke pejabatnya di Jalan Damansara dengan bersetem Thailand serta tertera perkataan “Prasan Mit” dipercayai nama pejabat pos bahan itu diposkan.

“Ia memang menghairankan (saya). Kemungkinan kerana mereka tahu saya ada pandangan yang berbeza dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu 16 September mahu mengambil alih Putrajaya yang saya bantah sama sekali,” kata beliau kepada The Malaysian Insider sambil menyifatkannya sebagai “tidak Islamik.”

Thasleem berkata satu lagi kemungkinan ialah beliau selalu membawa pelbagai isu dan dalam kes ini ia melibatkan aktiviti moral.

Ketika ditanya mengapa beliau menunggu selama tiga hari sebelum membuat laporan polis, Thasleem berkata beliau sibuk dan memerlukan masa untuk melihat sendiri video seks tersebut.

“Ia klip kira-kira 16 minit, saya telah menontonnya untuk meyakinkan saya tentang apa di dalamnya,” katanya.

Tambah beliau pada klip ada tulisan Thailand dengan angka 2011 dari awal hingga akhir.

“Pada pandangan saya, wajah wanita itu sangat jelas, yang seorang macam Datuk Eskay... dan orang ketiga, ramai yang mengatakan sebagai Anwar tetapi saya pasti bahawa dia bukan Anwar,” katanya lagi.

Datuk Shazryl Eskay Abdullah, salah seorang daripada tiga “Datuk T” awalnya mendedahkan video seks itu pada 21 Mac lalu.

“Mana-mana warganegara seharusnya telah melakukan yang ini, pergi kepada polis dan menyerahkannya.

“Saya biarkan pihak berkuasa memutuskan apa yang perlu dilakukan,” katanya lagi.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen PKR dari kawasan Kapar juga mendedahkan ada menerima VCD daripada pihak tidak dikenali dari Thailand.

Najib jangan cabar kami – PKR Selangor


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Mei: “Sekali lagi, saya ingatkan Najib, jangan pernah cabar kami, Keadilan dan Pakatan Rakyat Selangor.

“Kami telah bersedia untuk menghadapi PRU13 pada bila-bila masa. Jentera telah kami susunkan, barisan pertahanan telah kami ampuhkan demi terus mempertahankan Selangor, dari kezaliman dan penindasan Umno walau apa cara sekalipun,” tegas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak pada majlis 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat-Rakyat Didahulukan' di Shah Alam malam semalam.

“Saya ingin mengingatkan Najib agar jangan pernah berani cabar kami. Jangan jadi penderhaka kepada rakyat Selangor,” katanya yang juga Ketua Wanita PKR.

Tambahnya, melalui ucapan itu, jelas membuktikan bahawa Najib kini sudah terlalu desperado (terdesak) dan sudah gila kepingin mahu memerintah Selangor.

Malah, katanya secara terang-terangan telah menunjukkan bahawa beliau akan bermain cara kotor demi merampas Selangor.

“Saya yakin beliau akan menggunakan cara yang lebih teruk berbanding di Perak.

“Saya mahu mengingatkan Najib, Kerajaan Selangor yang dipilih adalah berdasarkan atas mandat pilihanraya yang adil dan bersih,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Ampang.

Maka, katanya niat Najib mahu merampas dengan cara kotor adalah suatu penghinaan dan penderhakaan kepada autonomi rakyat Selangor.

“Jika benar-benar Najib, yang juga selaku Perdana Menteri mahu merampas Selangor, dan seorang pemimpin yang berani berhadapan dengan rakyat, saya mencabar beliau untuk bersedia berdebat dengan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan Parlimen saya, yakni di Ampang dan saya sendiri sedia menjadi penganjur utamanya,” katanya.