Anwar Gesa Pusat Timbang Semula Projek MRT




AMPANG 5 MEI : Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan Persekutuan mengkaji semula projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan kos pembinaannya kelak.

Menurut Anwar, Gamuda MMC, konsortium yang menjadi rakan kongsi projek (PDP) ini tidak telus khususnya dari sudut tata kelola penganugerahan tender mereka.

"Skop tanggungjawab yang terlalu besar dan menyeluruh yang diserahkan kepada PDP membolehkan Gamuda MMC membuat keputusan bagi BN mengenai projek dan tendernya," terang Anwar kepada wakil Pihak Berkuasa Tempatan di Menara MPAJ hari ini.

Projek MRT diumumkan tahun lepas di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan mengumumkan kos projek menjangkau RM 55 Billion dan dibiayai oleh dana awam melalui penerbitan bon, yang bakal melonjakkan kadar keberhutangan negara melebihi paras 60 peratus.

Menurut Anwar lagi, kos RM 55 Bilion itu diumumkan terus oleh Gamuda tanpa sebarang kajian terperinci oleh pihak ketiga dan bakal menambah hutang awam negara.

"RM 55 Billion, senanglah mereka cakap, itu bukan duit mereka, rakyat yang bakal menanggung perkara ini," tegas Anwar.

Justeru, Anwar menyarankan agar satu panel bebas dibentuk untuk menyemak kos dan keberkesanan projek dan pandangan kerajaan Selangor perlu diambil kira kerana ia melibatkan sebahagian besar negeri dan rakyat Selangor.

Menurut Anwar lagi, Gamuda-MMC mempunyai motif bagi menentukan spesifikasi demi memaksimumkan keuntungan yang bakal diperoleh.

"Spesifikasi teknikal yang dicadangkan mungkin lebih mahal dan tidak diperlukan, tetapi dimasukkan untuk melonjakkan kos sesuatu pakej tender," katanya.

Tambah Anwar, Gamuda-MMC juga terlibat dalam konflik pertembungan memandangkan firma itu juga menjadi pembida utama bagi pakej kerja-kerja pembinaan bawah tanah.

"Pakej ini adalah pakej yang terbesar dan termahal kerana melibatkan kerja-kerja mengorek terowong," katanya lagi.

Speaker : Jangan Guna Taktik Kotor Rampas Selangor




SHAH ALAM 6 MEI : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Datuk Teng Chang Khim mengalu-alukan Perdana Menteri Malaysia menggesa Umno Selangor supaya bekerja keras merampas semula negeri ini dari tangan Pakatan Rakyat.

Teng bagaimanapun mengingatkan Perdana Menteri itu bahawa beliau boleh menggunakan apa jua 'senjata' atau cara yang di mahukan, namun ia haruslah dilakukan dengan cara yang betul dan bukannya menggunakan politik wang ketika rampasan kuasa di Perak dua tahun lalu.

"Setiap parti memang berhak untuk bertanding bagi mendapatkan kuasa tapi saya berharap pihak Barisan Nasional menggunakan cara yang mengikut peraturan, undang-undang, cara yang bersih, jangan menggunakan cara yang kotor dengan menfitnah dan tidak menggunakan cara yang tidak direstui agama bagi mencapai matlamat tersebut,"katanya.

Menurut Teng, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kekhuatiran tidak perlu wujud ketika menjelang pilihan raya kerana kuasa adalah di
tangan rakyat.

Justeru, beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertindak zalim terhadap rakyat sedangkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mendapat sambutan baik dari masyarakat di negeri ini.

Ia ujar Teng hanyalah strategi terdesak Umno-BN untuk meraih kembali sokongan rakyat kepada parti itu.

"Kita mengakui kalau ada kelemahan, tidak ada manusia dan sistem yang sempurna tapi kalau kita membandingkan program dan juga dasar yang dilaksanakan oleh
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sudah jelas ketara perbezaannya di mana program Pakatan Rakyat memang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,"tambah Teng.

Jelas beliau contoh paling ketara yang dilakukan kerajaan negeri adalah dengan memberi air percuma, di mana Pakatan Rakyat mampu melakukannya pada tahun
pertama memerintah sedangkan Barisan Nasional yang memerintah selama 50 tahun namun tidak membantu meringankan beban rakyat.

Malah katanya lagi baru-baru ini kerajaan negeri telah menubuhkan Kumpulan Wang Tabung Warisan Bencana Alam sebagai langkah menghadapi bencana yang tidak
pernah difikirkan Umno-BN sebelum ini.

Najib malam tadi menggesa Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan Barisan Nasional dapat merampas kembali negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”

Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja 'senjata' yang
dimiliki mereka.

"Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lalu).

"Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," katanya.

Laporan Bebas : Firma Perunding Australia Tarik Diri

RAWANG 6 MEI : Sebuah firma perunding dari Australia yang dipertanggungjawabkan untuk membekalkan laporan bebas kepada kerajaan negeri Selangor berhubung projek pembinaan kabel bervoltan tinggi oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kampung baru Rawang menarik diri.

ADUN Rawang, Gan Pei Nee berkata firma yang sepatutnya memulakan tugas itu pada akhir April lalu memaklumkan pihaknya diberi tekanan politik supaya tidak bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat.

“Syarikat itu menelefon wakil kerajaan negeri Selangor dan beritahu tidak tahan ditekan,” kata Gan pada sidang akhbar di Rawang hari ini.

Sebelum ini, penduduk sekitar kawasan terbabit telah berulangkali melahirkan kebimbangan berikutan kekhuatiran mereka terhadap pembinaan menara berkenaan yang akan menjejaskan kesihatan mereka sekali gus akan menyebabkan kampung itu terbahagi dua.

Turut difahamkan, bantahan tersebut juga turut mengakibat satu tunjuk perasaan dan pertempuran dengan polis.

Kes berkenaan juga telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu tetapi mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka laksanakan.

Menurut Gan beliau percaya kerajaan Malaysia mengenakan tekanan melalui kerajaan Australia.

“Syarikat ini adalah syarikat kabel yang telah beroperasi sepuluh tahun. Mereka cuma hantar emel mengatakan tidak mahu meneruskan kerja dan beritahu mereka tidak akn datang ke Malaysia.

“Tetapi dalam emel, tidak diberikan sebarang alasan. Namun melalui panggilan telefon baru mereka beritahu ada tekanan (politik),” katanya.

Apabila siap kelak, projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek itu akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

MASUK LAH PARTI MANA PUN ASAL BUKAN UMporno/bn..


Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin (gambar) disebut-sebut akan keluar parti itu dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam waktu terdekat. Bagaimanapun jika pun keluar PKR, Badrul Hisham, yang turut dikenali sebagai “Chegubard”, akan kekal bersama Pakatan Rakyat (PR) dengan menyertai sama ada PAS atau DAP.

Beliau yang tewas tipis dalam pemilihan ketua Angkatan Muda PKR akhir tahun lalu sudah membincangkan perkara itu bersama rakan-rakannya dalam parti itu dan membayangkan “sudah sampai masanya” berbuat demikian.

Beliau juga pernah disebut-sebut akan meninggalkan PKR sejurus selepas kalah pemilihan tempoh hari.

“Ya, memang betul… Chegubard sudah membuat keputusan, cuma belum diumumkan secara rasmi lagi.

“Ada banyak sebab mengapa Chegubard memutuskan untuk keluar, dengan ada halangan kepada dia daripada menjalankan program, aduan Chegubard mengenai pemilihan pusat tahun lalu juga belum selesai sampai sekarang,” kata seorang rakan Badrul Hisham dari Negeri Sembilan.

Badrul Hisham juga merupakan ketua cabang PKR Rembau.

Pada pilihan raya umum 2008 beliau bertanding di kerusi Parlimen Rembau menentang Khairy Jamaluddin iaitu Ketua Pemuda Umno dan Pemuda BN.

Sumber ibu pejabat PKR yang dihubungi juga mengesahkan ada mendengar desas-desus itu tetapi tidak dapat disahkan kesahihan.

“Saya ada dengar Chegubard sudah berkongsi pendiriannya dengan beberapa pengikut dan penyokongnya baru-baru ini,” kata sumber itu lagi.

Sumber juga berkata beberapa pemimpin kanan PKR juga sedia mengetahui keputusan Badrul Hisham itu, yang akhir tahun lalu turut menolak pelantikan sebagai penolong setiausaha agung PKR selepas tewas pemilihan.

Badrul Hisham merupakan antara beberapa pemimpin mempertikaikan proses pemilihan tahun lalu.

Ketika ditanya parti yang bakal sertai Badrul Hisham, sumber terdekat dengannya berkata, “pilihan Chegubard adalah sama ada PAS atau DAP.”

“Kemungkinan besar DAP, sebab parti itu memerlukan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Melayu di mana Chegubard merasakan boleh menyumbang melalui DAP,” kata sumber itu.

Dalam entri terbaru di blognya kelmarin, Badrul Hisham ada menyentuh tentang DAP dan keperluan kepimpinan Melayu dalam parti itu.

Antaranya kata beliau, “DAP tidak anti-Melayu” tetapi momokan media dengan parti-parti yang berkuasa telah membuat orang Melayu mempunyai perasaan takut kepada dominasi parti itu kalangan kaum Cina.

“Maka yang menggunakan sentimen rasis ini adalah Umno dan ini hakikat. Takkanlah saya keliru kerana saya juga pernah bergiat aktif dalam Umno dan itu perkara yang di antara sesama Melayu memahaminya,” katanya.

Kata Badrul Hisham, jika DAP menunjukkan kepada rakyat bahawa ia adalah parti untuk semua kaum, maka DAP sepatutnya meletakkan beberapa calon Melayu.

“Dan, jika ini dilakukan oleh DAP, maka yang pasti akan terjadi parti itu akan mendapat sokongan dari sebahagian pengundi Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat oleh blogger Cucu Mat Kilau (CMK) hasil pertemuannya dengan Chegubard di sebuah restoran mamak dekat bandar Kuantan, pada 2 Mei lalu.

“Dalam berbual, Chegubard sekali lagi meluahkan perasaan terkilan beliau akibat kegagalan PKR menyelesaikan kemelut pemilihan 2010 lalu. Parti katanya, seolah-olah cuba mengalih pandangan dan mahu beliau melupakan apa yang sudah berlaku, sedangkan perkara itu sepatutnya diselesaikan seperti janji dua minggu yang dibuat oleh Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution semasa Kongres PKR di Petaling Jaya tahun lalu.

“Ketika CMK tanya ke mana hala tuju politiknya andai keluar PKR. Chegubard beberapa kali menegaskan dia akan membuat satu keputusan mengejut berkenaan perkara itu. Namun, itu pun jika tiada tindakan daripada pucuk pimpinan tertinggi PKR sendiri.

“CMK merasakan, PKR bakal menerima pukulan TKO jika anak muda seperti Chegubard pula meninggalkan parti itu. Malah, dia khabarnya akan membawa bersama para penyokong dan pemimpin muda di peringkat cabang-cabang di seluruh negara. Ini satu tamparan hebat buat PKR, maka seharusnya Anwar Ibrahim memainkan peranan untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Agak malang bila beliau yang masih bersama PKR tiba-tiba dihalang melakukan aktiviti termasuk berceramah di sana-sini oleh parti sendiri. Senario ini memang berlaku, dan sungguh memalukan”, katanya lagi.

Sokong Tubuh Suruhanjaya Siasat Gani Dan Musa - Khalid Samad





SHAH ALAM 6 MEI : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersetuju dengan cadangan bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim yang menggesa kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Khalid berkata, meskipun Gani Patail disabitkan dengan pelbagai dakwaan yang menjejaskan kreadibilitinya sebagai peguam negara, beliau masih dibenarkan betugas seperti biasa tanpa sebarang siasatan keatasnya.

"Saya sokong saranan beliau (Datuk Mat Zain Ibrahim) kerana amat pelik bagaimana peguam negara yang jelas telah terlibat dalam kes itu untuk menutup kebenaran dan fakta berhubung dengan kes itu dan masih boleh bertugas sebagai peguam negara dan seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan."

Semalam, Mat Zain melalui surat terbukanya menyarankan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat Gani Patail dan Musa Hassan kerana menghakis keyakinan rakyat ke atas institusi pendakwaan dan penyiasatan Malaysia.

Mat Zain dipetik sebagai berkata kesalahan keadilan awam, yang didakwa ke atas Gani Patail dan Musa Hassan “adalah terlalu besar untuk dimaafkan.”

Justeru Khalid ketika dihubungi TV Selangor berkata, penubuhan suruhanjaya ini penting agar kerajaan persekutuan dapat membersihkan imej instituisi ini dimata rakyat.

"Penubuhan RCI itu untuk menyiasat kes itu dan latarbelakang kes itu adalah amat perlu sekiranya kerajaan ingin mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pendakwaan di negara."

Khalid turut menyifatkan pemilihan jawatan peguam negara tidak boleh diambil sambil lewa dan paling penting individu itu perlu bebas serta tidak terikat dengan mana- mana parti politik yang akan mempengaruhi pendakwaan yang dibuat.

"Jawatan peguam negara adalah begitu penting, dan perlu bebas daripada pengaruh politik dan kesetiaan politik yang menebal," katanya.

Sekiranya pendakwaraya didapati bersalah seperti mana yang didakwa oleh Datuk Mat Zain, di mana telah berusaha menutup maklumat sebenar yang berlaku, maka dia mesti dipecat dan didakwa," katanya lagi.

Sebelum ini Mat Zain mendedahkan Gani Patail berperanan dalam insiden mata lebam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 12 tahun lalu.

Tragedi Eskay Dan Regu Datuk T Menjerat Umno Di Sentul





KOMENTAR : "Pada hari ini, 29 April 2011, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya Shazryl Eskay Abdullah berikrar dan bersumpah seperti berikut:

“A'uzubillahi minal syaitanirrajim, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang dirakamkan pada 21 Februari 2011. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah, maka Allah akan melaknat akanku."

Demikian lafaz sumpah Eskay. Allah jadi saksi. Wartawan pun jadi saksi. Editor akhbar dan televisyen pun menyaksikan. Maka, termasuk juga semua pembaca akhbar, blog dan penonton televisyen menyaksikan bahawasanya Eskay bersumpah bahawa pelaku adegan video lucah memaparkan orang berzina adalah Anwar Ibrahim.

Lafaznya jelas dan maksud yang terkandung dalam lafaz itu pun terang. Eskay mengisytiharkan Anwar Ibrahim adalah pelaku/penzina dalam video berkenaan.

Bagaimanapun Rabu lalu (4 Mei 2011) Eskay memberitahu sidang media di luar pejabat polis Kepong:

“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya,” kata Eskay.

Sebaliknya dalam penafiannya itu, Eskay meletakkan beban fitnah kononnya Anwar adalah pelaku dalam video itu (yang membawa makna Anwar berzina), di bahu wartawan.

Eskay berkata, beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu kerana mahu mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar atau bukan.

“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar. Itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” kata Eskay kepada para pemberita.

Yang jelas kenyataan media itu bercanggah dengan sumpah laknat yang dilafazkannya di masjid Amru Al-As, Sentul.

Yang menjadi persoalan, mengapa Eskay kali ini berusaha menafikan pernah membuat tuduhan Anwar berzina? Adakah beliau bermaksud mengatakan bahawa beliau tidak faham kandungan lafaz sumpahnya kerana penguasaan Bahasa Malaysianya lemah? Atau, beliau memang tidak faham lafaz sumpah itu kerana sebenarnya teks sumpah berkenaan bukan beliau tulis sendiri?

Atau, mungkinkah Eskay ada maksud lain yang hendak beliau sampaikan melalui majlis sumpah itu? Mungkinkah Eskay terpengaruh dengan taktik yang pernah digunakan oleh Raja Petra Kamaruddin yang menafikan beliau pernah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor terbabit dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibu?

Namun seperkara perlu diingat kes Raja Petra dengan kes Eskay ini amat jauh bezanya. Raja Petra membuat perakuan bersumpah bahawa perdana menteri dan isterinya terbabit dalam kes pembunuhan ngeri itu berpaksikan maklumat yang diberikan oleh suatu sumber yang pada anggapannya sahih di sisi undang-undang negara. Justeru itu beliau mahu dakwaan sumber itu disiasat.

Sebaliknya dalam lafaz sumpahnya Eskay mendakwa beliau berada di tempat perzinaan itu berlaku. Meskipun memberi alasan menayangkan video zina itu kepada wartawan terpilih kerana mahu mereka (wartawan) membuat pengecaman siapa pezina itu atas kepercayaan mereka (wartawan) lebih mengenali Anwar kerana sering mewawancara beliau, Eskay dengan jelas menyebut pelaku itu adalah Anwar. Lafaz itu dibuat di rumah Allah dengan menyebut nama Allah.

Paling nyata ialah, Raja Petra membuat perakuan bersumpah mengikut undang-undang buatan manusia. Namun Eskay melafazkan tuduhan menurut peraturan agama Islam.

Meskipun sebelum itu beliau diberi nasihat di masjid yang sama bahawa sumpah laknat ini tidak sesuai dilafazkan dalam usahanya untuk membuktikan “kerendahan moral” Anwar, Eskay dengan yakin dan diapit oleh regu Datuk T – Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim -- melakukannya juga.

Mungkinkah setelah lafaz sumpah laknat itu baru Eskay sedar sebilangan besar ulama di Negara ini berfatwa penuduh orang lain berzina tetapi gagal mengemukakan empat saksi perbuatan dosa besar itu mesti dirotan 80 kali seperti yang diwajibkan Allah dalam al Quran.

Mungkinkah Eskay dan regu Datuk T kemudiannya baru juga insaf tindakan bersumpah itu sebenarnya adalah satu strategi yang salah. Tindakan beliau sebenarnya meletakkan seluruh wibawa keIslaman kerajaan Umno-BN menjadi bahan senda gurau kerana gagal melaksanakan hukum Allah?

Regu Datuk T tidak ada empat saksi yang melihat perlakuan zina itu. Mufti dan ulama berhukum bahawa bahan mati seperti video tidak boleh menggantikan ketetapan Allah.

Pembuktian tuduhan zina mesti ada empat saksi yang tidak tercemar peribadi mereka. Lantas kesudahan kerja dan tuduhan Eskay dan rakan-rakannya ialah, mereka wajib dirotan 80 kali.

Adakah Eskay, Rahim, dan Shuib takut kena rotan? Atau, mereka lebih takut “dirotan” oleh parti junjungan mereka, Umno, yang diaibkan oleh perbuatan mereka itu?

Maka, mungkinkah kerana itu Eskay perlu menarik balik sumpahnya dengan mengatakan tidak pernah menuduh Anwar berzina?

Siapa pelaku seks dalam video itu belum dapat dipastikan. Namun apa yang sudah pasti ialah, siapa yang merakam, menayangkan dan bersumpah dengan nama Allah akan butir video itu sudah diketahui umum.

Umum juga sudah tahu apakah hukuman yang perlu dikenakan terhadap pihak yang sewenang-wenangnya menuduh orang lain berzina. Regu Datuk T memilih untuk menuntut keadilan dan membuktikan kebenaran tuduhan mereka di dalam mahkamah Allah. Hukum Allah jelas dan tegas.

Apa yang dinantikan khalayak umum di Negara ini hari ini (tidak kira penganut Islam atau bukan) adalah, apakah kerajaan yang diterajui oleh Umno hari ini tegas melaksanakan hukum Allah? Atau, adakah sama seperti Eskay dan Regu Datuk T nya, Umno juga akan cuba lari dari tanggungjawab dan peluang menegakkan syariat Allah di bumi Malaysia ini?

Bagi pemerhati politik, apakah kegagalan Umno melaksanakan perintah Allah ini tidak akan menjejaskan lamarannya kepada PAS untuk sama-sama memperjuangkan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini?

Kenyataan 'Flip- flop' Eskay Dipersoal


SHAH ALAM 6 MEI : Kenyataan berubah- ubah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam fitnah video seks, dilihat cenderung kepada ciri- ciri orang munafik dan tidak amanah.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata watak rakyat seperti Eskay ini bukan sahaja mencerminkan kerugian besar kepada negara bahkan ia mampu mengguggat keamanan negara.

"Selepas beliau membuat sumpah laknat itu, beberapa hari selepas itu pengakuannya berbeza, ini menunjukan beliau tidak amanah, jujur dan pembohong besar malah ciri-ciri munafik sudah pun ada pada sikapnya, inikah orang yang kita boleh angkat sebagai orang yang boleh dipercayai ?,

"Amat malang negara kita kerana mempunyai seorang pembohong besar seperti beliau," tegas Abdullah.

Beliau berkata demimkian ketika ditemui Tv Selangor di Ibu Pejabat Tv Selangor.

Kelmarin, Eskay menafikan beliau menuduh Anwar berzina...pengakuan yang bercanggah sama sekali dengan dakwaan beliau sebelum ini.

Eskay berkata beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.

Semalam, turut menyaksikan Trio Datuk T itu gagal menjawab apakah jam omega yang diserahkan kepada polis, terakam dalam video seks yang didedahkan pada 21 Mac lalu.

Mengulas persoalan ini, Abdullah Sani menjelaskan kegagalan Eskay dalam berhubung kewujudan Jam omega dalam klip video itu, sekali lagi membuktikan beliau seorang munafik dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab.

"Ini satu isu yang rapuh dan tidak kukuh dijadikan bukti, malah saya sifatkan ia sebagai resipi menyedapkan rasa tetapi tidak mampu diangkat sebagai bahan bukti penting, jadi isu jam omega sebanarnya bukannya isu," katanya.

Pilihan Raya Umum Ke 13, 11.11.11?




KUALA LUMPUR 6 MEI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13 apabila menyebut timbulnya ramalan ia akan diadakan pada 11.11.11 kerana angka 11 amat signifikan dalam hidup beliau.

Ketika ditanya pemberita, beliau tidak mengia mahupun menafikan ramalan itu, sebaliknya menyifatkan ramalan sedemikian memang menjadi kegemaran dalam arena politik sebelum ini.

"Saya rasa elok diteruskan teka teki ini," katanya.

Bagaimanapun, Najib menekankan perlunya untuk kerajaan BN terus bekerja melaksanakan program-program transformasi bagi menyakinkan rakyat.

"Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tak semestinya pada (bulan) 11 ataupun 11 haribulan.

"Ini merupakan satu proses, selagi semboyan belum dibunyikan, kita masih buat kerja," katanya.

Apabila diminta mengulas lanjut sama ada kemungkinan tarikh tersebut besar, Najib berkata: "Tarikh itu ada kaitan dengan hidup saya, tapi sama ada pilihan raya itu...Wallahhualam".

Sebelum itu, Najib dalam usaha merapatkan hubungannya dengan golongan muda ke udara di rangkaian radio Hot FM pagi ini dan menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya.

Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Antaranya ialah Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.

Nombor plat kereta rasmi beliau juga bernombor 11.

Wawancara selama sejam bermula jam 7.30 pagi itu juga disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen 8TV.

Dalam wawancara itu, Najib juga menceritakan tabiatnya yang gemar menghabiskan masa di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Beliau juga turut mengumumkan kerajaan akan melancarkan satu program baru iaitu Rumah Mampu Milik Berkualiti bagi memantapkan Skim Rumah Pertamaku selewat-lewatnya Julai ini.

"Melalui program tersebut, kos rumah untuk Skim Rumah Pertamaku akan dipastikan berharga RM220,000 ke bawah," katanya.

Di bawah skim itu, beliau berkata pemaju swasta akan terbabit sebagai projek tanggungjawab sosial korporat mereka, manakala kerajaan akan menyediakan tanah sebagai tapak rumah.

-BERNAMA