Polis hapus sistem perangkap kelajuan, kata timbalan IGP

KUALA LUMPUR, 23 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan lagi sistem perangkap kelajuan, yang menjadi sebahagian daripada punca rungutan mengenai notis saman ekor selama ini.

Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertindak telus dan akan memberi amaran kepada kepada para pemandu mengenai operasi mengesan kelajuan memandu terlebih dahulu.

Sistem perangkap kelajuan menggunakan kamera telah digunakan hampir dua dekad oleh PDRM.

“Kami tidak harus bersembunyi di sebalik belukar. Kami perlu tampil secara terbuka dan menguatkuasakan undang-undang (secara telus),” kata beliau kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Banyak pihak mempertikaikan notis saman yang dihantar ke alamat pemilik dengan ramai mendakwa bukan mereka yang mengendalikan kenderaan ketika dikesan.

Ada yang mewujudkan jawatankuasa atau pertubuhan bukan kerajaan membantah sistem itu, antara Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) yang mahu kerajaan menghapuskan sistem notis saman ekor.

MENYUSUL LAGI

OKU Tahanan ISA Tekad Teruskan Perjuangan



KUALA LUMPUR 23 APRIL : Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kadir Hashim bertekad tidak akan lemah semangat dalam meneruskan perjuangan dalam Parti Keadilan Rakyat(PKR) walaupun bakal berhadapan cabaran yang lebih berisiko tinggi seperti ini.

Kadir yang dibebaskan beberapa hari lalu, menganggap detik-detik dan saat beliau menjadi tahanan ISA itu sebagai asam garam perjuangan dalam memastikan Pakatan Rakyat(PR) mendapat mandat dalam Pilihan Raya umum akan datang.

"Saya tidak akan lemah semangat. Saya tetap akan menyertai aktiviti parti. Ini bagi saya liku-liku perjuangan. Kita kena hadapinya," kata beliau kepada wartawan di rumahnya semalam.

Kadir yang kudung pergelangan tangan kiri didakwa terlibat dalam kegiatan berunsur subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit di bawah Seksyen 73(1) ISA 1 April lalu.

Kadir dikatakan merancang menggunakan senjata api dan bahan letupan untuk menentang kerajaan kerana komennya dalam laman Facebook beliau.

Menurut Kadir, beliau disoal siasat selama beberapa sesi setiap hari dan dibawa sehingga ke empat lokasi berlainan untuk disoal siasat sepanjang 20 hari itu.

Malah beliau memberitahu pihak Polis memasang alat pengesan pembohongan di badannya dalam salah satu cubaan mendapatkan kenyataan beliau.

Bagaimanapun Kadir mengakui beliau tidak didera secara fizikal sebaliknya beliau diganggu secara mental berikutan cara soal siasat yang amat meletihkan.

Beliau yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) menganggap tuduhan dan siasatan polis ke atas beliau sebagai perkara lucu kerana ia hampir tidak logik.

Malah menurut beliau lagi, pihak Polis turut gentar apabila kesnya itu mendapat liputan meluas media selain kesungguhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sentiasa memberi sokongan dan mendesak beliau dibebaskan.

"Bagi saya ini satu tangkapan lucu. Sepatutnya dia (polis) kena fikir. Jika dia kaji dan siasat status saya, dia akan tahu saya seorang OKU," kata beliau dengan sinis.

"Mereka cukup takut bila peguam nak jumpa saya. Wartawan dan Suaram pun datang. Mereka cukup takut. Jadi mereka minta kerjasama dan beri ruang untuk dibebaskan," tambahnya lagi.

Kadir turut mendedahkan beliau juga diminta supaya menceritakan 'kebaikan' ISA kepada ahli PKR lain, bagaimanapun beliau enggan berbuat demikian.

Kadir menyatakan tindakan beliau dan mungkin ramai lagi rakyat Malaysia yang meluahkan kemarahan mereka dalam laman sosial itu berpunca dari Kerajaan Barisan Nasional sendiri yang sentiasa menindas hak bersuara rakyat.

"Itu hanya luahan emosi saya terhadap apa yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan kita. Kita hendak cuba ubah keadaan demokrasi. Masalahnya demokrasi kita tak adil. Kalau betul demokrasi kenapa media kita contohnya disekat? Kenapa dalam Pilihan Raya berita-berita yang disampaikan tak seimbang laporannya? Kenapa kita tak diberi ruang di TV seperti mereka?" ucap beliau.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin yang berkunjung ke rumah Kadir semalam turut menganggap episod ISA Kadir sebagai sesuatu yang tidak logik dan lucu.

Shamsul menyatakan perkara ini menunjukkan betapa ISA tidak dapat diterima Pakatan Rakyat apatah lagi pihak Polis meminta Kadir menceritakan 'kebaikan' ISA kepada orang ramai.

"Sekadar kata-kata dalam facebook, beliau ditahan di bawah ISA, sedangkan itu tidak perlu, boleh lakukan siasatan. Apa perlu beliau ditahan? Dan soalan yang ditanya pun tak berkaitan dengan siasatan. Soalan tentang Isu politik dan minta saudara Kadir beritahu kebaikan ISA. Saya setuju dengan Kadir itu sesuatu yang lucu dari pasukan keselamatan negara kita. Sebab itu kita kata ISA ini langsung tidak membawa kebaikan dan membawa manfaat kepada masyarakat yang bertamadun.

1Melayu 1Bumi Cabaran Buat Najib - Shamsul


SHAH ALAM 23 APRIL : Cadangan Utusan Malaysia supaya diwujudkan gerakan 1Melayu 1Bumi adalah satu cabaran kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata pendirian Najib yang juga presiden UMNO akan teruji berikutan pemimpin itu lantang melaungkan slogan 1Malaysia, yang kononnya menjamin hak semua kaum dinegara ini.

Najib sebelum ini berkata cadangan 1Melayu 1Bumi itu bukan pandangan kerajaan tetapi beliau tidak menyatakan pendiriannya sebagai presiden parti perkauman itu.

Shamsul menegaskan cadangan yang dikemukakan Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan amat merbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Saya ingin cabar Najib kalau betul dia pegang pada prinsip 1Malaysia Najib mesti berbuat sesuatu dan ambil tindakan kepada mana- mana media yang cuba untuk mengeruhkan hubungan diantara kaum di Malaysia.

"Ini satu perkara yang cukup penting kerana keamanan dan pembangunan di negara ini tentunya tidak boleh berjalan dengan baik kalau berlaku ketegangan di antara kaum. Ini yang cuba dilakukan Umno itu sendiri,” ujar Shamsul.

Isu 1Melayu 1Bumi ini timbul sebaik sahaja tamat pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan sokongan padu kaum Cina terhadap parti DAP yang juga parti kompenan Pakatan Rakyat.

BN yang gusar dengan sokongan tidak berbelah bahagi ini secara tergesa- gesa mencadangkan 1Melayu 1Bumi yang mengajak kaum Melayu bersatu hanya kerana mahu menandingi perpaduan kaum lain, bukannya berpaksi kepada kesedaran bersatu- padu demi kesejahteraan negara.

“1Melayu 1Bumi bercanggah dengan prinsip 1Malaysia," katanya.

Shamsul menolak dakwaan UMNO BN bahawa bukan kaum Cina sahaja yang bangkit menolak parti perkauman itu, tetapi turut melibatkan semua kaum.

“Saya ingin betulkan beberapa tanggapan yang menyatakan hanya masyarakat Cina sahaja yang bangkit tetapi sebenarnya kalau kita teliti secara mendalam sokongan kaum- kaum di Sarawak itu ianya bukan sekadar masyarakat Cina, kebangkitan yang begitu ketara di kalangan orang Melayu di kalangan orang Iban, Dayak, Ulu dan tentunya masyarakat Cina,” katanya

Pelaburan CIMB dalam Tricubes melalui Dana Ekuiti Swasta

BERNAMA

Pelaburan CIMB dalam Tricubes Bhd dibuat bagi pihak pelanggan melalui dana ekuiti swasta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazir Razak, hari ini. Menegaskan bahawa CIMB tidak memiliki syarikat itu, beliau berkata pelaburan itu memang sudah wujud pada 2001 dengan kepentingan sebanyak 15%.

"Kami tidak terlibat dengan pengurusannya. Kami tidak mempunyai wakil dalam lembaga pengarahnya... ia adalah kepentingan pasif sepenuhnya. Sebarang kenyataan yang membayangkan kami sedikit sebanyak terlibat dalam perniagaan itu berniat jahat," kata Nazir (gambar kanan) kepada pemberita ketika mengulas laporan yang mengatakan CIMB mempunyai pelaburan dalam Tricubes.

Baru-baru ini Tricubes, sebuah syarikat penyedia IT, mendapat Projek Emel 1Malaysia. Beliau menjelaskan beliau hanya mengetahui tentang pelaburan itu setelah seseorang menunjukkan kepadanya sebuah blog yang melaporkan perkara itu.

Dalam satu pekembangan lain, beliau berkata CIMB Group sedang mencari peluang untuk memasuki Laos dan Filipina pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, CIMB tidak tergesa-gesa untuk memasuki kedua-dua pasaran itu kerana kumpulan itu bertapak kukuh di negara-negara Asean yang Lain. (BERNAMA)

Baca: 1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib

Kaum asli penentu pertukaran kerajaan


Lim Chun Piao

DAP berjaya menumpaskan SUPP untuk menjadi parti politik kedua terbesar di Sarawak selepas PRN Sarawak 2011, malah menggantikan SUPP sebagai parti bertunjangkan Cina yang memiliki kerusi DUN terbanyak di Sarawak.

Ramai penganalisa menumpu kepada "sokongan pengundi Cina bandar memihak kepada pembangkang" ketika membincangkan kunci kemenangan Pakatan Rakyat di kawasan bandar. Kesimpulan sedemikian pada hakikatnya mengabaikan konteks politik Sarawak yang istimewa. Nampaknya kita perlu meneliti wakil rakyat di sana untuk memahami persekitaran politik tempatan.

Pertama, Sim Kwang Yang (gambar kiri, melambai tangan). Beliau terpilih sebagai ahli parlimen Kuching pada tahun 1986. Dalam PRU tahun 1995, BN merasuah pengundi dengan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (cina), maka beliau mengorbankan diri untuk kepentingan masyarakat Cina.

Kedua, Chiew Chiu Sing. Mempertahankan kerusi Kidurong, satu-satunya ADUN DAP yang bertahan untuk tiga penggal. Beliau tetap utuh walaupun pada waktu yang paling genting untuk DAP. Dalam PRN Sarawak kali ini, terlalu ramai "bintang baru" yang menenggelami sinarannya.

Ketiga, Baru Bian. ADUN baru untuk Ba'Kelalan, Pengerusi PKR Sarawak. Keempat, See Chee How, ADUN baru Batu Lintang, pernah menjadi pembantu Sim Kwang Yang. Kelima, Ali Biju, ADUN Krian yang baru.

Sesungguhnya "angin perubahan" di kalangan komuniti Cina menjadi punca bertambahnya bilangan ADUN Pakatan Rakyat, namun apakah persamaan di antara wakil rakyat yang tersenarai di atas? Fasih bertutur bahasa Cina? Mungkin bukan masalah untuk bertutur dalam dua tiga ayat yang mudah. Menang atas sokongan Cina? Untuk calon ketiga dan kelima, lihatlah struktur pengundinya untuk mengetahui jawapannya.

Atau, kita lihat dari perspektif lain, apakah faktor yang memenangkan mereka? Adakah warna kulit, kepercayaan agama atau reputasi sosial? Perbezaaan mungkin lebih daripada persamaan jikalau diteliti kriteria tersebut. Bukan sahaja di Sarawak, jawapan yang lebih tepat adalah, wakil rakyat atau mantan wakil rakyat ini mengusahakan kawasan pengundian mereka untuk jangka yang panjang, terutamanya menentang pemerintah untuk mempertahankan hak tanah adat kaum asal.

Keluar dari bingkai perkauman

Ketika Sim Kwang Yang menyandang ahli parlimen, beliau disanjung tinggi kerana berhempas pulas untuk membantu kaum asli ketika tanah adat Iban diceroboh tycoon. Chiew Chiu Sing mendalami kawasan desa, berkecimpung untuk mengusahakan pendidikan politik. Malah beliau telah celik untuk bertutur dalam bahasa Iban. Baru Bian, See Chee How dan Ali Biju sudah tentu tidak asing untuk komuniti kaum asli Sarawak kerana mengendalikan banyak kes tanah di mahkamah.

Mereka berpegang kepada keadilan, berprihatin terhadap hak tanah adat. Keprihatinan mereka yang melangkaui batas perkauman telah meletakkan asas untuk kemenangan. Mereka telah memenangi kepercayaan dan sokongan daripada semua kaum.

Kesungguhan untuk berkhidmat di kawasan desa memenangkan Baru Bian dan Ali Biju di kawasan kaum asli, yang secara tradisionalnya dimenangi BN. Pada hakikatnya, inilah benih politik berbilang kaum (majmuk) yang disemai untuk membuahkan pertukaran kerajaan di negeri Sarawak satu hari nanti. Juga, usaha Sim Kwang Yang dan See Chee How di akar umbi sekian lama telah menjurus kepada kemenangan PR di kawasan DUN tersebut. Untuk Chiew Chiu Sing, kegigihannya telah memenangkan dirinya.

Sememangnya, parti yang berjinak-jinak dengan politik pilihan raya boleh terus menunggu peluang keemasan seperti munculnya parti Semangat 46 atau Reformasi yang dicetuskan Anwar. Pada hari-hari yang biasa, nasibnya terumbang-ambing ditentukan perubahan senario politik. Sama ada nasib memihak kepadanya, sama ada partinya menjadi kukuh, semuanya ditakdir Tuhan.

Gagal hanya dengan undi Cina

DAP mendakwa untuk membawa "perubahan" dan menumbangkan regim Taib Mahmud, apakah matlamat ini akan berjaya jika hanya menang di kesemua kawasan Cina? Apakah Roket yang mendukung "Malaysia untuk orang Malaysia" gagal membariskan lebih ramai pemimpin yang bekerja di peringkat akar umbi seperti Sim Kwang Yang, Chew Chiu Sing - untuk menerokai kawasan luar bandar, lantas menawan kubu PBB, atau bergantung kepada prestasi rakan partinya di luar bandar, tetapi dirinya berundur dan bertahan di kawasan Cina yang "selesa" untuk menunggu detik pertukaran kerajaan?

Harus diberi perhatian, adalah realiti bahawa populasi Cina semakin menurun tahun demi tahun. Jikalau BN berpeluang untuk merampas semula majoriti dua pertiga, persempadanan semula kawasan pengundian semestinya tidak memihak kepada PR. BN semestinya akan mengurangkan kawasan majoriti Cina (kawasan hitam untuk BN), untuk meningkatkan peluang kelangsungan BN pada masa depan.

Berbekalkan dua faktor ini, seandainya DAP masih bergelut dalam keterbatasan ini, maka kita boleh menyimpulkan bahawa bilangan wakil rakyat DAP pada hari ini, adalah prestasi yang paling unggul untuk DAP dalam sejarahnya.

Seandainya DAP keluar dari kawasan Cina, ia semestinya akan membawa persaingan kepada rakan partinya. Namun, persaingan akan membawa kemajuan, dan persaingan sihat ini akan menawarkan peluang kepada pengundi untuk membuat pilihan. Pengundi akan mempertimbangkan parti manakah yang boleh menawarkan perkhidmatan dan idealisme yang lebih direstui. Secara perbandingan, PAS yang memiliki Kelab Penyokong PAS - kini sudah dinaik taraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS, boleh membariskan calonnya untuk pilihan komuniti yang berbeza.

Walaupun Sim Kwang Yang tidak pernah bertanding di kawasan bumiputera, namun beliau telah menjadi teladan apabila bersuara lantang memperjuangkan masyarakat minoriti. Ia telah menjadi asas kepada politik majmuk di Sarawak. Namun, mengapa generasi seterusnya tidak berdiri di atas bahunya untuk memandang ke arah Putrajaya?

*Lim Chun Piao ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.

Filem Omega yang tercicir...

Hishamuddin Rais
Apr 21, 11



Aku tercari-cari alamat tempat yang aku tuju. Agak susah juga kerana aku kurang arif dengan daerah ini. Aku meleser sambil mata aku memandang ke angka rumah rumah kedai yang sedang aku cari. Dua tiga ekor anjing berkeliaran di jalan.

Kebanyakan angka rumah kedai ini telah rahai. Dua kali aku mundar-mandir di lorong yang sama. Nah! Tak berjumpa dengan bangunan yang aku cari. Yang aku nampak hanya perempuan-perempuan cun berbaju ketat, bergincu merah, ranggi dan bergetah berdiri di tepi pintu.

Perempuan-perempuan ini memerhatikan aku. Aku menjual senyum. Seorang Minah melambai. Aku nekad dan memberanikan hati untuk datang bertanya. Minah ini terus ke gigi jalan meninggalkan yang lain. Kemudian aku membuka mulut untuk bertanya: Di mana Galeri le Atalier?

"Abang nak buat apa? Nak buat filem ke?" Suaranya garau dan kasar seperti suara Mat Indon dari Jawa Tengah yang telah sepuluh tahun menetap di Kuala Lumpur. Tersirap darah jantan aku. Astaga! Purtan rupa-rupanya.

Aku menganggukkan kepala. Lalu Si Purtan ini menunjuk bangunan yang sebenarnya tak jauh dari tempat aku berdiri. Si Purtan ini menghulurkan kad niaganya kepada aku. Aku mengambil dan berterima kasih. Kad ini aku simpan ke dalam saku baju. Aku berjalan menuju ke bangunan itu.

Aku menaiki tangga ke tingkat satu. Nampaknya aku sampai ke tempat yang betul. Tetapi kerusi penyambut tamu kosong. Maka aku duduk keseorangan. Aku memerhatikan sekeliling. Saheh tak ada orang. Sekali lagi kepala aku berpusing untuk melihat kalau kalau ada anjing di bilik ini. Sifar.

Tetiba aku terdengar suara kasar dari bilik sebelah ruang tamu. Aku memasang telinga. Kini aku betul-betul macam Mat Skodeng Jawi sedang mengintai di tepi Tasek Perdana Bangi.

"Kau tahu… aku dapat panggilan telefon... bukan sekali... tiga kali... semua dah kantoi. Ini kerja kaulah. Berapa juta duit kau dah kelepet...? Belanja mahal tapi kerja tak rapi. Apa kau ingat orang Malaysia bodoh macam orang Gombak?' Suara lelaki ini kuat dan kasar.

"Apa hal dengan Gombak pulak?" jawab suara lelaki yang agak halus.

"Gombak tempat kamu buat post-productionkan? Bukan aku tak tahu. Kau buat recording pun di sana. Kau kelentong buat di LA. Hei… dengan aku kau jangan nak kelentong."

"Jangan putar alamlah. Jawab soalan aku ini. Siapa pilih pelakon itu? Tak ada pelakon lain ke? Bila tayang dalam YouTube semua orang ketawa. Kau ingat orang Malaysia bodoh..senang ditipu. Pelakon itu boroi. Sejak bila boroi. Kau ingat ini main-main ke? Cuba kau tengok sekali lagi..pasang VCD aku nak tunjuk.'

Aku di ruang tamu mula tersenyum ketika memasang telinga. Bilik senyap - mungkin VCD sedang berputar. Tujuan aku datang ke sini bukan nak dengar orang bergaduh. Aku datang untuk melamar kerja. Aku difahamkam Galeri le Atalier ini memerlukan tenaga untuk pembikinan filem.

"Henti ..henti... Siapa Mamat ini? Apa sebab dia muncul dalam filem ini. Perut pun boroi. Dia ingat dia Alfred Hitchcock. Pengarah nak kena ada dalam filem?" Suara jantan ini makin marah.

"Tak dapat potong yang ini... itu pasal si pengarah itu masuk dalam frame. Kalau potong nanti orang ingat tak ori.'

Baru aku sedar rupa-rupanya Galeri le Atilier ini yang telah membuat filem Tiga Mat Boroi. Wow! Baru aku tahu rupa-rupa di sini sarangnya. Aku merasa begitu gembira kalau aku dapat bekerja dengan le Atalier ini. Le Atalier ini memang gedebe. Dari apa yang aku dengar filem-filem mereka cukup hebat.

Aku dengar juga mereka telah berjaya membuat filem Pontianak Menyundal Di Kalimantan. Dari desas-desus aku mendengar yang syarikat ini juga sedang merancang untuk membuat 'Jangan Tinggalkan Jandaku'. Mungkin inilah projek yang mereka hendak aku turut campur.

"Kau kenal Datuk SK… Kenapa dia buat heboh di akhbar katakan laci bilik hotel berkunci. Gila… mana orang nak percaya. Guna otak..guna otak..Mana pernah laci dalam bilik hotel berkunci. Kalau nak menipu… tipu betul-betul. Laci bilik hotel yang ada kelas tak berkunci… "

Senyap sebentar kemudian lelaki bersuara halus menjawab: "Itu saya tak tahu. Krew saya hanya diupah untuk membuat filem ini saja. Hal mengedar saya tak tahu."

Tanpa aku sedari tetiba tiga lelaki tercegat berdiri tak jauh dari tempat aku duduk. Aku tak sedar bila mereka sampai. Mereka tersenyum dan terus mengambil tempat duduk.

Lelaki yang duduk di sebelah aku menghulur tangan untuk bersalam. Aku menyambut Dia terus bersuara: “ Datang nak casting ke? I dengar dia orang nak buat satu gambar baru. Producer sedang cari pelakon. You berlakon ke?'

Aku mengeleng kepala.

"You nak mengarah ke? I dulu kerja dengan Um. I buat 16 siri untuk dia. Yang dua lagi tu kawan I yang berlakon. Lapan belas semuanya. Tapi satu pun belum tayang. Dengar khabar Jawi belum luluskan. Kerana dalam babak makan… tak seorang pun baca bismilah. Pasal ini Jawi cukup marah.'

Aku perhatikan tiga lelaki ini betul-betul. Kelihatan ketiga-tiga mereka boroi. Lalu aku terfikir apakah boroi ini tanda hidup yang berjaya. Sedang kepala aku ligar berfikir pintu bilik terbuka. Seorang lelaki yang juga boroi berdiri tercegat di tengah pintu.

"Kau orang berempat ini datang casting ke? Bangun aku nak tengok muka?". Aku sedar inilah suara lelaki yang kasar tadi. Tiga lelaki itu bangun berdiri. Aku tetap duduk tidak berganjak.

"Hoi! kau orang bertiga ini kalau nak berlakon kena masuk gym enam bulan dulu. Perut kamu boroi. Watak boroi ada… filem Jantan Dari Pagoh… tapi roll tahun depan. Sekarang ini nak roll filem Omega Yang Tercicir...