Lagi aktivis dihalang masuk Sarawak

Aktivis BERSIH, Wong Chin Huat dihalang untuk memasuki Sarawak, menyusul langkah aktivis sosial, Steven Ng, yang dihalang di lapangan kapal terbang pada 3 April 2011. Wong Chin Huat menjadi warga Malaysia kedua yang dihalang untuk masuk ke bumi kenyalang sejak terbubarnya DUN Sarawak.

Wong Chin Huat (gambar kanan) yang mengajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta bertolak menaiki kapal terbang pada jam 6.40 petang bersama dua orang penuntutnya. Tanpa diduga, beliau dimaklumkan bahawa dirinya dihalang untuk masuk ke Sarawak setelah mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada jam 8.30 malam.

Wong Chin Huat menghubungi MerdekaReview pada jam 9.06 malam, memberitahu bahawa dirinya diminta untuk menyerah kad pengenalannya. Wong menolak untuk berbuat demikian, malah cuba membela keputusan dirinya dengan Perlembagaan Persekutuan. Beliau sedang menghubungi peguamnya untuk berunding dengan pegawai imigresen.

Bagaimanapun, Wong Chin Huat diarahkan untuk kembali ke Semenanjung kemudiannya. Beliau akan menaiki kapal terbang Air Asia pada jam 10.10 pm. Wong dihalang mengikut Akta Imigresen Seksyen 65(1)(a), akta yang sama digunakan untuk menghalang kemasukan ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah sebelum ini.

Selain itu, dua orang penuntutnya, Lu Wei Hoong dan Low Wei Yan juga disiasat pegawai kastam. Menurut Lu Wei Hoong, pegawai kastam menyiasat buku nota, fail, dan buku yang dibawanya, MARCH 8 The Day Malaysia Woke Up, suntingan Kee Thuan Chye.

Mereka diberitahu oleh seorang pegawai kastam bahawa mereka disiasat atas arahan Jabatan Kastam dari Kuala Lumpur.

Wong Chin Huat adalah warga Malaysia kedua yang dihalang untuk masuk ke Sarawak sejak terbubarnya DUN Sarawak. Pada 3 April, aktivis yang giat dalam gerakan sosial di Sarawak, Steven Ng (gambar kanan) dilarang untuk memasuki negeri Sarawak, tanpa diberi alasan.

Wong Chin Huat adalah kolumnis MerdekaReview, sebelum ini menulis sebuah artikel berjudul Mungkinkah CHRISTRAF mencetus ribut di Sarawak?

Baca: Aktivis dilarang masuk Sarawak: Jangan jual undi anda, pesannya

*Tulisan ini diterjemah dari teks asal.

Sarbani Bukan Membunuh Diri, Kata Kesatuan Kastam


KUALA LUMPUR 8 APRIL : Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung menuntut penjelasan daripada Datuk Seri Najib Razak dan menuntut Perdana Menteri membersihkan nama baik jabatan itu.

Presidennya Ibrahim Ahmad juga berkata kes Ahmad Sarbani Mohamed yang dijumpai mati di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Rabu lalu tidak harus dikategorikan sebagai membunuh diri.

Beliau juga berharap anggotanya tidak akan "dipukul atau dijentik" ketika disiasat oleh SPRM.

"Ini kebimbangan kita. Kita tidak mahu (berlaku) paksaan dan kita tidak mahu (anggota kastam) dipukul," katanya dalam satu sidang media petang ini.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta media supaya membetulkan laporan berhubung insiden melibatkan Allahyarham Ahmad Sarbani.

"Kita juga berharap nama Allahyarham dapat dibersihkan daripada perkataan 'membunuh diri.'

"Beliau sangat jujur. Kita ingin nama beliau dibersihkan," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata kesan kecederaan pada jenazah Ahmad Sarbani konsisten dengan kesan orang jatuh bangunan.

Kelmarin, mayat Allahyarham, 56, ditemui dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan SPRM Wilayah Persekutuan.

Beliau adalah antara 62 pegawai Kastam yang ditahan semasa operasi SPRM dan enam agensi lalin yang dinamakan Operasi 3B pada 1 April lalu di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain.

BN GUNA HARTA MILIK RAKYAT




BN use the Dewan Balai Rakyat in all the kampung as their Bilik Gerakan and don't let the opposition to use the Dewan. Where is the fair election???

SEND BY PAUL RAJ

Pakatan lancar manifesto Jom Ubah Sarawak


April 08, 2011

KUCHING, 8 April — Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan manifesto bertemakan “Jom Ubah Sarawak”, yang menggariskan 10 dasar, secara serentak di Kuching dan Sibu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melancarkan bersama manifesto itu di Kuching.

Di Sibu, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, mewakili pakatan pembangkang mengumumkan 10 dasar, iaitu kebebasan kepercayaan; Pentadbiran yang baik; Reformasi Tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputera; Pembasmian Kemiskinan; Hubungan Persekutuan-Negeri; Sarawak yang lebih hijau; Layanan adil kepada semua rakyat Sarawak; Kebudayaan dan Pendidikan; Hak Wanita dan Melabur Dalam masa Depan.

Bernama Online menyebut dalam manifesto dua muka surat itu, pakatan pembangkang memberi jaminan kebebasan beragama dan mengekalkan status Sarawak sebagai sebuah negeri bersifat sekular.

Bagi dasar pentadbiran yang baik, pakatan pembangkang berjanji melaksanakan pentadbiran berdasarkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus; pengagihan adil kekayaan Sarawak; menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat tuduhan kekayaan diperoleh secara haram; menubuhkan sebuah ombudsman untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa; dan mengadakan semula pilihan raya untuk semua pihak berkuasa tempatan termasuk adat memilih ruai, ketua kampung atau ketua masyarakat.

Namun, satu perkara yang benar-benar berkaitan Sarawak dalam manifesto itu ialah mengenai tanah, dengan pakatan pembangkang menjanjikan semua pajakan telah luput akan diperbaharui untuk 99 tahun tanpa syarat; semua notifikasi Seksyen 47 Kanun Tanah Negeri lelap secara automatik selepas dua tahun pewartaan; pemberi milikan tanah dilakukan melalui tender terbuka dan membentuk Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputera untuk menyiasat semua tuntutan Tanah Hak Adat (NCR).

Bagi membasmi kemiskinan, pakatan pembangkang berjanji menubuhkan Dana Pembasmian Kemiskinan RM1 bilion untuk memastikan tiada keluarga di Sarawak hidup di bawah garis kemiskinan serta mempercepatkan pembinaan jalan raya di samping meningkatkan kemudahan awam seperti sekolah, perkhidmatan perubatan dan telekomunikasi bagi menjana ekonomi luar bandar.

Sekali lagi, pakatan pembangkang menjanjikan akan mengurangkan harga minyak dan meningkatkan royalti petroleum daripada 5 peratus kepada 20 peratus jika parti itu mengambil alih kerajaan pusat.

Manifesto itu turut menjanjikan pendaftaran segera orang Sarawak yang tiada kerakyatan; menyumbang RM200 kepada setiap kanak-kanak Sarawak memulakan Tahun Satu; dan memberi bantuan kebajikan tahunan RM600 kepada semua warga emas Sarawak berusia 60 tahun ke atas.

Bagi pelaburan masa depan, PKR-DAP-PAS berjanji menyelesaikan masalah banjir dalam masa dua tahun dan menyediakan kemudahan Internet WiFi secara percuma.

Johari Abdul : Anwar Layak Jadi PM







SEKINCHAN 8 APRIL: Kepimpinan Pakatan Rakyat yakin dengan kewibawaan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengepalai tampuk pemerintahan negara berbanding pucuk pimpinan sedia ada di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana kata ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, ujian yang dihadapi Anwar sepanjang tempoh 13 tahun termasuk fitnah video seks terbaru menjadikan Ketua Umum itu seorang pemimpin yang kental menahan tekanan selain menjulang tinggi prinsip memperjuangkan hak rakyat.

" Video itu satu pembohongan. Sebab itu saya mahu beritahu, saya sokong Anwar Ibrahim, kita bantu dan kita akan junjung dia untuk menjadi pemimpin negara ini kerana kita yakin kerana orang yang telah diuji begini, taat kepada Tuhan dan tidak takut kepada tekanan. Mereka (Umno-BN) mungkin ada semua tapi kita ada Allah untuk bantu kita.

"Sebab itu kita yakin. Kamu tawarkan aku RM50 juta, lupa sahaja duit itu sebab kita yakin bahawa rakyat mesti dibela. Negara ini milik rakyat, dan rakyat mesti dapat hak kita balik," kata Johari di hadapan 5000 hadirin yang membanjiri Dewan Seri Sekinchan malam tadi.

Bercakap pada sesi ceramah "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia" malam tadi, Johari yang juga bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN) memberi gambaran bahawa
keperibadian mulia Ketua Pembangkang tidak sesuai untuk dikaitkan dengan kesemua pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya sejak tahun 1998.

Kenyataan tersebut menurut Johari berdasarkan pengamatannya sendiri terhadap sahsiah Anwar yang dikenali semenjak memegang jawatan Timbalan Presiden Umno
pada ketika itu.

Beliau menambah, kepercayaan yang kuat kepada kepimpinan Anwar mendorong beliau dan beberapa ahli parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) memilih untuk meninggalkan parti itu termasuk Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution.

" Sudah tentu sebagai pengarah, saya kenal hampir semua dan saya kenal hati budi Anwar sebab itu apabila dituduh bahawa beliau meliwat, saya tidak percaya.

Sebab itu saya telefon kesemua ketua pemuda termasuk Saifuddin (Machang) kita berbincang dan akhirnya pada 2 September 1998, Anwar dipecat.

" Kita berbincang, kita buat keputusan kerana kita yakin orang yang benar ini mesti disokong. Akibatnya bila sokong sahaja Anwar Ibrahim, saya hilang kesemuanya," katanya.

Johari merupakan individu pertama di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menonton rakaman video seks yang cuba dikaitkan dengan Anwar.

Video tersebut didedahkan 21 Mac lalu oleh tiga individu yang dikenalpasti sebagai Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Shazryl Eskay dan Shuib Lazim di Carcosa Seri Negara.

Kemudiannya, pada 4 April, sedutan video sepanjang 2 minit disebarkan di laman Youtube sehingga memaksa keluarga Anwar menontonnya untuk tujuan pengesahan.

Anwar percaya cubaan menfitnah beliau bertujuan untuk mengalih perhatian masyarakat menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak pada 16 April nanti.

Saifuddin : Manifesto BN Hanya Kayakan KM, Keluarga Dan Kroni




MIRI 8 APRIL : Visi Barisan Nasional untuk menjadikan Sarawak negeri terkaya di Malaysia hanyalah khayalan dan omong kosong kerana yang kaya hanyalah Ketua Menteri, keluarga terdekat serta kroni mereka.

Ini terbukti apabila Sarawak muncul sebagai negeri keempat termiskin di dalam Persekutuan setelah hampir 48 tahun berada di bawah pentadbiran BN.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail berkata, selama 30 tahun Tan Sri Taib Mahmud menerajui Sarawak, negeri itu terus dilanda kemiskinan, sementara beliau serta kaum kerabat dan kenalan rapat mengaut kekayaan negeri Bumi Kenyalang tanpa henti.

Malah tambah beliau, seperti permainan bola sepak, Taib hanya mengitar kekayaan Sarawak untuk keuntungan golongan elit semata.

" Kita mesti hentikan rompakan ini, rakyat pilih dia bukan untuk rompak tanah jadi milik dia, anak pinak dan kawan-kawan dia, tak boleh.

" Malam tadi saya tengok bola Manchester lawan Chelsea, Manchester menang 1-0 jaringan Rooney tapi di Sarawak Taib Mahmud kepada Raziah Mahmud kebelakang kepada Sulaiman Taib kepada Onn Mahmud terus kepada Taib Mahmud kepada Alfred Jabu kepada George Chan kembali semula kepada Taib Mahmud, cantik permainan bola Taib Mahmud, lincah pemain nombor 10 ini sudah 30 tahun wakili Sarawak, kenapa tak sampai kepada rakyat di bawah?,"sindir Saifuddin di hadapan kira-kira 3,000 penyokong Pakatan Rakyat, di sini, malam tadi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Taib yang memusatkan segala kuasa penentu ke atas kekayaan Sarawak di bawah kawalannya.

" Kenapa kita biarkan ini terjadi di Sarawak, dia sudah 30 tahun, kita baca Ketua Menteri Taib Mahmud, Menteri Kewangan Taib Mahmud, Menteri Pembangunan Sumber Negeri Taib Mahmud, Pengerusi Land Custody and Development Agency (Pelita) juga Taib Mahmud.

" Bila dia nak bangunkan satu projek maka Menteri Kewangan Taib Mahmud berbincang dengan Menteri Perancangan Sumber Taib Mahmud,"kata saifuddin.

" Bagaimana kita nak mengambil tanah supaya dapat kita bangunkan ladang kelapa sawit dan keluarkan kayu balak? Maka Menteri Perancangan Sumber, Taib Mahmud mencadangkan kepada Menteri Kewangan Taib Mahmud supaya berbincang dengan Ketua Menteri Taib Mahmud. Hasil perbincangan itu Ketua Menteri bersetuju dengan cadangan Menteri Kewangan Taib Mahmud. Setelah berbincang dengan Menteri Perancangan Sarawak Taib Mahmud bahawa tanah yang diberi hendaklah diberi kepada Raziah Mahmud, Onn Mahmud dan Sulaiman Taib dan Mahmud Bekir Taib semuanya diberi setelah Ketua Menteri Taib Mahmud berbincang dengan Menteri Kewangan Taib Mahmud dan dipersetujui oleh Menteri Perancangan Sumber yang juga Taib Mahmud," tambahnya lagi.

Malah Saifuddin turut mengkritik sikap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup mata terhadap segala dakwaan rasuah yang dilakukan oleh Taib serta pimpinan BN Sarawak.

"Adakah SPRM datang siasat Taib Mahmud, ada dia siasat George Chan, ada dia siasat Alfred Jabu? ,"soal Saufuddin.

Dengan memberi contoh kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Kelantan selama 20 tahun, Saifuddin meminta rakyat menimbang untuk memberi peluang yang sama kepada gagasan itu di Sarawak.

" Beri peluang kepada kami, dunia tidak kiamat hanya kerana Barisan Nasional kalah di Sarawak, jangan takut. Melayu Cina India Iban boleh berkawan sebagai satu saudara besar.

" Tahun pertama, apa yang kita akan buat ialah pastikan hutan di Kelantan tidak sebanyak hutan di Sarawak, pendapatan di Kelantan cuma RM400 juta satu tahun tapi kita jaga kebajikan rakyat. Contoh semua rakyat Kelantan 60 tahun ke atas Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asal, Menteri Besar bagi peruntukan RM3 juta, apabila warga emas di Kelantan meninggal dunia akan menerima bayaran RM2,500 tunai. Semua dapat tak kira parti tak kira kaum tak kira agama. Contoh itu diikuti di Selangor,"jelas Saifuddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang memberi jaminan dasar Pakatan Rakyat sentiasa mengutamakan rakyat dan amat tegas terhadap sebarang penyalah gunaan kuasa dan gejala rasuah di kalangan pimpinannya.

" Ini contoh negeri Pakatan Rakyat apabila dipilih oleh rakyat, kita jaga kebajikan rakyat. Kita tak ambil kekayaan untuk diri kita. Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang bila jadi Ketua Menteri dia buat satu polisi semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak boleh memohon dan mengambil satu inci tanah sekalipun tak dibenarkan minta tanah di Pulau Pinang.

Saifuddin seterusnya merayu rakyat Sarawak supaya membuat keputusan pada pilihan raya kali ini untuk menukar BN kepada sebuah pentadbiran yang lebih telus dan adil di bawah Pakatan Rakyat

" Mandat ini akan kita bawa dan jaga negeri Sarawak ini adalah milik kita bersama, kita adalah satu keluarga besar, inilah politik baru yang KEADILAN, DAP dan PAS cuba bawa di Semenanjung dan hari ini diterima baik di Sarawak,"katanya.

Bukan-Armaris-bayar-PERIMEKAR-tetapi-kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 April: Laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar Sdn Bhd sebanyak RM493 juta sebagaimana didakwa tetapi ia sebenarnya dibayar oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Rue89 (gambar) melaporkan perkara itu berdasarkan perbicaraan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpean yang sedang berjalan di Perancis sekarang.

Perimekar adalah syarikat yang dikaitkan dengan rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda yang terlepas dari kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Pemegang saham majoriti Perimekar adalah isteri Razak, Mazlinda.

Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang menjadi penterjemah antara pihak Malaysia dan Perancis kemudiannya mati dibunuh dan badannya diletupkan dengan peledak C4 di Puncak Alam.

Abdul Razak dan dua anggota polis yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pejabat Perdana Menteri telah didakwa terlibat dengan kes ini.

Namun mahkamah kemudiannya telah membebaskan Abdul Razak dan hanya dua pegawai polis ini sahaja yang didapati bersalah dan kini menunggu hukuman mati.

Altantuya dikatakan datang ke Malaysia untuk menuntut bahagiannya dalam perniagaan antara Malaysia dan Perancis kerana dia adalah penterjemah yang dijanjikan bayaran untuk khidmatnya itu.

Namun ia berakhir dengan cerita yang menyayat hati apabila beliau dibunuh dan badannya dileburkan dengan peledak C4 itu.

Laporan terbaru Rue89 bahawa bukan Armaris yang membuat bayaran kepada Perimekar itu bertentangan bertentangan dengan kenyataan kerajaan yang dibuat di Dewan Rakyat pada tahun 2006 lalu.

Dalam Dewan Rakyat , Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, komisyen itu tidak dibayar oleh kerajaan tetapi sebaliknya dibayar oleh sebuah syarikat Perancis.

Ia dibayar secara sukarela untuk kerja-kerja koordinasi dan perkhidmatan sokongan, kata Zainal dalam Dewan Rakyat.

"Kami (kerajaan) tidak membayar komisyen kepada mana-mana pihak sebagaimana yang didakwa Lim (Kit Siang), tetapi dibayar secara sukarela oleh Perancis," kata Zainal Abidin sebagaimana dilaporkan media pada 7 Disember 2006.

Kementerian Pertahanan juga berkata, syarikat tempatan yang dilantik kerajaan hanya untuk kerja-kerja perkhidmatan sokongan dan koordinasi.

Kerajaan telah membayar sebanyak satu bilion Euro kepada Armaris untuk dua buah Scorpean dan sebuah kapal selama Agosta di mana Perimekar menerima 11 peratus komisyen daripada kontraktor Perancis.

Bagaimanapun, Rue89 melaporkan kerajaan Malaysia yang membuat kesemua bayaran komisyen itu dengan satu tujuan iaitu mencegah rasuah dari pegawai awam asing dalam Transaksi Perniagaan Antarabangsa (on combating bribery of foreign public officials in International Business Transactions).

Anwar Gesa Taib Henti Memiskinkan Rakyat Sarawak




SEKINCHAN 8 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Barisan Nasional supaya berhenti daripada terus memiskinkan rakyat Sarawak dengan menggunakan janji-janji membangunkan negeri itu sebagai helah untuk mengaut kekayaan sumber aslinya.

Berucap kepada lebih 5,000 penduduk di Sekinchan malam tadi sebelum menyambung jelajahnya ke Sarawak hari ini, Anwar berkata Ketua Menteri Taib Mahmud dan pimpinan di Putrajaya harus berhenti memperdayakan rakyat negeri itu.

"Orang hulu Lumbawang, orang Iban miskin tapi jangan hina mereka. Dia rakyat kita. Jangan miskinkan mereka dengan mengambil harta dan tanah mereka. Ambillah tanah di tempat lain kerana mereka sudah cukup susah dan oleh itu kami harus melindungi mereka dari segala kejahatan," kata Anwar.

"Dia (Najib) cuba alih pandangan mereka kerana tidak mahu rakyat Sarawak fikir puluh bilion ringgit diambil,” oleh pemimpin kerajaan negeri, tambah Anwar.

Semalam, Taib yang memimpin Sarawak 30 tahun berikrar untuk menjadikan Sarawak negeri yang paling kaya setelah ia tercorot kepada negeri yang keempat paling miskin di Malaysia di bawah pemerintahannya.

Manifesto BN untuk pilihanraya negeri pada 16 April turut menjanjikan untuk menukar Sarawak kepada negeri berpendapatan tinggi walhal hakikat adalah sebilangan besar penduduk itu berpendapatkan kurang RM2,000 sebulan.

Anwar berkata kedaifan rakyat di Sarawak begitu ketara sepanjang lawatan beliau ke pelbagai pelusuk negeri itu minggu ini.

“Orang Iban kata, tanah kami mereka rampas dan hak kami diambil, jadi kami mesti sokong Pakatan Rakyat untuk "ubah perintah" (tukar kerajaan). Ini jelas menunjukkan rakyat benar-benar ingin bangkit dari terus ditindas oleh Taib,” kata Anwar.

Kempen pilihanraya negeri Sarawak ke 10 bemula Rabu lalu dengan Pakatan Rakyat meletakkan calon di hampir semua 71 kerusi DUN Sarawak dalam usaha gigih untuk menamatkan pemerintahan BN pimpinan Taib.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan calon di 47 buah kerusi, manakala DAP dan PAS masing-masing 15 dan 5 kerusi.

Anwar berkata agenda ekonomi Pakatan Rakyat di Selangor menjadi bukti nyata kepada penduduk di Sarawak bahawa perubahan kerajaan negeri menjanjikan masa depan yang lebih baik dan bebas daripada rasuah.

“Saya pergi ke rumah panjang. Saya kata negeri Selangor air percuma, mati dapat duit. Anak masuk universiti dapat peruntukan. Kelahiran dapat RM100. Jadi mereka tidak percaya kematian pun kerajaan Selangor bagi duit termasuk air,” kata Anwar.

"(Itu semua) membuat mereka berfikir kerana Sarawak jauh lebih kaya daripada Selangor. Kalau kamu lihat Tv Selangor ada mereka tunjukkan kedaifan masyarakat di sana," kata beliau lagi.

Prinsip Maqasid Syariah Mantapkan Ekonomi Selangor







SHAH ALAM 7 APRIL : Kerajaan negeri Selangor bertekad memajukan ekonomi Selangor berlandaskan prinsip maqasid syariah yang berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Khalid, prinsip maqasid syariah atau dalam bahasa Melayu nya "tujuan syariah" ini harus dimulakan dengan seluruh pegawai kerajaan berusaha menambah kefahaman mengenainya supaya ia mudah diaplikasikan dalam pentadbiran sehari-harian.

"Saya berpandangan betapa pentingnya bagi kita melihat hubungan, khususnya kepentingan asas dalam maqasid ini dalam usaha memahami dan melaksanakan dasar ekonomi yang bersesuaian, perlindungan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah ciri universal yang sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi.

" Ia melibatkan komitmen dalam pembentukan dasar yang bukan sahaja adil,tetapi membebaskan,ia juga menuntut sebuah pemerintahan berasaskan hukum dan kerukunan hidup yang membentuk masyarakat madani," katanya di hadapan 1000 hadirin pada Majlis Taklimat Maqasid Syariah Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor, di Dewam Jubli Perak, Shah Alam hari ini.

Menurut Khalid, maqasid syariah ini juga penting dalam peranan pembentukan individu sehinggalah kepada sebuah negara yang sempurna.

" Sungguhpun peraturan yang ditetapkan Islam tidak menyekat kebebasan manusia mencari rezeki tetapi mengelakkan daripada kegiatan yang boleh merugikan orang lain, malah Islam membuka lebih banyak jalan dan jenis perusahaan yang halal dan membawa berkat,"kata Khalid.

Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Khusrin Munawi dan Pengerusi Wadah, Dato' Dr Siddiq Fadzil.

Dalam pada itu, Pengerusi Wadah Dato' Dr Siddiq Fadzil menjelaskan, dalam keghairahan membangunkan ekonomi, pimpinan negara tidak harus mengenepikan prinsip maqasid syariah yang boleh membantu melancarkan urus tadbir sesebuah kerajaan.

Dengan memberi perumpamaan " ibarat berkebun, punya pohan tetapi tidak pernah berbuah" Siddiq menyifatkan begitu kepada pengamal kepimpinan yang tidak menyertakan prinsip maqasid syariah dalam urus tadbirnya.

"Dalam ramai yg menunaikan zakat tetapi meningkat juga kadar kemiskinan, dalam ramai yang rajin ke surau (solat), rasuah ada juga, jadi yang tidak kena di mana?, Inilah akan berlaku jika asyik melaksanakan hukum sehinggakan terlupa adakah apa yang dikerjakan itu mencapai objektifnya maqasid syariah,"katanya.

Siddiq menambah, sifat bermaruah juga sangat penting sebagai pelengkap untuk menjamin keberkesanan maqasid syariah.

"Orang yang tahu malu, adalah orang yang sedar tentang maruah dirinya, dan orang yang tidak rela dimalukan adalah orang yang sedar akan maruah dirinya, hanya orang yang tidak bermaruah apabila dimalukan hanya senyum sahaja, begitu juga yang bermaruah tidak akan melakukan sesuatu yang tidak wajar,"tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar yang Ketua Pembangkang Malaysia berkata, amalan maqasid syariah dalam sesebuah pengurusan memberi satu jaminan kepada rakyat dalam pengagihan hasil kekayaan negeri.

Dengan memberi contoh negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Anwar merumuskan kejayaan yang dikecapi di Selangor juga adalah atas dokongan para pegawai yang turut sama mengamalkan prinsip maqasid syariah selain daripada ketelusan yang diamalkan Khalid dan barisan exconya.

"Pembangunan itu menuntut kita membetulkan kerangka kita, kejayaan Tan Sri Khalid, tentu kerana kejayaan pegawai-pegawai, kejayaan GLC, kerana hasil yang tertambah itu memungkinkan kita mengagihkan," kata Anwar.

Pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor sejak Mac 2008 menyaksikan negeri termaju di Malaysia itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada tahun
2010.

Rekod Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2010 mencatatkan kadar 6.1 peratus berbanding defisit tahun sebelumnya - 1.6 peratus.

Pertumbuhan positif ini adalah peningkatan dalam permintaan domestik dan eksport serta pelaksanaan ekonomi makro yang memberangsangkan penggunaan dan
pelaburan swasta dalam negeri Selangor.

Mengulas situasi positif ini, Anwar yang juga pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Dunia memuji kejayaan yang telah dibawa oleh pentadbiran Khalid Ibrahim sambil menyifatkan ketokohan Khalid sukar dicari ganti dalam dunia hari ini.

"Menteri besar Selangor, saya sangat hormati, saya senang dengan khidmat dan pengorbanan beliau terutama dari isu tata kelola, pemimpin yang jujur dan berintegriti, sedarlah saudara dan saudari, susah dapat, percayalah.

"Sebab itu kita perlu jaga kerana kita dapat tonjolkan pemimpin yang mampu memegang dan memikul amanah," tambahnya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai prinsip maqasid syariah dalam tata kelola kerajaan, Anwar turut mengingatkan supaya pertimbangan moral dan integriti digunakan sebaiknya.

" Dan bagaimana pertimbangan moral itu perlu ada, jangan hanya kerana perlumbaan (persaingan kuasa politik) sanggup melakukan apa sahaja, rompak rampas, hina, aib, fitnah, ianya tidak boleh kerana kita berakhir dalam kubur,"kata Anwar.

Suruhanjaya Diraja Siasat Video Seks Atau Kematian Pegawai Kastam?






KUALA LUMPUR 8 APRIL: Tumpuan dijangka beralih kepada Kabinet yang mengadakan mesyuarat mingguan pagi ini sama ada akan membincangkan desakan penubuhan suruhanjaya diraja siasatan.

Ketika wujud polemik mengenai keperluan sebuah suruhanjaya diraja berhubung pendedahan rakaman video seks lebih dua minggu lalu, didakwa melibatkan aksi seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat, kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed, 56, kelmarin juga mencetuskan desakan ke arah itu.

Pagi kelmarin, Ahmad Sarbani, yang ditahan semalaman 1 April lalu untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Isu video seks menjadi perhatian selepas rakamannya yang didakwa diambil akhir Februari lalu dipertontonkan kepada media pada 21 Mac oleh “Datuk T”.

Kedua-dua kes itu masih disiasat polis.

Mengulas desakan pembangkang supaya suruhajaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, Nazri berkata, ia tidak menjadi masalah jika melibatkan kepentingan awam sekali gus membersihkan imej SPRM.

“Sekiranya pembangkang mahu suruhanjaya ditubuhkan, maka penubuhan suruhanjaya diraja juga perlu untuk menyiasat rakaman video seks membabitkan Ketua Pembangkang.

“Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri esok (hari ini) kerana apa yang penting kebenaran dan siasatan polis terlebih dahulu,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Semalam Nazri menerima satu memorandum yang mahu kerajaan menubuhkan sama ada suruhanjaya diraja atau mengadakan inkues bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbani.

Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia Datuk Abdul Rahman Manan juga mahukan satu suruhanjaya diraja diwujudkan untuk menyiasat insiden melibatkan kakitangan kastam itu.

“Kematian yang berlaku di pejabat SPRM itu adalah yang kali kedua dan ramai meragui cara kematian mangsa. Oleh itu, suruhanjaya ini perlu diwujudkan bagi menjaga imej SPRM dan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Bagaimanapun semalam di Sarawak, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tiada cadangan buat masa ini untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja walaupun kematian melibatkan premis SPRM.

Sebuah suruhanjaya diraja sedang menyiasat kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock dan tanggungjawabnya dijangka selesai dalam waktu terdekat.

Laporan media juga memetik Transparency International Malaysia (TI-M) mahukan supaya satu inkuiri bebas berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Presidennya TI-M Datuk Paul Low berkata, inkuiri itu juga perlu meliputi prosedur operasi, proses dan garis panduan yang diamalkan SPRM dalam menyiasat kes rasuah.

Kata beliau, sesiapa jua yang berada di bawah tanggungjawab SPRM sama ada saksi, suspek atau pelawat perlu diberi perlindungan asas pada setiap masa.

“Kami juga mahu supaya dilaksanakan dengan segera syor,” katanya dalam satu kenyataan.

-The Malaysian Insider.

Nazri : RCI Hanya Selepas Lelaki Dalam Video Seks Dikenalpasti



KUALA LUMPUR 8 APRIL : Kerajaan akan hanya menubuhkan sebuah Suruhajaya Diraja (RCI) bagi menyiasat video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki yang dikatakan mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas polis mengenalpasti pelaku dalam rakaman pita berkenaan.

"Kabinet memutusakan polis dibenar menyelesaikan siasatan mereka terlebih dahulu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Malaysiakini selepas menimbulkan isu video seks itu pada mesyuarat jemaah menteri hari ini.

"Tidak cukup untuk hanya mengesahkan ia (video) itu tulen ataupun tidak. Kita mesti kenalpasti individu dalam video itu.

"Kita tidak boleh terburu-buru... ataupun kita akan dituduh (sebagai partisan)," katanya

Menurut Nazri jika siasatan tidak dijalankan secara terperinci dan tergesa-gesa, ia akan menjejaskan kerajaan.

Nazri bagaimanapun tidak mengulas desakan pelbagai pihak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian pegawai Kastam, Mohd Sarbani Mohamed yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur. -Malaysiakini