Kematian Penolong Pengarah Kastam: DAP cadang tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja

DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di tingkat 1, gelanggang badminton terbuka bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Conchrane, Kuala Lumpur pagi tadi. DAP melahirkan rasa marah di atas kejadian seumpama ini sedangkan tragedi kematian Teoh Beng Hock masih belum dapat diselesaikan. Adakah SPRM masih belum bangun dan mendapat pengajaran?

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Mustafa Ali berkata Ahmad adalah salah seorang individu yang ditahan pada 1 April lalu dalam satu operasi besar- besaran yang membabitkan cukai tidak dibayar dan dibebaskan dengan ikat jamin keesokan harinya. Mustafa berkata Ahmad dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur.

Menurut Mustafa, Ahmad ada bersama-sama dengan seorang pegawai SPRM sehingga jam 10.15 pagi. Pegawai SPRM itu kemudiannya meninggalkan bilik tersebut beberapa minit untuk memanggil pegawai penyiasat. Sekembalinya beliau, dia mendapati bahawa Ahmad sudah tiada di bilik berkenaan. Mayat Ahmad ditemui terbaring di tingkat satu gelanggang badminton terbuka pada jam 10.20 pagi.

Kematian Ahmad dan beberapa rantaian peristiwa yang menyebabkan kematian mengingatkan kembali kematian tragis Setiausaha Politik DAP, Teoh Beng Hock di Ibu Pejabat Bangunan SPRM, Selangor. Walaupun SPRM telah berjanji bahawa kes seperti itu tidak akan berulang selepas kematian Teoh Beng Hock dan tempoh jawatan Pengarah yang lepas tidak disambung, namun kematian Penolong Pengarah Ahmad pagi tadi menunjukkan bahawa SPRM tidak pernah belajar daripada kematian tragis Teoh.

Rakyat Malaysia tidak mempercayai kata-kata beberapa pemimpin BN bahawa Teoh telah membunuh diri. Malahan mereka percaya bahawa Teoh dibunuh. Persoalannya terletak kepada kerajaan, sejauh manakah kerajaan serius dalam mencari siapa yang bertanggungjawab dan seterusnya mengambil tindakan. Kematian tragis Ahmad akan menimbulkan kecurigaan yang lebih mendalam dan seterusnya menghancurkan kepercayaan orang ramai terhadap kaedah operasi dan cara penyiasatan SPRM.

DAP menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Ahmad. Suruhanjaya ini akan menentukan punca kematian, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan langkah perlindungan bagi memastikan suspek yang dipanggil tidak akan cedera ataupun mati ketika dalam tahanan SPRM.

Pada masa yang sama juga, SPRM perlu dirombak semula bagi memastikan sama ada SPRM masih relevan untuk melaksanakan tugas anti rasuahnya secara efektif, efisen, tidak berat sebelah dan profesional tanpa ada sebarang kecederaan ataupun kematian terhadap suspek. Kegagalan SPRM dalam menyiasat tuduhan rasuah ke atas Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud menunjukkan dengan jelas wujudnya "double-standards" dan kegagalan sistem badan tersebut dalam menegakkan undang-undang secara saksama.

SPRM tanpa kredibiliti menunjukkan kerajaan BN tidak serius untuk memerangi rasuah. Untuk merombak semula, DAP mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Badan Siasatan Bebas oleh Transparency International bagi mengkaji semula operasi dan kaedah SPRM.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Setiausaha DAP merangkap ahli parlimen Bagan.

Video Lucah: Umno Cuba Guna Suruhanjaya Diraja Tutup Aib Sendiri




KUALA LUMPUR 6 APRIL : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dilihat mahu memperalatkan Suruhanjaya Diraja demi menyelamatkan "muka" Umno dalam isu ideo seks setelah fitnah rakaman itu semakin di tolak oleh rakyat, kata beberapa pemimpin politik hari ini.

Nazri hari ini berkata beliau akan meminta Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu pada Jumaat ini kerana mahu "membersihkan" nama kerajaan berikutan spekulasi awam bahawa Umno terbabit.

Kenyataan itu mengejutkan dan dilihat sebagai cubaan untuk menggunakan sebuah institusi Diraja bagi menyelamatkan Umno daripada isu berkenaan.

"Saya berpendirian perkara ini tidak boleh terhenti di situ sahaja kerana jika tidak dijawab oleh kerajaan dan tidak diadakan Suruhanjaya Diraja, kerajaan akan dituduh terlibat," Nazri dipetik sebagai berkata.

Umumnya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan atas keperluan mendesak menyiasat sesuatu tragedi atau institusi yang memberi impak kepada kepentingan nasional.

Contohnya, Suruhanajaya Diraja kini menyiasat prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setelah seorang pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati di perkarangan pejabat itu pada tahun 2009.

Semalam beberapa pemimpin Pakatan Rakyat membidas desas desus bahawa Barisan Nasional akan mengemukakan usul di Parlimen bagi penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat fitnah video lucah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar membuat laporan polis manakala Angkatan Muda Keadilan membuat laporan qazaf terhadap gandingan Datuk T yang mengaku mendalangi penayangan video fitnah itu dan cuba mengaitkannya kepada Anwar.

Datuk T merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa, Shuib Lazim.

Kelmarin klip daripada rakaman asal video lucah itu dimuatkan ke Youtube dan di laman blog pro-Umno untuk mengaibkan Anwar.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, N.Surendran berkata Nazri cuba mengelak daripada persoalan utama iaitu kenapa gandingan Datuk T yang mempunyai hubung kait dengan Umno dilindungi setelah menayangkan video berkenaan di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

"Persoalannya kenapa kerajaan sehingga hari ini melindungi Trio Datuk T itu, saya nampak tujuan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya ini untuk mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenar," tegas beliau.

"Cubaan menggunakan video seks fitnah untuk menjatuhkan Anwar terpalit kepada UMNO sendiri dan cadangan Nazri untuk Suruhanjaya Diraja ditubuhkan adalah untuk memperbaiki keadaan, itu sahaja" tambah beliau.

"Mereka takut sekarang kerana mereka tahu rakyat marah dan rakyat juga jijik melihat corak politik yang diamalkan mereka jadi mereka timbulkan pula hal seperti ini," kata Surendran.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf berkata, yang dipersoalkan ialah ketelusan polis dalam menangani siasatan dan bukannya mengheret sebuah institusi diraja untuk menyiasat video lucah.

"Persoalan lucah ini tidak memerlukan suruhanjaya memandangkan suruhanjaya ini lebih sesuai untuk digunakan untuk menyiasat sesuatu kes yang melibatkan institusi seperti kematian Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di bangunan SPRM," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul hairan kenapa Nazri tidak menjawab kegagalan polis untuk mengambil tindakan terhadap Datuk T walaupun jelas berlaku pencabulan undang-undang apabila video itu ditayangkan di Seri Carcosa.

“Kita sudah membuat laporan polis dan paling tidak ada empat perkara yang harus disiasat iaitu ugutan yang dibuat oleh Datuk T supaya Datuk Seri Anwar dan Wan Azizah untuk berundur. Yang kedua, berkaitan fitnah. Kita tidak mengatakan pita itu palsu atau tidak palsu. Tetapi perkara yang penting adalah siapa pelaku dalam klip itu," kata beliau.

“Sebab Itu kita rasakan perkara ini telah dipolitikkan oleh pihak tertentu khususnya Umno-BN untuk mengelak tangkapan dan siasatan dibuat dan meminta untuk RCI (Suruhanjaya Diraja) diadakan,

"RCI hanya memberikan cadangan dan kita tidak tahu apakah cadangan yang ingin diberikan. Persoalannya sekarang gunakan segala undang-undang yang ada. Dan saya rasakan ini satu kegagalan oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Johari juga bertegas bahawa isu pokok adalah Umno menggunakan segala institusi kerajaan termasuk media untuk menabur fitnah terhadap Anwar.

“Kerajaan tidak boleh lari dari terlibat. Paling tidak, pertamanya Rahim Thamby Chik ialah pemimpin Umno. Kedua Shuib Lazim adalah orang Umno. Ketiga, Rahim menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Risda untuk buat tempahan di Seri Carcosa," tambah beliau.

"Kerajaan pula menggunakan GLC seperti Tv3 untuk menayangkannya dan Utusan untuk menyebarkan fitnah.

“Soalnya bukan isu membersihkan nama tetapi mereka menggunakan kesemuanya untuk menaburkan fitnah dan bukannnya mencari kebenaran," kata Johari.

Azan : Kenapa Tidak Ada S'jaya Diraja Untuk Altantuya, PKFZ





KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Penubuhan Suruhanjaya Siastan Diraja (RCI) yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz tidak lebih daripada daripada taktik terbaru Umno untuk ‘memanjangkan’ fitnah video lucah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika kerajaan ingin menubuhkannya terpulang kepada mereka. Jika itu mereka rasakan satu cara untuk memperbesarkan satu aib dan menjatuhkan kredibiliti ketua pembangkang, mereka dah ada cara, kalau mereka nak buat, buatlah dan itu tidak menjadi halangan,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail.

Azan turut menyelar desas-desus bahawa Umno akan mengemukakan usul di Parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya diRaja itu.

Tambah Azan, sepatutnya penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja bertumpu kepada kes yang membawa kepada keraguan rakyat dan boleh mencemarkan nama baik negara.

“Perkara yang mendesak berkaitan Suruhanjaya diRaja biasanya melibatkan insiden yang membawa kepada keraguan seluruh rakyat Malaysia seperti kematian yang membawa kepada nama buruk negara.,” kata Azan.

“Isu pembunuhan Altantuya tidak diselesaikan mengikut RCI (Suruhanjaya diRaja). Sepatutnya penubuhan RCI perlu dibuat untuk meneliti dan mengkaji kes, atau keputusan kes yang terselindung di bawah kematian Altantuya. Kes yang melibatkan kehilangan wang kerajaan yang berjuta ringgit seperti PKFZ sepatutnya ditubuhkan RCI,” katanya.

Azan berkata rakyat harus menolak cubaan Umno untuk terus mengapi-apikan isu video lucah yang direkacipta untuk menfitnah Anwar untuk mengalih perhatian terhadap isu-isu nasional yang memerlukan penjelasan kerajaan.

“Kita tidak boleh menyembunyikan dan pengalihkan pandangan rakyat dan pada masa yang sama boleh menunjukkan tahap moral kita yang rendah, kesukaan kita kepada isu video-video lucah yang mendahului daripada isu-isu kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau yakin penyebaran klip video yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab lebih bermotifkan untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sendiri telah melihat dan meneliti video itu dan saya mendapati video itu tidak lain tidak bukan untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keadaan yang cukup tidak bermoral. Setelah diteliti terdapat banyak keraguan dan saya rasa tidak ada alasan untuk mengatakan lelaki itu adalah Datuk Seri Anwar.” Kata Azan.

“Kita tahu dan keluarga sendiri tahu mengikut video satu minit lebih yang dipaparkan itu tidak ada kena mengena langsung atau mirip dan ada kena mengena dengan Anwar Ibrahim dan keluarga telah menolak.Penolakan oleh keluarga mereka sangat mustahak kerana keluarga mereka sangat mengenali beliau dan menjadi testimoni yang sangat mustahak,” katannya.

Pemimpin Berebut Kerusi, Rakyat Bergelut Untuk Secupak Nasi




KOTA SAMARAHAN 6 APRIL : Dengan berakhirnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke- 10, maka bermulalah kempen pilihan raya yang pastinya menjanjikan 1001 kisah, tragedi mahupun insiden yang tentunya mencuri tumpuan ramai.

Seramai 979,796 pemilih berdaftar, termasuk 18,363 pengundi pos akan dihidang dengan pelbagai isu setempat dan nasional menjelang hari pengundian yang dijadualkan berlangsung 16 April depan.

Dalam keghairahan pimpinan pelbagai parti merebut 71 kerusi di seluruh negeri itu hingga alpa pada perit jerih rakyat Sarawak di kawasan luar bandar yang terus bergelut dengan kos sara hidup yang semakin mengerunkan.

Individu yang sering dikecam hebat bersabit kemunduran dan kemiskinan rakyat negeri ini adalah Ketua Menterinya sendiri, Tan Sri Taib Mahmud.

Meskipun dikecam, dicabar, didesak bertali arus dari pelbagai pihak, Taib seolah- olah kebal dan masih melangkah yakin tatkala menghadiri majlis keramaian anjuran UMNO BN.

Taib seringkali dicabar kreadibilitinya bersabit amalan korni dan rasuah di negeri itu yang jelas tidak diagihkan kepada rakyat secara keseluruhan.

Pemerintahan yang terlampau lama...menyaksikan Taib seolah- olah 'hilang idea' untuk menaiktaraf kehidupan rakyat bumi kenyalang itu.

Hakikat yang tidak dapat disangkal adalah Sarawak berada di tangga keempat negeri paling miskin di Malaysia walhal hasil mahsul negeri itu jauh meninggalkan apa yang ada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Meskipun kerajaan UMNO BN berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar, berbanding 40 tahun lalu, namun ia tidak memadai jika dibandingkan dengan 'kuasa dana' yang ada pada negeri ini.

Di kawasan luar bandar, negeri itu nyata masih mundur dari pelbagai segi, baik prasarana, kemudahan kesihatan, persekolahan, bekalan air dan elektrik, dan peluang pekerjaan berbanding Semenanjung Malaysia.

Tinjauan krew Tv Selangor di DUN Muara Tuang mendapati, rata- rata masyarakat dikawasan itu masih hidup dalam serba kekurangan.

Ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

Mereka berhempas pulas meneruskan kehidupan dengan pendapatan kurang RM500 sebulan.

Ada di antara mereka turut mengeluh kerana sukar untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada kerajaan tempatan. Justeru purata perbelanjaan setiap hari untuk sebuah keluarga berjumlah RM16 sehari.

Seorang ibu tunggal, Tauwiah Hj. Subhi yang ditemuramah Tv Selangor berkata, beliau pernah memohon bantuan daripada jabatan kebajikan negeri itu namun tidak dilayan dengan alasan beliau mempunyai kemudahan asas secukupnya.

"Suami akan yang beli rumah dan TV semua tapi dia sudah tinggalkan kami. Tapi duit tidak ada. Macam mana mahu cari duit beri makan anak?

"Harap pilihanraya (PR) menang. Dapat ubah nasib ibu tunggal seperti saya. Saya tiada pendapatan. Minta lesen untuk jual air tidak diberi. Minta bantuan anak sekolah pun tidak dapat. Dah mohon tapi tidak dapat. Harap kali ini dapat merubah nasib saya dan ibu tunggal yang lain," jelasnya.

Beliau menambah, masih ramai ibu tunggal yang diabaikan kerajaan negeri itu berikutan kurangnya perhatian dari sudut kemanusiaan.

Dalam pada itu, seorang nelayan di Muara Tuang, Mohamad Ismail yang ditemui berkata, pendapatan RM300 sebulan hasil tangkapan ikan sangat membebankan.

Keperitan hidupnya bertambah rumit apabila kerajaan persekutuan baru- baru ini bertindak menaikkan harga bahan mentah, petrol yang secara automatiknya akan mendorong kepada kenaikan harga barangan lain umpamanya makan dan keperluan asas yang lain.

"Minyak naik tapi gaji sikit. RM300 bayar minyak tiap-tiap bulan tidak cukup. Minyak dan makanan terlalu mahal. Dulu kami mampu, jangan fikir kerajaan sahaja yang boleh beli barang mahal. Kami tidak dapat beli kerana gaji kami umpama kais pagi makan pagi," jelasnya.

Mohamad turut menyuarakan kekesalan berhubung peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan BN, namun tidak sampai kepada rakyat di kawasan itu.

"Saya mahu perubahan seperti bantuan kepada orang miskin. Di kampung ini, beberapa orang sahaja dapat. Kami hanya kerja nelayan dan kontraktor, gaji tidak cukup. Bagaimana mahu tolong ibu bapa?," ujarnya lagi.

PAS kali ini meletakkan sandaran kepada calon muslimat, Noraini Hamzah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menentang calon BN yang juga adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud.

Walaupun kali pertama PAS meletakkan calon di DUN itu, parti itu optimis dengan kebolehan Noraini menangani isu-isu berkepentingan rakyat seraya memikul amanah perjuangan Pakatan Rakyat membawa gelombang reformasi ke negeri itu.

Tv Selangor turut mendapatkan reaksi masyarakat yang telah menetap di situ sepanjang pemerintahan Taib Mahmud.

"Mereka buat macam-macam pada Datuk Seri Anwar jadi rakyat kurang faham apa yang berlaku. Bila PAS masuk sekarang memang ada rasa keinginan (untuk berubah).

"Banyak sebabnya. Dia hanya memenntingkan saudara mara sahaja. Tiada kesempatan bagi orang lain. Kebanyakkan mereka mahu berkuasa di sini seumur hidup. Kita minta mudah-mudahan ada perubahan sebab PAS sudah bertapak di sini," kata Abdul Rahman Dhobi yang juga suku kaum Melayu di Kota Samarahan.

Pada PRN Sarawak kali ini, Pakatan Rakyat memberi tumpuan sepenuhnya untuk menidakkan majoriti dua pertiga BN berbanding sekaligus memberi impak pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Justeru Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jentera kepimpinan Pakatan Rakyat mengorak langkah secara lebih agresif untuk lebih mendekati rakyat di Bumi Kenyalang walaupun dipalitkan dengan pelbagai cubaan untuk membunuh kariernya.

Sehubungan dengan itu rakyat di negeri Sarawak menuntut kesamarataan seperti masyarakat di Semenanjung Malaysia yang lebih maju dan bertaraf kehidupan lebih baik.

Saadiah Kadir seorang peniaga sambilan yang ditemui berkata, peruntukan kepada rakyat Sarawak khususnya masih tidak cukup jikalau.

Ini berikutan kurangnya peluang pekerjaan untuk kebanyakkan masyarakat yang duduk di kawasan pendalaman.

"Walaupun suami kami ada kerja, macam kami kerja bawahan gaji hanya RM400 tidak cukup. Tidak cukup untuk tampung isi rumah.

"Siapa-siapa memimpin pun kita mesti mahu perubahan. Walaupun ada perubahan dan bantuan tetapi masih tidak cukup seperti Semenanjung, Sarawak itu mundur sikit. Kita mahu setaraf dengan orang Semenanjung dari segi gaji dan sebagainya," kata Saadiah.

Turut disuarakan keluhan rakyat terhadap pembangunan yang kurang memberi fokus kepada prasarana dan kemudahan asas selain janji-janji kewangan yang mengaburi mata masyarakat.

"Memang makcik lihat banyak perubahan tapi kemajuan itu untuk dia (BN) dan bukan untuk rakyat. Kata rakyat didahulukan tapi dahulukan apa? Tapi tidak stabil. Dulu kami ikut BN tapi sampai sekarang kampung makcik tidak ada apa-apa. Kita mahu hak kita. Tanah semua kita mahu balik,"

"Taib mana tahu rakyat senang atau susah. Dia tidak masuk kampung kita. Kalau dia janji nak hadir tapi hanya hantar wakil," katanya.

Sesungguhnya rakyat menjadi penentu pada 16 April nanti untuk mengangkat martabat yang telah ditindas sejak sekian lama oleh pemerintahan BN menjelang PRN Sarawak ke 10 kali ini.

Pecahan kerusi menyaksikan PKR bertanding di 47 buah kawasan manakala DAP 15 dan Pas 5. Justeru untuk menidakkan majoriti dua pertiga BN, Pakatan Rakyat perlu memenangi sekurang-kurangnya 24 buah kerusi.

Mufti Sifatkan Dalang Video Lucah Rendah Moral






SHAH ALAM 6 APRIL : Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid menyifatkan liputan 'video lucah' yang memenuhi ruang media arus perdana semalam sebagai mencerminkan betapa moral orang Islam yang mendalangi laporan-laporan itu semakin rendah.

Menurut Tamyes, liputan sebegitu membuktikan perbuatan fitnah memfitnah dalam politik semaki menular dan menjadi lumrah dalam kehidupan negara ini.

Tamyes menyifatkan dalang yang menyebarkan fitnah mengenai video lucah itu sebagai orang yang "moralnya terlalu rendah" dan tidak tahu membezakan fitnah ataupun bukan.

"Benda yang dikutuk oleh Allah dimain-mainkan. Sebab apa? Orang yang membuat tuduhan tanpa bukti yang kukuh boleh dihukum qazaf. Sekarang ini benda fitnah sudah jadi lumrah," kata beliau ketika dihubungi TV Selangor.

Sejak kelmarin, rakaman video seks yang didalangi oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim dimuatkan dalam YouTube dan beberapa blog pro-Umno.

Mereka menyebarkan fitnah kononnya pelaku dalam rakaman itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis manakala Angkatan Muda Keadilan membuat laporan qazaf terhadap tiga "Datuk T" itu.

Klip di Youtube disunting daripada rakaman asal 21 minit yang dipertontonkan kepada media di hotel Carcosa Seri Negara dua minggu lalu.

Menurut Tamyes, mereka yang membuat pertuduhan seharusnya membuktikan dakwaan mereka dan bukan sebaliknya.

"Kalau ada bukti yang jelas, lainlah. Ini hanya video,dan video tak boleh dijadikan bukti sebenarnya. Dalam hukum fiqah, bukti (yang harus dibawa) si penuduh adalah Saksi. Benda mati tak boleh jadi saksi. Kemudian orang yang dituduh boleh bersumpah . Ini orang yang menuduh bersumpah, orang yang didakwa (pula) kena cari bukti. Ini dah terbalik," ulas Tamyes lagi.

Tamyes turut membidas media yang memainkan isu berkenaan bagi kepentingan pihak tertentu dan keuntungan sementara walaupun ia salah dari segi moral dan agama.

"Kita jangan mewar-warkan benda bukan-bukan. Ini boleh menyebabkan ketidakadilan. Perlakuan fitnah haruslah dielakkan," tegas beliau.

Tamyes berkata media massa tidak harus berfikir untuk melariskan perniagaan semata-mata tetapi harus arif dalam hukum-hakam Islam supaya dosa fitnah tidak terpalit kepada mereka.

"Sebab kita yang mewar-warkan juga dapat 'saham' dosa," kata beliau.

Video Lucah: Umno Cuba Guna Suruhanjaya Diraja Tutup Aib Sendiri


KUALA LUMPUR 6 APRIL : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dilihat mahu memperalatkan Suruhanjaya Diraja demi menyelamatkan "muka" Umno dalam isu ideo seks setelah fitnah rakaman itu semakin di tolak oleh rakyat, kata beberapa pemimpin politik hari ini.

Nazri hari ini berkata beliau akan meminta Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu pada Jumaat ini kerana mahu "membersihkan" nama kerajaan berikutan spekulasi awam bahawa Umno terbabit.

Kenyataan itu mengejutkan dan dilihat sebagai cubaan untuk menggunakan sebuah institusi Diraja bagi menyelamatkan Umno daripada isu berkenaan.

"Saya berpendirian perkara ini tidak boleh terhenti di situ sahaja kerana jika tidak dijawab oleh kerajaan dan tidak diadakan Suruhanjaya Diraja, kerajaan akan dituduh terlibat," Nazri dipetik sebagai berkata.

Umumnya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan atas keperluan mendesak menyiasat sesuatu tragedi atau institusi yang memberi impak kepada kepentingan nasional.

Contohnya, Suruhanajaya Diraja kini menyiasat prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setelah seorang pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati di perkarangan pejabat itu pada tahun 2009.

Semalam beberapa pemimpin Pakatan Rakyat membidas desas desus bahawa Barisan Nasional akan mengemukakan usul di Parlimen bagi penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat fitnah video lucah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar membuat laporan polis manakala Angkatan Muda Keadilan membuat laporan qazaf terhadap gandingan Datuk T yang mengaku mendalangi penayangan video fitnah itu dan cuba mengaitkannya kepada Anwar.

Datuk T merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa, Shuib Lazim.

Kelmarin klip daripada rakaman asal video lucah itu dimuatkan ke Youtube dan di laman blog pro-Umno untuk mengaibkan Anwar.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, N.Surendran berkata Nazri cuba mengelak daripada persoalan utama iaitu kenapa gandingan Datuk T yang mempunyai hubung kait dengan Umno dilindungi setelah menayangkan video berkenaan di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

"Persoalannya kenapa kerajaan sehingga hari ini melindungi Trio Datuk T itu, saya nampak tujuan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya ini untuk mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenar," tegas beliau.

"Cubaan menggunakan video seks fitnah untuk menjatuhkan Anwar terpalit kepada UMNO sendiri dan cadangan Nazri untuk Suruhanjaya Diraja ditubuhkan adalah untuk memperbaiki keadaan, itu sahaja" tambah beliau.

"Mereka takut sekarang kerana mereka tahu rakyat marah dan rakyat juga jijik melihat corak politik yang diamalkan mereka jadi mereka timbulkan pula hal seperti ini," kata Surendran.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf berkata, yang dipersoalkan ialah ketelusan polis dalam menangani siasatan dan bukannya mengheret sebuah institusi diraja untuk menyiasat video lucah.

"Persoalan lucah ini tidak memerlukan suruhanjaya memandangkan suruhanjaya ini lebih sesuai untuk digunakan untuk menyiasat sesuatu kes yang melibatkan institusi seperti kematian Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di bangunan SPRM," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul hairan kenapa Nazri tidak menjawab kegagalan polis untuk mengambil tindakan terhadap Datuk T walaupun jelas berlaku pencabulan undang-undang apabila video itu ditayangkan di Seri Carcosa.

“Kita sudah membuat laporan polis dan paling tidak ada empat perkara yang harus disiasat iaitu ugutan yang dibuat oleh Datuk T supaya Datuk Seri Anwar dan Wan Azizah untuk berundur. Yang kedua, berkaitan fitnah. Kita tidak mengatakan pita itu palsu atau tidak palsu. Tetapi perkara yang penting adalah siapa pelaku dalam klip itu," kata beliau.

“Sebab Itu kita rasakan perkara ini telah dipolitikkan oleh pihak tertentu khususnya Umno-BN untuk mengelak tangkapan dan siasatan dibuat dan meminta untuk RCI (Suruhanjaya Diraja) diadakan,

"RCI hanya memberikan cadangan dan kita tidak tahu apakah cadangan yang ingin diberikan. Persoalannya sekarang gunakan segala undang-undang yang ada. Dan saya rasakan ini satu kegagalan oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Johari juga bertegas bahawa isu pokok adalah Umno menggunakan segala institusi kerajaan termasuk media untuk menabur fitnah terhadap Anwar.

“Kerajaan tidak boleh lari dari terlibat. Paling tidak, pertamanya Rahim Thamby Chik ialah pemimpin Umno. Kedua Shuib Lazim adalah orang Umno. Ketiga, Rahim menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Risda untuk buat tempahan di Seri Carcosa," tambah beliau.

"Kerajaan pula menggunakan GLC seperti Tv3 untuk menayangkannya dan Utusan untuk menyebarkan fitnah.

“Soalnya bukan isu membersihkan nama tetapi mereka menggunakan kesemuanya untuk menaburkan fitnah dan bukannnya mencari kebenaran," kata Johari.

Jabu Tengking Wartawan


BETONG 6 APRIL : Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu menengking wartawan yang mempersoalkan masalah pemberian dividen dan penata kewangan yang tidak diberikan kepada peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Felcra).

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N31 Layar buat penggal ke 8 berturut- turut tidak memperdulikan tuduhan bahawa pengurusan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) di bawah pimpinannya tidak telus.

"Kami bertanggungjawab kepada kerajaan. Kami tak bertanggungjawab kepada mereka yang menjerit di jalanan," kata Alfred selepas memfaikan borang pencalonan beliau di Pejabat Daerah Betong pagi ini, lapor Malaysiakini.

Dalam keadaan emosi itu Alfred mungkin lupa bahawa pemimpin sebenarnya bertanggungjawab kepada rakyat.

Alfred dilihat tertekan dengan laungan "Reformasi" oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat semasa proses penamaan calon.

Apabila terus ditekan untuk memberi komen tentang rungutan pemilik- pemilik tentang mereka tidak pernah diberi penyata dan bantuan kewangan, ahli politik veteran ini bertambah marah.

"Itu apa yang kamu mendakwa, Itu apa yang kamu cakap!," beliau menengking wartawan yang bertanya soalan itu.

Laman Sarawak Report sebelum ini mendedahkan prestasi Salcra di bawah kepimpinan Alfred sebagai gagal.

Menurut laporan itu, janji Alfred bahawa pembayaran rekod sebanyak RM74 juta dalam keuntungan kepada pemilik tanah hanyalah gimik pilihan raya bertujuan menyembunyikan kegagalan Salcra.

Menurut Sarawak Report lagi, untung RM 74 juta bagi 48 ribu hektar tanah kelapa sawit - bersamaan RM 1, 541 sehektar terlalu kecil jika dibandingkan dengan syarikat lain seperti IOI yang mendapat keuntungan sebanyak RM 13, 347 sehektar pada tahun yang sama.

Penyertaan Salcra kebanyakannya melibatkan rakyat pedalaman keturunan Iban yang menyerahkan tanah adat mereka kepada Salcra untuk dibangunkan.

Lagu Anti-Taib Tekanan Terbaru Taib Undur Diri




KUCHING 6 APRIL : Sebuah lagu menggesa Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya berundur selepas 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak, didendangkan rakyat negeri itu dalam usaha menolak ahli politik veteran itu.

Lagu tersebut dicipta oleh seorang komposer yang juga rakyat negeri Sarawak.

Lagu bertajuk 'Taib, jangan beban rakyat Sarawak' itu menzahirkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pemerintahan korup Taib selama ini.

Ia telah dimuat-naik di YouTube untuk memboleh lagu itu dimuat-turun dan untuk sesi nyanyian.

Lagu berirama rancak sepanjang 2:15 minit itu, terdapat dalam versi Melayu dan Cina.

Komposer yang enggan dikenali itu berkata beliau telah mengambil masa selama 2 minggu untuk menghasilkan lagu tersebut.

“Sarawak mempunyai banyak kerusi. Bagi mendemokrasikan Malaysia, kita mesti ubah Sarawak.

“Lagu mencerminkan pemikiran saya dan saya percaya ramai lagi yang berfikiran sama dengan saya. Kita mahu Taib berundur dan kembalikan tanah, sumber- sumber dan kekayaan kepada rakyat Sarawak.”

PRN Sarawak : Calon Ba'kelalan PKR Diiringi Hampir 2000 Penyokong






LAWAS 6 APRIL : Hampir 2,000 penyokong Parti Keadilan Rakyat bersama-sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi calon kerusi Dewan Undangan Negeri N70 Ba'Kalalan hadir pusat pencalonan pagi tadi.

Suasana meriah dan penuh semangat yang sebelum tidak pernah dirasai penyokong PKR di Ba'kalalan sedikit sebanyak menyuntik semangat calon dan penyokong parti itu untuk menawan kerusi DUN tersebut.

Sejak jam 7.00 pagi lagi, penyokong PKR sudah mula berkumpul dihadapan bilik gerakan PKR Ba'kalalan dengan membawa bendera parti serta sepanduk.

Dari jauh kelihatan lautan bendera biru muda dan merah berkibar disepanjang jalan menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Lawas.

Sedikit mengejutkan apabila, penyokong BN menunjukkan sokongan dengan melambai tangan dan menghulurkan tangan kepada penyokong PKR.

Anwar, Baru Bian serta penyokong tiba di sempadan luar pusat penamaan calon pada pukul 8:35 pagi tetapi hanya dibenarkan masuk tepat pukul 9:00 pagi.

Baru Bian tiba dipusat pencalonan dengan disambut Pegawai Pengurus Pilihan Raya N70 Ba'kalalan, Ladin Atok, serta diiringi oleh pencadang Simon Buayah, penyokong piri Abai dan saksi Charles Labong.

Baru Bian, seorang peguam terkenal bakal berdepan dengan calon BN, Willie Liau yang merupakan Ketua Pemuda Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan juga lulusan undang-undang.

Cawangan Umno bubar, Ranting ke-16 Lembah Pantai ditubuh

Nurul Izzah bersama sebahagian bekas ahli Umno yang menyertai KEADILAN

KUALA LUMPUR: Umno cawangan Linear City 2 hari ini dibubar berikutan timbalan ketuanya, Mahadi Mohd Nor bersama hampir 20 penyokong beliau meninggalkan parti itu dan menyertai KEADILAN.

Pembubaran cawangan itu diganti dengan penubuhan Ranting baru KEADILAN yang ke-16 dalam Parlimen Lembah Pantai.

Borang penyertaan diserahkan kepada Ketua Cabang KEADILAN Lembah Pantai yang juga Ahli Parlimen, Nurul Izzah Anwar.

Bercakap kepada KeadilanDaily, Mahadi berkata, beliau menyertai KEADILAN kerana yakin dengan komitmen parti itu bersama Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, komitmen itu jelas apabila Selangor yang diterajui pimpinan KEADILAN, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya merakyatkan ekonomi Selangor melalui pelbagai dasar kebajikan.

“Di peringkat persekutuan, KEADILAN bersama Pakatan Rakyat menawarkan dasar kebajikan yang jelas melalui agenda Buku Jingga.

“Antara yang menarik perhatian ialah tekad untuk menurunkan harga minyak dan menghapus tol secara berperingkat-peringkat,” katanya pada 3 April lalu.

Mahadi juga mengakui Umno walaupun giat mencerca Buku Jingga dengan pelbagai tohmahan tetapi sebenarnya cuba meniru dasar itu secara diam-diam.

Pada masa ini, katanya, Umno hanya mampu meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang melalui gimik politik.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, Nurul Izzah menegaskan, KEADILAN sedia menerima individu yang komited bagi menjayakan perubahan besar di negara ini.

Turut hadir majlis itu ialah puluhan pimpinan KEADILAN Cabang Lembah Pantai dan masyarakat setempat.

Kecoh Di Balingian Taib Bawa Bomoh

Pusat penamaan calon N51 Dun Balingian hari ini kecoh apabila calon Salleh Bin Jaafar menyerang seorang wanita asing yang disyaki sebagai bomoh kepada Taib Mahmud.

Beliau yang keluar dari dewan penamaan calon itu terus menyerang wanita tersebut dengan menyatakan wanita tersebut sebagai perosak negeri Sarawak, malah menjerit wanita tersebut sebagai bomoh yang selama ini bersama Taib untuk memusnahkan negeri Sarawak.

Dalam masa yang sama beliau juga menjelaskan kepada orang ramai jika tidak percaya boleh bertanya dengan Taib sendiri siapa sebenarnya wanita tersebut.

Wanita tersebut yang berbangsa asing itu dilihat melarikan diri dari Salleh kerana ingin mengelak dari terus diserang. Dalam masa yang sama beberapa penyokong BN mula mengawal wanita tersebut dan membawa lari ke suatu lokasi yang tidak diketahui. Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Baru Bian Jadi KM Jika Pakatan Tawan Sarawak




BA'KELALAN 6 APRIL : Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak bakal dilantik sebagai Ketua Menteri yang baru jika Pakatan Rakyat di beri mandat menubuhkan kerajaan negeri pada pilihan raya 16 April depan.

Ini bermakna Baru Bian akan menjadi Ketua Menteri dari kalangan suku kaum Dayak kedua dalam sejarah Bumi Kenyalang jika Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya itu.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat membuat kenyataan demikian ketika berucap kepada masyarakat daripada suku kaum Lumbawang di Kampung Siang-Siang malam tadi.

"Kita mahu angkat Baru Bian sebagai Ketua Menteri yang baru. (Orang tanya) Anwar orang Melayu Islam mengapa mahu melantik orang Lumbawang Kristian ini? Di Pulau Pinang kita lantik Lim Guan Eng, Cina Ketua Menteri , di Selangor Tan Sri Khalid Muslim Melayu Menteri Besar," kata Anwar.

"Apa kriterianya, orang itu orang beragama, orang itu orang baik, orang itu orang adil, orang itu orang yang amanah, orang itu orang yang boleh memegang tanggungjawab, jaga anak, kaumnya, jaga anak semua rakyat di negeri Sarawak ini dan orang itu saya yakin Baru Bian adalah layak," kata Anwar.

Beliau berkata Baru Bian yang merupakan seorang peguam terkenal dan juga aktivis yang memperjuangkan isu rampasan tanah adat atau Native Customary Reserve (NCR).

Tegas Anwar sebagai pemimpin KEADILAN Sarawak, Baru mendapat keyakinan pucuk pimpinan pusat untuk menerajui kerajaan negeri yang baru sekiranya rakyat membuat keputusan menukar pentadbiran BN yang sedia ada.

"Kita tonjol calon kita ketua di Sarawak yang boleh mengganti Taib Mahmud. Biar rakyat menilai calon mana yang lebih berwibawa dan amanah."

Kehadiran kira-kira 200 penyokong Pakatan Rakyat pada majlis itu, sesuatu yang memeranjatkan bagi kerusi DUN yang sekian lama menjadi kubu kuat BN.

Anwar mentafsirkan fenomena baru yang berlaku diseluruh Sarawak sebagai sesuatu yang amat positif dan memberangsangkan terutamanya di DUN Ba'Kelalan.

"Di kawasan Lawas ini sokongan kita mesti kuat. Saya doa supaya Baru menang tapi saya rasa tak puas kalau menang itu bukan dengan majoriti yang besar, jadi seluruh kawasan yang kita bertanding mesti menang dengan jumlah undi yang besar kerana calon kita ini calon Ketua Menteri Sarawak," tambah beliau.

AELB: Lynas Kekal Operasi, Hanya Ditutup Jika Langgar Had Radiokatif


KUANTAN 6 APRIL : Lynas Corporation akan kekal di kawasan perindustrian Gebeng melainkan loji pemprosesan RM700 juta itu gagal memenuhi keperluan keselamatan, kata Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

AELB merupakan antara beberapa agensi pusat dipelawa oleh kerajaan Pahang untuk meredakan kebimbangan penduduk berhubung operasi loji itu yang akan bermula suku ketiga tahun ini.

Lojinya sedang dalam proses pembinaan.

Malam tadi, Ketua Pengarah AELB Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan mengakui tiada satu keperluan keselamatan tetap berhubung aspek radiasi.

Sebaliknya kata beliau, paras torium dalam bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan pemprosesan akan dijadikan sebagai petunjuk.

“Perkara utama menjadi perhatian ialah sisa buangan,” kata beliau merujuk kepada elemen radioaktif yang ditemui dalam semua lapisan nadir bumi.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas dialog awam dengan penduduk tempatan, kata beliau, kelulusan AELB, membabitkan lima anggota, adalah berdasarkan penilaian kes demi kes.

Bagaimanapun tegas beliau, Lynas bertanggungjawab kepada standard yang ia janjikan.

“Jika kadar torium dalam bahan mentah melebihi 0.16 peratus, kami akan menarik balik lesen,” kata beliau kepada 300 orang yang menghadiri dialog semalam.

Raja Aziz juga memberitahu pemberita bahawa Lynas harus berpegang kepada 500 ppm torium dalam bahan buangan dan jika tidak akan diminta menutup operasinya.

Pertemuan malam tadi dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Negeri Pahang selepas penduduk Kuantan, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil rakyat-wakil rakyat membantah operasi loji atas alasan bimbang dengan risiko bahaya radiasi.

Kebimbangan itu meningkat selepas krisis loji tenaga nuklear ekoran bencana berganda tsunami dan gempa bumi di Jepun bulan lalu.

Raja Aziz juga berkata sementara tiada standard radiasi yang tetap, mengurangkan kadar yang boleh diterima berbanding dengan apa yang dijanjikan oleh Lynas bermakna industri berat lain di Pahang seperti kilang kenderaan dan loji penapisan minyak juga perlu ditutup.

Bagaimanapun katanya, pengajaran dari krisis Bukit Merah di Perak dan asas kes-kes kanser yang dibangkitkan akan diambil kira.

Data-data yang diperoleh akan digunakan sebagai tanda aras, katanya.

Lynas secara berulang kali mengatakan bahawa nadir bumi yang pihaknya gunakan hanya mempunyai 1,600 ppm torium iaitu 50 kali lebih rendah berbanding bahan mentah yang digunakan di Bukit Merah.-malaysianinsider


Menantu Pohon Waran Tangkap, Anak KM Sarawak Gagal Hadir Perbicaraan

KUALA LUMPUR 6 APRIL : Menantu kepada Ketua Menteri Sarawak, Datin Seri Shahnaz Abdul Majid memohon waran tangkap terhadap suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekri Abdul Majid berikutan kegagalannya menghadiri perbicaraan kes tuntutan fasakh dan juga harta sepencarian.

Permohonan itu dibuat peguam yang mewakili Shahnaz, Dr Mohd Rafie Shafie pagi tadi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan hari ini sebagai tarikh perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian dan tuntutan ganti rugi.

Peguam yang mewakili Abu Bekir, Saadiah Din memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir berikutan masih belum pulih daripada pembedahan bahunya di United Kingdom pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun, apabila peguam Rafie meminta sijil sakit, yang sepatutnya diserahkan kepada peguam plantif, Saadiah gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Hakim Abdul Walid Abu Hassan mengingatkan Saadiah supaya menasihati anak guamnya agar mematuhi prosedur mahkamah dan memastikan kehadiran Abu Bekir.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan bagi mahkamah menetapkan tarikh perbicaraannya.

Dalam pada itu, peguam Rafie memohon supaya prosiding perceraian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang sama.

Pada masa ini, permohonan perceraian Shahnaz didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah.

Abu Bekir, telah memfailkan permohonan perceraian yang berasingan, juga didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah.