Lim Yew Chien
Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Barisan Nasional menang dalam PRK Merlimau dan Kerdau yang dijalankan serentak. Malah bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila BN menang dengan majoriti yang lebih besar. Suasana PRK hanya hangat selepas beberapa hari berkempen. Sepanjang tempoh berkempen, penyokong Pakatan Rakyat mulai merasakan kemungkinan untuk menghakis undi majoriti BN. Jadi, undi majoriti yang besar tetap membeliakkan sesetengah orang.
Banyak mesej yang tercetus dalam pertarungan ini. Sebagaimana di Merlimau, ia menyaksikan berkecainya harapan PR untuk bertapak di Melaka. Yang menerima impak terbesar adalah cita-cita PR untuk menawan Putrajaya. Untuk menawan Putrajaya, PR perlu menerokai gelanggang baru selain kawasan yang dimenanginya ketika tsunami politik pada 8 Mac 2008.
BN hilang bimbang
Mungkin Melaka bukan barisan depan sebagaimana yang dalam percaturan PR. Namun seandainya PR berjaya menghakis undi majoriti BN, maka bertambahlah satu kawasan yang boleh diletakkan harapan untuk PR. Dari segi strateginya, seandainya undi majoriti BN dikurangkan, maka BN akan kehilangan satu kawasan yang "langsung tidak perlu dibimbangkan". Maka, BN terpaksa mengagihkan sumbernya, untuk memastikan semua barisannya dikawal dengan rapi.
Organisasi PAS di Melaka tidak setanding dengan organisasinya di pantai timur dan utara Semenanjung. Isu tempatan, organisasi tempatan malah suasana tempatan mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan desa Melayu. Selagi organisasi tempatan UMNO beroperasi dengan lancar, maka agak mustahil PAS menembusi kubu ini.
Pengundi Cina hanya kira-kira 20% daripada jumlah pengundi Merlimau. Meskipun MCA dan DAP masih saling mempertikaikan kecenderungan pola pengundian Cina, namun pertikaiannya tidak hangat sebagaimana di PRK Tenang. Ini kerana nisbah pengundi Cina lebih rendah secara perbandingannya, malah berselerak dan sukar dianalisa.
Pada hakikatnya, seandainya sokongan pengundi Cina tidak kembali kepada BN, maka ia bermakna pengundi Melayu kembali ke pangkuan BN secara mendadak - barulah ia berakhir dengan kesudahan di mana BN meraih undi majoriti yang setinggi itu. Ini mungkin khabar yang lebih buruk buat PR. Sesungguhnya, fokus yang menjadi tumpuan dalam kedua-dua PRK ini adalah pola pengundi Melayu.
Undi Melayu di Galas jadi kayu ukur
Walaupun berjiran dengan Kelantan, negeri yang mana PAS berakar umbi sekian lama, namun Pahang secara tradisionalnya didominasi UMNO, dan bukan senang untuk ditembusi. Jikalau analisa hanya dibuat berdasarkan menang-kalah, maka kekalahan PR di kubu UMNO hanya menunjukkan bahawa lanskap politik UMNO masih tidak tergugat. Ia tidak bermakna bahawa BN semestinya memiliki kelebihan di kawasan yang asalnya dimiliki PR, atau kawasan pinggiran.
Sesungguhnya ia hanya dilihat dari sudut menang-kalah. Namun, keadaannya menjadi kompleks apabila perlu mengambil kira undi majoriti yang bertambah. Peningkatan undi majoriti BN mungkin disebabkan faktor tempatan. Sumber BN lebih tertumpu ketika PRK, ditambah pula faktor lain, ia mungkin menyumbang kepada kemenangan besar BN. PRK yang lalu, khususnya sebelum "tsunami politik", keadaan ini telah berlaku.
Selain faktor tempatan, penambahan undi majoriti BN semestinya mencerminkan pola pengundian Melayu di seluruh negara. Ia agak sukar untuk dikupas kerana terlalu banyak faktor yang saling mempengaruhi. Namun, sudah jelas bahawa ianya bukan sesuatu yang tidak berasas, seandainya didakwa bahawa undi Melayu cenderung untuk kembali ke BN - jikalau diambil kira prestasi BN di kawasan desa Melayu dalam beberapa PRK yang terkini.
Daripada beberapa PRK yang dimenangi BN, Galas adalah kayu ukur yang paling sesuai. Kerusi DUN Galas dimiliki PAS pada asalnya, malah terletak dalam negeri yang selama ini diperintah PAS. Pengalihan sokongan Melayu di Galas tidak boleh dipersalahkan kepada organisasi tempatan. Punca yang mendasar mungkin berkaitan dengan perubahan di seluruh negara.
Peratusan pengundian yang tinggi
Apa yang menarik dalam kedua-dua PRK Merlimau dan Kerdau ini adalah peratusan pengundian yang lebih tinggi berbanding PRU ke-12, dengan 79% sebagaimana yang dicatat Merlimau dan 83% di Kerdau.
Seandainya peratusan pengundian tidak tinggi, maka ia mungkin menunjukkan bahawa wujudnya sesetengah pengundi yang masih sangsi terhadap PAS, pada masa yang sama juga ragu-ragu untuk mengundi BN. Golongan pengundi sedemikian kelihatan belum tahu kepada siapa mereka mahu mengundi sebelum PRU ke-13. Jadi PR masih boleh menaruh harapan kepada golongan pengundi sebegini.
Tetapi kedua-dua PRK ini tidak menunjukkan keadaan peratusan pengundian rendah. Jumlah keseluruhan undi BN memperlihatkan peningkatan yang jelas. Sama ada undi ini datang daripada penyokong PAS ataupun pengundi baru, kecenderungan mereka nampaknya sukar untuk diubah dalam masa yang singkat.
Kedua-dua keputusan PRK ini semestinya tidak mempengaruhi kuasa kerajaan BN di negeri berkenaan. Tetapi mengapa pengundi kampung dari kedua-dua kawasan ini begitu aktif untuk keluar mengundi? Sememangnya sikap yang positif ini (keluar mengundi) sesuatu yang baik untuk proses pendemokrasian, tetapi apakah peratusan pengundian yang tinggi dalam kedua-dua PRK ini betul dijuruskan kesedaran demokrasi? Kalau bukan kerana kesedaran demokrasi, apakah pula yang mengaktifkan pengundi untuk keluar mengundi?
Ada yang membangkitkan kemungkinan bahawa peratusan pengundian yang tinggi ini disebabkan pengundi hantu dan rasuah. Jikapun begitu, ia hanya menunjukkan bahawa kemampuan parti yang terlibat menggunakan "strategi luar biasa" ini telah dipertingkatkan. Ia mungkin sukar untuk dibongkarkan seandainya diulangi pada masa akan datang. Pada hakikatnya, selain ahli parlimen Kota Melaka-DAP Sim Tong Him dan jurugambar China Press yang mendakwa melihat sendiri kejadian membeli undi, operasi "tangkap hantu" yang biasa digerakkan PR dalam PRK dahulu nampaknya tidak berhasil.
Asas PAS ditembusi
Kita ketepikan dahulu kemungkinan kejadian "beli undi" atau pengundi hantu. Fenomena pengundi aktif mengundi menunjukkan bahawa BN berupaya untuk mengerah penyokongnya keluar mengundi. Ia berbalik kepada faktor jaringan hubungan tempatan. Tetapi, seandainya "keaktifan" itu didorong inisiatif pengundi sendiri untuk memastikan kemenangan BN, maka ia menunjukkan penyokong setia ini cuba menghalang kemenangan PR. Di sini ia memperlihatkan perubahan pemikiran pengundi Melayu.
Sama ada penyelewengan, jaringan tempatan mahupun perubahan pemikiran (apa yang lebih mungkin sebenarnya adalah kombinasi daripada faktor-faktor ini), yang menjurus kepada kemenangan BN ini - PAS-PR akan berdepan dengan masa depan yang lebih genting. Faktor penyelewengan dan jaringan tempatan mungkin diulangi di kawasan yang mirip, tetapi perubahan pemikiran Melayu mungkin mengundang kesan yang lebih besar, malah sehingga menembusi asas PAS.
Selepas tsunami 8 Mac 2008, BN menyerang ketiga-tiga parti komponen PR. Untuk PKR, BN merancangkan gelombang "keluar parti", mencetuskan kontradiksi dalaman. Sehingga kini, kita gagal melihat wujudnya apa-apa faktor yang boleh menyekat PKR daripada kehilangan kerusi dan undi secara besar-besaran pada PRU yang akan datang.
PAS perlu berdepan dengan kepahitan
Pada hakikatnya, serangan dan strategi yang digunakan UMNO-BN terhadap PAS tidak kurang daripada apa yang dilakukan terhadap PKR. Antaranya, retorik seperti "perpecahan Melayu", "PAS diperkudakan", "derhaka", "bersubahat dengan DAP" dan sebagainya - diulangi dalam media arus perdana, dan kelihatan telah berkesan terhadap Melayu yang hanya boleh menerima maklumat daripada media arus perdana.
Dalam krisis sebegini, PAS diharap agar tidak mengubat penyakitnya dengan ubat sembarangan, iaitu kembali kepada jalan lamanya yang konservatif. Perjuangan PAS yang berdekad-dekad tidak terelak daripada turun naik dan pasang surut. Untuk mengharungi keadaan merudum ini, ia perlu berpegang kepada prinsip dan semangat perjuangannya. PAS kini telah pun berada di landasan dengan hala tuju yang menunjukkan keterbukaannya. Komuniti Melayu tempatan mungkin belum bersedia dari segi fikrahnya untuk menerima konsep yang lebih progresif, maka PAS mungkin perlu menahan kepahitan di mana sokongan terhadapnya akan merudum buat sementara.
Seandainya PAS berpaling dan kembali ke pangkalnya, maka imej positif yang dibina sepanjang ini akan terkubur, dan kehilangan sokongan pengundi Cina yang bukan senang untuk diperolehi sebelum ini. Malah, PAS tidak semestinya mengembalikan sokongan komuniti Melayu, jika kembali ke jalannya yang konservatif.
Reaksi yang silap bakal mengundang malapetaka
Untuk generasi Melayu yang muda, penafsiran Islam dengan konsep yang konservatif kurang menarik. PAS langsung gagal mengancam UMNO jikalau kembali ke jalan pangkalnya yang konservatif. Ini menjelaskan mengapa Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin tidak keberatan untuk mengkritik PAS apabila PAS mengemukakan pengharaman perjudian.
Malah, jika PAS membuat pusingan "U" sejurus selepas kekalahan, langkah ini hanya mengesahkan tuduhan UMNO bahawa PAS adalah parti yang tidak menentu, mempergunakan agama untuk kepentingan politiknya. Jadi, PAS akan undur ke garisan kubunya di pantai Timur. Jika ia berlaku pada zaman dahulu, maka itu mungkin caranya untuk menyelamatkan diri. Tetapi jika ia berlaku pada zaman sekarang, ertinya menunggu untuk disingkir zaman.
Jadi, golongan pemimpin PAS yang terbuka akan memahami, bahawa kekalahan PRK malah PRU, tidak semestinya memusnahkan PAS. Reaksi silap yang akan membawa PAS ke arah kemusnahan. Menyedari impaknya ini, pemimpin yang terbuka dalam PAS harus cuba sedaya upaya untuk menghalang PAS daripada kembali kepada jalan lamanya - malah jika perlu berdepan dengan keretakan parti sekali pun, ia harus diteruskan agar tidak ditimpa malapetaka "silap selangkah hancur kesemuanya".