Tidak Mustahil Politik Asia Ikut Jejak Mesir Jika Media Massa Terus Ditekan - DSAI
Kebanyakan negara Asia akan berdepan dengan kebangkitan rakyat ala Mesir jika mereka terus mengekang institusi- institusi seperti badan kehakiman dan media-massa yang menjadi penanda aras demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang itu menegaskan pemerintah autokratik di rantau ini tidak lagi boleh menghalalkan kekangan sebegitu sebagai pra-syarat mengejar kemajuan kerana lambat laun rakyat akan bangkit menolak penindasan sebegitu.
“Anggapan bahawa sesebuah kerajaan harus memusatkan segala kuasa pada dirinya, memerintah secara autokratik demi mencapai pemodenan dan membasmi kemiskinan, tanpa diselia oleh institusi-institusi berwibawa...amat bertentangan dengan konsep demokrasi dan kebebasan,’ tegas Anwar.
Anwar menyifatkan Jepun, India dan kini Indonesia sebagai pengamal sistem demokrasi yang agak rancak, manakala kebanyakan negara Asia yang lain dibelit dengan pemerintahan kuku besi.
“Pemimpin di rantau ini harus diingatkan untuk melaksanakan pembaharuan sosio ekonomi dan memperkasakan institusi-institusi demokrasi dan hak kebebasan rakyat,” kata Anwar dalam ucaptamanya mengenai forum kebangkitan Asia yang berlansung di Phonm Penh Kemboja.
Anwar berkata gerakan demokrasi di Mesir, Libya, Tunisia dan dunia Islam lain mempunyai impak yang besar ke atas negara-negara Asia.
Seperti di Timur Tengah, ramai pemerintah di Asia secara sistematik bertindak menghakis, malah memansuhkan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keseimbangan kuasa.
“Sebagai pengganti, mereka memperkenalkan undang-undang zalim yang mencabul kebebasan asas rakyat dan konsep pengasingan kuasa yang menjadi prinsip asas sistem demokrasi,” tegas Anwar.
Akibatnya, kata Anwar, hak dan kebebasan rakyat di negara-negara Asia berkenaan semakin terhakis, tidak kira samada mereka dari golongan miskin, suku kaum minoriti atau kelas pertengahan.
“Di tengah-tengah penindasan ini, kita melihat pemimpin kerajaan begitu ghairah mencari sokongan walaupun dengan cara meniupkan api perkauman yang menggugat kestabilan negara,” tambah Anwar.
Lebih menjengkelkan apabila pemimpin negara penduduk majmuk mengawal penuh institusi-institusi negara temasuk media massa hanya untuk mencetuskan ketegangan kaum demi kelangsungan politik diri.
Dalam ucapannya itu, Anwar menegaskan selain pilihanraya yang bebas dan adil, institusi kehakiman adalah tunjang utma untuk mempertahankan kewibawaan sesebuah negara.
“Sesebuah badan kehakiman yang tercemar boleh dan akan membawa negara ke ambang kehancuran. Ia akan membawa kepada kegagalan secara terancang proses keadilan di negara itu,” kata Anwar.
Anwar melahirkan rasa kesal dengan sesetengah pemimpin Asia yang terus engkar menghayati mesej yang dibawa menerusi kebangkitan rakyat di Timur Tengah.
“Kita harus ingatkan pemimpin autokrat yang angkuh ini bahawa lambat laun mereka akan membayar harga yang tinggi kerana menolak suara rakyat menuntut kebebasan dan demokrasi,” tegas Anwar.
“Apa yang rakyat mahukan ialah keadilan sosial, kebertanggungjawaban untuk membanteras rasuah, urus tadbir telus dan pemberdayaan politik,” tambah Anwar.
HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : June Ini
HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : June Ini
Ditulis oleh Nasruddin Tantawi
1. Negara kita masih menyaksikan kepincangan ketara dalam amalan demokrasi. Bukan sahaja dipentas politik negara malah kepincangan serupa turut melanda politik kampus. Bermula dari pengendalian sistem demokrasi yang berat sebelah, tidak adil dan tidak telus telah menimbulkan keresahan berpanjangan dari rakyat dalam negara kita. Saya percaya tragedi yang berlaku di UPM baru - baru ini pun bermula dari keresahan serupa yang turut dirasai oleh para mahasiswa.
2. Pada 10 November 2007 yang lalu, rakyat telah meledakkan kebangkitan menuntut sebuah demokrasi yang bersih dalam satu himpunan 100,000 rakyat yang dikenali sebagai himpunan BERSIH. Beberapa tuntutan yang telah dibuat dalam himpunan BERSIH yang pertama tempohari masih dibekukan begitu sahaja oleh pihak berwajib. Antara tuntutan tersebut ialah :
Penggunaan Dakwat Kekal kepada pengundi
Pembersihan daftar Pemilih
Pemansuhan Undi POS
Kebebasan media
3. Saya melihat secara dekat perkembangan demokrasi dalam negara kita masih tidak benar - benar telus dan bebas dari sebarang manipulasi seperti undi pos yang masih diamalkan dalam sistem demokrasi negara kita. Malah undi pos benar - benar dijadikan tali hayat pihak pemerintah untuk mengekalkan survival kuasa mereka. Demikian juga kebebasan media yang kian parah.
4. Saya yakin seluruh rakyat dalam negara kita dapat saksikan kepincangan ini, apabila media elektronik dan cetak negara kita seperti RTM dan Utusan Malaysia serta Berita Harian diguna sepenuhnya secara tidak adil untuk berkempen sebelah pihak iaitu pihak UMNO dan BN sedang RTM dan Utusan Malaysia atau Berita Harian ini tidak pula diisytiharkan sebagai media rasmi atau buletin rasmi parti UMNO dan BN .
5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mendesak dan merayu supaya kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini sebelum berlangsungnya pilihanraya umum ke 13 akan datang. Hanya keadilan , ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengendalian demokrasi negara ini akan menjadi rakyat tenang dan akur menerima keputusan pilihanraya, samaada menang atau kalah. Andai sistem pengendalian demokrasi negara masih pincang dan dilihat terlalu banyak kelemahan di sana dan sini, keputusan pilihanraya akan mencetus rasa tidak puas hati dan menganggu kesejahteraan serta keharmonian rakyat .
6. Desakkan dan rayuan ini adalah serius. Kami sudah penat bertolak ansur dan bertarik tali dengan pihak kerajaan dalam menuntut keadilan serta ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini. Sungguhpun kerajaan UMNO dan BN benar - benar nekad mahu mempertahankan survival kuasa dan pengaruh mereka , maka pertahankanlah ia dengan bermaruah dan berhemah. Iaitu melalui satu sistem pengendalian demokrasi yang telus, adil dan saksama. Bukan melalui sistem saingan demokrasi yang berat sebelah.
7. Kami memberi tempoh sehingga menjelang 1 Mei 2011 ini untuk kerajaan memberi komitmen lalu memulihkan sistem demokrasi pincang yang kita hadapi dalam negara kita hari ini. Andai desakan dan rayuan ini tidak dipeduli oleh pihak kerajaan, kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberi komitmen untuk menyahut seruan Yb Al Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS bahawa satu lagi rally atau himpunan BERSIH digerakkan.
8. Kali ini, insyaallah saya percaya dan yakin, sekurang - kurangnya setengah juta rakyat [500,000] akan bangkit secara aman namun penuh tegas untuk memohon dan mendesak agar kerajaan mahu atau tidak mesti memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar adil dan telus kepada semua parti yang bertanding dan melibatkan diri dalam pilihanraya.
9. Saya meletakkan jangkaan tarikh awal untuk BERSIH 2 ini ialah pada bulan June 2011 [ Sabtu ] jika sekiranya menjelang 1 Mei 2011 ini, kerajaan masih gagal untuk meyakinkan rakyat dengan satu komitmen untuk memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar dipulihkan serta bebas dari sebarang ruang manipulasi serta kepincangan.
10. Saya ulangi tanpa sikap teragak - agak demi kebaikan kepada seluruh rakyat dan negara agar kerajaan benar - benar serius dan memahami tuntutan kami sebagai rakyat dan anak - anak muda khasnya yang mahu menyaksikan perubahan besar berlaku dalam negara ini. Andai tuntutan diterima dan dilaksanakan , kami benar - benar mengucapkan terima kasih namun jika sebaliknya, berbanyak maaf kami pinta bahawa kami khasnya anak - anak muda, dengan Nama Allah swt Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Adil, akan bangkit sekali lagi menuntut hak kami sebagai rakyat yang merdeka pada bulan June 2011 dalam Himpunan 500K BERSIH 2 kelak .
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.
Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia