Sekumpulan 200 orang terdiri daripada NGO dan pemimpin parti politik pembangkang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Mesir di Jalan Ampang hari ini.
Mereka melaungkan desakan agar Presiden Mesir Hosni Mubarak yang memerintah secara kuku besi selama 30 tahun agar segera berundur agar tidak menimbulkan lebih banyak kekacauan dan pertumpahan darah di Mesir.
Dalam perhimpunan itu para penunjuk perasaan melaungkan perkataan hidup rakyat, bangkit rakyat, sedar rakyat dan melaungkan takbir. Ketua Penerangan PAS Ustaz Idris Ahmad berucap mengecam kerajaan Mesir yang menggunakan kekerasan dalam melawan kebangkitan rakyat sehingga membunuh beberapa penunjuk perasaan.
"Kebangkitan di Tunisia telah merebak ke Mesir dan Jordan. Kebangkitan ini berterusan," katanya.
Bagaimanapun percubaan menyerahkan memorandum gagal kerana pegawai Kedutaan Mesir enggan menerima memorandum dari wakil perhimpunan. Berikutan itu, beberapa pemimpin parti politik dan NGO memasukkan memorandum ke dalam peti surat di pintu pagar kedutaan.
Dalam sidang media selepas itu Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvam mengecam Hosni Mubarak yang tidak memberi kebebasan kepada rakyatnya dan kini menyekat pula media internet seperti facebook dan twitter bagi melawan kebangkitan.
Arutchelvam meminta Hosni berundur dari kerusi presiden yang didudukinya selama tiga dekad. Beliau membidas kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang membiarkan kekejaman rejim Hosni terhadap rakyat hanya semata-mata mahu menyelamatkan Israel yang menjadi rakan baik Mesir.
"Kerajaan Mesir mengikut telunjuk Amerika dan Zionis. Tiba masanya pemerintahan diserahkan kepada rakyat," kata Arutchelvam.
Sementara itu, bekas Naib Presdien PAS Hj Mohammad Sabu menyelar sikap Hosni Mubarak yang tidak tunduk kepada suara rakyat biarpun mereka telah berdemonstrasi selama 6 hari dan melibatkan berbelas kematian .
Menurut Mohamad Sabu rejim Mubarak tidak mungkin akan bertahan lebih lama apabila pasukan askar dan polis telah dilihat bersama-sama rakyat dalam tunjuk perasaan. Askar yang dihantar menggempur rakyat akhirnya membenarkan rakyat menaiki kereta perisai mereka.
Beliau juga mengingatkan rejim BN di Malaysia yang mengamalkan korupsi seperti di Mesir mendengar suara rakyat agar tidak mengulangi apa yang berlaku di Mesir
"Rakyat dan polis membantah Mubarak. di negara ini (Malaysia) juga rakyat akan terus membantah (jika penyelewengan terus berlaku). Hari ini baru perhimpunan kecil, hari Jumaat nanti kita akan adakan perhimpunan yang lebih besar di masjid KLCC bagi meneruskan bantahan," katanya.
Antara pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO yang kelihatan dalam bantahan itu ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Nasruddin Tantawi, Presiden GMI Syed Ibrahim Syed Noh serta ramai lagi
Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah pada setiap hari bagi menuntut pengunduran Hosni Mubarak.
Pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan pada Ahad lalu berkata, "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".
Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura
Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.
SIAPA KALAH?
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai analisis 'ganjil' berhubung keputusan pilihan raya kecil Tenang semalam.
"Pemenang dan si kalah bukanlah calon tetapi orang lain," kata setiausaha agung DAP itu.
Di pihak BN, pemenang sebenar adalah Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman yang berjaya menunjukkan kebolehan dan kemampuannya, kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.
"Manakala pihak yang kalah bukan calon PAS tetapi... kamu tahulah," tambahnya.
Apabila ditanya tentang pihak yang dimaksudkannya itu, beliau masih enggan menyatakannya.
"Dalam hati, kamu tahulah siapa dia," katanya Lim lagi, dipercayai merujuk kepada kemampuan MCA di kawasan Cina di Labis.
"Pemenang dan si kalah bukanlah calon tetapi orang lain," kata setiausaha agung DAP itu.
Di pihak BN, pemenang sebenar adalah Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman yang berjaya menunjukkan kebolehan dan kemampuannya, kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.
"Manakala pihak yang kalah bukan calon PAS tetapi... kamu tahulah," tambahnya.
Apabila ditanya tentang pihak yang dimaksudkannya itu, beliau masih enggan menyatakannya.
"Dalam hati, kamu tahulah siapa dia," katanya Lim lagi, dipercayai merujuk kepada kemampuan MCA di kawasan Cina di Labis.