AKIBAT TAKUT KEMPEN ANAK MUDA GUNA FACEBOOK, MAKA IANYA DIKAJI SEMULA

KDN kaji akta penerbitan kawal bahan Internet termasuk Facebook

TERKINI @ 06:45:25 PM 25-01-2011
January 25, 2011

PUTRAJAYA, 25 Jan — Kementerian Dalam Negeri akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebihkomprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Selama ini akta berusia lebih dua dekad itu hanya mengawal selia penerbitan bahan-bahan cetak dan terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Ini kali pertama peruntukan itu dikaji sejak dasar Koridor Raya Multimedia diperkenalkan pertengahan 1990-an.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan Internet, Facebook dan perisian.

“Kita harap pindaan ini dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini. Kita perlu mengatasi kelemahan yang ada terutamanya apabila berdepan dengan bahan-bahan multimedia,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan Anggota Lembaga Penapisan Filem, Anggota Jawatankuasa Rayuan serta anggota-anggota bersekutu, di sini hari ini.

Katanya pihaknya juga bercadang mengemaskini garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) penapisan filem, selari dengan teknologi memuat turun filem yang ada sekarang.

Mahmood berkata walaupun garis panduan sedia ada ditetapkan pada 2010 dan hanya digunakan kira-kira setahun, ia perlu diubah bagi memenuhi kepentingan rakyat.

“Pengubahsuaian garis panduan antaranya bertujuan memastikan kita mampu mengawal kemasukan filem melalui teknologi terkini seperti melalui pemacu pena.

“Ramai orang tidak lagi membawa masuk filem dalam bentuk cakera padat video (VCD) tetapi ia mungkin disembunyi dalam komputer. Kita perlu melihat dan mengatasi masalah ini,” katanya.

Mengenai kawalan bahan dalam laman YouTube, beliau berkata pihaknya bersama wakil dari Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa melakukan pemantauan terhadap laman web tersebut.

RAKYAT TENANG BAKAL DI GADAI TANAH



Saidah Hairan

LABIS, 25 Jan: Calon BN untuk Pilihan Raya Kecil Dun Tenang didakwa cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai kerajaan sebelum ini dan pernah disaman kerana melelong tanah tanpa pengetahuan tuan tanah.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mendedahkan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim didapati cuai dan lalai ketika memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat sehingga disaman pada tahun 2004 oleh tuan tanah, Mansor Mohamad.

Katanya, Azahar yang dikenali dengan panggilan Tok Ai telah disaman di Mahkamah Tinggi Muar melalui Saman Pemula No: 24 (L) - 674-2004 berkaitan kes siasatan hartanah HS (M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat.

Menurut beliau, disebabkan kecuaian dan kelalaian Azahar yang ketika itu sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan satu Perintah Jualan ke atas hartanah Mansor Mohamad pada 18 September 2009.

"Kerana kecuaian Tok Ai tanah tersebut secara tidak sah telah dilelong pada 1 Disember 2003 dengan harga RM70,000," ujarnya.

Beliau kesal dengan kecuaian Tok Ai yang menyebabkan tuan tanah, Mansor menjadi mangsa kezaliman kerana hartanahnya dilelong kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan beliau.

Justeru kata beliau, disebabkan kecuaian dan kelalaian itu telah mengakibatkan nama baik dan intergriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas teruk sekaligus menghakis keyakinan rakyat pada ketelusan Pejabat Tanah Daerah Segamat.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar, Yang Arif Hakim Dato' Asmadi Asnawi telah membenarkan tuntutan Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada 29 Januari 2008 dengan kos akibat kecuaian Tok Ai mengendalikan isu tersebut.

Salahudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Dun Tenang mempersoalkan mengapa calon yang telah dibuktikan oleh Mahkamah cuai dan lalai dalam melaksanakan tugas awam masih dicalonkan untuk PRK Dun Tenang.

"Tidakkah tindakan Umno ini membuktikan Umno tidak menghiraukan isu integriti dan kompetensi seorang calon bagi mewakili rakyat atau pengundi Dun Tenang," tegasnya.

Beliau yakin dengan pendedahan itu membuktikan bahawa Umno memang sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut kerana bimbang pengundi Dun Tenang akan menolak calon Umno-BN.

Merujuk rekod buruk Tok Ai, Azahar Ibrahim, PAS yakin dan percaya rakyat Dun Tenang tidak akan tertipu dengan janji-janji manis beliau untuk menyelesikan maalah tanah di Labis.

Ini kerana katanya, fakta dan keterangan tersebut jelas menunjukkan tanah rakyat dengan mudah telah dilelong dengan secara tidak sah.

"Kami menyeru pengundi Dun Tenang jangan gadaikan maruah dan masa depan anak bangsa dengan memilih calon Umno yang terbukti didapati bersalah oleh Mahkamah kerana menganiayai rakyat," tegasnya.

Salahudin menegaskan pendedahan itu bukan merupakan serangan peribadi calon tetapi ia menyentuh isu integriti dan kelayakan Azahar (Tok Ai) untuk menjadi calon di Dun Tenang.