200 ahli PKR demo mahu Anwar undur

200 ahli PKR demo mahu Anwar undur

Posted by admin on November 13th, 2010

Seramai 200 anggota Parti Rakyat (PKR) pada Sabtu melakukan protes di depan ibu pejabat parti itu bagi mendesak pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dihentikan serta-merta, selepas didakwa tidak telus atau berlaku adil kepada calon yang bertanding. Perhimpunan protes yang bermula 10.30 pagi dan berakhir 12 tengah hari itu diketuai bekas timbalan setiausaha agung PKR S.Jenapala Perumal.

Selain itu, turut kedengaran laungan “Hidup Zaid” (bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim) dan “hentikan segera pemilihan parti.”

Bagaimanapun, Zaid tidak kelihatan sepanjang protes itu walaupun beliau pada mulanya dilapor akan mengetuainya.

Protes itu juga mempamerkan beberapa kain rentang yang tertera perkataan “Shame on you Anwar”, “Anwar dan Azmin: pemimpin paling kotor, cakap tak serupa bikin, pemilihan parti yang paling kotor, penipu, pembohong dan pengkhianat dan mereka akan hancurkan parti kesayangan kita” serta “kami cinta Parti Keadilan Rakyat, penipuan di Pemilihan parti, demokrasi dikuburkan, apakah ini keadilan, jangan tipu kami”.

Bagaimanapun, tidak ada wakil atau pemimpin PKR yang tampil meredakan keadaan dan pintu masuk ke ibu pejabat parti itu juga telah dikunci.

Bercakap kepada pemberita, Jenapala Perumal berkata tidak ada sebarang memorandum atau surat yang akan diserah kepada pimpinan PKR, sebaliknya, protes itu dilakukan untuk membolehkan pucuk pimpinan mendengar permintaan supaya pemilihan parti dihentikan.

“Sejumlah 162 aduan telah dibuat kepada MPP, tidak ada satupun yang diselesaikan. Kami ke sini untuk menunjukkan protes kerana anggota tidak gembira dengan pemilihan parti seperti ini,” katanya.

Bekas Bendahari PKR Selangor K.S.Kottapan yang turut serta dalam protes itu mendakwa, pemilihan yang tidak telus menyaksikan haknya untuk bertanding sebagai anggota MPP telah dinafikan.

“Ini bukan pemilihan parti yang bersih. Saya menggesa pimpinan parti dengan segera hentikan pemilihan ini dan adakan semula daripada peringkat cabang. Saya pasti mereka akan ambil tindakan, khususnya (terhadap) orang seperti saya ini dan akan memecat kita.

“Apa yang kita minta ialah pemilihan dihentikan dan dilakukan semula, tetapi langsung tidak ada sebarang tindakan diambil. Kita di sini berjuang untuk keadilan rakyat, bukan berjuang untuk pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya.

Mengulas kenyataan Zaid yang juga bekas calon timbalan presiden yang mahukan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim serta naib presiden Mohamed Azmin Ali berundur dari PKR, Kottapan berkata beliau menyokong apa yang dikatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Kita kena tukar pimpinan kita untuk menjadikan PKR maju dan rakyat terus mempercayai kita. Kita tahu pilihan raya umum juga dah semakin hampir, jadi kita perlu lakukan perubahan drastik. Saya sokong Zaid nak tubuhkan parti baru dan kalau PKR tidak berubah, saya rela saya dipecat,” katanya.

Ketua Komuniti India Selayang, yang juga calon timbalan ketua cabang Selayang, B.Rajandran pula mendakwa pucuk pemimpin PKR sekarang terlalu mementingkan diri dan tidak membela nasib rakyat.

“Ketua-ketua yang ada sekarang ini semuanya pentingkan diri sendiri sahaja. Mereka tak peduli tentang rakyat dan janji-janji yang mereka buat masa pilihan raya, itu semuanya tidak ditunaikan lagi.

“Tetapi semua nak dapatkan Putrajaya sahaja…tapi tak buat apa-apa untuk rakyat, nak tangkap Putrajaya nak buat apa?,” katanya.

Bagaimanapun, protes tersebut berlangsung secara aman di bawah pengawasan polis.

– BERNAMA

Pemilihan PKR: Selangor tawar undi terbanyak buka gelanggan

APA SEKALIPUN PEMILIHAN ..IANYA SUDAH DI MANIPULASIKAN OLEH Bn.

November 13, 2010

KUALA LUMPUR, 13 Nov — Cabang-cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor, negeri yang mempunyai ahli teramai, keluar mengundi dalam pemilihan pusat secara langsung bersejarah, yang turut berhadapan dengan dakwaan kecacatan dan manipulasi dalam proses pengundian.

Selangor merupakan salah satu daripada lima negeri mempunyai ahli teramai.

Proses pengundian diteruskan buat hari ketujuh hari ini — hari kedua di mana ia berlangsung selepas Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan keputusan menarik diri daripada bertanding atas dakwaan kecacatan dan kepincangan proses pengundian tidak diatasi.

Justru, persaingan jawatan timbalan presiden parti kini menyaksikan pertarungan antara Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub yang kedua-duanya merupakan naib presiden.

Kedua-dua Zaid dan Mustaffa mendakwa proses pengundian tercalar sambil mendesak agar pengundian dibatalkan manakala Azmin, dianggap orang kepercayaan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu keseluruhan undi diambil kira dan pemilihan diteruskan.

Semalam, Mustaffa memaklumkan bahawa beliau akan kekal dalam saingan walaupun dalam keadaan berprotes.

Setiausaha Pengelola PKR Raden Shamsulkamar Raden Samsudin pula berkata, calon-calon yang agak ketinggalan dalam usaha mempeorleh undi kemungkinan boleh mengubah nasib mereka dengan mengharapkan sokongan Selangor.

“Ini kali pertama sejumlah begitu banyak cabang mengadakan pengundian pusat, ia sesuatu yang signifikan,” kata beliau lagi.

Mengenai peratusan keluar mengundi di 12 cabang semalam, kata beliau, pihaknya belum menerima maklumat sebenar.

“Keputusan semalam masih diterima,” katanya lagi.

The Malaysian Insider difahamkan peratusan keluar mengundi masih rendah semalam berbanding minggu lalu.

Malah, The Malaysian Insider difahamkan calon-calon yang bertanding berkempen secara habis-habisan sejak beberapa hari lalu dengan menyertai kempen sekurang-kurangnya empat hingga lima cabang setiap hari di Selangor.

“Selangor mempunyai sekitar 100,000 ahli.

“Jadi, meskipun seorang calon dengan hanya mengumpulkan beberapa ratus undi kemungkinan akan menewaskan calon lain jika mampu memperoleh 10 peratus sokongan ahli (dari Selangor),” kata Raden Shamsulkamar kepada The Malaysian Insider.

Pengundian di Selangor bermula di Sepang pagi ini dengan lapan yang lain esok iaitu Kuala Langat, Kota Raja, Klang, Kapar, Shah Alam, Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan.

Lima cabang di Pulau Pinang yang mengadakan proses pengundian hari ini ialah Nibong Tebal, Bukit Bendera, Bukit Gelogor, Bayan Baru dan Balik Pulau mengadakan pengundian hari ini manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula enam (Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa dan Titiwangsa), Johor (Segamat, Ledang, Bakri dan Muar) dan Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu).

cabang-cabang di Sabah terdiri daripada Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Labuan manakala Kota Melaka dan Jasin di Melaka, Sarawak (Mas Gading, Petra Jaya dan Stampin) dan Perak (Gopeng, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datok, Telok Intan dan Tanjong Malim).

Sehingga semalam, 99 cabang sudah selesaikan proses pengundian.

Sebanyak 28 cabang akan melangsungkan pengundian esok.

Seramai 11,670 orang telah mengundi sepanjang lima hari pertama pengundian sehingga 7 November lalu. Proses pengundian bermula 29 Oktober dan kira-kira 12 peratus orang sudah keluar mengundi setakat ini.

Difahamkan kedudukan saingan jawatan naib presiden akan berubah dengan pusingan pengundian minggu ini.

Setakat Ahad lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendahului pemilihan naib presiden dengan menerima 6,518 undi dan disusuli oleh Tian Chua (5,115), Fuziah Salleh (4,509) dan Mansor (4,269).

Mereka diikuti rapat oleh Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan (3,039) dan Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr. Xavier Jayakumar (2,418).

Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berada di kedudukan ketujuh dengan 2,418 undi.

Sivarasa merupakan naib presiden semasa, yang dilantik.

Dua lagi calon dari Selangor ialah Ahli Parlimen S. Manickavasagam dan bekas pembantu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Yahya Sahri mengejar dari belakang dengan undi masing-masing 2,005 dan 535.

“Yahya Sahri dan Manickavasagam dilihat akan memperoleh banyak undi hujung minggu ini.

“Kedua-dua mereka aktif berkempen di Selangor,” kata pemimpin yang mengikuti kempen mereka dengan dekat.

Gobalakrishnan juga yakin akan menduduki empat tempat teratas minggu ini.

“Saya yakin sekurang-kurangnya akan berada di tempat keempat dengan memperoleh undi dari Selangor,” kata Gobalakrishnan kepada The Malaysian Insider.

Seorang lagi pemimpin memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau yakin kedudukan empat pesaing tidak akan berubah tetapi perubahan ketara akan disaksikan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

MPP yang menawarkan 25 kerusi disaingi 132 calon.

Proses pengundian hari ini dan esok dijangka akan memberi gambaran sebenar bakal pemenang pemilihan pusat kali ini termasuk saingan jawatan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menyaksikan saingan sengit.

Calon-calon jawatan pusat AMK termasuk penyandang jawatan kerusi ketua Shamsul Iskandar Mohd Akin dan pesaingnya Badrul Hisham Shaharin menghadiri sesi pengenalan calon di Shah Alam malam tadi.