Pemilihan PKR akan tetap diteruskan

Pemilihan PKR akan tetap diteruskan

Posted by admin on November 9th, 2010

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan peratusan keluar mengundi yang rendah bagi pemilihan pucuk pimpinan PKR dikatakan berpunca daripada kenyataan dan tulisan oleh calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini. Saifuddin juga mendakwa Zaid memperolehi undi yang semakin berkurangan kerana beliau telah dinilai oleh ahli parti yang membaca kenyataan beliau sendiri jika dibandingkan semasa dipilih oleh cabang sebagai calon dan jumlah yang keluar mengundi.

Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa tidak sewajarnya dipersalahkan atau menjadi kambing hitam hanya kerana Zaid mendapat sedikit undi. Yang menghairankan Saifuddin bahawa setakat 87 cabang yang sudah keluar mengundi, sebanyak 38 cabang telah memberi kelebihan undi majoriti kepada Zaid.

Ini kerana jumlah itu dilihat besar dan mendahului pencabar utamanya, Azmin Ali yang menerima kelebihan majoriti di 37 cabang. Sementara itu, seorang lagi calon Mustafa Kamil Ayub memperolehi kelebihan undi di 11 cabang. Walaupun begitu, dari segi jumlah undi, Zaid ketinggalan di belakang Azmin.Setakat ini seramai 11,670 anggota PKR sudah keluar mengundi di 87 cabang setakat Ahad lepas.

Oleh sebab yang demikian, Saifuddin menyanggah Datuk Zaid yang menuduh banyak masalah yang timbul dalam pemilihan kali ini kerana sekiranya itu yang berlaku walhal Zaid masih menang di banyak cabang.

Saifuddin juga berkata, jawatankuasa pemilihan pusat akan bermesyuarat secepat mungkin untuk menentukan sama ada kenyataan Zaid di blog boleh digunakan sebagai dokumen rasmi untuk menarik diri. Sementara itu, mereka juga masih belum menerima notis tarik diri rasmi daripada Zaid. Mereka juga belum menerima apa-apa notis daripada Mustaffa yang menyarankan penggantungan pemilihan.

Pihaknya perlu membuat keputusan mengenai status ini sebelum bermulanya separuh masa kedua pengundian bermula pada Jumaat ini kerana adalah perlu untuk mereka mencetak kertas undi. Masih ada lebih 130 cabang lagi yang akan mengadakan pengundian masing-masing.

Tambah Saifuddin lagi,setakat ini hanya enam aduan rasmi diterima berhubung perjalanan pemilihan pimpinan tertinggi PKR. Beliau menyisihkan dakwaan dua calon timbalan presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub sebelum ini yang mendakwa banyak aduan dibuat terhadap perjalanan pemilihan PKR.

Walaubagaimanapun, pemilihan PKR akan tetap diteruskan walaupun menghadapi risiko besar kepada parti di dalam menghadapi masalah yang ditimbulkan Zaid dan Mustafa. –KLToday.com

JPP PKR HARUS SEGERA BERBUAT SESUATU BERKAITAN PENGUNDIAN...BATAL ATAU TERUSKAN??

Pemilihan PKR : Pencalonan AMK juga didakwa diubah

Posted: Tue, 09 Nov 2010 06:21:00 +0000
KUALA LUMPUR, 9 Nov — Di sebalik kecacatan didakwa menyelubungi pemilihan langsung Parti Keadilan Rakyat (PKR), dakwaan terbaru mengatakan pegawai-pegawai dalaman parti telah memmanipulasi senarai pencalonan dibuat cabang-cabang tertentu.

Dakwaan terbaru menunjukkan perubahan dibuat ke atas senarai pencalonan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)iaitu sayap pemuda PKR.

Jawatan itu disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai “Chegubard”.

Dakwaan itu digariskan dalam surat yang dihantar kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akhir bulan lalu, beberapa hari sebelum pemilihan pusat bermula.


Salinan surat diperoleh semalam — pada hari calon jawatan timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding, juga dipanjangkan kepada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Pencalonan bagi semua jawatan pusat berakhir pada 3 Oktober lalu dan kesemua cabang dikehendaki memanjangkan senarai pencalonan kepada ibu pejebat sebelum 10 Oktober dan mereka yang dinamakan dikehendaki menerima pencalonan pada 16 Oktober.

Pengundian pemilihan pusat dijalankan mulai 29 Oktober lalu. Setakat ini pengundian telah dijalankan selama hari membabitkan 87 cabang dan tinggal lagi lima hari.

Shamsul Iskandar kini berada di depan dalam jumlah undi dikumpulkan mengatasi Badrul Hisham yang mendahului saingan tiga hari pertama.

Dalam surat itu yang dihantar kepada pucuk kepimpinan sebelum pemilihan pusat bermula 29 Oktober lalu, mendakwa pencalonan cabang Tampin menamakan Badrul Hisham untuk jawatan Ketua AMK pusat tetapi telah ditukar kepada Shamsul Iskandar kemudian.

“Setelah diteliti dari pangkalan data pusat, kami menyedari bahawa beberapa cabang lain turut ditukar pencalonan.

“Ini merupakan satu pencabulan demokrasi yang serius,” kata surat itu yang ditulis oleh Exco AMK pusat Zulkifli Ibrahim.

Bagaimanapun usaha menghubungi Zulkifli gagal sehingga berita ini ditulis.

Dalam surat itu, Zulkifli menamakan dirinya Ketua Penyelaras Kempen Anak Muda Penerus Perjuangan Reformasi

Surat itu meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera menyelesaikan isu berkenaan.

Sistem pemilihan pusat PKR memerlukan seseorang memperoleh hanya dua pencalonan untuk bertanding dan jumlah pencalonan dilihat tidak memberi kesan besar memandangkan setiap ahli berhak keluar mengundi memilih pemimpin.

“Jika nama boleh bertukar bagaimana pula dengan jumlah undi nanti,” kata surat itu.

Malah menurut surat itu lagi, dari sumber sebuah laman sosial Facebook pula melaporkan dinding pegawai penting AMK yang dibayar gaji oleh parti mengakui bahawa pencalonan boleh diubah berdasarkan niat tertentu.

Malah katanya, pegawai tersebut juga terlibat secara langsung dalam JPP.

“Ini amat menyedihkan apabila pentadbiran AMK pusat dalam keadaan celaru dan banyak perlu diperbaiki, dalam keadaan AMK cabang terpaksa mesyuarat tanpa kit manual mesyuarat tetapi ada pegawai bergaji dalam pengurusan AMK (secara sengaja atau tidak) sibuk berkempen untuk calon tertentu termasuk dirinya sendiri.

“Malah terlibat dalam ketidaktelusan yang berlaku. JPP harus bertindak segera,” katanya.

Surat itu menambah, keadilan bukan sahaja perlu dilaksana tetapi perlu dilihat dilaksana.

“Kesempatan dalam pemilihan ini juga seharusnya digunakan sepenuhnya oleh semua untuk memperbaiki parti.

“Selain menuding jari menyalahkan sabotaj pihak luar yang memang tak dinafikan wujud, kita juga seharusnya berjiwa besar memperakui kelemahan sendiri dan memperbaiki.

“Maka sejarah besar peristiwa berani yang ingin kita cipta dalam melebar demokrasi dalam parti akan lebih bermakna. Ubah sebelum parah, ubah demi maruah,” kata surat itu lagi.

Ahad lalu, Saifuddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat boleh dibeli.

Semalam, Zaid pula mendakwa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kerana kecewa apabila aduan-aduan dikemukakan tidak diambil perhatian.

PEMBATALAN DAN PENJALANAN SEMULA PEMILIHAN PARTI KEADILAN RAKYAT 2010

  • BATAL SEMENTARA TIDAK BANYAK PENDEDAHAN
  • BATAL SUPAYA CARA BERKEMPEN DI UBAH
  • BATAL SUAAYA TIDAK ADA CARA KEMPEN SEPERTI UMNO
  • BATAL UNTUK MENGUNDI SEMULA

    PEMBATALAN DAN PENJALANAN SEMULA PEMILIHAN PARTI KEADILAN RAKYAT 2010

    Pemilihan Kepimpinan pusat Keadilan sedang berlangsung sejak 28hb. Oktober 2010. Sehingga kini terdapat 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.

    Hari ini saya dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden KEADILAN dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

    Antara lain dalam memorandum ini kami mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan Perlembagaan parti dalam Kongres Khas pada bulan Jun 2009.


    Kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil (clean, free and fair election). Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang diantara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi.

    Kami juga mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini. Sekiranya tindakan pemberhentian Pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan.

    Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia.


    “KESINAMBUNGAN PERJUANGAN”
    “KEMBALIKAN SUARA RAKYAT”


    MUSTAFFA KAMIL AYUB
    Naib Presiden KEADILAN
  • Pemilihan PKR : Tempoh 48 Jam diberikan!

    Posted: Tue, 09 Nov 2010 06:27:00 +0000


    Batal dan adakan semula pemilihan, kata dua naib presiden PKR
    Oleh G Manimaran

    KUALA LUMPUR, 9 Nov — Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden PKR menggesa agar pemilihan pusat bersejarah parti itu — kaedah langsung — dibatalkan serta-merta dan diadakan semula pengundian dengan menyelesaikan segala aduan yang telah dikemukakan sebelum ini.

    Mustaffa Kamil Ayub, yang kini merupakan salah seorang naib presiden menegaskan, beliau memberi tempoh 48 jam kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) agar mengambil kedua-dua tindakan itu.

    “Kami juga mendesak supaya JPP mengisytiharkan pemberhentian pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum ini.


    “Sekiranya tindakan pemberhentian pemilihan tidak dilakukan dalam tempoh tersebut, kami akan mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

    Terdahulu Mustaffa turut hadir pada sidang media dipanggil oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang semalam memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua PKR atas alasan wujud kecacatan dalam proses pemilihan pusat - yang julung kali diadakan menggunakan kaedah langsung.

    Menurut Mustaffa, pemilihan kepimpinan pusat PKR sehingga kini telah membawa kepada 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP.

    “Hari ini saya dan teman-teman akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden PKR dan Pengerusi JPP,” katanya.

    Kata beliau, antara lain dalam memorandum ini pihaknya mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus, yang diperkenalkan amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan perwakilan ketika meluluskan pindaan perlembagaan tahun lalu.

    “Kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil.

    “Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang di antara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi,” katanya.

    Kata Mustaffa, beliau percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia.

    Semalam, Mustaffa memberitahu The Malaysian Insider bahawa sama ada beliau akan mengikut langkah Zaid ataupun sebaliknya terserah kepada tindakan JPP ke atas memorandum komprehesif itu.


    The Malaysian Insider

300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor?

300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS mengharapkan supaya penambahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) seramai 300,000 di Selangor pada tahun 2011 tidak mempunyai agenda politik Umno BN untuk menawan negeri itu melalui taktik undi pos.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan sasaran pertambahan mendadak anggota Rela di Selangor tidak menjadi tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos dalam pillihan raya umum akan datang.

PAS, tegasnya memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN.

“Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ujarnya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu telus dan jangan menjadi tali barut BN ketika mengendalikan urusan pilihan raya.

Baru-baru ini, tambahnya rakyat telah dikejutkan tindakan SPR berhubung kumpulan pengundi 'hilang layak undi awam' yang berjumlah 18,493 orang dalam Rang Daftar Pemilih Suku Ketiga 2010.

Dan lebih mencurigakan, katanya jumlah tiga negeri paling ramai pengundi “hilang layak undi awam” ialah Kelantan (3,187), Kedah (2,876) dan Perak (2,007).

Menurutnya, PAS menganggap itu adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno BN tidak runtuh dan diserbu oleh Paktan Rakyat di negara ini.

Justeru, beliau mengharapkan supaya semua jentera pilihan raya di semua peringkat sentiasa mengambil berat mengenai daftar pemilih dan memerhatikan senario tersebut.

“PAS mengharapkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor perlu serius menanggani perkara ini. Modus operandi untuk tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor.

“BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno,” ujarnya.