ANWAR "KEMBALI" KE PARLIMEN



Sidang Perasmian parlimen yang bermula pagi tadi dikejutkan dengan kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri , yang menjadi ikon rakyat dengan tujuan mengiringi pasangannya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.Setelah lebih dari sedekad beliau kini kembali ke parlimen semula.


Anwar yang mengetuai pakatan pembangkang dikatakan bersiap sedia untuk kembali semula ke parlimen.Beliau yang begitu yakin melangkah masuk dan duduk di kerusi pemerhati awam dimana mendapat penghormatan dari semua ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Apabila ditanya adakah kenyataannya selama ini benar.Beliau dengan penuh keyakinan memberitahu bahawa beliau pastinya akan kembali menjejaki kakinya di dalam banggunan parlimen ini ."Saya akan kembali semula ke dewan parlimen ini." demikian tegas Anwar dengan penuh yakin.


Sementara itu menurut maklumat dari pihak parti , salah satu tempat di mana-mana bahagian parlimen akan dikosongkan bagi membolehkan Anwar bertanding sebagai wakil.


Apabila ditanya wartawan dikawasan manakah yang akan ditandingi beliau, secara berseloroh,
"Saya akan kembali semula ke persada politik tanahair dan kawasan yang sedang menjadi tumpuan saya ialah Kuala Kangsar,namun saya serahkan kepada parti untuk menentukannya"
demikian tegas beliau lagi. Rafidah Aziz bekas menteri kabinet yang paling tua dalam sejarah pemerintahan Barisan Nasional. Beliau yang memenangi kerusi parlimen Kuala Kangsar walau gagal menandatangi beberapa borang semasa penamaan calon baru-baru ini.Wan Azizah pula menyatakan bahawa Anwar akan kembali semula , tetapi "kami sedang menungg masa yang sesuai".


"Sepuluh tahun adalah masa yang panjang, namun saya menghormati teman-teman yang berada dalam keabinet Barisan Nasional masa kini. Mereka mengucapkan kata-kata yang senang didengar tetapi saya tidak akan menyatakan kepada anda apa yang mereka bisik kan kepada saya", demikian tegas Anwar lagi


Selepas upacara selesai, Anwar hadir di tempat VIP bersama-sama dengan isterinya namun tidak berbual banyak dengan perdana Menteri, cuma menyapa beliau.


Anwar berada bersama pasangan Yang Di Pertuan Agong . PKR semalam membuat bantahan kerana tidak menjemput Wan Azizah dan pasangannya, tetapi kemudiannya menerima jemputan lewat petang semalam.


MAKLUMAT DARI MALAYSIAKINI

DARI HISHAMUDDIN RAIS




Ketika saya membesar di Jelebu, di minggu akhir di setiap bulan Ramadan saya akan memasang lampu pelita di sekeliling kawasan rumah saya. Cahaya pelita ini adalah tanda, nahu dan bahasa sebagai persediaan dari seorang kanak-kanak untuk menyambut malam Tujuh Liku atau malam kesampain Lailatulqadar. Satu malam yang paling suci lagi kudus berbanding dengan seribu malam-malam yang lain.


Mitos malam Lailatulqadar mengajar saya sebagai kanak-kanak untuk menyimpan harapan, mimpi dan niat. Kami kanak-kanak cukup bijak untuk menyimpang siurkan ajaran agama yang kami sendiri pun kurang arif. Kami cukup yakin bahawa di malam Lailatulqadar ini ada satu ketika di mana semua makhluk dan tumbuhan di bumi ini akan menyembah sujud kepada pencipta Yang Maha Esa. Pada malam yang mana satu? hari yang mana? jam berapa? Detik dan saat yang mana Lailatulqadar ini akan sampai tidak pernah di ketahui. Malam ini menjadi satu misteri untuk kami kanak-kanak.


Dari apa yang disurahkan, malam kudus ini hanya akan ditemui oleh mereka yang warak, suci dan beriman. Tetapi untuk kami kanak-kanak – iman, suci dan warak – bukan perhitungan. Saya menunggu kesampaian malam ini kerana saya memiliki seribu satu macam permintaan yang ingin saya sampaikan kepada Yang Maha Esa.


Dari surah orang tua-tua Malam Lailatulqadar akan melawati satu kali sahaja sesiapa yang bernasib. Kedatangannya mungkin dapat dilihat dan mungkin tidak dapat dirasai. Seperti ia sampai, malam ini juga akan pergi tanpa gendang dan nobat. Pernah saya mendengar riwayat bagaimana seorang lelaki warak ketika ingin mengambil air sembahyang telah meletakkan songkoknya di tepi perigi. Bila selesai berwuduk si Alim ini terperanjat besar kerana songkoknya telah tersangkut tinggi di pucuk kelapa. Ini berlaku kerana ketika si Alim ingin berwuduk Lailatulqadar telah sampai. Rupa-rupanya songkok telah diletakkan di daun kelapa kerana ketika itu pokok kelapa sedang bersujud kepada Yang Maha Esa.


Sayangnya Lailatulqadar datangnya hanya sekali. Si Warak ini tidak membuat apa-apa permintaan. Apa yang saya surahkan tadi adalah mitos pada zaman saya kanak-kanak. Apa yang ingin saya sambung di sini bukan mitos tetapi politik yang di eja dengan huruf K – realpolitik.


Sesudah pilihan raya ke 12 , Pakatan Rakyat telah ditubuhkan sebagai satu wadah untuk membawa politik baru. Pada awalnya ramai yang memiliki pendapat bahawa 5 negeri yang telah di menangi oleh Pakatan Rakyat perlu dijadikan negeri contoh. Ertinya ada ketelusan, ada keterbukaan dan ada sistem pentadbiran yang menyebelahi kepada tuntutan rakyat. Tanpa amalan rasuah dan tanpa birokrasi yang menyusahkan, maka negeri-negeri ini akan makmur. Pada pilihan raya yang akah datang 5 negeri Pakatan Rakyat akan menjadi contoh untuk membawa masuk negeri-negeri yang lain.


Bodoh. Ini pandangan bodoh yang tidak memiliki asas politik dan ekonomi. Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan sekarang. Lailatulqadar hanya datang sekali sahaja. Jika tidak diambil sekarang masa dan ketikanya tidak akan berulang lagi. Jangan sampai songkok tersangkut di pucuk kelapa.


Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang enggan dan tidak memahami apa itu konsep Federal/Persekutuan. Barisan Nasional yang selama 50 tahun ini telah memerintah tanpa mengambil indah dan menghormati konsep federal. Persekutuan Tanah Melayu/Malaya/Malaysia adalah negara federalisma di mana ada kuasa kerajaan federal dan kuasa kerajaan negeri. Pemisahan ini jelas dalam Perlembagaan. Kerajaan Barisan Nasional selama 50 ini telah meraban-raban ke hulu ke hilir dengan kuasa mereka tanpa ada halangan. Penyalah gunaan kuasa seperti ini wajib dijadikan sejarah.


Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan Malaysia secepat mungkin untuk memberhentikan penyalah gunaan kuasa. Lailatulqadar hanya datang sekali sahaja.
Pakatan Rakyat hari ini sedang berhadapan dengan gerombolan Barisan Nasional yang telah kalah teruk. Kita tidak perlu membuka kitab Mao untuk memahami garis politik yang tepat - ketika musuh menyerang kita undur dan ketika musuh lemah kita menyerang. Barisan Nasional kini sedang nazak. Inilah masa yang tepat untuk terus menyerang dan membungkus mereka untuk dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Lailatulqadar hanya datang sekali.


Perhatikan apa tingkah laku gerombolan Barisan Nasional ketika mereka nazak. Perjanjian di antara negeri dengan Kementerian Pelancongan telah dilupuskan. Ketua-ketua kampung di Perak telah di berhentikan. Ahli JKK diubahsuai. Fail dan maklumat negeri telah di musnahkan. Ini dilakukan ketika mereka nazak. Bayangkan jika mereka dapat bangun berjalan pasti Pakatan Rakyat akan dipukul musnah.


Lihat pula apa yang terjadi di Selangor. Dana NGO Balkis telah dipindahkan oleh isteri Khir Toyo seolah-olah ini harta datuk nenek moyang mereka yang dibawa dengan tongkang dari Jawa. Ini belum lagi di perinci berapa banyak fail-fail yang telah dikoyak rabak dan dimusnahkan sebelum pentadbiran kerajaan baru dapat memasuki pejabat kerajaan.
Sila jangan lupa apa yang terjadi kepada Radio Selangor? Radio ini adalah hak milik kerajaan negeri Selangor. Tiba-tiba stesen radio ini dipindahkan ke Angkasapuri. Apakah ini dengan niat jahat atau dengan niat baik?


Sila jangan lupa apa yang berlaku pada subuh 15 April 2008. Rumah Dr.Wan Azizah dan rumah Menteri Besar Selangor telah didatangi oleh polis. Polis telah diarahkan untuk mengambil kenyataan dari Wan Azizah dan MB Selangor kerana malam sebelumnya Pakatan Rakyat telah mengadakan satu rapat raksasa di Kampung Baru yang dianggap ‘perhimpunan haram’.
Dengan angkuh pihak polis telah enggan mengambil kenyataan Dr Wan Azizah dan MB Selangor di pejabat mereka. Polis mendesak mereka berbondong-bondong ke balai seolah-olah untuk dilihat umum sebagai orang jahat. Ini arahan siapa? Mereka langsung tidak ada niat untuk hormat kepada Menteri Besar dan Ketua Pembangkang.


Bandingkan dengan kes raba-raba buntut pelayan yang pelakon utamanya Jamaluddin Jarjis. Dari laporan akhbar, kita diberitahu bahawa ketua polis yang sama telah menjalankan siasatan. Tetapi di mana kenyataan Jamaluddin Jarjis ini diambil? Dari laporan akhbar kita hanya di beritahu bahawa “pihak polis telah menemui bekas menteri ini di satu tempat”.


SATU TEMPAT ini di mana? Kenapa Jamaluddin Jarjis tidak diminta datang ke balai polis. Kenapa Wan Azizah dan MB Selangor dipaksa datang walhal kes raba-raba buntut adalah satu jenayah seksual yang amat berbahaya. Ini adalah bukti bahawa pihak polis juga kini telah menjadi perkakas Barisan Nasional. Mereka ini akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gerombolan Barisan Nasional ini.


Kerana itu Pakatan Rakyat tidak akan selamat jika tidak mengambil kerajaan Persekutuan secepat mungkin. Lailatulqadar datang hanya sekali. Jangan nanti tercengang-cengang apabila melihat songkok tersadai di atas pucuk kelapa.


Saya yakin dalam masa jangka yang singkat gerombolan Barisan Nasional dan United Malay National Organisation akan melakukan pelbagai bentuk sabotaj. Berita telah mula keluar tentang dana federal akan dikurangkan ke lima negeri-negeri Pakatan Rakyat, walhal lima negeri inilah pembayar cukai terbanyak dan penjana ekonomi Malaysia.
Adalah menjadi satu kesilapan besar jika ada penyokong Pakatan Rakyat merasa takut untuk terus mara merampas dan mengambil pentadbiran Persekutuan. Warga dan para penyokong Pakatan Rakyat wajib bersedia dan jangan takut dengan kemenangan.


Jika gerombolan Barisan Nasional ini faham dan menghayati konsep dan falsafah federalisma maka tidak timbul saranan untuk merebut kerajaan Persekutuan. Tidak timbul tiupan sangka kala ini. Kerajaan dalam sistem demokrasi boleh beralih dan bertukar ganti.
Adalah satu kesilapan politik besar jika para pemimpin Pakatan Rakyat cuba menunggu lama dan hanya melihat gerombolan Barisan Nasional yang telah tergelincir kuasa. Mereka yang tergelincir dan berkemungkinan hilang kuasa akan melakukan apa sahaja. Bayangkan berbilion-bilion ringgit dana yang selama ini mereka rompak dan agihkan kepada suku sakat mereka. Tiba-tiba pengaliran dana ini akan dihentikan oleh Pakatan Rakyat.


Bayangkan pula ratusan ribu hektar tanah yang tela berikan oleh Khir Toyo kepada kaum keluarganya di Selangor. Bagaimana pula di Perak, di Negeri Sembilan, di Kedah dan di Pulau Pinang? Semua ini akan dikaji siasat. Dan mereka sedar jika mereka tidak menyerang Pakatan Rakyat mereka semua akan di bawa ke mahkamah. Tetapi buat masa ini kerana mereka sedang bergaduh sesama sendiri maka tenaga dan daya usaha mereka belum sempat di hadapkan kepada Pakatan Rakyat.


Justeru bila musuh lemah kita menyerang. Jangan tunggu mereka kuat. Lailatulqadar hanya datang sekali.
Pakatan Rakyat wajib belajar dari apa yang telah terjadi di Terengganu. Apabila Haji Hadi telah menemui ratusan ribu duit tunai dalam laci Wan Mokhtar pada malam kemenangan di Terengganu pada tahun 2004 dahulu, tidak ada apa-apa tindakan diambil. Ini kesilapan besar. Apabila musuh jatuh itulah masanya kita menerkam. Apabila musuh lemah itulah masanya kita menyerang. Dalam politik kita mesti berani mencekik leher seteru politik kita. Jika tidak musuh ini akan menyusun untuk bangun dan melawan kembali.
Rakyat sedang menunggu untuk merebut kemenangan. Kerajaan Persekutuan wajib diambil secepat mungkin. Saat dan masanya untuk bertindak ialah sekarang. Jangan biarkan saat itu beredar. Malam Lailatulqadar hanya datang sekali. Lima tahun dari hari ini jangan ternganga dan tercengang kerana songkok tersangkut di atas pucuk kelapa.