Ahmad Lutfi Othman
Pada masa lalu pemilihan Umno dilihat lebih hebat debarannya berbanding pilihan raya umum. Di luar Kelantan, mana-mana calon yang menang dalam pemilihan Umno dan kemudiannya dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya umum selalunya tidak menghadapi saingan sengit daripada pembangkang.
Justeru, terpampanglah pelbagai karenah negatif calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Umno, bermula di peringkat cawangan, bahagian, apatah lagi majlis tertinggi parti. Selain budaya politik wang yang telah lama membusuk, bermacam-macam strategi diatur menentang "rakan sendiri". Pengurus kempen ligat memilih taktik dan tipu-helah.
Jawatan dalam Umno dikira tiket mengaut kekayaan dan meraih kemasyhuran memeluk kekuasaan yang begitu diidamkan. Pegawai tinggi kerajaan pun terpaksa tunduk dengan kemahuan "pemimpin kecil" Umno. Tidak hairanlah, dalam keghairahan merebut posisi penting dalam parti berkenaan, segala teknik digunakan. Bomoh-bomoh turut menjadi tumpuan.
Sehingga tercetusnya tuntutan reformasi pada 1998, politik Malaysia "tidak serupa dahulu lagi". Misalnya, menang sebagai ketua bahagian Umno tidak lagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum. Wilayah kekuatan pembangkang sudah beralih daripada kawasan tradisi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PAS menang beberapa kerusi di Perak, Selangor dan Pahang.
Kehadirannya di Pulau Pinang juga terasa. Marah benar orang Melayu dengan Umno!
Sidang Dun di negeri-negeri berkenaan menjadi rancak. Menteri Besar Umno yang dahulunya cukup selesa kini mula gelabah bila diusik. Salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai penyelewengan dibongkar. Rakyat dapat melihat fungsi "semak dan imbang" oleh pembangkang (Barisan Alternatif ketika itu) bagi memastikan kepentingan umum terjaga.
Pilihan raya 2004 mengubah keadaan. Umno nampak pulih sepenuhnya. PAS Kelantan pun hampir tersungkur. Fenomena Abdullah Ahmad Badawi memeranjatkan. Dan pemimpin Umno kembali kepada sifat asal. Mereka yang terkejut dengan prestasi 1999 mulai membangga diri dan memandang lekeh pembangkang. Abdullah juga mudah lupa diri, hanya pandai berjanji; alpa bahawa rakyat menyokongnya demi menagih perubahan dan mahu kualiti hidup ditingkatkan.
Rakyat memendam rasa dalam era 2004-2008. Mereka tidak mempersiakan peluang dalam pilihan raya Mac lalu. Pemimpin BN terkedu dengan hukuman tidak terduga itu. Pakatan Rakyat dibentuk. Laluan untuk sistem dua parti nampak terbuka. Memang benar politik Malaysia "tidak serupa dahulu lagi".
Zaman Umno boleh meletak calon "tunggul kayu" dan menang mudah dalam pilihan raya sudah berakhir. Negeri-negeri terkaya kini menjadi milik Pakatan.
Abdullah dilihat punca kekalahan besar itu. Dia dipaksa berundur secara mengaibkan, termasuk oleh kawan-kawan rapatnya sendiri. Pelan peralihan kuasa yang dirangkanya bersama Najib Razak ditolak mentah-mentah. Abdullah terpaksa akur, beliau mesti keluar secepat mungkin. Dikatakan, hanya dengan ketiadaannya Umno boleh dipulihkan. Najib mesti diberikan masa secukupnya untuk menjenamakan semula Umno.
Dilihat hebatnya Umno bercakaran semasa musim pemilihan ini - ketika ia dalam keadaan paling kritikal selepas lebih 60 tahun ditubuhkan - mungkin pemimpinnya merasakan tragedi 2008 mudah dirawat sepertimana kekalahan 1999 mudah ditebus.
Ingatan Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat semakin muak dengan gelagat pemimpin Umno bermain politik wang bagai tidak diendahkan, malah diperolokkan. Selepas lapan bulan, Umno masih serupa dulu, malah di Kedah, Selangor dan Perak yang mana ia hilang kuasa, pemimpinnya gagal bertindak sebagai pembangkang berkesan. Isu-isu yang dibangkitkan Umno tidak lebih daripada isu lapuk yang dikitar semula daripada kem pemikiran Biro Tata Negara (BTN).
Najib sebagai anak didik Mahathir memang mengheret bagasi sejarahnya yang cukup berat. Seribu satu kes menganggunya. Namun, pada hemat saya, keupayaan Najib tidak boleh diremehkan. Persepsi rakyat kadang-kadang sukar ditelah, apatah lagi jika pada masa sama, prestasi Pakatan di lima negeri gagal mencapai target.
Bagi sesetengah orang, Muhyiddin Yasin dan Dr Zahid Hamidi, jika menang pada Mac 2009, mungkin dapat membantu Umno menarik kembali sokongan. Wanita, Pemuda dan Puteri juga akan mempunyai ketua baru. Harapnya orang Melayu tidak mudah terkeliru dengan situasi "apa-apa saja yang baru".
Sama ada Umno-BN dapat mengembalikan sokongan terhadapnya bukan hanya ditentukan oleh keupayaan barisan kepimpinan baru yang diterajui Najib, tetapi lebih dipengaruhi kemampuan Pakatan Rakyat menunjukkan teladan unggul di negeri-negeri yang diperintahnya, selain mempamerkan peranan yang diharapkan rakyat di Parlimen dan mampu menyelesaikan masalah seharian mereka. Personaliti wakil rakyatnya harus sentiasa "peduli dan bersih".
Ciri-ciri "kerajaan menanti" wajar dipenuhi segera. Cabaran semasa, terutama berkaitan ekonomi, mesti ditangani secara yang cukup meyakinkan. Isu-isu sensitif tidak seharusnya dibiarkan "selesai dengan sendiri".
Saya kerap menekankan agar jangan memandang mudah hal-hal yang boleh merangsang emosi dan sentimen perkauman walaupun kita berbangga elemen "politik baru" makin mendapat tempat. Majoriti pengundi Melayu di desa masih terkepung dengan tradisi lama yang dipupuk Umno itu.
Jika Umno berbalah kerana tawaran hebat daripada jawatan dalam parti, tidak mustahil, kegawatan yang sama boleh berlaku dalam Pakatan sekiranya ramai melihat PAS, KeADILan dan DAP adalah lubuk kuasa yang menjanjikan segala habuan. Rakyat sentiasa memerhatikan perkembangan ini, terutama perubahan pada gaya hidup pemimpin. Mereka cukup sensitif dengan perubahan yang tidak perlu itu.
Janji Pakatan terlalu besar dan indah, malah lebih hebat berbanding umpan Abdullah ketika mula menerajui takhta dulu. Rakyat menolak Abdullah kerana janjinya, maka atas hujah sama, Pakatan juga boleh dihukum. Usah sesekali meremehkan keupayaan rakyat dalam membuat penilaian secara bijaksana tentang prestasi Pakatan, baik sebagai kerajaan di lima negeri ataupun pembangkang berkesan di Parlimen.
Usah berasa terlalu rendah untuk mengambil iktibar daripada kejatuhan BN, Mac lalu. Banyak pengajaran berguna daripada episod paling bersejarah itu._
HA...HA...DENGAR TU PESANAN YANG DISAMPAIKAN,KERANA DI PULAU PINANG PUN SEDANG BERLAKU SATU SERANGAN BESAR TERHADAP TKM1 PULAU PINANG.SUDAH LA CUMA ADA 2 PARLIMEN DAN 3 ADUN PKR.TETAPI MENGALAHKAN PARTI LAIN PULAK GELORANYA...........FIKIR-FIKIRKAN