BN bacul tidak benar Anwar tanding pilihan raya |
Helmi Khalid Mon | Dec 24, 07 | 6:11:18 am MYT |
ALOR STAR, 24 Dis (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang mencabar Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) agar tidak menjadi pihak yang pengecut sekiranya mengadakan Pilihan raya Umum ke-12 sebelum tarikh mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim layak dicalonkan semula sebagai calon. |
Katanya, BN jadi pengecut, biar Anwar boleh bertanding, kita lawan sama-sama, (BN) jangan jadi pengecut.
"Dulu saya lawan, tapi Dato' Seri Anwar tak lawan, dia kena rehat (PRU-11, akibat dipenjara), sekarang Anwar dah bebas, dia dah mula turun padang, biar dia boleh lawan, kita lawan sama-sama," tegas Ustaz Hadi.
Beliau berucap demikian ketika bersama Anwar dalam Ceramah Perdana 'Bersatu Menolak BN'di Kompleks PAS Kedah di hadapan sekitar 100 ribu hadirin.
Dalam ceramahnya, Ustaz Hadi banyak mengenengahkan prinsip keadilan yang telah dijanjikan oleh Islam sebagai pemerintah terhadap golongan bukan Islam.
Beliau berkali mengulangi ketegasan bahawa disebabkan Umno tidak membawa Islam yang sebenar seperti yang dituntut oleh Allah maka sekarang ini berlaku pelbagai penindasan oleh Umno terhadap rakyat yang bukan beragama Islam.
Sementara, Anwar pula turut menyentuh isu yang sama dengan memberi contoh semakin kerap dan banyak perkataan Islam Hadhari diuangkapkan pemimpin Umno, semakin banyak penindasan dan ketidakadilan dilakukan terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Bibit-bibit kebangkitan rakyat Kedah telah mula dijelmakan sejak beberapa bulan lalu, jika dilihat dari beberapa program melibatkan semua kaum, jumlah kehadirannya adalah di luar jangkaan.
Petang kelmarin, ketika Anwar berkunjung di Paya Besar, Lunas sekitar 7,000 rakyat di kalangan kaum India menghadiri program tersebut.
Sebelum ini juga, PAS Kedah yang bekerjasama dengan Dewan Himpunan Cina Kedah berjaya mengumpul 120 ribu tandatangan rakyat sebagai tanda bantahan terhadap kenaikan kadar cukai yang melampau di negeri Jelapang Padi ini.
Ceramah pada malam tadi juga menyebabkan jalan raya di Alor Star-Sungai Petani sesak teruk sekitar lima kilometer berdekatan Kompleks PAS Kedah di Kota sarang Semut.
Cuaca yang baik membolehkan rakyat membanjiri dataran kompleks sejak jam 7.00 malam dan mengikuti ceramah yang dimulakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji Azizan ABdul Razak diikuti Ustaz Hadi seterusnya Anwar. - mks.