Covid 19: Peniaga besar dapat bantuan, peniaga pasar malam dibiar merana


Kerajaan darurat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin digesa melihat nasib peniaga pasar malam dan uptown yang terjejas teruk berikutan larangan berniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan seharusnya memikirkan cara untuk mencari penyelesaian bagi membantu golongan penjaja kecil tersebut yang sejak Mac tahun lalu amat terjejas pendapatan mereka.

"Hari ini apa yang diumumkan kerajaan mereka (penjaja) kurang jelas, melibatkan isu PKP di mana peniaga pasar malam tak dibenar berniaga di bawah undang-undang dan sebagainya.

"Kerajaan Perikatan Nasional bersungguh-sungguh nak bela rakyat. Yang di-Pertuan Agong pun umum darurat sampai bulan Ogos. Ertinya kerajaan tak fikir politik, mereka utamakan nasib rakyat, terutama golongan miskin.

"Hari ini peniaga-peniaga pasar malam, uptown dan lain-lain dalam situasi yang susah. Kalau ambil situasi Perusahaan Kecil dan Sederhana mereka dapat pelbagai bantuan.

"Kilang ada 100 pekerja, umur 40 tahun ke bawah dapat bantuan Perkeso. 40% gaji dibayar Perkeso, umur 60 tahun ke atas 60% gaji dibayar Perkeso.

"Jadi kilang-kilang kurang beban. Bagaimana pula dengan peniaga kecil yang berniaga tepi jalan? Jangan fikir beri bantuan RM3,000 kepada yang ada lesen SSM masalah selesai," katanya dalam sidang media NGO berkenaan.

Menurut Rizduan, kerajaan darurat harus memikirkan satu bentuk pampasan sekiranya peniaga berterusan tidak dibenarkan berniaga.

Katanya, beliau yakin PKP akan berlanjutan sehingga negara memperolehi vaksin Covid 19 pada bulan Mac.

Sehingga tempoh itu peniaga telah kehabisan wang untuk membeli keperluan hidup.

"Saya yakin PKP tak berakhir dua minggu. Mungkin sampai Mac, tunggu vaksin atau lebih lama. Siapa nak beri mereka makan? Peniaga pasar malam belum dapat apa-apa lagi.

"Kerajaan perlu cari satu solusi termasuk Majlis Keselamatan Negara. Kami minta kaedah bagaimana mahu selesaikan. Golongan mewah dapat pelbagai pampasan dari kerajaan. Syarikat besar dapat geran bantuan dan sebagainya. Mereka boleh survive," katanya.

Selain itu, Mohd Rizduan juga mengingatkan kerajaan bahawa para penjaja juga adalah pengundi. Mereka dan keluarga akan menentukan arah sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 nanti yang perlu diambil kira kerajaan memerintah sekarang.

"Kalau ambil kira penjaja seluruh Malaysia yang berdaftar 1.5 juta orang. Setiap keluarga ada 5 ahli keluarga. Berapa juta? Ini suara besar dan boleh menentukan kerajaan pada PRU 15.

"Saya minta tolong kepada Tan Sri Muhyiddin selesaikan masalah orang miskin ini.

"Kenapa pasar raya boleh buka, ada negeri pasar pagi (pasar basah) boleh beroperasi. Adakah Covid serang orang waktu malam sahaja?

"Golongan penjaja ini melibatkan lebih 1,000 tapak pasar malam. Mesti ada kaedah atau bajet membantu peniaga. Adakah tiap-tiap bulan kerajaan boleh beri RM3,000 pampasan untuk setiap peniaga atau sebagainya. Ini kita perlu kaji," katanya lagi.



No comments: