Warisan kambing hitam PH, kata ahli akademik

 

Seorang ahli akademik dari Sabah bersetuju bahawa Pakatan Harapan cuba menjadikan Warisan kambing hitam atas kegagalannya menolak Belanjawan 2021. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang ahli akademik menuduh Pakatan Harapan (PH) menjadikan Warisan kambing hitam atas kegagalannya dalam undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, Warisan bukanlah satu-satunya parti yang berbeza sikap dengan pembangkang berhubung belanjawan.

Beliau mengulas kritikan terhadap Warisan kerana ketidakhadiran Ahli Parlimennya Isnin lepas apabila anggaran belanjawan bagi Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan diluluskan.

Lee bersetuju dengan Bendahari Agung Warisan Terrence Siambun bahawa tiada gunanya parti itu mengundi kerana lapan Ahli Parlimennya tidak akan mengubah keputusan pengundian di Dewan Rakyat.

“Bilangan undi biasanya sebanyak 106, 107 atau 108 di pihak kerajaan dan 95 pembangkang,” katanya kepada FMT.

“Dengan majoriti tipis dua kerusi di pihak Perikatan Nasional (PN), semua undi penting, tetapi insiden lepas menunjukkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang, selain Warisan, yang juga tidak mengundi.

“DAP misalnya tidak berdiri untuk menolak belanjawan di peringkat dasar Khamis lepas.

“Jadi saya fikir mereka mahu menjadikan Warisan kambing hitam.”

Whip Warisan, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli baru-baru ini mengakui ketidakhadiran wakil parti itu dalam beberapa pengundian belanjawan merupakan langkah yang disengajakan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin PH Anwar Ibrahim.

Ini menyebabkan Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin membidas Rozman yang disifatkan memberi alasan kebudak-budakan.

Bekas pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata, Ahli Parlimen Warisan mengecewakan pembayar cukai.

Bagaimanapun DAP Sabah mempertahankan Warisan dengan ketua publisitinya Phoong Jin Zhe mengkritik Boo kerana merosakkan hubungan antara dua parti itu di Sabah.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu Warisan supaya menyediakan penjelasan sekiranya orang ramai bertanya sama ada ia membantu Perikatan Nasional supaya kekal berkuasa.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menafikan parti itu bekerjasama dengan PN atau Barisan Nasional (BN).

Awang Azman Pawi.

Mengulas pertikaian itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, perbezaan pandangan dalam mana-mana parti politik merupakan gambaran demokrasi.

“Kepelbagaian suara harus diraikan bagi menghalang kemunculan diktator atau sistem kepimpinan autokratik,” katanya selain menambah bahawa wujud juga perbalahan dalam PN.

Bridget Welsh.

Bagaimanapun Bridget Welsh dari Universiti Nottingham (Malaysia) berkata, pembangkang tidak seharusnya mendedahkan masalah mereka secara terbuka.

“PH Plus perlu belajar bagaimana untuk menyembunyikan perbezaan mereka di dalam, bukannya mendedahkannya kepada umum,” katanya.

“Ia nampak kebudak-budakan dan menghakis kepercayaan orang ramai. Ia perbuatan merosakkan diri sendiri.”

Lee bersetuju dengan Welsh dengan berkata, tiada keperluan bagi DAP atau PKR meluahkan rasa tidak puas hati mereka melalui media.


No comments: