Penarafan kewangan Malaysia turun, kerajaan PN hilang keyakinan antarabangsa

 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghadapi satu lagi cabaran berat di tengah-tengah pandemik Covid 19 yang belum selesai.

Semalam Fitch Ratings, agensi penarafan kewangan antarabangsa telah menurunkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) matawang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘ untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun lalu.

Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penurunan itu dan juga komen Fitch mengenai ketidakstabilan politik telah membawa Malaysia ke jurang ketidakyakinan antarabangsa dari pelbagai sudut.

Katanya, jawapan balas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkait penarafan IDR tersebut juga amat membimbangkan.

"Beliau gagal menjawab persoalan dan kebimbangan yang dilaporkan Fitch yakni kestabilan politik dan tatakelola.

"Langkah Sheraton bulan Februari lalu tidak hanya menimbulkan kekacauan politik, tetapi juga adalah permulaan usaha menginjak batu asas reformasi institusi yang telah digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kerajaan minoriti ini tidak punya keabsahan sama sekali dari rakyat dan telah menyalahgunakan fungsi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan dukungan (kuasa)," kata Anwar dalam satu kenyataan.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, wabak Covid-19 telah menunjukkan kelemahan Malaysia dalam pelbagai penjuru termasuk aspek keselamatan modal, pengemudian tatakelola yang jelas dan tegas

Juga menurut beliau, kerajaan PN tidak berupaya merangka polisi untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan terbaik yang boleh mencorak jalan keluar dari pandemik ekonomi.

Sebaliknya, kata bekas Menteri Kewangan terbaik Asia itu, pemimpin politik Malaysia lebih senang membandingkan negara dengan pesaing yang jauh kurang keupayaan dan mundur.

"Membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang prestasi jauh lebih rendah dari kita adalah tidak tepat dan mengelirukan. Kita harus lihat Malaysia hari ini dan era lalu di mana negara tercinta ini adalah antara kuasa ekonomi serantau.

"Tidak ada perubahan yang nyata, sedangkan negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam telah mula mendakap realiti digital dunia hari ini," katanya lagi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut kecewa dengan peranan yang dimainkan Tengku Zafrul selaku ahli perbankan kerana tidak mahu membawa keluar negara daripada kemelut politik yang tidak sepatutnya disokong oleh seorang teknokrat seperti beliau.

"Wujud sedikit harapan pelantikan seorang teknokrat seperti Menteri Kewangan akan dapat meminimakan jurus dan langkah politik.

"Namun jelas beliau gagal menggarap tanggungjawab dalam mempersiapkan negara ini dengan jalan keluar bersama pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.

"Kita masih belum tahu dari mana sumber dana bagi memperoleh vaksin Covid-19, dan kita juga belum pasti bagaimana kerajaan akan bangunkan semula tunjang ekonomi negara, perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk dan rata-ratanya dari kalangan orang Melayu atau Bumiputera," katanya.

Tegas Anwar, semak turun penarafan mengukuhkan tanggapan rakyat selama ini bahawa Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang komited kepada agenda reformasi serta telus, inklusif dan punya halatuju yang jelas.

Sebaliknya apa yang dihidangkan kepada rakyat, kata Anwar, adalah kekeliruan dan ketidakstabilan yang pastinya akan merencatkan usaha untuk keluar dari wabak Covid 19 dengan jayanya.




No comments: