Rakyat terus muntah amarah tuntut KWSP, moratorium automatik


Rakyat terus muntah amarah tuntut KWSP, moratorium automatik



Laman rasmi Facebook Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terus dihujani kritikan warganet berhubung isu pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium ke atas pinjaman bank.

Rakyat juga menyatakan tidak peduli tentang persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 kerana menyifatkan kedudukan kewangan mereka sudah berada dalam tahap genting akibat pandemik Covid-19.

Dalam masa sama, rata-rata warganet mengingatkan mereka bukannya meminta duit kerajaan sebaliknya wang dalam dana persaraan itu adalah hasil daripada titik peluh mereka.

“Luluskan KWSP kepada semua pencarum. Tak banyak pun RM10,000 sahaja. Ada lagi baki RM90,000. Susah sangat ke?” soal Farisha Quera.

Untuk rekod, KWSP ialah simpanan mandatori dipunyai pekerja di Malaysia, walaupun cuma ada 6.5 juta pencarum dari 15.5 juta tenaga kerja di negara ini.

Tidak kurang juga pemegang akaun KWSP menolak pengumuman kerajaan mengenai pengeluaran Akaun 1 secara bersasar kerana dianggap tidak mengambil kira jumlah lebih ramai golongan B40 dan M40 yang menghadapi tekanan kewangan.

“Harap umum nanti biarlah (duit) KWSP itu semua dapat. Janganlah bersasar lagi,” rayu Eyka Jaafar.

Bahkan, ada yang mengingatkan Tengku Zafrul yang juga bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) agar mengambil berat tentang nasib rakyat.

“Maaf Menteri Kewangan. Ambil berat rakyat Malaysia. Belanjawan untuk semua. Tidak boleh berpihak. Jangan berfikir sebagai pegawai bank atau kapitalis,” bidas K.A. Ramu.

Menerusi Belanjawan Negara 2021, kerajaan akan membenarkan pengeluaran bulanan RM500 daripada Akaun 1 KWSP, berjumlah RM6,000 dalam tempoh 12 bulan bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Lagi kritikan orang ramai yang menganggap kerajaan tidak benar-benar mendengar rintihan rakyat yang dibadai impak Covid-19.

No comments: