Esok pastikan tuntutan BN lulus, Puad beritahu menteri

 

Puad Zarkashi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mahu para menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional pastikan dua tuntutan gabungan itu untuk Belanjawan 2021 diluluskan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, susulan ikrar mereka semalam.

Semalam, 20 menteri dan timbalan berikrar mahu mengukuhkan kedudukan BN dalam kerajaan dan memastikan BN jadi suara terkuat.

“Kalau begitu pastikan esok moratorium automatik dan pengeluaran ‘one-off’ RM10,000 dari Akaun 1 KWSP diluluskan,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional mengumumkan sokongan Ahli Parlimen gabungan itu pada Belanjawan 2021 tertakluk kepada pindaan dibuat.

Syaratnya ialah kerajaan membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP secara “one-off”, dan meluluskan moratorium automatik untuk bayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan.

“Kalau seiring dengan BNBBC dan MKT maka kuatlah suara BN dalam kerajaan,” kata Puad.

“Bukan pula suara orang lain yang kuat dalam BN. Semoga esok, ‘win-win’ untuk semua.”

Kenyataan menteri dan timbalan menteri berkenaan dikeluarkan berikutan pelbagai tanda tanya mengenai sokongan BN pada Belanjawan 2021, berlatarkan tuntutan dan ketidakpuasan hati parti komponen dan pemimpin gabungan itu terhadap bajet dan PPBM pimpinan Muhyiddin.

Kenyataan itu ambil maklum cadangan serta pandangan yang dikemukakan Ahli Parlimen BN, “untuk dilaksanakan dari semasa ke semasa”.

Kenyataan sama juga berikrar mendukung pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun mahukan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

“Itu petanda kerajaan hari ini tidak stabil maka ia perlu dimuktamadkan dengan majoriti kukuh,” kata Puad.

BN mempunyai 43 Ahli Parlimen dan sokongan mereka amat diperlukan perdana menteri untuk Belanjawan 2021 diluluskan memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai majoriti 2 kerusi di Dewan Rakyat.



No comments: