Anwar menyalahi keputusan mesyuarat?

 Anwar menyalahi keputusan mesyuarat? 


Tindakan Dato' Seri Anwar Ibrahim di saat-saat akhir sebelum pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021 dikritik hebat oleh khalayak penyokong. Kononnya tindakan DSAI itu telah menyalahi prinsip syura yang berbeza dengan keputusan mesyuarat PH sebelumnya.


Kepada mereka kononnya menjunjung tinggi prinsip syura, mereka perlu sedar, apa fungsinya panglima jika tidak mampu membuat keputusan segera ketika di medan? Jika sudah tahu keputusan strategi sebelumnya adalah tidak kena atau menuju kekalahan, adakah seseorang panglima itu perlu terus melaksanakan keputusan itu? Kalau begitulah jadinya maka panglima itu bolehlah digelar panglima bendul. Tidak perlulah panglima bendul terus memimpin jika begitu keadaannya. 


Walau bagaimana pun perubahan strategi di saat-saat akhir itu hendaklah diterangkan kepada jemaah selepas itu dengan telus. Dan DSAI telah melaksanakan peranan itu kemudiannya. Risiko akan dimarahi oleh jemaah dan para penyokong besar sekali namun itulah yang membezakan di antara panglima dan tentera-tentera pimpinannya.


Panglima punya banyak idea dan strategi ketika berhadapan dengan segala macam karenah dan ancaman. Sedangkan tentera biasa menilai dengan satu hala strategi sahaja. 


Pendekata pendekatan DSAI untuk fokus kepada peringkat Jawatankuasa akan meletihkan kerajaan PN kerana setiap angka akan dinilai satu persatu. Jika kepingin sangat undi belah bahagi yang tidak tercapai pada 27 November hari itu maka bermula Isnin 30 November ini akan ada peluang 30 kali undi belah bahagi kerana ada 30 kementerian yang akan membentangkan perincian belanjawan mereka. Pada masa itu boleh tengoklah Menteri berpeluh jantan dalam hawa dingin Dewan Rakyat. 😁


Zamri Zainal Abidin




No comments: