Monday, October 19, 2020

TIGA PILIHAN BUAT MUHYIDDIN YANG HAKIKATNYA SUDAH PUN HILANG SOKONGAN


Dalam suasana tekanan makin meningkat terhadapnya sekarang ini, hampir mustahil untuk Muhyiddin Yassin mampu bertahan lebih lama di kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Berdegil untuk terus berpaut pada kuasa, sementara majoriti yang dimilikinya jelas makin menghilang, hanya akan menyebabkan ketidaktentuan, kecelaruan dan kebencian rakyat terhadapnya.

Untuk itu, setidak-tidaknya buat waktu ini, ada tiga pilihan untuk Muhyiddin.

Pertama, menginsafi majoritinya sudah tiada lagi, malah UMNO yang sebelum ini setuju mendokong kerajaan PN pun sudah mula mahu menjatuhkannya, beliau boleh memilih untuk berundur dan meletakkan jawatan dengan segera.

Beliau harus bersikap terbuka dan berlapang dada dengan sedia menyerahkan kuasa kepada pihak lain yang sudah pun mempersembahkan majoriti dimiliki kepada Agong.

Kedua, menunggu sehingga Agong memanggil mengadap ketua-ketua parti yang sebelum ini sudah pun menyerahkan surat sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru.

Selepas itu, Muhyiddin harus akur untuk meletakkan jawatan tanpa keraguan setelah terbukti sokongan majoriti tidak lagi berpihak kepadanya.

Meskipun beliau ada pilihan membubarkan Parlimen agar PRU semula diadakan, tetapi ia tidak munasabah dijadikan pilihan memandangkan wabak Covid19 masih lagi menggila ketika ini.

Ketiga, menunggu Sidang Parlimen bermula 2 November depan di mana ia merupakan ruang terakhir untuk Muhyiddin dapat mempertahankan dirinya.

Dalam konteks Sidang Parlimen akan datang, walaupun Speaker masih boleh bersilat untuk menolak usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, tetapi memandangkan sudah ramai yang menghantar notis berkaitan usul tersebut, ini bererti tekanan kepada Speaker menjadi semakin tinggi.

Sekaligus ini boleh membuatkan Parlimen jadi huru-hara dan menimbulkan persepsi tidak baik di mata rakyat jika usul itu masih tidak dipertimbangkan oleh Speaker.

Dalam pada itu, jika usul tidak percaya berjaya diketepikan, kerajaan terpaksa berdepan pula dengan pengundian Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti.

Mahu tidak mahu, selepas belanjawan dibentangkan, ia perlu dibahas dan diluluskan melalui pengundian.

Jika belanjawan ditolak, ia sama makna seperti kerajaan sudah tumbang kerana tanpa peruntukan kewangan diluluskan Parlimen bererti kerajaan tidak dapat berfungsi untuk membayar gaji dan sebagainya.

Pengundian belanjawan adalah sesuatu yang wajib dilakulan dan Speaker tiada ruang sama sekali untuk bersilat atau menidakkan supaya ia ditiadakan.

Dalam keadaan majoriti Muhyiddin hanya ada dua dan setakat ini pula lebih daripada tiga Ahli Parlimen UMNO diketahui sudah secara terbuka menolak beliau, bermakna kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan adalah amat besar sekali.

Jika mereka yang menolak Muhyiddin itu memilih tidak hadir ketika pengundian atau bersikap berkecuali saja pun sudah memadai untuk membuatkan ia ditolak dan kerajaan tumbang dengan sendirinya.

Ertinya, Sidang Parlimen November ini adalah penentuan hidup dan mati bagi masa depan Muhyiddin di mana selain Anwar dan blok pembangkang mahu menjatuhkannya, mereka yang dalam PN yang tidak puas hati terhadapnya pasti tidak akan melepaskan peluang tersebut.

Lalu, apa pilihan terbaik untuk Muhyiddin?

Pilihan kedua dan ketiga, walaupun tidak salah jika dijadikan pilihan, tetapi dalam waktu yang sama ia akan menyebabkan suhu kebencian rakyat terhadap Muhyiddin akan terus meningkat.

Rakyat akan melihat Muhyiddin sebagai pemimpin yang degil, enggan menerima hakikat dan menyusahkan rakyat.

Sekarang ini pun, hampir di mana-mana suara kebencian dan seruan agar beliau berundur sudah boleh didengari dengan jelas dan nyata.

Hanya memilih pilihan pertama dapat membuatkan rakyat yang kini celaru dan tertekan dalam kehidupan akan berasa lega, sambil selepas itu, sekurang-kurangnya Muhyiddin akan tetap dikenang sebagai bekas Perdana Menteri yang tidak memperjudikan nasib rakyat untuk mempertahankan kepentingan jawatannya yang sudah rapuh.

Lebih malang lagi, andai sampai dijatuhkan melalui penolakan terhadap belanjawan di Parlimen, Muhyiddin dan keluarganya tentu saja akan ditimpa malu besar kerana sejarah hitam itu akan kekal tercatat sehingga hari kiamat.(Shahbudindotcom 18/10/2020)


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers