MUHYIDDIN KINI DI JALAN MATI. SELURUH NEGARA BERGEMA MAHUNYA BERHENTI


 Cubaan Muhyiddin Yassin untuk mendapat perkenan Agong bagi mengisytiharkan darurat yang telah dipersetujui kabinet nampaknya tidak kesampaian.

Majlis mengadap Agong di Istana Abdulaziz Kuantan selama lebih dua jam petang semalam tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Agong sebagai ketua negara ternyata ada kebijaksanaan tersendiri yang pada gambaran umum lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia berbanding kegelojohan pemimpin politik yang kemaruk kuasa.

Tiadanya pengumuman darurat sehingga lewat malam tadi memberi kelegaan kepada rakyat, walaupun ura-ura mengenainya telah mencetuskan kebimbangan serta kecaman yang merata di seluruh negara sehingga pasaran saham turut menjunam jatuh.

Malah, di sisi rakyat yang waras, tiada apa-apa keperluan ke arah darurat yang mereka rasa perlu dilaksanakan kecuali Muhyiddin sendiri yang berada di ambang kejatuhan dan dibelenggu darurat telah menggunakan kaedah tersebut untuk menyelamatkan tengkuknya.

Jika selama ini, darurat diisytiharkan kerana ancaman komunis atau rusuhan kaum, Muhyiddin sebaliknya dilihat cuba berbuat demikian semata-mata untuk memenuhi nafsu kemaruk kuasanya.

Maka, janganlah marah kalau ada yang mengatakan inilah sebenarnya ciri diktator yang sebenar!!

Sebagai Perdana Menteri dalam negara demokrasi, Muhyiddin seharusnya akur apabila sokongan telah tiada, berhenti atau berundur adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Perlakuan Muhyiddin cuba mengisytiharkan darurat kini nyata memperlihatkan beliau sudah tiada majoriti dan tidak sedia untuk berdepan pengundian Belanjawan 2021 di Parlimen bermula sidangnya 2 November depan.

Apa punya pemimpin seperti ini yang cuba menggunakan alasan Covid19 yang sebenarnya masih boleh dikawal sebagai perisai bagi berlindung daripada dijatuhkan, seterusnya untuk kekal berkuasa melalui darurat dan Parlimen yang digantung.

Tidakkah ini juga menunjukkan beliau telah membunuh demokrasi dan cuba mempertaruhkan nasib rakyat demi menyelamatkan kuasanya?

Sebelum ini beliau takut berhadapan dengan wartawan sehingga tidak pernah mengadakan sidang media secara terbuka, sekarang beliau juga terbukti penakut untuk berhadapan dengan wakil-wakil rakyat di Parlimen.

Reputasi dan wibawanya kini sudah hancur dan rata-rata suara yang kedengaran di seluruh pelusuk negara ialah mahu beliau segera meletakkan jawatannya.

Muhyiddin terbukti tidak mampu mentadbir negara, bahkan dengan kekalutan berterusan sejak lapan bulan lalu menunjukkan kerajaan melalui pengkhianatan yang diterajuinya tidak diberkati Tuhan.

Lebih daripada itu, ini juga memperlihatkan doanya yang diulang-ulang di saluran tv turut tidak dimakbulkan.

Apa lagi petunjuk Tuhan yang mahu ditunggunya hingga susah sangat mahu berhenti?

Dalam situasi sekarang dan akan datang, Muhyiddin mustahil dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya untuk terus memimpin negara ini.

Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya sudah terhakis sama sekali kerana dengan darurat yang cuba diisytiharkannya, beliau sebenarnya cuba memusnahkan kehidupan rakyat yang rata-rata sedang kesusahan untuk meneruskan kehidupan.

Bayangkan jika darurat diisytiharkan, bagaimana nasib rakyat yang bergaji hari dan mereka yang menjalankan perniagaan?

Lebih daripada itu, dunia luar dan antarabangsa serta pelabur pasti tidak lagi akan memandang Malaysia selagi Muhyiddin tidak segera berundur daripada jawatannya.

Semua mereka sudah hilang keyakinan atas kegagalan paling teruk yang telah dilakukannya.

Jalan di depan Muhyiddin kini adalah jalan mati, beliau tidak boleh ke mana-mana lagi.

Hanya meletak jawatan satu-satunya pilihan yang ada baginya dan redhalah dengan ketentuan sebagai Perdana Menteri paling gagal dan paling singkat dapat memimpin negara ini. (Shahbudindotcom 24/10/2020)

No comments: